Categories
GLOBAL

Ebola: Zambia tingkat pengawasan di pintu masuk sempadan

LUSAKA, 4 JUL: Pihak berkuasa kesihatan Zambia mengetatkan lagi pengawasan di pintu masuk sempadan, berikutan peningkatan kes Ebola di negara jiran Republik Demokratik Kongo (DRC), lapor agensi berita Xinhua.

Menteri Kesihatannya, Chitalu Chilufya berkata, langkah itu bertujuan mengekang penularan wabak penyakit yang boleh membawa maut itu.

Beliau berkata, kerajaan bimbang dengan peningkatan kes Ebola serta penularan wabak campak di beberapa kawasan di DRC, memetik laporan Perbadanan Penyiaran Kebangsaan Zambia, hari ini.

Sehubungan itu, kerajaan telah melatih petugas pasukan tindak balas yang akan bekerjasama dengan kakitangan kesihatan dari pelbagai negeri untuk menjalankan saringan ke atas setiap individu yang masuk ke Zambia.

Setakat ini, tiada laporan kes Ebola dilaporkan di Zambia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyuarakan kebimbangan dengan situasi itu memandangkan DRC telah merekodkan lebih 2,000 kes Ebola.

– BERNAMA

 

 

Categories
GLOBAL

PBB: 537 kematian akibat Ebola di Republik Demokratik Congo

NEW YORK, 21 FEB: Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) melaporkan sejumlah 537 kematian dalam kalangan 844 kes Ebola di Republik Demokratik Congo (DRC) sejak Ogos tahun lalu.

Menurut laporan agensi berita China, Xinhua yang memetik kenyataan Stephane Dujarric, jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, OCHA melaporkan pada Rabu bahawa Kementerian Kesihatan DRC minggu lalu memohon sejumlah AS$147 juta bagi menampung kos “semua aspek tindak balas (Ebola) selama enam bulan”.

“Setakat 18 Februari, sejumlah 844 kes dan 537 kematian telah dilaporkan sejak penularan wabak itu bermula pada Ogos tahun lalu,” kata Dujarric kepada pemberita semasa taklimat rutin, lapor BERNAMA.

“Sejumlah 278 orang telah sembuh daripada jangkitan Ebola.

“Kementerian Kesihatan (DRC), Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan rakan kongsi mereka terus memberikan respons kepada semua isyarat di kawasan terjejas, selain mempertingkat kesiapsiagaan di zon kesihatan tidak terjejas serta negara jiran,.

“Insiden keselamatan yang serius dan ketidakpercayaan masyarakat terus menghalang respons terhadap Ebola,” katanya.

Meskipun beliau tidak mengulas situasi di timur kawasan penularan wabak itu, Pusat Penyelidikan dan Dasar bagi Penyakit Berjangkit (CIDRAP) Universiti Minnesota berkata kes terkini “menekankan bahawa Katwa, sebuah bandar di timur DRC, kekal sebagai pusat penularan semasa Ebola.”

CIDRAP juga menyatakan bahawa sejak Ogos tahun lalu, lebih 80,000 orang di DRC dan negara jiran telah diberi vaksin.

Pusat itu turut melaporkan kebimbangan berhubung isu keselamatan susulan keganasan yang semakin meningkat di rantau berkenaan.

Categories
GLOBAL

Ebola mula merebak ke kawasan bandar di Congo

KINSHASA, 11 DIS: Congo kini dilanda penularan wabak Ebola yang mula merebak ke beberapa bandar utama, menurut pertubuhan bukan kerajaan antarabangsa, Medecins Sans Frontieres (MSF), lapor Xinhua.

MSF berkata bandar Butembo, di timur laut Congo yang mempunyai penduduk hampir sejuta merupakan bandar terbaharu yang dilanda wabak berkenaan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata pada Khamis, 35 kes baharu dilaporkan sejak Selasa, dua kes di Butembo, lapan di Katwa dan dua di Kalunguta.

“Keadaan itu amat membimbangkan dan kami sedang berusaha untuk mengawalnya,” kata penyelaras projek MSF di Butembo, John Johnson.

