Categories
SELANGOR

Wujud e-daftar sebelum laksana e-voting

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 6 NOV: Sistem e-daftar bagi mengenal pasti pemilih daftar perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum undian dalam talian (e-voting) dikuat kuasakan, di negara ini.

Pengurus Kanan Penyelidikan Institut Darul Ehsan (IDE), Khairul Arifin Mohd Munir berkata, hal itu kerana terdapat 3.4 juta rakyat Malaysia masih belum mendaftar sebagai pemilih.

“Melalui tinjauan IDE sejak 2016, pengundi muda khususnya bawah 30 tahun lebih cenderung menggunakan fasiliti dalam talian untuk membuat pendaftaran.

“Mereka tidak gemar beratur di pejabat pos atau mencari kaunter mendaftarkan diri sebagai pengundi, justeru wajar dan tiba masanya Suruhanjaya Pilihan Raya mencari kaedah terbaik bagi melaksanakan e-daftar pemilih,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas berkenaan pelaksanaan e-voting oleh KEADILAN, beliau berkata, langkah diambil parti itu disifatkan percubaan berani keluar dari tempurung dalam memperkasakan sistem demokrasi, di Malaysia.

Katanya, walaupun terdapat pelbagai kelemahan yang tidak boleh dinafikan memandangkan sistem terbabit dibangunkan kurang dari empat bulan, namun ia masih boleh diperbaiki.

“Dalam gesaan untuk sistem pilihan raya lebih telus, e-voting adalah pilihan paling pantas dan efisien, namun ia harus bebas daripada manipulasi dan faktor manusiawi perlu menjadi unsur yang ditimbang tara sebelum pelaksanaan secara menyeluruh,” katanya.

Katanya, untuk menjayakan sistem e-voting, kajian menyeluruh diperlukan membabitkan konsultasi pelbagai pihak dan tidak hanya bergantung kepada ‘programmer’ semata-mata.

Katanya, pihak pembangun perisian harus bekerjasama dengan penyelidik dan ahli politik lapangan yang memahami dengan jelas perjalanan politik serta proses demokrasi.

“Sinergi antara pembuat polisi, pakar penyelidik, pembangun perisian, masyarakat sivil dan pemain politik perlu untuk memastikan wujudnya sistem yang efektif serta berkesan,” katanya.

Categories
NASIONAL

E-voting jimat masa

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 6 NOV: Pelaksanaan sistem e-voting pada pemilihan KEADILAN dilihat mampu menjimatkan masa berbanding sistem tradisional.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, sistem itu amat efisien berbanding menggunakan kiraan undi manual yang mengambil masa agak lama.

“Saya memuji langkah KEADILAN menggunakan sistem e-voting kerana kita sudah tidak perlu mengambil masa lama untuk menantikan keputusan undi.

“Namun, tidak dapat dinafikan masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki jika mahu digunakan lagi pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata, beliau memuji sistem e-voting kerana ia mengajar masyarakat untuk maju ke satu tahap lebih tinggi daripada sistem tradisional.

Bagaimanapun, katanya, terdapat beberapa kelemahan perlu diperbaiki antaranya penyediaan latihan kepada pegawai yang mengendalikan sistem itu.

“Latihan amat penting kerana ia pertama kali dilaksanakan dan semua perlu memahami cara menguruskan e-voting supaya tidak berlaku kekecohan, pada hari pengundian.

“Bagaimanapun, perkara ini akan saya usulkan di peringkat kepimpinan supaya ia dapat diperbaiki dan diperhalusi,” katanya.

Categories
SELANGOR

Baiki capaian internet sebelum laksana e-voting

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 5 NOV: Capaian akses internet perlu diperbaiki dahulu jika Suruhanjaya Pilihan Raya mahu melaksanakan sistem e-voting, pada pilihan raya umum akan datang.

Ahli Dewan Negeri Permatang, Rozana Zainal Abidin berkata, kerajaan perlu memastikan capaian internet dapat diakses, pada tahap terbaik supaya tidak timbul masalah semasa hari pengundian.

“Pelaksanaan sistem e-voting amat baik, namun isu utamanya adalah capaian internet yang masih terlalu rendah di beberapa kawasan, di negara ini terutama luar bandar.

