Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB gembira perkembangan positif e-sukan di Selangor, penyertaan hingga peringkat antarabangsa

GOMBAK, 19 FEB: Dato’ Menteri Besar gembira melihat perkembangan positif e-sukan di Selangor berbanding ketika beliau memperkenalkannya tujuh tahun lalu.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketika itu terdapat segelintir pihak menganggap ia program sia-sia dan tidak mendatangkan manfaat kepada generasi muda.

“Saya gembira kerana saya yang memulakan inisiatif ini ketika bergelar EXCO di peringkat negeri…pada waktu itu ramai sinikal, anggap mungkin sia-sia, kenapa ceburi perkara yang tak pasti.

“Tetapi pada waktu itu saya yakin bahawa ia boleh berkembang dan hari ini terbukti ia sampai ke peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya selepas merasmikan Bengkel Pengurusan e-Sukan di Dewan Kampung Melayu Batu Caves di sini hari ini.

Amirudin berkata perkembangan itu bukan sekadar permainan video malah memberi kemahiran lain serta menjana pendapatan kepada mereka yang menceburinya.

“Team Selangor terlibat memperkenal permainan ini daripada konteks lebih baik dan terurus.

“Saya percaya dengan cara ini mereka bukan hanya bermain ‘game’ malah mengenal pasti peluang yang boleh diperoleh,” katanya.

Pembangunan e-sukan di Selangor tahun ini menumpukan tiga cabang utama bagi melahirkan lebih ramai penggiat industri bertaraf global.

Teras itu merangkumi pemain, pengulas dan jurulatih bagi melengkapkan ekosistem sukan selain membina kerjaya dengan gaji lumayan, kata presiden Persatuan e-Sukan Selangor pada Disember lalu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peminat e-sukan telefon pintar disaran amal rehat 20 saat

SHAH ALAM, 12 DIS: Individu yang bermain permainan video elektronik khususnya menerusi telefon pintar dinasihat mengamalkan Sistem 2020.

Presiden Persatuan Sukan Elektronik Selangor berkata sistem menggunakan kaedah 20 minit bermain dan 20 saat berehat bertujuan menjaga kesihatan tubuh badan.

“Sistem 2020 ini adalah kaedah dari e-Sport Medica iaitu kumpulan doktor pakar yang membuat kajian dan memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap permainan video.

“20 minit 20 saat ini adalah untuk menjaga mata, saraf, telinga, leher, tulang belakang. Kita perlu jadikan e-sukan ini sebagai bidang yang sihat dan bukan negatif,” kata Abdul Razak Mohd Yusof.

Beliau berkata demikian pada sesi Esport Talk sempena Pesta Buku Selangor 2021 yang diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Beliau menjelaskan tempoh 20 minit bermain 20 saat berehat itu bukan bermaksud boleh dilakukan seharian sebaliknya bagi tempoh tiga jam sahaja.

“Kaedah ini sesuai untuk permainan di telefon pintar sahaja kerana permainan video yang lain ada jarak yang lebih jauh berbanding telefon pintar,” katanya.

Sementara itu, Abdul Razak memuji langkah menjadikan e-sukan sebagai salah satu acara dalam penganjuran pesta buku kali ini kerana secara tidak langsung dapat menarik peminat permainan video turut hadir.

“70 hingga 80 peratus yang datang untuk pertandingan akan masuk ke pameran jualan buku dan pastinya ada antara mereka yang membelinya dan dapat menggalakkan mereka untuk membaca,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

e-Sukan negeri tumpu tiga cabang, sasar ke arah global

SHAH ALAM, 8 DIS: Pembangunan e-sukan di Selangor tahun depan menumpukan tiga cabang utama bagi melahirkan lebih ramai penggiat industri bertaraf global.

Teras itu merangkumi pemain, pengulas dan jurulatih bagi melengkapkan ekosistem sukan selain membina kerjaya dengan gaji lumayan, kata presiden Persatuan e-Sukan Selangor.

Menurut Abdul Razak Datuk Dr Mohd Yusof, pihaknya turut berbincang bersama EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman bagi mengembangkan industri terbabit.

