Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: ECRL bakal jadikan utara Selangor hab pengangkutan kereta api

HULU SELANGOR, 12 MAC: Kawasan utara Selangor khususnya Batang Kali bakal menjadi hab pengangkutan kereta api dan industri logistik dengan adanya laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pembinaan ECRL menerusi jajaran utara menjadikan proses penghantaran membawa kontena ke Pelabuhan Klang semakin mudah.

“Sebelum ini, dari utara mereka perlu melalui Kuala Lumpur dan kemudian baru ke Pelabuhan Klang. Dengan adanya ECRL, penghantaran barangan ini melalui Serendah Bypass yang menjadi sebahagian jajaran utara.

“Dengan adanya jalan ini, saya percaya bukan hanya kereta api tetapi syarikat logistik dan perkhidmatan penghantaran akan berkembang, sekali gus menjadikan Batang Kali sebagai hab penting kepada industri kereta api,” katanya ditemui pada majlis pelancaran projek perumahan Ion Belian Garden di sini hari ini.

Menurut Amirudin, beliau turut menerima cadangan pembangunan pelancongan di sepanjang laluan menuju ke Genting Highland, Pahang.

“Bagaimanapun, rancangan itu perlu diteliti terutama melibatkan aspek alam sekitar sebelum sebarang projek pembangunan dijalankan di kawasan tersebut.

“Ini kerana kebanyakan tanah dimiliki syarikat dan individu yang sedang merangka untuk menjadikannya kawasan pelancongan,” katanya.

Pada 2 Disember tahun lalu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Selangor bersetuju menerima cadangan kerajaan persekutuan berhubung laluan projek ECRL melalui jajaran utara.

Bagaimanapun, beliau berharap projek itu mengambil kira kesan terhadap alam sekitar seperti kawasan tadahan air berdekatan Empangan Batu dan impak sosial lain antaranya penempatan kampung tradisi serta Orang Asli.

Categories
AGENDA NASIONAL

Semua jajaran ECRL sudah dimuktamad, tiada lagi perubahan – menteri

BENTONG, 13 JAN: Tiada lagi perubahan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) selepas ini, setelah ia dimuktamadlkan sepenuhnya dengan paling akhir membabitkan laluan di Selangor iaitu Seksyen C2 dari Gombak ke Pelabuhan Klang, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Katanya, beliau telah menandatangani kelulusan penuh Skim Keretapi Jajaran C2 pada petang semalam, selepas Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengemukakan permohonan oleh Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) selaku pemilik projek ECRL.

“Kelulusan ini membolehkan kerja fizikal di Seksyen C2 dimulakan pada suku pertama tahun ini kerana kita tidak mahu menangguhkan lagi kerja untuk memastikan pembinaan ECRL dapat disiapkan mengikut jadual iaitu pada Dis 2026.

“Dokumen (kelulusan penuh Skim Keretapi) adalah dokumen mengikut akta dan kerja seterusnya akan berpandu kepada dokumen ini sehingga selesai. Ini tidak mengira apa juga pilihan raya yang berlaku,” katanya pada sidang media selepas melawat tapak pembinaan Terowong Genting bagi laluan ECRL di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali yang juga Pengerusi MRL Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman serta Ketua Pegawai Eksekutif MRL Datuk Seri Darwish Abdul Razak.

Wee berkata demikian ketika ditanya kemungkinan berlaku perubahan jajaran ECRL selepas pilihan raya umum (PRU), seperti yang berlaku selepas PRU ke-14 apabila ia diubah untuk melalui Negeri Sembilan sebelum kembali ke laluan asal selepas berlaku perubahan pentadbiran negara.

Kelulusan penuh Jajaran C2 itu juga, menurut Wee telah melalui sesi pemeriksaan awam selama tiga bulan bermula September yang mana sebanyak 12,652 daripada 12,797 responden atau 98.87 peratus menyatakan sokongan, dengan bilangan kecil membantah kerana jajaran itu merentasi rumah atau tanah mereka.

