Categories
AGENDA NASIONAL

Dakwaan wujud kartel polis tidak dapat disahkan, kata Suruhanjaya Integriti

KUALA LUMPUR, 22 FEB: Dakwaan wujud ‘kartel’ dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagaimana didakwa bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador tidak dapat ditentusahkan, menurut Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Pengerusi EAIC Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata keputusan itu adalah dapatan siasatan badan itu berdasarkan kepada keterangan saksi-saksi beserta dokumen yang diperoleh.

“Dapatan siasatan dan keputusan EAIC itu telah dikemukakan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN),” katanya sambil memberitahu siasatan berhubung dakwaan itu telah selesai.

Beliau berkata siasatan EAIC mendapati wujud asas bahawa terdapat pegawai PDRM terlibat kegiatan sindiket jenayah dan siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta PDRM terhadap pegawai-pegawai terbabit.

“Bagaimanapun, dakwaan Abdul Hamid bahawa pegawai-pegawai terlibat dapat mencaturkan perjawatan dalam PDRM untuk menguasai pasukan demi kepentingan peribadi tidak dapat ditentusahkan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata berdasarkan keterangan diperoleh EAIC menunjukkan mekanisme pelantikan, kenaikan pangkat selain pertukaran diamalkan oleh PDRM dan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) melibatkan proses yang teliti serta mempunyai beberapa peringkat lapisan yang sukar ditembusi selain dicampur tangan oleh pihak luar.

Selain itu, Sidek berkata Ketua Polis Negara merupakan ahli tetap dalam SPP dan sebarang cadangan berhubung pelantikan, kenaikan pangkat dan pertukaran pegawai kanan PDRM perlu mendapat persetujuannya.

“Kedudukan Abdul Hamid selaku Ketua Polis Negara juga tidak dapat digugat kerana pelatikan itu adalah berdasarkan kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong dan atas nasihat Perdana Menteri,” katanya.

Pada 18 Mac dan 22 Mac tahun lepas, Abdul Hamid membuat pendedahan mengenai wujudnya gerakan sekumpulan pegawai PDRM yng ingin menjatuhkan beliau serta bersekongkol dengan pihak luar sehingga mewujudkan kartel untuk mendominasi PDRM demi kepentingan mereka.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perkasa integriti penguat kuasa selaras titah Sultan Selangor

SHAH ALAM, 30 JULAI: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan memperkasa budaya berintegriti dalam kalangan pegawai dan agensi penguatkuasaan di bawah seliaan khususnya di Selangor.

Maklum EAIC menerusi kenyataan, langkah itu selaras titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada 28 Julai lalu yang bertegas dengan perbuatan rasuah di negeri ini.

“EAIC menjunjung kasih atas titah DYMM Sultan Sharafuddin yang menzahirkan kebimbangan terhadap aktiviti rasuah atau pecah amanah yang boleh meruntuhkan imej pentadbiran dan nama baik pegawai Kerajaan di Negeri Selangor.

“Selaku agensi yang bertanggungjawab mengawal selia pematuhan integriti  di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700], EAIC dengan penuh iltizam akan meningkatkan usaha memperkasakan budaya berintegriti,” jelasnya.

Menerusi kenyataan dikeluarkan Setiausaha Sulit Sultan Selangor Dato’ Mohamad Munir Bani pada 28 Julai, baginda bertitah akan menarik semula darjah, bintang kebesaran dan pingat yang diberi kepada pegawai atau ahli politik negeri itu jika didapati terlibat aktiviti rasuah.

Sultan Sharafuddin bertitah tindakan tegas perlu dikenakan kerana perbuatan rasuah boleh mencemar nama baik seluruh pegawai Kerajaan Negeri.

 

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Orang ramai perlu waspada panggilan palsu dakwa daripada ‘EAIC’

PUTRAJAYA, 10 DIS: Orang ramai dinasihatkan berwaspada dengan panggilan telefon mendakwa sebagai pihak Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan meminta sejumlah bayaran wang tunai bagi tujuan tertentu.

EAIC dalam kenyataan hari ini berkata ia susulan pihaknya menerima beberapa aduan daripada mangsa yang menerima panggilan palsu sejak kebelakangan ini.

“EAIC membuat laporan polis berhubung perkara ini dan berharap pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan menyiasat panggilan palsu ini bagi melindungi kepentingan orang awam serta menjaga reputasi EAIC,” katanya.

