Categories
NASIONAL

Batal ECRL tidak jejas hubungan dengan China

KUANTAN, 26 JAN: Keputusan kerajaan memuktamadkan pembatalan kontrak dengan China Communication Construction Company Ltd (CCCC) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang digantung pada Julai, tidak menjejaskan hubungan Malaysia dengan negara itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, hal itu kerana kerajaan sudah memberi gambaran berkenaan keputusan itu kepada kerajaan China semasa lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ke negara itu, pada Ogos tahun lalu.

“Mereka memahaminya dan sebab itu bermula masa itu lagi, kita tumpu kepada usaha untuk menarik lebih ramai pelabur China ke kawasan pelaburan lain di negara ini termasuk Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Sehari Menyemai Bakti di Kampung Sungai Ular, di sini hari ini, lapor BERNAMA.

Kenyataan itu bagi mengulas keputusan Kabinet minggu ini yang memuktamadkan pembatalan projek ECRL setelah mendapati kosnya terlalu besar serta di luar kemampuan kewangan kerajaan, buat masa ini.

Pada masa sama, Saifuddin yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota berkata, bagi mengimbangi soal kekurangan peluang pekerjaan di daerah Kuantan khasnya ekoran pembatalan itu, pihaknya akan mempergiatkan usaha menarik pelabur China di MCKIP.

“Walaupun ECRL dibatalkan, namun kita tetap mahu meneruskan agenda untuk menjadikan Kuantan sebagai hab perindustrian Pantai Timur dan untuk tujuan itu kita akan beri tumpuan kepada pembangunan MCKIP.

“Setakat ini hanya satu tapak dibangunkan daripada tiga tapak yang disediakan di MCKIP dan satu tapak itupun hanya 25 peratus sahaja digunakan iaitu untuk membina kilang Alliance Steel. Kita masih banyak ruang untuk memajukannya.

“Kita juga masih mempunyai ruang yang besar di Pelabuhan Kuantan dan semua ini mampu menarik pelaburan baharu khususnya pelabur China dan ini fokus kita, ” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Kerajaan tamatkan kontrak CCCC bina ECRL

KUALA LUMPUR, 26 JAN: Penamatan kontrak China Communications Construction Group Ltd (CCCC) sebagai peneraju projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diputuskan secara muktamad dalam mesyuarat Kabinet, Khamis lalu, lapor BHOnline.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan memutuskan hal itu kerana tidak mampu menanggung kadar faedah tahunan daripada projek berkenaan yang menjangkau hampir RM500 juta.

Katanya, tanggungan faedah pada skala itu didapati tidak selari kedudukan kewangan negara ketika ini, justeru kerajaan terpaksa membatalkan kontrak CCCC walaupun perlu membayar pampasan.

“Jemaah Menteri sudah mengambil keputusan kerana kos untuk pembangunan ECRL terlalu besar. Kita tidak ada kemampuan kewangan ketika ini.

“Jika projek ini tidak ditamatkan, kadar faedah yang perlu dibayar kerajaan hampir setengah bilion ringgit, maka keputusan sedemikian diambil tanpa menjejaskan hubungan baik dengan China.

“Kita masih mengalu-alukan semua bentuk pelaburan dari China, namun perkara ini kita akan teliti secara kes demi kes, bersandarkan kemampuan kewangan negara,” katanya selepas merasmikan majlis Anugerah Kecemerlangan dan Mesyuarat Agung Perwakilan Ke-20 Silat Cekak Hanafi, di sini.

Portal berita Straits Times yang berpangkalan di Singapura sebelum ini melaporkan penamatan kontrak itu dilaksana susulan kegagalan CCCC mengurangkan kos projek kepada separuh, iaitu RM40 bilion berbanding RM81 bilion sebelum ini, selain menepati beberapa permintaan kerajaan.

Ia merangkumi penggunaan produk dan perkhidmatan tempatan dalam pelbagai fasa pembinaan projek dengan jajaran sepanjang 688.3 kilometer itu.

Mengulas nilai pampasan kepada CCCC, Mohamed Azmin berkata, ia akan ditentukan Kementerian Kewangan dalam tempoh terdekat yang menjalankan proses berkaitan bagi memastikan perangkaan kos terbabit tidak membebankan situasi kewangan negara.

“Pemaju baharu kita belum putuskan, setakat ini Malaysia terima semua bentuk pelaburan dalam negara, daripada mana-mana pihak tetapi melihat kepada kedudukan kewangan negara.