Pada perkembangan berkaitan, Wee berkata kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa khas bertujuan memastikan penglibatan rakyat dan syarikat tempatan serta syarikat bumiputera dalam kerja pembinaan ECRL diketuai ketua setiausaha kementeriannya supaya limpahan pelaksanaan projek mega itu dapat dinikmati rakyat tempatan.

Ditanya jika perjalanan projek ECRL terjejas akibat bencana banjir baru-baru ini, Wee berkata kesan banjir tidak begitu signifikan kerana lokasi pembinaan tidak terkesan, membolehkan MRL dan kontraktor utama China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) menghantar jentera bagi membersihkan kesan banjir sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Sementara itu, mengulas mengenai Terowong Genting yang juga terowong rel terpanjang negara, Wee berkata kerja pengorekan terowong berkembar sepanjang 16.39 kilometer (km) itu akan bermula Mac ini, sebaik sahaja kerja pemasangan dua mesin pengorek terowong (TBM) yang direka khas untuk kegunaan batuan keras itu siap, dengan jangkaan kerja tersebut lengkap selepas tiga tahun.

Menurut Wee, TBM buatan China itu direka khas dan telah menjalani ujian kilang menyeluruh di situ sebelum sampai ke Malaysia pada Julai lepas menerusi Pelabuhan Klang, Selangor dan akan melalui pemeriksaan serta siri ujian pentauliahan termasuk ujian penerimaan tapak sebelum dibenarkan beroperasi.

“Mesin TBM berteknologi tinggi ini seberat 1,600 tan dan berukuran 266 meter panjang menjadikannya sebagai TBM terbesar untuk kerja pengorekan terowong laluan rel di Malaysia. Ia melibatkan tiga tugas utama iaitu menggali terowong, mengangkut sisa ke permukaan dan memasang dinding konkrit,” katanya.

Berhubung tahap kemajuan kerja, Wee berkata setakat Disember lepas, ECRL keseluruhannya sepanjang 665 km mencatatkan tahap kemajuan sebanyak 26.49 peratus didorong oleh kerja pembinaan melibatkan Jajaran Seksyen A dari Kota Bharu, Kelantan ke Dungun, Terengganu dan Seksyen B dari Dungun ke Mentakab, Pahang.

Sementara itu, Mohd Zuki menerusi ucapannya berkata Terowong Genting yang merentasi Banjaran Titiwangsa dengan sebahagian besar iaitu 10 km terletak dalam Pahang adalah terowong pertama ECRL dikorek menggunakan kaedan TBM berbanding kaedah gerudi dan letup yang digunakan sebelum ini.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

MB harap Putrajaya bangunkan ECRL jajaran selatan pada masa depan

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Kerajaan Selangor berharap kerajaan persekutuan memperhalusi permintaan agar Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jajaran selatan dapat dibangunkan pada masa hadapan.

Pelan jajaran selatan bermula dari Mentakab, Pahang, Kuala  Klawang, Negeri Sembilan, Nilai ke Putrajaya sebelum disambung ke Selangor membabitkan laluan Jenjarom, Kuala Langat ke Pelabuhan Barat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata meskipun ia bukan satu prasyarat kepada sokongan Kerajaan Negeri terhadap jajaran utara tetapi pihaknya berbesar hati jika Putrajaya dapat perhalusi beberapa komponen tertentu.

“Kerajaan Negeri berhasrat menghasilkan situasi menang-menang dalam isu jajaran ECRL di Seksyen C, kami amat berbesar hati sekiranya kerajaan persekutuan memberi kesinambungan projek ECRL di jajaran selatan ini dalam pelan pembangunan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Projek ECRL dan Pertukaran Dokumen Laluan Seksyen C (jajaran utara) antara Malaysia Rail Link (MRL) Sdn Bhd dan China Communication Construction Company Ltd (CCCC) semalam.

Hadir sama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga mahu kerajaan persekutuan meneliti keputusan membangunkan kawasan sekitar Pulau Carey yang amat berpotensi dijadikan sebagai hab logistik di Selangor.

“Kerajaan Negeri berharap satu jawatankuasa pembangunan bersama Pulau Carey turut dapat ditubuhkan agar hasrat menjadikan lokasi itu sebagai hab logistik terbesar dapat direalisasikan.