Orang ramai yang menerima panggilan meragukan itu dinasihatkan agar berhati-hati dan mendapatkan pengesahan daripada EAIC menerusi talian dan alamat dipaparkan di portal rasmi www.eaic.gov.my.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

EAIC lantik empat pesuruhjaya diketuai bekas KSN

PUTRAJAYA, 24 JULAI: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan pelantikan empat pesuruhjaya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan bekas Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan sebagai pengerusinya.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan hari ini berkata pelantikan itu untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 1 Julai 2020.

Selain Mohd Sidek, pesuruhjaya EAIC lain ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zainun Ali, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk John Louis O’hara dan Penasihat Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod.

Pejabat Perdana Menteri berkata Seri Paduka juga memperkenankan pelantikan Zainun sebagai timbalan pengerusi EAIC.

“Pelantikan ini akan memperkukuhkan pelaksanaan fungsi dan keberkesanan EAIC ke arah memastikan mutu penguatkuasaan yang berintegriti dan efektif dalam kalangan pegawai penguat kuasa dan agensi penguatkuasaan,” kata Pejabat Perdana Menteri.

Pejabat Perdana Menteri berkata kerajaan juga merakamkan penghargaan kepada barisan pesuruhjaya EAIC terdahulu iaitu Datuk A Aziz A Rahim, Datuk Sabariah Hassan, Prof Madya Dr Abang Ekhsan Abang Othman, Lee Sow Siong, Leong May Chan dan James Deva Nayagam Gnanaratnam.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

EAIC siasat berasingan kes tahanan mati

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 2 APR: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menjalankan siasatan secara berasingan berhubung kes seorang tahanan mati dalam lokap, di Balai Polis Selama, Perak, pada 17 Mac lalu.

Pengerusinya, Datuk A Aziz A Rahim berkata, pihaknya dalam proses melengkapkan siasatan dan ia akan diumumkan selepas segalanya selesai.

“EAIC menjalankan siasatan secara berasingan berhubung kes ini dan bukan seperti dinyatakan Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superintendan Loo Lian Lay kepada media.

“Jika terdapat syor berkaitan, ia akan dipanjangkan kepada pihak berkuasa tata tertib, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Polis Diraja Malaysia untuk penambahbaikan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian merujuk kenyataan Lian Lay disiarkan media, pada 25 Mac lalu.

Katanya, EAIC ingin menegaskan setiap siasatan dijalankan suruhanjaya itu bebas, telus dan profesional berdasarkan kuasa penyiasatan diperuntukkan di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700].

“EAIC sentiasa menjaga tahap kebebasan dan ketelusan dalam membuat siasatan khususnya dalam menyiasat sesebuah agensi di bawah pengawasannya,” katanya.

Categories
NASIONAL

EAIC dapati salah laku serius kematian Balamurugan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 JAN: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati polis melakukan beberapa pencabulan tingkah laku yang serius dan penyalahgunaan kuasa berhubung kematian dalam tahanan, S Balamurugan, tahun lalu.

Ketua EAIC, Atuk A Aziz A Rahim pada sidang media di Putrajaya berkata, polis juga gagal mematuhi arahan majistret supaya segera menghantar Balamurugan ke hospital.

“Suruhanjaya mendapati kegagalan polis melepaskan si mati selepas perintah reman mereka ditolak majistret adalah salah laku serius kerana tidak mematuhi arahan mahkamah,” katanya yang dipetik portal Malaysiakini.

EAIC juga mendapati dua anggota polis yang hanya dikenali sebagai “SP46” dan “SP28” ‘menyalahgunakan kuasa’ dalam memerintahkan Balamurugan ditangkap semula tanpa alasan sah.

Balamurugan ditangkap dan didakwa dipukul di balai polis Bandar Batu Klang, pada 6 Februari 2017, sebelum dibawa ke pusat lokap Shah Alam selama beberapa jam dan kemudian dihantar ke mahkamah majistret Klang, pada waktu pagi untuk mendapatkan perintah reman.

Majistret mengarahkan pembebasan Balamurugan tetapi dia terus ditahan di ibu pejabat daerah polis Klang Utara dan didapati mati, pada awal 8 Februari.

Categories
NASIONAL

Kemuka laporan ke Jabatan Pendakwaraya jika ada salah laku

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 15 MEI: Suruhanjaya Intergriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) akan mengemukakan laporan kepada Jabatan Pendakwaraya jika didapati terdapat salah laku dalam kes kematian S Balamurugan.

Pengerusinya, Datuk Yaacob Md Sam berkata, satu laporan lengkap akan dibuat EAIC bagi tujuan itu untuk kemudahan pihak berkaitan mengambil tindakan lanjut.