“Kita sentiasa menilai semua permohonan baharu untuk pelaburan di Malaysia, bukan ECRL saja kerana nak kekalkan aliran pelaburan langsung (FDI) dari luar,” katanya.

Beliau berkata, dasar kerajaan adalah memastikan FDI kekal utuh bagi mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat.

CCCC menerusi kenyataan media pada 4 Julai tahun lalu, berkata semua kerja membabitkan ECRL dengan jajaran sepanjang 688.3 kilometer (km) digantung berkuat kuasa serta-merta.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Kementerian Kewangan arah projek ECRL dan SSER digantung serta-merta

Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) adalah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).

SSER telah diberi mandat untuk melaksanakan projek Multi-Product Pipeline (MPP) dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP). Manakala MRL diberi mandat untuk melaksanakan projek East Coast Rail Link (ECRL).

Kontrak bagi projek MPP dan TSGP yang mempunyai kos pembinaan bernilai RM9.4 bilion telah dianugerahkan kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) pada 1 November 2016.

SSER telahpun membuat bayaran sebanyak RM8.3 bilion ataupun 88% daripada kos pembinaan RM9.4 bilion sungguhpun kemajuan kerja (yang belum diaudit) dianggarkan pada tahap 13%.

Kontrak- kontrak SSER bernilai RM9.4 bilion ini belum lagi mengambil kira kos perjanjian pengambilalihan tanah, dua perjanjian perundingan pakar, dan satu perjanjian penyelenggaraan yang bernilai RM1.7 bilion.

Projek ECRL merupakan projek landasan kereta api dari Pelabuhan Klang dan tamat di Pengkalan Kubor, Kelantan. Projek ini telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada 2016 dan 2017, di mana China Communications Construction Company (CCCC) telah dilantik sebagai kontraktor utama.

Kos keseluruhan sebenar Projek ECRL dijangkakan mencecah RM81 bilion, termasuk kos pengambilalihan tanah dan faedah pinjaman semasa pembinaan projek.

YAB Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad selepas mendapat pandangan Jabatan Peguam Negara, telah mengarahkan Kementerian Kewangan Malaysia melalui Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD), untuk mengeluarkan “Notis/Arahan Penggantungan Kerja dan Perkhidmatan” kesemua kontrak berkaitan dengan MPP, TSGP, ECRL kepada pihak-pihak kontraktor pada 3 Julai 2018.

Notis penggantungan ini berkuatkuasa serta-merta sehingga notis selanjutnya dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia.

Perlu ditegaskan bahawa tindakan yang diambil adalah semata-mata ke atas syarikat yang berkaitan dengan peruntukan dalam surat perjanjian dan tidak ada kena-mengena dengan mana-mana negara.

 

YB Lim Guan Eng
Menteri Kewangan
Putrajaya
5 Julai 2018

Categories
NASIONAL

Bekas menteri kewangan kritik kecualikan GST untuk ECRL

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 22 APR: Bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin mempertikaikan pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) ke atas projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang bernilai RM55 bilion itu.

Daim berkata, alasan dikeluarkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah menyatakan pengecualian itu akan memastikan kos pembinaan tidak melebihi anggaran RM55 bilion tidak boleh diterima.

“Jika itu alasannya, rakyat turut menderita dengan kos yang tinggi disebabkan GST.

“Adalah ini bermakna jika kos projek itu tanpa GST ialah RM55 bilion, maka kerajaan memberi bayangan kos itu sebenarnya lebih tinggi,” katanya dilapor Free Malaysia Today.

Tambahnya lagi, penjelasan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Subromaniam Tholasy mempertahankan keputusannya memberi pengecualian cukai itu sebab ia dalah projek kerajaan turut dirasakan tidak wajar.

Terdahulu, Subromaniam mengeluar kenyataan antara faktor ECRL dikecualikan GST adalah projek antara Kerajaan-Kepada-Kerajaan yang mana ia dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan Malaysia.

=EZY=

 

Categories
NASIONAL

Pelepasan cukai GST kepada ECRL tidak berasas

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 APR: Pelepasan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) terhadap kontraktor Projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL), China Communications Construction Company (CCCC) yang kononnya membantu mengurangkan kos pembinaan adalah tidak realistik sama sekali.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia tindakan tidak bertanggungjawab dan memalukan kerana pelaksanaan di bawah projek mega itu pasti memberi margin keuntungan besar kepada syarikat terbabit.