“Perkara ini juga bagi memperkukuhkan pelan persekutuan dan pelan Kerajaan Negeri dalam memastikan kewujudan rangkaian pelabuhan kita agar kekal sebagai pelabuhan tarikan di peringkat dunia,” katanya.

Selain itu, beliau juga mahu Putrajaya mempertimbang ketersambungan rangkaian rel di Lembah Klang dan Selangor dengan mengambil kira cadangan perkhidmatan laluan LRT antara Putra Heights dan Selangor Business Capital di Cyberjaya yang kini giat dirancang di bawah kelolaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

“Kita harap pelaksanaan projek ECRL juga dapat dipantau secara bersepadu dalam satu Jawatankuasa Khas Bersama Pelaksanaan Projek Jajaran Utara ECRL Selangor yang dianggotai oleh Kerajaan Negeri dan persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Ka Siong berkata kos pembinaan projek ECRL kekal RM50.27 bilion meskipun selepas kerajaan Selangor meluluskan cadangan Jajaran Utara Seksyen C.

Katanya, jumlah itu melibatkan pembinaan terowong berkembar Genting sepanjang 16.39 kilometer (km) menggunakan dua jentera pengorek terowong canggih serta terowong Serendah sejauh 14.1 km menggunakan kaedah letupan dan gerudi.

Ka Siong berkata, persetujuan kerajaan Selangor itu akan memuktamadkan pembinaan ECRL sejauh 665 kilometer melibatkan 59 terowong serta beberapa jejambat dengan panjang keseluruhannya 127 kilometer.

Semalam, Selangor bersetuju menerima cadangan jajaran utara ECRL dan meluluskan jajaran Seksyen C melibatkan Mentakab ke Gombak dan Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang.

Oktober lalu, Amirudin menegaskan Selangor kekal dengan pendirian memilih jajaran selatan bagi projek ECRL yang melibatkan Kuala Langat, Sepang dan Pelabuhan Barat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor setuju ECRL melalui jajaran utara, mahu kesan alam sekitar diambil kira

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Kerajaan Selangor bersetuju menerima cadangan kerajaan persekutuan berhubung laluan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) melalui jajaran utara.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bagaimanapun berharap agar projek itu mengambil kira kesan terhadap alam sekitar seperti kawasan tadahan air berdekatan Empangan Batu dan impak sosial lain antaranya penempatan kampung tradisi dan Orang Asli.

“Kita telah memperhalusi laporan kesemua 37 sesi libat urus projek ECRL bersama jabatan dan agensi Kerajaan Negeri, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bermesyuarat pada 17 November 2021 dan 24 November 2021.

“(Kerajaan Negeri) telah bersetuju untuk menerima cadangan jajaran utara ECRL dan meluluskan jajaran Seksyen C ECRL melibatkan Seksyen C1 dari Mentakab ke Gombak dan Seksyen C2 yang merangkumi Gombak-Serendah-Pelabuhan Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Projek ECRL dan Pertukaran Dokumen Laluan Seksyen C (jajaran utara) antara Malaysia Rail Link (MRL) Sdn Bhd  dan China Communication Construction Company Ltd (CCCC) di Hotel Mandarin Oriental di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong.

Amirudin berkata kelulusan jajaran utara juga berdasarkan kepada makluman pihak Kementerian Pengangkutan dan MRL Sdn Bhd bahawa projek itu tidak menjejaskan kawasan berisiko seperti
Permatang Kuarza Gombak yang kini dalam proses pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.

“Oleh itu, MMKN setuju untuk segerakan pewartaan pengambilan tanah di bawah Seksyen 4, Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 bagi membolehkan kerja awalan projek ECRL seperti pengukuran dan penyiasatan tanah dijalankan,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Selangor juga berharap reka bentuk terperinci ECRL dan penyediaan pelan pengambilan tanah mengikut Seksyen 8, APT 1960 dapat dijalankan awal tahun depan seterusnya membolehkan permulaan kerja fizikal bagi menyempurnakan jajaran utara ECRL.