“Kita mengadakan prosiding pendengaran awam bagi mengenal pasti kes kematian tahanan, Balamurugan sama ada berlaku salah laku membabitkan anggota polis.

“Sekiranya didapati berlaku, kita akan membuat laporan dan mengemukakannya ke Jabatan Pendakwaraya,” katanya.

Bermula hari ini, EAIC mengadakan prosiding pendengaran awam berhubung kes kematian Balamurugan yang ditahan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, Selangor, pada 7 Februari lalu.

Prosiding itu dipengerusikan Yaacob bersama beberapa pesuruhjaya dan dibantu pegawai kanan EAIC selaku pegawai pengendali siasatan selain menjemput keluarga si mati, polis, Majlis Peguam Malaysia, Suhakam Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan pihak berkepentingan lain bagi tujuan siasatan.

Seramai 55 saksi dijangka dipanggil dalam prosiding pendengaran awam itu dari hari ini hingga 19 Mei, 5 hingga 9 Jun, 10 hingga 14 Julai dan 24 hingga 28 Julai ini.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan semasa, orang ramai boleh melayari laman sesawang EAIC di www.eaic.gov.my atau laman sosialnya (facebook dan twitter) di eaicofficial.

Categories
NASIONAL

DAP adu pada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa demo ganas Pemuda Umno

SHAH ALAM, 6 JUN: DAP membuat aduan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (EAIC) berhubung siasatan polis berkenaan demonstrasi ganas anjuran Pemuda Umno di luar ibu pejabat DAP, pada Mei lalu.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, berkata polis melanggar prosedur operasi piawai pasukan kerana tindakan mereka masih belum dapat dilihat sehingga kini.

bakar2“14 hari selepas penahanan, kes itu harus dikemukakan kepada peguam negara untuk pendakwaan. Tetapi hari ini sudah masuk hari ke-14, namun tiada tindakan yang berlaku,” katanya yang dipetik daripada Malaysia Kini.

Pada 26 Mei lalu, polis menahan enam pemimpin Pemuda Umno berhubung demonstrasi ganas yang dijalankan mereka sebelum itu dan peserta turut mengancam untuk membakar ibu pejabat DAP.

Antara yang ditahan termasuk Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii; Ketua Pemuda Umno Cheras Johari Yazid; Ketua Penerangan Umno Wilayah Persekutuan, Ghulam Muzaffar dan Ketua Pemuda Umno Bandar Tun Razak, Rizalman Mokhtar.

Polis melepaskan semua yang ditahan selepas merakam kenyataan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ancaman jenayah.

UMNO WP bantah DAP 1Sehubungan itu, Lim berkata, polis melanggar garis panduan operasi kerana tidak memanggil saksi untuk mengenalpasti suspek.

“Oleh itu, DAP percaya mungkin ada campur tangan daripada pihak atasan,” katanya.

Categories
NASIONAL

Pasukan Khas Siasat SOP Tahanan Polis Tiada Faedah

surendran speech mic 01

SHAH ALAM, 12 JUN: Penubuhan pasukan petugas khas bagi menyiasat Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi tahanan polis oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tidak membawa apa-apa faedah.

Menurut Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendren sebelum ini, terdapat penubuhan suruhanjaya menyiasat perkara sedemikian seperti kes kematian A Kugan pada 2009 selepas kemarahan rakyat namun tidak memberikan perubahan.

Sebaliknya kata Surendran desakan dan cadangan yang dikemukakan Pakatan Rakyat (PR) agar Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) ditubuhkan adalah penting untuk dilaksanakan.

“Untuk kita ini adalah satu pasukan khas yang tidak akan membawa apa-apa perubahan dalam menangani isu kematian dalam tahanan kita menyatakan IPCMC perlu ditubuhkan memandangkan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan.

“EAIC adalah satu percubaan oleh kerajaan untuk mengelak daripada menyelesaikan masalah kematian dalam tahanan dan ia tidak bertaring,” katanya kepada Tv Selangor.

Semalam, EAIC mengumumkan nama lapan anggota yang bakal menyiasat SOP dalam dua kes kematian semasa di dalam tahanan polis yang didedahkan beberapa minggu lalu.

Pasukan ini akan diketuai oleh Pengerusi EAIC, Datuk Helilah Mohd Yusof serta Pesuruhjaya Suruhanjaya, Datuk Seri Jacob Ridu, manakala pengarah Bahagian Operasi, Ahmad Mohd Sidek bertindak sebagai setiausaha.