Katanya, isu melibatkan GST amat sensitif kepada rakyat tempatan, khususnya penduduk kampung memandangkan ia sesuatu perkara yang tidak harus diperkotak-katikkan.

“Umum sedia maklum, GST yang membebani rakyat telah menjurus kepada risiko kurangnya kuasa beli rakyat, tetapi kenapa mengecualikan cukai GST kepada CCCC?.

“Kerajaan pimpinan Umno-Barisan Nasional sebaliknya pernah menyatakan, kalau tiada GST negara akan bankrap, maka cukai dilaksanakan. Malangnya, tanpa mengenakan cukai kepada syarikat besar itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan, Solat Jumaat dan Jamuan Rakyat, di Masjid Jamek As-Solihin Kanchong Darat, di sini, semalam.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, China Communications Construction Company (CCCC) bukan sahaja mendapat projek tanpa sebarang tender, bahkan turut diberi kebenaran untuk membawa masuk pekerja-pekerja dari China.

“Sudah dapat tender dan bawa masuk pekerja dari China, sekarang mahu beri pengecualian cukai GST pula?.

“Ini bermakna, Kerajaan Persekutuan lebih mementingkan tauke-tauke besar dan tidak melihat kepentingan rakyat di bawah,” katanya.

Terdahulu, media tempatan baru-baru ini melaporkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengesahkan sijil pelepasan GST kepada kontraktor ECRL dari China Communications Construction Company (CCCC) setelah didedahkan Naib Presiden Amanah, Husam Musa.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Subromaniam Tholasy, memberi sokongan bagi mempertimbangkan pelepasan oleh Kementerian Kewangan kepada CCCC kerana ia mengambil kira projek ECRL yang membabitkan dua kerajaan dan berkepentingan awam.

Dalam perkembangan itu, Mohamed Azmin berharap supaya rakyat menggunakan hak dan kuasa seperti terkandung dalam perlembagaan, untuk menolak kepimpinan Umno-Barisan Nasional bersama pihak yang bersekongkol dengan parti berkenaan.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Kerajaan BN khianat, beri pelepasan GST syarikat China laksana projek ECRL

OLEH SABIRAH AZIZ

AMPANG, 18 APR: Kerajaan Barisan Nasional (BN) terus membuat pengkhianatan dengan memberi pelepasan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada kontraktor projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL), China Communications Construction Company (CCCC).

Ketua Wanita Pakatan Harapan (PAKATAN), Zuraida Kamaruddin berkata, pelaksanaan itu ibarat kata pepatah Melayu “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan”.

Beliau berkata ketika ini rakyat berdepan kos sara hidup tinggi, namun sebuah syarikat gergasi antarabangsa China yang menjalankan projek bernilai lebih RM60 bilion di Malaysia pula diberikan pelepasan GST.

“Projek ECRL ini adalah projek mendapat pinjaman dan dilaksanakan dari syarikat serta membawa pekerja China. Keuntungan berlipat ganda syarikat ini sememangnya sudah pasti, namun mengapa kelebihan diberikan kepada mereka tidak dikenakan GST, sedangkan syarikat tempatan menjalankan projek pembangunan juga tidak dikecualikan.

“Alasan projek berkepentingan rakyat Malaysia juga tidak logik diutarakan Kerajaan BN kerana selama ini terdapat banyak projek bernilai jutaan ringgit bagi pembangunan dikenakan cukai berkenaan.

“Lebih buruk lagi apabila pekerja tempatan dipinggirkan pemaju projek ini, yang mana sebelum ini dicanang-canang untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, media tempatan melaporkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia mengesahkan sijil pelepasan GST kepada kontraktor ECRL dari syarikat negara China, CCCC setelah didedahkan Naib Presiden Amanah, Husam Musa.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata, pihaknya memberi sokongan bagi mempertimbangkan pelepasan oleh Kementerian Kewangan kepada CCCC kerana ia mengambil kira projek ECRL yang membabitkan dua kerajaan dan berkepentingan awam.

Zuraida berkata, PAKATAN percaya bahawa pelaburan asing itu penting dan seperti di Selangor dan Pulau Pinang, pelaburan dibawa kedua-dua Kerajaan Negeri itu dilihat dapat menjana ekonomi setempat.

“Kami juga tiada masalah dengan kedatangan para ekspatriat yang menyumbangkan tenaga dan kepakaran mereka dalam industri di negara ini. Namun, ia bukan seperti dilaksanakan BN sekarang.

“Perbuatan mereka ini bukan sahaja merosakkan ekonomi negara, tetapi menggadaikan kedaulatan negara dengan memberikan terlalu banyak kelebihan kepada negara asing terutamanya China.