Selain itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri  juga menyokong pembinaan lima stesen ECRL di  Selangor, dengan tiga stesen iaitu ITT Gombak, Serendah Baru dan Jalan Kastam, Klang dilaksanakan di peringkat awal.

Sementara itu katanya dua stesen ECRL iaitu Puncak Alam dan Kapar sudah ditetapkan sebagai stesen perancangan masa depan dan bakal dibina mengikut keperluan.

Pada Oktober Amirudin menegaskan Selangor kekal dengan pendirian memilih jajaran selatan bagi projek ECRL yang melibatkan Hulu Langat, Sepang dan Pelabuhan Barat.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB temui menteri pengangkutan, bincang isu ECRL

SHAH ALAM, 23 NOV: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bertemu menteri pengangkutan semalam bagi membincangkan isu projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta perkara lain yang penting kepada Selangor.

Datuk Seri Wee Ka Siong berkata pihaknya berusaha mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan projek tersebut dapat dilaksanakan sekaligus memberi manfaat kepada negara.

“Pihak kami juga akan memperolehi maklumat lanjut tidak lama lagi apabila kami dapat meneliti dan menyelesaikan kebimbangan yang timbul berhubung projek ini.

“Dalam masa sama, kedua-dua pihak bersetuju mesyuarat hari ini merupakan petanda baik ke arah kerjasama yang lebih erat antara kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri dalam aspek infrastruktur,” katanya di Facebook.

Turut hadir pada pertemuan itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link (MRL) Sdn Bhd Dato’ Sri Darwis Abdul Razak.

Awal bulan lalu, Amirudin berkata keputusan jajaran projek ECRL di Selangor diputuskan hujung tahun ini dan ketika ini pihaknya menjalankan proses terakhir sebelum mengadakan perbincangan bersama kerajaan persekutuan.

Pada Oktober beliau menegaskan Selangor kekal dengan pendirian memilih jajaran selatan bagi projek ECRL yang melibatkan Hulu Langat, Sepang dan Pelabuhan Barat.

Keputusan itu mengambil kira penjimatan kos, tidak menjejaskan banyak penempatan dan memelihara kawasan hutan simpan serta tadahan air.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

ECRL: Selangor kekal pendirian pilih jajaran selatan

GOMBAK, 18 OKT : Kerajaan Negeri kekal dengan pendirian memilih jajaran selatan bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang melibatkan Hulu Langat, Sepang dan Pelabuhan Barat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya tetap dengan keputusan itu meskipun kerajaan pusat ingin meneruskan pembinaan melalui jajaran utara.

“Secara rasmi kita sudah bincang mengenai hal ini ketika mesyuarat dengan Kementerian Pengangkutan dan kita kekal untuk memilih jajaran selatan.

“Kerajaan pusat juga belum kembali kepada kita untuk menetapkan laluan sebenar,” katanya ditemui pada Majlis Ramah Mesra Masyarakat Sungai Chinchin di pekarangan masjid tersebut di sini semalam.

Pada 5 April, Kementerian Pengangkutan mengumumkan projek ECRL akan ditambah baik dan dijajar semula ke laluan asal (jajaran utara) seperti yang dicadangkan antara 2016 hingga 2017.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor kekal dengan pendirian projek itu perlu dibina melalui jajaran selatan membabitkan Hulu Langat, Sepang dan Pelabuhan Barat.

Keputusan itu mengambil kira penjimatan kos, tidak menjejaskan banyak penempatan dan memelihara kawasan hutan simpan serta tadahan air.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jajaran ECRL di Selangor belum muktamad, cari kaedah terbaik selesai isu

SHAH ALAM, 5 OKT: Perbincangan berhubung jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Selangor antara kerajaan persekutuan dengan Kerajaan Negeri masih berjalan, kata menteri pengangkutan.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata terdapat titik persamaan yang dimahukan kedua-dua pihak dalam projek berkenaan iaitu menghubungkan Serendah Bypass yang menjadi sebahagian jajaran utara ECRL.