Abdul Razak Datuk Dr Mohd Yusof

“Pertandingan e-sukan anjuran sentiasa berterusan, namun pembangunan seterusnya belum ada. Selepas pemain menang, ke mana hala tuju ? Mungkin mereka boleh diserap menjadi pengulas atau jurulatih.

“Pemain dan pasukan e-sukan sudah ramai, jadi mereka perlukan jurulatih serta pengulas bagi memastikan industri terus berkembang seperti diinginkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Belanjawan Selangor 2022 memperuntuk sebanyak RM1.2 juta bagi meneruskan program e-sukan melalui pembangunan dan penganjuran jelajah ke setiap daerah.

Sementara itu, jurulatih Todak Valorant Nor Aiman Nor Azham menyambut baik komitmen Selangor menyediakan dana, bertepatan dengan hasrat sebagai peneraju dalam industri terbabit.

Bagaimanapun, pemain profesional e-sukan berusia 28 tahun itu mahu peruntukan tersebut dimanfaatkan sebaik mungkin untuk melahirkan lebih ramai bakat baharu.

Nor Aiman Nor Azham

“Dari dulu lagi saya akan teruja jika mendengar pengumuman berkaitan e-sukan. Jadi, pihak yang menerima dana harus melaksanakan program dengan berkesan,” katanya yang aktif sejak 2016.

Selangor memperkenal program Xtiv Virtual sejak tahun lalu dengan lebih 250,631 penyertaan dan 18 juta tontonan di platform media sosial.

Acara dipertandingkan termasuk PUBG, Mobile Legends Bang Bang, Call of Duty Mobile, Pro Evolution Soccer 2021, FIFA Pro Club, Selangor Xtiv Ride dan Selangor Xtiv Virtual Jump Rope Challenge.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peruntukan RM1.2 juta untuk program pembangunan e-sukan

SHAH ALAM, 26 NOV: Sebanyak RM1.2 juta diperuntuk tahun depan bagi meneruskan program e-sukan berikutan sambutan menggalakkan daripada golongan belia di Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan tumpuan khusus untuk program pembangunan dan penganjuran jelajah ke seluruh negeri.

“Selangor sentiasa menjadi peneraju perkembangan e-sukan di negara. Beberapa acara e-sukan peringkat serantau dan antarabangsa pernah dianjurkan sebelum ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata dana sama turut diberikan bagi inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) yang disambut baik sejak tahun lalu, terutama yang terlibat dengan industri penghantar makanan.

Amirudin menjelaskan sebanyak 8,143 permohonan diterima Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor dengan 3,227 daripadanya telah mendapat manfaat.

Sementara itu, katanya, sebanyak RM2.8 juta diperuntuk bagi program dan aktiviti Penggerak Belia Selangor (PeBS) sebagai ejen penggerak generasi muda.

“Kerajaan Negeri juga menambah baik Dasar Belia Selangor 2014 dengan membentuk Dasar Belia Selangor 2020 sebagai panduan pembangunan generasi muda bagi tempoh 10 tahun akan datang,” katanya.

Keseluruhannya, sebanyak RM14.49 juta diperuntuk bagi memastikan agenda pembangunan generasi muda dan sukan diteruskan tahun depan.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Wujud fakulti di Unisel usaha majukan e-sukan

BESTARI JAYA, 19 SEPT: Kerajaan Negeri meneruskan usaha memajukan e-sukan melalui rancangan penubuhan fakulti sukan di Universiti Selangor (Unisel).

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata fakulti tersebut akan menawarkan kursus pembangunan e-sukan kepada penggemar sukan dalam talian.

“Unisel akan menjadi tempat yang mana pemain (e-sukan) belajar dan mendapat sijil pengiktirafan sebelum ke peringkat Sukan Malaysia (Sukma) atau antarabangsa.

“Kita berharap kerjasama (mewujudkan fakulti sukan) dengan Unisel dapat ditandatangani dalam masa terdekat kerana mahu e-sukan lebih maju seterusnya menjadi negeri pertama mewujudkan modul ini,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata demikian selepas merasmikan pertandingan memancing tangkap dan lepas ikan toman sempena pembukaan tasik The Tomanz di kampus Bestari Jaya di sini semalam.