“Maka, kami menyeru rakyat Malaysia sedar akan perkara ini dan menolak semua calon BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

ECRL bakal dihentikan jika PAKATAN menang PRU14

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 2 APR: Jika Pakatan Harapan (PAKATAN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tidak mustahil Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal dihentikan kerana ia disifatkan satu pembaziran dan membebankan kewangan negara.

Pengerusi PAKATAN, Tun Dr Mahathir Mohamed berkata, beliau akan mengkaji semula projek membabitkan pembinaan laluan rel sejauh 688 kilometer merentasi sebahagian Selangor, Pahang, Terengganu dan Kelantan yang memakan belanja bernilai RM55 bilion.

“Jika tidak diperlukan, henti setakat yang sudah buat sahaja. Kita mungkin terpaksa membayar sejumlah pampasan tetapi itu lebih baik daripada menanggung hutang berterusan.

“Kalau difikirkan secara logik, siapa mahu menghabiskan masa 14 jam dalam kereta api dari Kota Bharu, Kelantan ke Pelabuhan Klang, Selangor berbanding 30 minit dengan menggunakan penerbangan,” katanya lapor Bernama.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Bicara Bersama Tun M Siri 2.0: Cabaran Ekonomi Anak Muda anjuran Akademi Siasah Anak Muda (Aksi Muda), semalam.

ECRL adalah projek dibiayai syarikat China yang dijangka siap, pada 2024.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali juga menegaskan jika projek itu tidak telus sehingga menelan belanja mahal, Kerajaan Negeri sama sekali membantah keras.

“Projek ini terlalu mahal. Ia menggunakan wang rakyat. Menjadi tanggungjawab saya menjaga hak rakyat dan bukan menjaga kepentingan syarikat yang cuba mengaut keuntundan melalui projek ini.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga membantah jika projek ini akan melalui Permatang Kuarza Gombak yang mendapat kelulusan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) iaitu warisan yang tidak boleh diusik,” katanya.

Categories
SELANGOR

ECRL: Kementerian Pengangkutan tidak kemuka sebarang permohonan kepada Kerajaan Negeri

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 MAC: Kerajaan Negeri menafikan pihaknya enggan memberikan kerjasama atau maklum balas berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kerana Kementerian Pengangkutan sendiri tidak mengemukakan sebarang permohonan setakat ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS serta Perdagangan dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Kim dalam jawapan sesi penggulungan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam, menyanggah kenyataan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum ini yang dilaporkan memohon Kerajaan Negeri mempercepatkan proses pengambilan tanah seperti di negeri lain.

“Sebenarnya tidak ada permohonan daripada pihak berkenaan sama ada Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) atau Kerajaan Persekutuan walaupun ada pertemuan dilakukan. Tidak ada permohonan.

“Sekiranya tidak ada permohonan, maka adalah tidak betul bahawa Kerajaan Negeri tidak mengambil apa-apa tindakan untuk memproses tindakan tersebut. Saya ingin menyangkal kenyataan daripada Menteri Pengangkutan (Liow Tiong Lai),” katanya, semalam.

Beliau berkata, di peringkat Kerajaan Selangor, tiada sebarang kelulusan dimuktamadkan kerana tiada permohonan dikemukakan tetapi Projek ECRL perlu mematuhi syarat dan keperluan ditetapkan dalam menyiapkan projek ini.

“Di peringkat Kerajaan Selangor, tiada sebarang kelulusan dimuktamadkan bagi pembangunan projek laluan ECRL bagi jajaran ECRL Fasa 1 iaitu dari Kota Bharu ke ITT Gombak mahupun Fasa 2 iaitu dari ITT Gombak ke Pelabuhan Klang sejauh 60km.

“Ini selaras dengan ketetapan yang dibuat oleh Kerajaan Selangor bahawa projek pembangunan infrastruktur seperti lebuhraya, LRT, MRT, Rel Berkelajuan Tinggi (HSR), Talian Voltan Tinggi, Janakuasa dan lain-lain projek berskala besar serta melibatkan implikasi kepada alam sekitar serta penduduk perlu melalui proses rundingan dengan Kerajaan Selangor di bawah Jawatankuasa Perancang Negeri,” katanya.