“Sebenarnya hasrat kita nak selesaikan bersama Kerajaan Selangor. Sebelum ini kita dah bincangkan tujuh isu dan setiap satunya kita guna kaedah terbaik untuk selesaikan.

“Kita ambil pandangan jika boleh elak kita elak. Kita sudah guna tempoh masa lapan bulan nak selesaikan dengan Selangor,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Pada September, EXCO alam sekitar meminta kerajaan persekutuan menghormati pendirian Selangor yang mahu ECRL dilaksana di jajaran selatan bagi mengelak pencemaran sumber air.

Hee Loy Sian berkata Kerajaan Negeri hanya bersetuju jajaran melalui Hulu Langat, Sepang dan Pelabuhan Barat kerana kesan minimum kepada alam sekitar berbanding di bahagian utara yang melalui kawasan tadahan serta sumber air melibatkan Sungai Selangor.

Sementara itu Ka Siong berkata peratusan projek terbabit mencapai 23.96 setakat 31 Ogos berbanding jadual asal sebanyak 25 peratus.

Menurutnya kelewatan sasaran itu berlaku akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang Covid-19

“Kerajaan komited projek ECRL ini dilaksanakan mengikut jadual dan dapat dinikmati segenap lapisan masyarakat secepat mungkin,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Pertimbang semula jajaran ECRL, ambil iktibar pencemaran sumber air

SHAH ALAM, 8 JUN: Kerajaan persekutuan digesa menimbang semula cadangan meneruskan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jajaran utara bagi mengelak pencemaran sumber air.

Exco alam sekitar berkata insiden pencemaran membabitkan Loji Rawatan Air Ampang akibat kerja tanah projek Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) sebelum ini harus dijadikan iktibar.

“Walaupun gangguan bekalan tidak begitu teruk tetapi kejadian itu menjadi mesej kepada kerajaan persekutuan, bayangkan projek sekecil itu pun boleh beri kesan buruk kepada kawasan tadahan air.

“Bagaimana pula kesannya jika projek mega macam ECRL dilaksana di kawasan dicadangkan yang melalui sumber utama air kita (Empangan Sungai Selangor dan Sungai Langat),” kata Hee Loy Sian ketika dihubungi.

Pada 5 April, Kementerian Pengangkutan mengumumkan projek ECRL akan ditambah baik dan dijajar semula ke laluan asal (jajaran utara) seperti yang dicadangkan antara 2016 hingga 2017.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor kekal dengan pendirian projek itu perlu dibina melalui jajaran selatan membabitkan Hulu Langat, Sepang dan Pelabuhan Barat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata keputusan itu mengambil kira penjimatan kos, tidak menjejaskan banyak penempatan dan memelihara kawasan hutan simpan serta tadahan air.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

ECRL: Jajaran utara jejaskan 1.2 juta pemegang akaun air

SHAH ALAM, 12 APRIL: Lebih 1.2 juta pemegang akaun Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd termasuk sektor industri sekitar Lembah Klang bakal berdepan masalah sekiranya Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diteruskan mengikut jajaran utara.

Dato’ Menteri Besar berkata laluan melibatkan kawasan Gombak dan Serendah itu akan melalui empangan Sungai Selangor dan Sungai Langat yang kedua-duanya merupakan sumber utama air negeri.

“Empangan Sungai Selangor membekalkan 60 peratus di Selangor dan Kuala Lumpur manakala selebihnya dari Sungai Langat.

“Jika berlaku pencemaran di sungai ini, ia akan beri kesan besar. Ia berdasarkan pengalaman kita dalam pembinaan MRT (Transit Aliran Massa), Transit Aliran Ringan (LRT) serta lebuh raya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media melancarkan Program Geran Padanan Digitalisasi Perbadanan Kecil Sederhana (PKS) hari ini.

Beliau berkata, meskipun pembinaan ECRL menggunakan teknologi terkini dari negara maju, namun ia tetap memberi kesan pada persekitaran.

“Itu bukan jangkaan kita tetapi pengalaman. Semua (pembinaan) menyebabkan banjir, keladak. Jika fokus pada laluan selatan tetap ada sungai terganggu tetapi risikonya tidak seteruk di jajaran utara,” katanya.