“Kita sedia maklum sistem e-voting tetap boleh dilaksana walaupun tidak mempunyai akses internet, namun apabila mahu mengakses data keanggotaan dan laporan pengundian, ia tetap memerlukan capaian internet,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau turut memuji KEADILAN yang melaksanakan sistem e-voting, pada pemilihan parti kali ini kerana ia antara mekanisme pengurusan elektronik terbaik selain menjimatkan masa.

“E-voting adalah satu sistem yang cukup baik kerana hasil ciptaannya mendepani masa, justeru saya cadangkan supaya ia diuruskan oleh golongan profesional,” katanya.

Categories
SELANGOR

Malaysia belum sedia guna e-voting

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 NOV: Sistem e-voting yang diguna pakai dalam Pemilihan KEADILAN 2018 dilihat masih belum sesuai dilaksanakan dalam pilihan raya umum, di negara ini.

Ahli Dewan Negeri Bukit Malawati, Juwairiya Zulkifli berkata, hal itu kerana tahap keselamatan dan kerahsiaan pengundian boleh dipertikaikan menerusi pelaksanaannya.

Katanya, kaedah itu juga memudahkannya terdedah kepada ancaman siber, sekali gus boleh menggagalkan proses pengundian.

“sistem itu perlu lebih cekap dan memudahkan urusan semua pihak ketika mengendalikan tugasan, selaras tujuan ia diwujudkan, justeri ia perlu ditambah baik sebelum boleh dilaksanakan sepenuhnya,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, ketika mengulas berkenaan pemilihan parti, beliau berkata, jawatankuasa bertanggungjawab perlu meletakkan petugas yang mempunyai pengetahuan dalam multimedia supaya segala isu berbangkit dapat diatasi.

“Saya menyokong usaha penambahbaikan sistem e-voting ini dengan beberapa ciri keselamatan dan memastikan internet berjalan lancar ketika pengundian dijalankan,” katanya.

 

 

Categories
NASIONAL

Perbaiki sistem e-voting

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 NOV: Sistem e-voting yang diguna pakai dalam Pemilihan KEADILAN dilihat masih lemah, terutama dalam mengenal pasti undi.

Calon Majlis Pimpinan Pusat, Amirudin Shari berkata, isu itu perlu diselesaikan segera kerana ia boleh mencacatkan reputasi kaedah pengundian terbabit.

“Saya lihat wujudnya laporan undi tidak dikenal pasti, contohnya terdapat 300 jumlah perbezaan undi antara saya dan calon Timbalan Presiden, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang gagal dikesan sama ada diundi atau sebaliknya.

“Oleh itu, saya rasa penambahbaikan perlu dilakukan demi memuaskan hati semua pihak terbabit,” katanya kepada SelangorKini.

Bagaimanapun, beliau turut memuji pelaksanaannya yang memudahkan dan mengurangkan sumber tenaga sumber manusia dalam pemilihan pengundian.

Sistem e-voting diguna pakai pada pemilihan KEADILAN kali ini menggunakan undian dalam talian, iaitu setiap telefon pintar akan dijaga pengawal bertugas dan sistem itu hanya membenarkan setiap kod QR digunakan sekali sahaja.

Categories
NASIONAL

E-Voting: Langkah progresif depani teknologi, keputusan pantas

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 31 OKT: Pelaksanaan pengundian elektronik (e-voting) dalam pemilihan KEADILAN disifatkan sebagai satu langkah progresif ke arah mendepani cabaran teknologi moden.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Zawawi Mughni berkata, sistem berkenaan mampu mempercepatkan proses pengundian dan keputusan dapat diketahui dengan lebih pantas.

“Kalau dahulu kita terpaksa mengira undi sehingga jam 4 pagi, tetapi melalui pengenalan sistem ini keputusan diketahui selepas sejam.

“Saya melihat pelaksanaan di beberapa buah negeri, misalnya Selangor berjalan agak baik, jika timbul permasalahan sekali pun mungkin hanya kes terpinggir yang boleh ditangani Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) terhadap kelemahan terbabit,” katanya ketika ditemui SelangorKini pada Forum Ilmuwan Muslim (FIM), baru-baru ini.

Pada masa sama, beliau berpendapat, penambahbaikan secara menyeluruh perlu dibuat daripada semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaannya tidak dipersoal pihak lain.

“Sistem ini masih dalam proses penambahbaikan, malahan pihak JPP sedang memperkemas sistem ini daripada sudut pelaksanaan, petugas-petugas dan kod etika supaya ia menjadi lebih baik.