Sehingga Jumaat, data dikeluarkan WHO menunjukkan jumlah kes Ebola mencapai 489 kes dengan 441 daripanya disahkan Ebola dan 232 kematian.

Congo mengisytiharkan wabak terkini Ebola di Wilayah Utara Kivu pada Ogos, wabak ke-10 dalam tempoh 40 tahun dan negara yang terbesar pernah tejadi.

Kadar kematian Ebola, menurut WHO, sangat tinggi, dengan kes kematian dari 50 peratus hingga 89 peratus, bergantung kepada jenis virus.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

164 maut akibat wabak Ebola melanda Congo

KINSHASA 28 OKT: Wabak Ebola yang melanda timur Republik Demokratik Congo (Congo) dilaporkan sudah meragut nyawa 164 mangsa.

Baru-baru ini, pihak berkuasa Congo, berkata mereka bakal berdepan gelombang kedua wabak itu di Beni, bandar yang terletak di utara Kivu, iaitu di sempadan Uganda.

Sebelum ini, wabak berkenaan bertumpu di Mangina, iaitu bandar yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Beni.

“Secara keseluruhannya, sebanyak 257 kes direkodkan di rantau itu, membabitkan 222 kes disahkan Ebola, manakala 35 kes mungkin Ebola, sejak wabak berkenaan tercetus awal Ogos,” kata Kementerian Kesihatan Congo dalam satu buletin yang diterbitkan Jumaat lalu.

Pada 17 Oktober, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan angka kematian akibat Ebola meningkat kepada 139 orang.

Gelombang kedua Ebola itu dipercayai berpunca daripada keengganan rakyat Congo untuk menyertai kempen pencegahan yang dilakukan untuk mengawal penularan wabak berkenaan.

Khamis lalu, kira-kira 1,000 pelajar berarak di sepanjang jalan raya di Beni bagi mendesak kempen menentang wabak Ebola. –

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

WHO: Virus Ebola muncul kembali

LONDON 13 MEI: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan kematian seorang individu di Republik Demokrasi Congo adalah disebabkan virus Ebola sekali gus membayangkan akan permulaan wabak baharu pembawa maut itu dalam masa terdekat.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan kes terbaharu itu muncul hampir setahun selepas WHO mengesahkan wabak itu telah berakhir.

WHO memberi amaran sekiranya virus haemorrhagic berbahaya itu boleh muncul semula pada bila-bila masa sejak ia boleh berlegar-legar di mana sistem saraf dan cecair badan daripada mangsa yang masih hidup.

Lebih 11,300 orang terbunuh manakala 28,600 orang dijangkiti penyakit itu di Liberia, Guinea dan Sierra Leone semasa bermulanya wabak itu pada 2013-2016 di Afrika Barat.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Elak melawat negara Afrika ekoran 1,000 mati wabak Ebola

KUALA LUMPUR 14 OGOS: Rakyat Malaysia dinasihat supaya mengelak daripada melakukan lawatan ke negara Afrika yang dilanda wabak Ebola, khususnya Sierra Leone, Republik Guinea dan Liberia.

Wisma Putra menerusi satu kenyataan juga meminta rakyat Malaysia berhati-hati apabila membuat perjalanan ke wilayah lain di Afrika.

“Kepada mereka yang terpaksa melakukan perjalanan ke negara dilanda Ebola, adalah dinasihatkan supaya mengikut nasihat serta panduan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan sebagai langkah berjaga-jaga dan mengurangkan risiko jangkitan,” menurut kenyataan itu.

ebola-hand1Rakyat negara ini yang menghadapi sebarang kecemasan ketika berada di negara terjejas dengan Ebola boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Republik Guinea menerusi talian 00224622354050 dan 00224622667879 atau emel [email protected].

Penyakit Ebola adalah penyakit demam berdarah yang mencatat kadar kematian tinggi dan boleh menjangkiti manusia serta haiwan primat seperti monyet.

Sejak mula dikesan di tiga negara Afrika Barat iaitu Sierra Leone, Liberia dan Guinea pada Mac lalu, Ebola telahpun mengakibatkan lebih 1,000 kematian.

-BERNAMA