Sebelum ini, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata tindakan Kerajaan Persekutuan mengekalkan laluan jajaran utara gagal mendatangkan impak positif kepada ekonomi Selangor.

Menurutnya keputusan melulu itu dianggap merugikan kerana pembangunan dikatakan bakal berlaku di Serendah sudah dijalankan membabitkan jenama besar seperti UMW dan Perodua.

Categories
AGENDA NASIONAL

ECRL: Keputusan Persekutuan melulu, jajaran utara gagal bangunkan ekonomi

KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Tindakan Kerajaan Persekutuan mengekalkan laluan jajaran utara bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) gagal mendatangkan impak positif kepada ekonomi Selangor.

EXCO pelaburan berkata keputusan melulu itu dianggap merugikan kerana pembangunan dikatakan bakal berlaku di Serendah sudah dijalankan membabitkan jenama besar seperti UMW dan Perdua.

“Penggunaan jajaran selatan lebih menguntungkan susulan terdapat beberapa lokasi yang mampu menjana pendapatan negara.

“Ia ternasuk kawasan luar bandar dan salah satunya Pulau Carey yang berpotensi menjadi pelabuhan ketiga. Sekiranya Malaysia ingin bersaing dengan Singapura, kita perlu bangunkan infrastruktur utama sebegini,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan pra pelancaran Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Chang Khim juga sekali lagi menegaskan Selangor tidak akan memberikan tanah kepada kerajaan Persekutuan sekiranya projek ECRL akan menggunakan jajaran utara seperti dicadangkan pada era Barisan Nasional (BN).

“Ini bukan pendirian saya tetapi Kerajaan Negeri. Kita bukan sekadar memandang dari sudut ekonomi sebaliknya turut melihat kepada aspek alam sekitar yang mungkin akan terjejas,” katanya.

Berdasarkan jajaran asal, ECRL akan melalui Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum memasuki Selangor dari utara melalui Gombak ke Serendah dan Pelabuhan Klang.

Jajaran tersebut bagaimanapun diubah pentadbiran Pakatan Harapan supaya tidak melalui Bentong dan Gombak bagi mengelak pembinaan terowong sepanjang 17.8 kilometer melalui Permatang Kuarza.

ECRL dijangka siap pada 2026 dan perkembangan projek mencapai 20.37 peratus sehingga Januari lalu berbanding jangkaan asal 19.39 peratus.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia meningkat awal dagangan jejaki prestasi Wall Street

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Bursa Malaysia meningkat pada awal dagangan Selasa, menjejaki prestasi semalaman Wall Street apabila sentimen pelabur didorong oleh data-data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang positif.

Hasil tinjauan Institut Pengurusan Bekalan (ISM) pada Isnin menunjukkan aktiviti industri perkhidmatan AS mencecah paras tertinggi pada Mac dan menyusuli laporan pekerjaan negara itu yang positif dan mengatasi jangkaan awal dengan pertambahan 916,000 pekerjaan pada bulan lepas.

Pada 9.09 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.65 mata kepada 1,585.89 daripada 1,584.24 pada akhir dagangan Isnin.

Indeks itu dibuka meningkat 4.03 mata kepada 1,588.27.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 290 berbanding 174 manakala 358 kaunter lain tidak berubah, 1,309 tidak diniagakan dan sembilan lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 538.44 juta saham bernilai RM198.43 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata pengumuman kerajaan untuk meneruskan Projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) di Lembah Klang berserta penambahbaikan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dijajarkan semula ke laluan asalnya, akan terus berperanan sebagai pemangkin bagi sektor pembinaan.

Selain itu, perkembangan membabitkan program kedua usaha pemvaksinan Covid-19 negara yang dijadual bermula 19 April di lapan negeri, turut menyuntik sentimen positif ke dalam pasaran.

Firma pembrokeran itu berkata sektor pembinaan dan hartanah dijangka menjadi tumpuan bagi jangka masa terdekat selain segmen berkaitan seperti simen dan keluli susulan berita mengenai projek MRT3 dan ECRL.

