Categories
AGENDA NASIONAL

Ebit Lew mengaku tidak bersalah atas 11 tuduhan hantar gambar, perkataan lucah

TENOM, 18 FEB: Pendakwah bebas terkenal Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali Ebit Lew mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas 11 pertuduhan berhubung kes gangguan seksual.

Ebit Irawan, 38, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

Tertuduh didakwa membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp di daerah Tenom antara Mac hingga Jun tahun lepas.

Semua pertuduhan itu adalah di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Nur Asyraf menetapkan jaminan RM1,000 untuk setiap pertuduhan dengan dua penjamin manakala 20 April ini sebagai sebutan semula kes.

Ebit Irawan membayar wang jaminan itu.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah Muhammad Ilmami Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Abdul Jalil Hassan dalam sidang media di sini hari ini berkata pada 7 Ogos tahun lepas, pihak polis menerima laporan berkenaan pendakwah itu dan sejumlah tiga laporan atas kesalahan tersebut telah diterima.

Beliau berkata siasatan telah dijalankan daripada pelbagai sudut termasuk kemungkinan tuduhan fitnah yang turut melibatkan pengadu di Sabah serta Semenanjung.

“Jika orang ramai mempunyai maklumat luar kes ini, sila tampil ke hadapan bantu pihak polis untuk siasatan yang lain, kalau ada kes kita jalankan siasatan menyeluruh dan perkara yang sama akan dirujuk kepada pendakwa raya.

“Pihak polis memohon kepada semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan provokasi bagi memastikan prosiding perbicaraan berjalan lancar,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Pendapatan terjejas, pengayuh beca nekad jadi penghantar makanan

MELAKA, 6 DIS: Seorang pengayuh beca yang terjejas teruk pendapatannya sepanjang penularan Covid-19, nekad beralih ke bidang penghantaran makanan FoodPanda bagi meneruskan kelangsungan hidup diri dan keluarganya.

Muhammad Sobri Md Yaakub, 30, bapa kepada anak berusia tiga tahun itu berkata, pendapatannya terjejas teruk sepanjang penularan pandemik itu terutama dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lepas dan seterusnya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

Beliau yang membawa beca sejak berusia 15 tahun berkata pendapatan sebagai penghantar makanan tidak menjadikan hidupnya mewah berbelanja, sebaliknya cukup bagi menampung kehidupan beliau dan keluarga yang tinggal di Tengkera di sini.

“Alhamdulillah saya masih mampu menanggung keluarga dan memenuhi komitmen yang ada. Sebelum ini, purata pendapatan saya sebagai pengayuh beca antara RM1,000 dan RM1,200 sebulan itu pun bergantung kepada jumlah pelanggan yang menaiki beca.

“Namun dalam tempoh PKP dan PKPB ini pendapatan memang terjejas teruk, bayangkan kadang kala empat hingga lima hari pun tak tentu ada pelanggan yang naik beca saya, sebab pelancong memang kurang, ikut nasib sahaja,” katanya kepada Bernama pada Majlis Penyerahan Bantuan Makanan serta wang tunai kepada lebih 100 pengayuh beca di Melaka, oleh pendakwah bebas dan usahawan terkenal Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih popular dikenali sebagai Ebit Lew, di sini malam tadi.

Muhammad Sobri yang mula berjinak sebagai penghantar makanan pada Februari lepas itu berkata, beliau bersyukur kerana kebajikan pengayuh beca mendapat perhatian kerajaan negeri dan kerajaan pusat, menerusi insentif ‘one-off’ sebanyak dua kali berjumlah RM800, selain bantuan barangan makanan.

Beliau berkata selain itu pengayuh beca di negeri itu juga mendapat beberapa bantuan yang disumbangkan pelbagai pihak.

Sementara itu, Kamarudin Jantan, 68, dari Kampung Enam, Bachang berkata beliau terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan lain, antaranya mengambil upah memotong rumput ekoran pendapatannya yang turut terjejas sehingga kini.

“Sepanjang tempoh PKP sebelum ini pendapatan memang kosong, tetapi nasib baiklah ada bantuan makanan daripada pelbagai pihak, kerajaan dan badan bukan kerajaan,” kata pengayuh beca sepenuh masa yang telah berkhidmat hampir 40 tahun dan membesarkan enam anaknya menerusi pendapatan daripada pekerjaan itu.

Dalam pada itu, Ebit Lew berkata bantuan kecil berkenaan merupakan salah satu medium ‘Dakwah Bil Hal’, iaitu menerusi apa yang kita lakukan dan dalam konteks untuk meringankan beban golongan pengayuh beca di Melaka, yang terjejas dengan Covid-19.

“Pemberian sumbangan ini juga sebagai salah satu semangat untuk pengayuh beca di Melaka, yang terjejas pendapatan mereka kerana sektor pelancongan antara terkesan teruk, bukan di Melaka atau Malaysia tetapi di seluruh dunia. Hendak pulih semula sepenuhnya pasti ambil masa yang lama,” katanya.

Beliau berkata bantuan yang dihulurkan itu juga diharap menjadi asbab untuk lebih ramai lagi menyumbang kepada golongan yang memerlukan, dalam situasi getir ini.

Setakat ini, setiap tiga hari seminggu bantuan sebanyak 1,000 kit bantuan berupa barangan keperluan asas atau wang tunai, mengikut keadaan, akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan di seluruh negara.

“Tetapi ada juga yang kita bagi bantuan payung untuk mereka yang ingin mula berniaga, ada yang kita bagi motosikal dan basikal untuk digunakan mencari rezeki. Sebenarnya ramai lagi yang perlu dibantu dan kita perlu kreatif, walau sedikit Allah pandang,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Laporan berita palsu, MB nafi tegur Ebit Lew

SHAH ALAM, 20 OKT: Dato’ Menteri Besar memaklumkan tangkap layar laporan portal berita MalaysiaKini yang tular hari ini berhubung kenyataannya kepada seorang pendakwah bebas adalah tidak benar.

“Kenyataan berikut adalah palsu. Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian. Penafian juga telah dibuat oleh wartawan Malaysiakini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Twitter hari ini.

Laporan berita bertajuk ‘Air Selangor: Situasi terkawal, Ebit Lew jangan berlagak baik- MB’ menjadi bualan warga maya susulan masalah bekalan air di negeri ini dan tindakan pendakwah tersebut mengagihkannya kepada orang ramai.

Bagaimanapun wartawan yang tertera namanya pada tangkap layar berkenaan, Aidila Razak menafikan ada menulis laporan itu.

Menerusi Twitter, beliau memaklumkan sudah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).