“Malah, tiada yang sempurna dalam sistem demokrasi setiap negara, sebaliknya ia harus melalui proses penambahbaikan berterusan seperti ‘snowball’, supaya pemilihan seterusnya berjalan sempurna.

“Segala kelemahan dan pandangan diberi pihak tertentu juga perlu diambil tindakan segera untuk pembaharuan bagi menjamin pemilihan masa hadapan yang lebih berkesan serta berintegriti,” katanya.

Categories
NASIONAL

Loy Sian: Optimis pelaksanaan sistem E-Voting dikaji semula

OLEH SHEEDA FATHIL

GOMBAK, 31 OKT: Pemilihan KEADILAN yang kini menggunakan sistem E-Undi (E-Voting) perlu dikaji semula, kata penyandang Ketua Cabang Petaling Jaya Selatan, Hee Loy Sian.

Katanya, beliau optimis Jawatankuasa Pemilihan Parti memainkan peranan bagi menyelesaikan isu berkenaan kerana ia membabitkan nama baik parti itu sendiri.

“Saya terima banyak aduan daripada beberapa pihak terutama calon yang kalah mereka tidak dapat menerima keputusan menggunakan sistem E-Undi kerana dianggap sebagai tidak adil.

“Mungkin ia kali pertama dilancarkan, jadi saya rasa terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Selangor Kini.

Mengulas sama ada sistem E-Undi akan diteruskan pada masa akan datang, beliau berkata, ia bergantung kepada pemimpin yang dipilih nanti.

“Bagaimanapun, saya lebih suka sekiranya pemilihan kembali kepada sistem lama dengan menggunakan konsep pangkah.

“Malah, jika dilihat masih ada dalam kalangan anggota parti yang buta IT, tidak adil untuk mereka sebab itu kita perlu wujudkan sistem semua anggota boleh terima,” katanya.

Sistem E-Undi diguna pakai pada pemilihan KEADILAN kali ini menggunakan undian dalam talian, iaitu setiap telefon pintar akan dijaga pengawal bertugas dan sistem itu hanya membenarkan setiap kod QR digunakan sekali sahaja.

 

Categories
NASIONAL

Pulih integriti sebelum laksana e-voting, banyak negara ‘U Turn’ – ahli akademik

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 31 OKT: Kerajaan perlu menangani isu integriti sebelum melaksanakan sistem ‘e-voting’ jika mahu melaksanakannya dalam pilihan raya di negara ini, kata penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian.

Katanya, ia termasuklah isu pengundi hantu, pembelian undi, keganasan dan masalah persempadanan.

“Kita perlu mengatasi masalah ini terlebih dahulu sebelum berbelanja lebih untuk teknologi lebih canggih bagi menjalankan sistem pengundian melalui online.

“Selain isu integriti, kita perlu melihat masalah sekuriti dan ancaman penggodam melalui e-voting, sehingga kini Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump masih terpalit dengan dakwaan ‘hackers’ dari Rusia yang ‘membantunya’ berjaya ketika sistem e-voting dilakukan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Siva berkata, sejak tahun 2000, beberapa negara sudah melaksanakan sistem itu termasuk Kanada, Finland, Perancis, Norway dan Astonia.

Namun rata-ratanya sudah membuat ‘u-turn’ dengan kembali melaksanakan sistem undi secara konvensional menggunakan kertas.

“Namun di Astonia, mereka melaksanakan sistem undi melalui online dan juga konvensional, ini kerana ada diantara kawasan pedalaman yang tidak mempunyai jaringan internet tanpa wayar,” katanya.

Pada masa sama, Siva turut berpendapat pelaksanaan sistem e-voting pada pemilihan KEADILAN di seluruh negara menjadi penanda aras terhadap perlaksanaannya.

“KEADILAN sudah menjadikannya sebagai bahan ujikaji dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh melihat di mana kekuatan dan kelemahannya, namun pada peringkat awal secara peribadi, sistem e-voting itu banyak kelemahannya.

“Walau apapun, perkara paling penting ialah saya berharap supaya perbaiki sistem sedia ada sekali gus meyakinkan pengundi,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Isu keselamatan jejas sistem ‘e-voting’ – BERSIH

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 31 OKT: Isu keselamatan sistem e-voting antara masalah utama yang perlu dilihat sebelum ia dilaksanakannya secara meluas.