Beliau berkata ketika ini sebanyak 30 peratus daripada empat fasa inisiatif pembangunan e-sukan di Selangor berjaya dilaksanakan.

Menurutnya, fasa tersebut ialah membuka peluang dan latihan kepada belia bermain sukan dalam talian.

“Sekarang adalah fasa untuk pemain e-sukan dengan pendidikan dan akan dihantar ke sini (Unisel). Apa yang penting, bidang ini bukan lagi dilihat sebagai perkara sampingan,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Pembangunan e-sukan dilancar Oktober untuk lahir pemain bertaraf antarabangsa

SHAH ALAM, 17 SEPT: Kerajaan Negeri akan melancarkan pembangunan e-sukan bagi melahirkan lebih ramai pemain e-sukan di peringkat Sukan Malaysia (Sukma) dan antarabangsa.

EXCO pembangunan generasi muda berkata program berkenaan akan diadakan pada Oktober depan melibatkan kerjasama dengan beberapa jurulatih berpengalaman.

“Pembangunan ini secara menyeluruh dengan membina dari segi akademik, kemahiran, fizikal. Kita bekerjasama dengan jurulatih dari UiTM (Universiti Teknologi Mara), APU (Asia Pacific University) dan Kolej Komuniti,” kata Mohd Khairuddin Othman ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata demikian berhubung perancangan Kerajaan Negeri dalam usaha melahirkan pemain e-sukan di peringkat antarabangsa.

Pada 24 Ogos, Mohd Khairuddin berkata Selangor turut menggorak langkah dengan memanfaat media sosial dengan menganjurkan program e-sukan yang bersesuaian dengan trend baharu.

“Antara program yang dianjurkan pada 2020 adalah E-Sports Fifa Piala Budak Kampung, Selangor Xtiv Virtual E-Sport dan Selangor Xtiv Virtual Run.

“Aktiviti lain adalah Gelanggang Selangor Martial Arts Virtual, Pro Club Super League, Selangor Xtiv Video Challenge dan Selangor FIFA Pro Club League 2020,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Tourism Selangor promosi e-sukan dalam sektor pelancongan

SHAH ALAM, 2 SEPT: Tourism Selangor menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan e-Sukan Selangor bagi mempromosi bidang itu dalam sektor pelancongan.

Pengurus Besarnya Azrul Shah Mohamad berkata kerjasama itu adalah pemangkin untuk menjadikan Selangor sebagai negeri e-sukan pertama di Malaysia sekali gus mempromosi sektor pelancongan.

“Banyak permintaan daripada masyarakat terhadap e-sukan sejak kebelakangan ini. Kita melihat Selangor berpotensi meningkatkan sektor pelancongan terutama apabila wujudnya Arena E-Sukan Kebangsaan Selangor,” katanya dalam kenyataan.

MoU diadakan secara maya menerusi Facebook rasmi Tourism Selangor pada Isnin yang ditandatangani Azrul Shah dan Presiden Persatuan e-Sukan Selangor Abdul Razak Mohd Yusof.

Sementara itu, Abdul Razak berkata MoU julung kali itu sebagai tanda rasmi e-sukan dimasukkan ke dalam sektor pelancongan.

“Dengan munculnya arena e-Sukan Kebangsaan Selangor iaitu hab e-sukan terbesar di Asia Tenggara itu sudah pasti akan menyumbang kepada industri pelancongan di negeri ini sekiranya ada kejohanan negara dan antarabangsa pada masa akan datang,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Pembangunan Generasi Belia dan Sukan Mohd Khairuddin Othman mengumumkan Selangor bakal menjadi bandar e-sukan dan dijangka siap pada penghujung tahun ini.

Categories
EXCO SELANGOR

e-Sukan Selangor kekal popular, catat lebih 140,000 peserta

SHAH ALAM, 25 JULAI: Selangor Xtiv Virtual E-Sport kekal merekodkan penyertaan tertinggi seramai 140,470 peserta dalam edisi kedua program yang diperkenalkan Mac lalu.