“Minat belian juga dijangka melibatkan sektor yang berkait rapat dengan pemulihan seperti pengguna berikutan penurunan kes Covid-19 dan program vaksinasi yang sedang dijalankan.

“Kami mengunjurkan indeks utama tidak banyak berubah dengan paras rintangan sekitar 1,600-1,625 manakala sokongan dalam jajaran 1,550-1,560,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut dua sen kepada RM8.32, Public Bank naik satu sen kepada RM4.23 dan Tenaga meraih dua sen kepada RM10.24.

Petronas Chemica dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM7.99 dan RM5.33.

Bagi saham aktif, Vortex naik setengah sen kepada satu sen, Volcano menokok 19 sen kepada 54 sen dan Sealink International meningkat dua sen kepada 32 sen.

Sapura Energy dan AT Systematization pula tidak berubah pada 14.5 sen dan sembilan sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 22.02 mata kepada 11,777.47, FBM 70 menambah 54.90 mata kepada 15,873.17, FBMT 100 meningkat 19.20 mata kepada 11,423.77, FBM Emas Shariah meraih 34.38 mata kepada 13,053.68 dan FBM ACE menokok 42.52 mata kepada 9,750.86.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan naik 5.56 mata kepada 7,036.88, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meraih 0.61 mata kepada 194.56 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 4.14 mata kepada 15,304.37.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kekal pendirian ECRL guna jajaran selatan, elak cemar sumber air

SHAH ALAM, 31 MAC: Kerajaan Negeri kekal dengan pendirian projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dibina melalui jajaran selatan membabitkan Hulu Langat, Sepang dan Pelabuhan Barat.

Dato’ Menteri Besar berkata keputusan itu mengambil kira penjimatan kos, tidak menjejaskan banyak penempatan dan memelihara kawasan hutan simpan serta tadahan air.

“Jika kita setuju ECRL jajaran utara, laluannya melibatkan kawasan tadahan hujan Empangan Batu di Ulu Yam dan Permatang Kuarza Klang Gates di Gombak.

“Laluan itu juga melintasi Lembangan Sungai Selangor yang dibimbangi berlaku pencemaran sumber utama bekalan air di Lembah Klang,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau yang ditemui di bangunan pusat pentadbiran Kerajaan Negeri turut mempersoal sikap Putrajaya yang merumitkan keadaan meskipun pengambilalihan tanah di jajaran selatan lebih mudah.

Sementara itu, EXCO infrastruktur dalam kenyataan berkata jajaran selatan murah RM5.4 bilion berbanding utara selain membuka lebih banyak kawasan ekonomi baharu.

Ir Izham Hashim menjelaskan tiada keperluan menyamakan laluan ECRL dan kargo Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) kerana kedua-duanya berbeza piawaian dan kelebaran.

“Kerajaan Negeri mencadangkan laluan kargo KTMB dibuat melalui Serendah, sementara ECRL melalui jajaran selatan. Kedua-duanya dengan kos yang sama dan tanpa menggangu sensitiviti kawasan tadahan air Sungai Selangor,” katanya.

Pada 29 Mac, Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd Tan Sri Mohd Zuki Ali mendakwa projek ECRL tertangguh selama 12 bulan akibat kelewatan Kerajaan Selangor membuat keputusan.

Beliau mendakawa projek kereta api mega kerjasama Malaysia dan China tertangguh kira-kira setahun dan mungkin berlanjutan jika Kerajaan Negeri mengekalkan pendirian tersebut.

Berdasarkan jajaran asal, ECRL akan melalui Kelantan, Terengganu dan Pahang sebelum memasuki Selangor dari utara melalui Gombak ke Serendah dan Pelabuhan Klang.

Jajaran tersebut diubah pentadbiran Pakatan Harapan supaya tidak melalui Bentong dan Gombak bagi mengelak pembinaan terowong sepanjang 17.8 kilometer melalui Permatang Kuarza.

ECRL dijangka siap pada 2026 dan perkembangan projek mencapai 20.37 peratus sehingga Januari lalu berbanding jangkaan asal sebanyak 19.39 peratus.