Pengarah Eksekutif Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), Yap Swee Seng berkata, ia memandangkan sistem pengundian atas talian itu boleh digodam untuk tujuan sabotaj.

Katanya, disebabkan itu sehingga kini tidak semua negara menggunakan sistem e-voting dalam pilihan raya masing-masing.

“Antara negara yang sudah melaksanakannya termasuk India dan Filipina, namun ia bukanlah secara menyeluruh, malah ada negara-negara besar masih melaksanakan sistem undian secara konvensional, sama seperti Malaysia, ini semua gara-gara masalah sekuriti.

“Tidak dinafikan negara kita boleh juga melaksanakan sistem e-voting dalam Pilihan Raya Umum (PRU), namun pelbagai kajian secara menyeluruh perlu dilakukan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mengulas lanjut, Swee Seng berkata, perlaksanaan sistem e-voting melalui Pemilihan Parti KEADILAN menjadi penanda aras terhadap keberkesanan sistem itu.

Namun katanya, BERSIH mencadangkan supaya kerajaan terlebih dahulu melaksanakan sistem pendaftaran pengundi secara atas talian.

“Ini memandangkan ada diantara orang awam yang mengeluh kerana agak sukar untuk membuat pendaftaran di pejabat pos, jadi lebih baik wujudkan sistem pendaftaran pengundi melalui online.

“Ia juga seiring dengan kemajuan teknologi dan membantu golongan muda yang lebih tertarik dengan sistem lebih cepat dan mudah,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA PENDIDIKAN

‘Kongkalikong’ PRK bawa Pro-M UMSKAL rentas Laut Cina Selatan – Fadhil Ghani

Mohd Fadhil Ghani 

PILIHAN RAYA Kampus (PRK) Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) dikendalikan sepenuhnya oleh Hal Ehwal Pelajar (HEP) dengan kaedah Undi Elektronik atau E-Voting.

Untuk mengundi, mahasiswa perlu mengakses akaun pengundian dengan menggunakan kata laluan khas. Kata laluan akan diberi oleh petugas pilihan raya setelah mahasiswa mendaftar diri pada senarai daftar pemilih.

Setiap mahasiswa perlu memilih dua orang bagi kerusi umum dan dua lagi fakulti masing-masing. PRK UMSKAL menetapkan enam Kerusi dipertanding iaitu dua kerusi umum, dua bagi Sekolah Peniagaan Dan Kewangan Antarabangsa (SPKAL) dan dua bagi Sekolah Sains Informatik Labuan (SSIL).

Untuk rekod, calon Pro-Mahasiswa UMSKAL (Pro-M UMSKAL) mendapat undi tertinggi sejak PRK 2006 sehingga 2012. Daripada enam kerusi yang dipertanding, Pro-M UMSKAL menguasai paling kurang tiga kerusi dan menguasai jawatan Naib Presiden selama lima tahun berturut-turut.

Naib Presiden merupakan posisi tertinggi dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi UMS Cawangan Labuan. Namun pencapaian Pro-M UMSKAL mula merosot pada PRK 2009.

EVOTING64068640-28642678Pada tahun berkenaan, Pro-M UMSKAL memulakan bantahan terhadap sistem E-Voting kerana menghidu seperti ada sesuatu tidak kena. Namun bantahan ketika itu tidak terlalu garang memandangkan E-Voting merupakan satu sistem baru yang belum dikaji secara menyeluruh.

Pada 2010, Pro-M UMSKAL menghantar memorandum kepada Timbalan Naib Canselor UMS bagi membantah E-Voting, walaupun pada ketika itu Pro-M UMSKAL masih menguasai MPP.

Pada PRK 2013, Pro-M UMSKAL bukan sahaja gagal mempertahankan calon dengan undian tertinggi, malah semua calon Pro-M UMSKAL tewas.

Kekalahan itu amat mengejutkan kerana culaan awal yang dibuat oleh Pro-M UMSKAL terhadap 1,000 sampel mendapati 47 peratus mahasiswa cenderung memilih Pro-M, 26 peratus cenderung memilih calon Pro Pentadbiran Universiti dan 27 peratus mahasiswa tidak pasti.

E-Voting, masalah berulang setiap tahun

Setiap tahun, E-Voting menimbulkan masalah sekaligus mengganggu kelancaran PRK. Pro-M hairan bagaimana universiti boleh membiarkan masalah itu berterusan sedangkan PRK merupakan proses penting sebagai pendidikan demokrasi mahasiswa.