Acara e-sukan meliputi permainan PUBG, Mobile Legends Bang Bang dan FIFA Pro Club.

EXCO pembangunan sukan berkata acara lain seperti Selangor Xtiv Virtual Marathon mencatatkan 4,395 peserta, seni mempertahankan diri (3,017) dan basking belia (2,461).

Sementara permainan catur dalam talian pula merekodkan 1,710 peserta dan lompat tali 713 orang.

“Program lain seperti Selangor Xtiv Virtual Ride akan dilancarkan apabila kelonggaran diberikan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Mohd Khairuddin Othman ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan Selangor Xtiv Virtual 2021 yang mempertaruhkan enam acara mencatatkan seramai 153,306 peserta setakat ini atau 34 peratus daripada sasaran 450,000 penyertaan.

Selangor Xtiv Virtual 2021 yang bermula Mac hingga Disember menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM411,680.

Tahun lalu, program terbabit mendapat sambutan luar jangka membabitkan 250,631 penyertaan dan 18 juta tontonan di platform media sosial.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Hampir 100,000 sertai Selangor Xtiv Virtual, e-sukan paling popular

SHAH ALAM, 1 JUN: Selangor Xtiv Virtual 2021 yang bermula sejak Mac lalu menerima 94,966 penyertaan setakat ini, kata EXCO sukan.

Mohd Khairuddin Othman berkata jumlah itu mencapai lebih 20 peratus daripada sasaran 450,000 penyertaan menerusi lima acara dipertandingkan pada edisi kedua penganjuran.

Acara Selangor Xtiv Virtual E-Sport meliputi permainan PUBG, Mobile Legends Bang Bang, Call of Duty Mobile, Pro Evolution Soccer 2021 dan FIFA Pro Club merekod penyertaan tertinggi membabitkan 90,528.

“Acara lain seperti Selangor Xtiv Virtual Marathon disertai 3,009 orang dan Selangor Xtiv Virtual Chess 1,038 peneyertaan manakala baki masing-masing Selangor Xtiv Virtual Marathon serta Selangor Xtiv Virtual Martial Art.

“Perkembangan positif ini menunjukkan Kerajaan Selangor berada di landasan betul untuk mencapai sasaran tersebut selepas kejayaan kali pertama tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairuddin turut menjangka pertambahan mendadak peserta bulan ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lebih ketat selain cuti persekolahan.

“Kerajaan Negeri menyeru orang ramai khususnya rakyat Selangor mengisi masa lapang dengan aktiviti berfaedah termasuk program ini,” katanya.

Selangor Xtiv Virtual 2021 mempertandingkan tujuh jenis permainan bermula Mac hingga Disember dengan hadiah keseluruhan berjumlah RM411,680.

Dua acara iaitu Selangor Xtiv Virtual Ride dan Selangor Xtiv Virtual Jump Rope Challenge dijangka bermula pertengahan bulan ini.

Tahun lalu, program berkenaan mendapat sambutan luar jangka membabitkan 250,631 penyertaan dan 18 juta tontonan di platform media sosial.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Pertandingan e-sukan Selangor terima 19,206 peserta

SHAH ALAM, 31 MAC: Pertandingan e-sukan, Selangor Xtiv Virtual 2021 anjuran Kerajaan Negeri menerima 19,206 penyertaan sejak dilancarkan pada Selasa lalu.

EXCO sukan berkata sambutan program menawarkan tujuh jenis permainan itu amat menggalakkan sekali gus yakin mencapai 450,000 penyertaan.

“Hampir keseluruhan pendaftaran melibatkan pertandingan Selangor Xtiv Virtual Esports dengan 18,000 peserta.

“Selangor Xtiv Virtual Marathon pulaPert (716), Selangor Xtiv Virtual Chess (400), Selangor Xtiv Virtual Martial Art (58) dan Selangor Xtiv Virtual Youth Busking (32),” kata Mohd Khairuddin Othman kepada SelangorKini hari ini.

