Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar IPT boleh tuntut kredit e-tunai RM150 mulai 1 Jun

PUTRAJAYA, 17 MEI: Kira-kira dua juta belia warganegara Malaysia yang layak dipelawa menuntut kredit e-tunai RM150 di bawah program eBelia bermula 1 Jun hingga 22 Julai ini, demikian menurut Kementerian Kewangan.

Kredit tersebut boleh dibelanjakan sehingga 31 Julai ini.

“Mereka yang layak digalakkan untuk mengemas kini akaun di aplikasi e-tunai masing-masing atau memuat turun aplikasi e-tunai tersebut sebelum 1 Jun 2021.

“Data belia akan disemak silang dengan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan yang berdaftar dan pangkalan data kerajaan yang berkaitan,” menurut Kementerian Kewangan dalam kenyataan hari ini.

Tuntutan eBelia boleh dibuat melalui empat saluran penyedia perkhidmatan e-tunai iaitu BigPay, Boost, ShopeePay dan Touch ‘n Go e-wallet.

”Setiap tuntutan kredit e-tunai daripada salah satu penyedia perkhidmatan e-tunai akan disertakan dengan insentif tambahan dalam bentuk ‘cashback’, baucar dan mata terkumpul oleh penyedia perkhidmatan e-tunai yang dipilih sepanjang tempoh kempen,” jelasnya.

Menurut Kementerian Kewangan, golongan belia yang layak adalah mereka yang berusia antara 18 hingga 20 tahun serta pelajar sepenuh masa peringkat diploma atau SKM4 dan ke atas di IPT tempatan yang berdaftar.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini berkata program eBelia dengan peruntukan sebanyak RM300 juta di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) diwujudkan bagi meringankan beban kewangan serta menggalakkan transaksi tanpa tunai dalam kalangan belia IPT.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

e-Tunai: Langkah penting pacu ekonomi digital tingkat kuasa beli rakyat

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Program e-Tunai Rakyat yang merupakan inisiatif menggalakkan budaya digital dan peralihan kepada masyarakat tanpa tunai menerima sambutan baik rakyat sejak dilancarkan pada 15 Januari 2020, kata menteri komunikasi dan multimedia.

Gobind Singh Deo berkata agihan dibuat melalui platform pengendali e-dompet iaitu Boost, GrabPay dan Touch ‘n Go eWallet itu langkah positif dan penting meningkatkan kuasa beli rakyat dan merancakkan pertumbuhan ekonomi.

“Ia juga merupakan inisiatif bagi menggalakkan budaya digital dan peralihan kepada masyarakat tanpa tunai,” katanya.

Gobind berkata inisiatif itu mempercepatkan penggunaan e-dompet dalam masyarakat dan peniaga, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk runcit.

katanya ekonomi digital mampan dan rancak menarik pelaburan lebih berkualiti dan menjana pekerjaan bernilai tinggi supaya jurang pendapatan dirapatkan.

Dianggarkan 15 juta rakyat layak menuntut wang RM30 pemberian kerajaan bermula Khamis (15 Januari) sehingga 14 Mac.

Di bawah program itu, warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas termasuk yang memperoleh pendapatan kurang daripada RM100,000 setahun, layak menerima RM30 dalam bentuk e-kredit melalui aplikasi e-dompet terlibat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

e-Tunai dapat sambutan luar biasa

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Program e-Tunai rakyat mendapat sambutan luar biasa, selepas ketiga-tiga platform e-pembayaran melaporkan lonjakan bilangan pengguna.

Touch n Go eWallet, Boost dan Grap Pay berkata jumlah trafik meningkat dengan ketara selepas program itu dimulakan pagi tadi.

“Sehingga 12 tengah hari, kapasiti aplikasi mencerminkan peningkatan dalam pemprosesan trafik pengguna semakin bertambah dan (kami) melihat kadar kejayaan lebih tinggi dalam bilangan pembuat tuntutan,” menurut kenyataan Touch n Go hari ini.

Aplikasi e-pembayaran itu turut membuat pelbagai tawaran bagi menarik orang ramai menggunakan platform mereka dalam tuntutan e-kredit RM30.