Bahkan sekiranya dilihat dari skop yang lebih luas, PRK merupakan hak mahasiswa seperti juga pilihan raya Umum yang menjadi hak asasi setiap rakyat Malaysia.

Sangat memalukan apabila almameter tertinggi negara gagal mengendalikan PRK secara cekap justeru merencatkan pendidikan demokrasi kepada mahasiswa.

Antara masalah yang direkod semasa PRK UMSKAL 2013 ialah sebilangan pelajar tidak dapat mengakses masuk ke akaun pengundian kerana kata laluan yang diberikan oleh petugas ditolak oleh sistem.

UMSDSC00745Hal ini menyebabkan pelajar tersebut gagal untuk mengundi dan kehadiran pelajar tersebut dikira sebagai undi rosak.

Ada juga pelajar mengakses akaun pengundian, namun tidak dapat mengundi kerana skrin paparan komputer menjadi kaku dan mereka tidak dapat menekan apa-apa butang untuk mengundi.

Setelah beberapa saat, sistem tersebut secara automatik akan terdaftar keluar (Log Out) menyebabkan mahasiswa gagal mengundi.

Sepuluh minit sebelum pengundian berahir, proses pengundian tiba-tiba terhenti dan mengakibatkan pengundi terpaksa beratur panjang menunggu giliran di luar dewan.

Semua komputer pada ketika itu tidak dapat digunakan kerana sistem tergendala (Server Down). Hal ini sepatutnya tidak berlaku kerana perisian yang terdapat di dalam CPU tersebut hanyalah perisian E-Voting dan tidak dicampur dengan perisian lain.

Masalah paling mencurigakan ialah kesilapan jumlah undian dalam keputusan rasmi. Sistem E-Voting mewajibkan setiap mahasiswa untuk mengundi dua wakil fakulti masing-masing dan dua wakil kerusi umum.

Oleh itu, jumlah keseluruhan bagi undi fakulti harus sama dengan jumlah keseluruhan bagi kerusi umum. Namun, terdapat lebihan undi pada jumlah keseluruhan undi fakulti berbanding jumlah keseluruhan undi umum.

Undi fakulti mencatat jumlah keseluruhan 3,038 sedangkan jumlah kerusi umum mencatatkan 3,036 undi. Ini menunjukkan seolah-olah terdapat seorang mahasiswa yang hanya mengundi bagi kerusi fakulti tetapi tidak mengundi untuk kerusi umum.

Walhal, dalam sistem E-Voting perkara itu tidak boleh berlaku kerana sudah ditetapkan oleh sistem.

Pro M UMSKAL menyerahkan surat bantahan dan memohon penjelasan daripada Pengarah Kampus UMSKAL mengenai segala masalah itu. Surat bertarikh 2 November itu diterima oleh Setiausaha Pengarah Kampus kerana Pengarah dilaporkan tidak berada di kampus ketika itu.

Namun, sehingga ke hari ini, Pro-M UMSKAL masih tidak menerima sebarang perkembangan positif mengenai surat tersebut.

Rentas Laut Cina Selatan

LOGOmagesKecewa dengan sikap ambil lewa pihak pentadbiran UMSKAL, maka Pro-M UMSKAL meluaskan horizon perlawan E-Voting ke semenanjung. Memorandum Bantah Keputusan Pilihanraya Kampus diserahkan kepada Menteri Penidikan 2, Dato Seri Idris Jusoh pada 13 November lalu di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Putrajaya.

Memorandum tersebut diterima oleh Baharuddin Mohd Shairi, Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Pendidikan Malaysia.

Tidak banyak respon yang diterima daripada KPM selain daripada janji memorandum tersebut akan diserahkan kepada Menteri. Pada 14 November, Pro-M UMSKAL datang ke Parlimen dan menyerahkan memorandum kepada Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan.

Dalam memorandum tersebut, Pro-M UMSKAL mencadangkan agar Rafizi mengusulkan penubuhan suatu Jawatankuasa Khas Parlimen bagi menyemak proses PRK, seterusnya membuat syor yang perlu dilaksanakan bagi memperkemas sistem PRK.

Memorandum tersebut juga memohon sokongan Rafizi untuk mendesak Menteri Pendidikan 2 menyelesaikan segala masalah yang diutarakan dalam Memorandum yang telah diserahkan kepada KPM.