EXCO Kerajaan Negeri Mohd Khairuddin Othman melakukan gimik perasmian sempena majlis pelancaran Selangor Xtiv Virtual di Foyer Suk, Shah Alam pada 23 Mac 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau berkata Selangor Xtiv Virtual Ride dan Selangor Xtiv Virtual Jump Rope Challenge pula bakal dipertandingkan pada Mei.

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung program berkenaan di Facebook Selangor Xtiv Virtual 2021 menerusi pautan https://www.facebook.com/selangorxtiv2020,” katanya.

Pertandingan e-sukan, Selangor Xtiv Virtual 2021 bermula bulan ini hingga Disember menawarkan hadiah keseluruhan RM411,680.

Program yang pertama kali diadakan tahun lepas mendapat sambutan luar jangka apabila menerima 250,631 penyertaan serta 18 juta tontonan di platform media sosial.

Ia turut menarik penyertaan luar negara antaranya Singapura, Indonesia, Brunei, Jepun, India dan Amerika Syarikat.

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

e-Sukan secara rasmi tawar pingat pada Sukan Asia 2022

KUALA LUMPUR, 1 MAC: E-sukan akan membuat penampilan sulungnya sebagai sukan yang ditawarkan pingat secara rasmi pada Sukan Asia ke-19 di Hangzhou, China tahun hadapan, demikian menurut Majlis Olimpik Asia (OCA) hari ini.

Perkara itu diumumkan semasa majlis menandatangani perkongsian secara maya yang mana OCA dan Persekutuan Sukan Elektronik Asia (AESF) menjadi rakan kongsi tunggal dalam menganjurkan dan menguruskan program e-sukan pada temasya yang dijadualkan berlangsung pada 10 Sept 2022.

Ini bermakna AESF akan menganjurkan dan menguruskan pertandingan kelayakan serantau dan temasya itu sendiri di Hangzhou 2022, dengan sokongan dan kuasa penuh OCA. Persediaan ini, menurut OCA akan diteruskan pada Sukan Asia di masa hadapan.

Sebanyak enam pingat acara akan dipertandingkan di bawah program e-sukan di Hangzhou 2022 dan AESF akan memilih tajuk permainan dan menyerahkan senarai untuk kelulusan oleh OCA.

Selain itu, OCA dan AESF turut mengumumkan kempen ‘Road to Asian Games’ pada majlis itu antaranya, akan merangkumi aspek pendidikan, projek kelestarian dan legasi, pembangunan akar umbi, laluan kerjaya, sokongan kesihatan dan kesejahteraan serta inisiatif membantu komuniti dikenali sebagai ‘AESF Experience Programme’.

Presiden AESF Kenneth Fok dipetik sebagai berkata Sukan Asia menampilkan platform terbaik untuknya berkongsi nilai Olimpik dengan komuniti e-sukan, dan ia akan berusaha untuk menjadikan komuniti e-sukan berkembang menerusi peluang ini.

“Kami mengalu-alukan kerjasama yang berjaya dengan OCA dan Jawatankuasa Penganjur Tempatan untuk Sukan Asia Hongzhou ke-19 pada 2022,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pengarah OCA Husain Al-Musallam berkata badan pengelola Sukan Asia akan memberikan sokongan penuh untuk menjayakan acara e-sukan pada temasya itu.

Pada Sukan Asia ke-18 di Indonesia pada 2018, e-sukan dipilih sebagai acara demonstrasi yang menampilkan tajuk e-sukan seperti League of Legends, Arena of Valor, Pro Evolution Soccer 2018, StarCraft II, Hearthstone dan Clash Royale.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Elak terjerat minat, pemain e-sukan nasihat tidak abai pelajaran

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Generasi muda yang bercita-cita bergelar pemain profesional sukan elektronik (e-sukan) disaran supaya tidak mengabaikan kepentingan pelajaran dalam usaha menjadikan sukan berasaskan permainan video itu sebagai kerjaya.