Boost menawarkan hadiah wang tunai sehingga RM8,888 dan Touch ‘ n Go eWallet menawarkan kepada pengguna RM30 tunai kembali serta peluang untuk memasuki pertandingan cabutan bertuah mingguan dengan hadiah seperti Proton X70.

Sementara itu, Grab Pay memberikan baucar tunai bernilai sehingga RM3,000.

Jurucakap Grab memberitahu, 30 peratus daripada pengguna hariannya mendaftar program e-tunai rakyat dalam tempoh dua jam pertama pelancaran, sambil menambah bahawa ia tmengambil langkah  memastikan kestabilan platformnya.

Di bawah program ini, warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas termasuk yang memperolehi pendapatan kurang daripada RM100,000 setahun, layak menerima RM30 dalam bentuk e-kredit melalui mana-mana aplikasi e-dompet terlibat.

Wang diperolehi di bawah program ini perlu dibelanjakan antara 15 Januari hingga 14 Mac 2020, dan mana-mana bahagian yang tidak dibelanjakan akan luput selepas tempoh tersebut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rakyat boleh mohon RM30 e-tunai mulai esok

PUTRAJAYA, 14 JAN: Kira-kira 15 juta rakyat Malaysia yang layak boleh menuntut wang RM30 pemberian kerajaan daripada mana-mana tiga pengendali e-dompet terpilih iaitu Grab, Boost, dan Touch ‘n Go, mulai 8 pagi esok.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kerajaan memperuntukan RM450 juta bagi tujuan itu di bawah pelaksanaan program e-Tunai Rakyat.

Setiap rakyat Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas serta berpendapatan kurang daripada RM100,000 setahun, layak menerima wang e-tunai itu, katanya pada sidang media mengenai e-Tunai Rakyat di kementeriannya di sini, hari ini.

“Pengendali e-dompet juga akan menambahbaik pemberian RM30 wang percuma yang dibiayai oleh kerajaan dengan memberi insentif tersendiri.

“Ini bermakna rakyat Malaysia yang layak akan menerima lebih daripada RM30 melalui inisiatif itu,” katanya, sambil menambah jumlah tambahan itu akan diumumkan sendiri oleh tiga pengendali berkenaan, esok.

Guan Eng berkata, wang RM30 itu boleh dibelanjakan untuk semua barangan dan perkhidmatan yang terdapat melalui platform pengendali terpilih.

Beliau berkata, inisiatif e-Tunai Rakyat itu dibentuk bagi meluaskan lagi penggunaan pembayaran digital dalam kalangan pengguna dan peniaga, terutamanya dalam sektor runcit.

“Oleh itu, kerajaan menggalakkan semua peniaga untuk berdaftar dengan satu atau semua pengendali e-dompet yang terlibat supaya mereka mendapat manfaat daripada inisiatif e-Tunai Rakyat yang bernilai RM450 juta sebelum 14 Mac berakhir,” katanya.

Setakat ini, katanya, lebih lapan juta peniaga telah menggunakan perkhidmatan pembayaran e-dompet dan jumlah itu diharap meningkat selepas pengumuman inisiatif e-Tunai Rakyat.

Bagi memastikan inisiatif itu akan mempercepatkan proses digitalisasi, Lim berkata wang RM30 itu perlu dibelanjakan oleh penerima bermula 15 Januari hingga 14 Mac.

“Baki yang tidak dibelanjakan akan luput selepas 14 Mac,” katanya.

Beliau berkata, rakyat yang layak diberi tempoh untuk memohon wang percuma itu sebelum 9 Mac untuk memastikan proses pengesahan dan pemberian wang dapat dibuat dalam masa selewat-lewatnya tempoh lima hari bekerja.

Menurutnya, proses pengesahan mereka yang layak akan melalui tiga peringkat.

Ia bermula dari Jabatan Pendaftaran Negara bagi pengesahan kad pengenalan, kemudiannya Lembaga Hasil Dalam Negeri bagi pendapatan bawah RM100,000 setahun dan semakan bagi memastikan individu itu hanya memohon daripada satu pengendali, katanya

-BERNAMA