Selain Rafizi, memorandum tersebut juga diserahkan kepada beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat iaitu Zairil Khir Johari, Ong Kian Ming, dan Steven Sim. Kesemua YB yang ditemui berjanji akan cuba sedaya mampu untuk mengetengahkan memorandum tersebut melalui dewan legislatif.

Temui Suhakam, mohon siasatan

Pada 14 november, Pro-M UMSKAL bertemu dengan James Nayagam, Pesuruhjaya SUHAKAM di Maju Junction Kuala Lumpur. Dalam pertemuan tersebut, Pro-M UMSKAL menyerahkan memorandum yang antara lain menuntut SUHAKAM menjalankan siasatan secara komprehensif terhadap PRKs UMSKAL 2013.

Pro-M UMSKAL juga memohon SUHAKAM membuat penarafan terhadap PRK UMSKAL samada sistem yang digunakan menepati standard universal. James terkejut apabila mengetahui PRK dikendalikan sendiri oleh universiti tanpa ada pemantauan daripada badan berkecuali.

Pro-M UMSKAL juga menjelaskan sukar untuk mahasiswa mengemukakan bukti kukuh mengenai masalah E-Voting memandangkan mahasiswa tidak dibenarkan membuat rakaman di dalam bilik pengundian.

Oleh itu, Pro-M UMSKAL mencadangkan SUHAKAM mengadakan sebuah inkuiri terbuka bagi menyiasat segala kepincangan yang berlaku akibat E-Voting. Hanya dengan cara ini semua bukti yang disimpan oleh universiti dapat diketengahkan.

James berjanji akan mengemukakan surat kepada UMSKAL bagi menuntut penjelasan mengenai segala permasalahan yang diutarakan oleh Pro-M UMSKAL. Beliau juga mengatakan sudah tiba masanya semua universiti di Malaysia memiliki Code of Conduct PRK yang seragam.

Plot menjatuhkan PRO-M UMSKAL

PrkSelain bergiat aktif dalam mempromosikan idealisme mahasiswa yang progresif dalam kampus, Pro-M UMSKAL juga aktif menjalankan aktiviti pemberdayaan demokrasi dalam kalangan masyarakat Labuan.

Pada 23 Mac 2013, lima aktivis Pro-M UMSKAL ditahan Polis ketika mengadakan Sudut Pidato dan edaran risalah di Bandar Labuan. Sudut Pidato itu diadakan bersempena dengan pelancaran Gerakan Mahasiswa Pru 13 peringkat W.P Labuan.
Pro-M UMSKAL juga sering bertindak sebagai badan semak dan imbang terhadap pihak Universiti dalam banyak isu yang melibatkan kepentingan mahasiswa.

Jika Kerajaan Barisan Nasional dan pentadbiran UMSKAL tidak berusaha untuk mereformasi sistem PRK, maka Pro-M UMSKAL percaya ada kongkalikung tersembunyi yang cuba mematikan pengaruh Pro-Mahasisawa di UMSKAL dan juga di Labuan secara umumnya.

Pro-M UMSKAL yakin ada pihak yang tidak selesa dengan kemaraan Pro-M di UMSKAL yang dilihat mampu memecah doktrin pembodohan yang sudah sekian lama membelengu mahasiswa.

Pro-M UMSKAL bertekad terus melawan E-Voting sehingga sistem ini dimansuh. Selain masalah yang diutarakan, sistem ini juga terdedah kepada jenayah atas talian yang menyebabkan hak mahasiswa boleh dirompak oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab.

Amat menyedihkan jika universiti sanggup mempermainkan pilihan mahasiswa hanya kerana ingin menjaga status quo dan mematikan pengaruh Pro-M UMSKAL yang dilihat sebagai kumpulan anti-establishment.

Pro-M UMSKAL sedar pentadbiran Universiti akan menjawab dengan mengatakan segala yang dilemparkan oleh Pro-M UMSKAL adalah tuduhan dan persepsi semata-mata.

Oleh itu, Pro-M UMSKAL mencabar MSKAL untuk melantik suatu badan bebas seperti Suhakam dan Mafrel bagi menyiasat segala yang dikatakan sebagai tuduhan tersebut.

Pro-M UMSKAL sedia memohon maaf kepada universiti sekiranya keputusan siasatan menunjukkan sistem E-Voting sememangnya cekap dan bebas daripada risiko disalah guna.

* Mohd Fadhil Ghani ialah Pengerusi Pro-M UMSKAL (15 November 2013)