Saranan itu dilontarkan jaguh FIFA21 negara Muhammad Luqman Hajiman susulan bimbang elemen keseronokan di gelanggang maya yang bersifat sementara berupaya ‘menjerat’ minat dan perhatian individu lantas mengalih pandangan daripada perkara lebih mustahak.

Bagi penuntut Universiti Malaya berusia 24 tahun itu, beliau menganggap pelajaran sebagai komponen terpenting dalam kehidupan dan mampu menjamin kelangsungan hidup seseorang atlet pada masa depan manakala industri e-sukan secara amnya boleh disifatkan belum stabil.

Beliau berkata kehidupan pemain profesional e-sukan sering digambarkan indah namun sepanjang tiga tahun memegang gelaran itu, pelbagai dugaan dan rintangan membuka matanya akan kepentingan pelajaran dalam apa-apa jua yang dilakukan.

Muhammad Luqman Hajiman (kanan) kini di ambang mencipta sejarah dalam permainan video FIFA21 di peringkat global. Foto BERNAMA

“Itu (kepentingan pelajaran) yang selalu saya tekankan walaupun memang ada niat mendalam hendak jadi pemain profesional dalam apa-apa saja berkaitan permainan video, pelajaran itu penting sebagai rancangan sandaran sekiranya apa yang kita hajatkan tidak menjadi,” katanya kepada Bernama.

“Dalam penstriman langsung, saya juga selalu mengingatkan mereka terutama adik-adik yang masih bersekolah bahawa industri e-sukan belum stabil, e-sukan di Malaysia khususnya masih muda walaupun terdapat banyak potensi tetapi ia masih belum stabil,” kata pelajar tahun akhir jurusan Sarjana Muda Kewangan itu.

Muhammad Luqman, atau lebih dikenali sebagai ‘Fenrir’ di gelanggang maya, berkata pelajaran amat penting bagi dirinya kerana mampu menjadi ‘penyelamat’ dalam mencipta kejayaan baharu jika sesuatu menimpa karier profesional e-sukannya.

“Kita tidak boleh ramal apa akan jadi dalam masa 10 tahun lagi, mungkin lagi dua atau tiga tahun saya sudah tidak mampu bertanding di peringkat tertinggi atau minat saya tidak lagi terhadap bidang ini.

“Mereka yang hendak masuk ke dalam industri ini jangan tinggalkan pelajaran langsung. Mungkin susah hendak bahagikan masa antara waktu belajar dan latihan, mungkin nampak sukar tapi ia amat penting dan kita perlu ada inisiatif sendiri untuk buat jadual dan perancangan aktiviti harian,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi pemain profesional FIFA21 Ahmad Shahrin Shaharudin berpendapat e-sukan sukar dijadikan sebagai karier sepanjang hayat berdasarkan faktor peningkatan umur dan tanggungjawab yang semakin besar.

“Saya rasa semua orang tahu e-sukan bukan untuk orang yang berumur jadi ia tidak akan bertahan lama dan sukar dijadikan satu karier untuk selama-lamanya. Jadi, amat penting kita lengkapkan diri dengan pelajaran supaya dapat menjamin pekerjaan di luar.

“Bagi saya, setakat ini industri e-sukan tidak begitu stabil, namun mungkin akan ditambah baik tetapi masih bagi saya ia tidak cukup untuk dijadikan sebagai pekerjaan sepenuh masa,” kata pelajar jurusan perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berusia 21 tahun itu.

Muhammad Luqman dan Ahmad Shahrin mewakili GBX E-Sports Team kini di ambang mencipta sejarah dalam permainan video FIFA21 di peringkat global pada Kejohanan Piala Dunia FIFAe Club yang akan berlangsung secara dalam talian pada 25 hingga 28 Februari ini.

Kedua-dua remaja yang dianggap sebagai antara pemain ternama FIFA21 tanah air itu sedang giat menjalani persediaan membawa cabaran Malaysia yang buat julung kalinya layak ke pusingan akhir kejohanan itu.

Muhammad Luqman sebelum ini mencipta sejarah muncul pemain pertama Asia Tenggara mara ke pusingan kelayakan Piala Dunia FIFAe di Barcelona, Sepanyol pada 2018.

-BERNAMA