Tiong Lai dalam kenyataan dilaporkan media berkata, projek ECRL dibimbangi akan terjejas jika Kerajaan Selangor tidak memberi kerjasama baik dalam soal menyelesaikan proses pengambilan tanah di negeri itu dan boleh menyebabkan projek pembinaan laluan rel itu lewat siap berbanding jadual asal pada 2024.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Projek ECRL: Putus tindakan selepas terima permohonan pemaju

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 27 MAC: Kerajaan Negeri akan melaksanakan tindakan bersesuaian dengan cadangan permohonan pihak pemaju atau konsesi Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Ia termasuk berkaitan penggunaan hutan di Selangor bagi memastikan tiada kemusnahan dilakukan bagi pelaksanaan projek berkenaan.

Bagaimanapun, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, berkata setakat ini tiada permohonan rasmi daripada pemaju atau konsesi projek berkaitan bagi tujuan itu.

“Kerajaan Negeri belum menerima permohonan rasmi bagi menjadikan sebahagian hutan simpan di Selangor untuk tujuan projek jajaran ECRL.

“Kalau mengikut kepada prosesnya, pemaju atau konsesi projek harus membawa permohonan pembangunan mengikut Seksyen 20A Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 di mana ianya dibentang dan dibincangkan bersama,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mejawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han.

Mengulas lanjut, katanya, sebarang pertimbangan dan keputusan hanya akan dibuat selepas menerima permohonan bagi pembangunan projek berkenaan.

“Sekiranya kita terima permohonan, kita akan bincang dan pertimbangkan sebarang perkara dipohon,” katanya merujuk pertanyaan tambahan Sze Han.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Persekutuan disaran tarik pelabur asing berkualiti bukan ancaman negara

OLEH: ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 14 MAC: Kerajaan Persekutuan diingatkan supaya mengambil langkah waspada dalam menarik lebih ramai pelabur asing bagi mengelakkan timbulnya kontroversi terhadap rakyat dan mengancam kestabilan serta keselamatan negara di masa hadapan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, situasi sedemikian boleh menggusarkan semua pihak memandangkan Parti Komunis China sedang memperluaskan pengaruhnya bukan sahaja di Tanah Besar, malah di negara luar.

Katanya, ditambah pula China lebih bertindak secara agresif terutama daripada aspek ekonomi yang pesat di peringkat global mahupun geopolitik, itu lebih merunsingkan kita sekiranya pelaburan China semakin meningkat.

“Tidak salah menerima pelabur asing berkualiti melabur dalam negara, tetapi ia haruslah selari dengan keperluan rakyat yang mana mereka perlu diberi jaminan untuk mendapat manfaat daripada pelaburan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada SelangorKini ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Smart Selangor Free Tuition 2.0, di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini, semalam.

Pada masa sama, Nik Nazmi turut mengulas tindakan Kerajaan Persekutuan menarik lebih ramai pelabur luar kononnya berpotensi membangunkan negara sehingga dibimbangi menjejaskan kepentingan strategik.

“Ia seakan ketandusan idea dan terdesak sehinggakan kepentingan strategik negara, misalnya tanah terpaksa diserahkan begitu sahaja.

Belia berkata, projek terbaru Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan semenanjung pantai timur dengan pantai barat melibatkan penggunaan ramai tenaga kerja dari negara tanah besar itu.

“Justeru, kita bimbang kerana ia akan meletakkan negara kepada kebergantungan sepenuhnya terhadap China.

“Bagaimanapun, kita hanya dapat menggunakan sistem kereta api sahaja, walhal ia menguntungkan pihak China kerana mereka ingin memindahkan minyak dibeli dari Timur Tengah untuk sampai ke Pantai Timur dan dibawa ke China,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

SPAD perlu perjelas isu ECRL

SHAH ALAM, 19 APRIL: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) digesa menjelaskan ‘kehilangan’ sebahagian besar pelan rancangan projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) di Selangor.

Ahli Dewan Negeri Damansara Utama, Yeo Bee Yin berkata, peta dipamerkan SPAD dalam sesi Pameran Awam ECRL, baru-baru ini tidak memasukkan laluan rel menghubungkan Gombak ke Pelabuhan Klang.

Katanya, beliau dimaklumkan kakitangan SPAD bahawa laluan rel sepanjang 60 kilometer (km) itu akan dimasukkan dalam fasa kedua projek berkenaan.

“Ini sangat pelik. Projek ECRL seringkali dipuji berpotensi menghubungkan pelabuhan timur dan barat di Semenanjung Malaysia, sebagai contoh Kuantan dan Pelabuhan Klang.

“Jika sambungan Kuantan-Pelabuhan Klang penting, mengapa laluan rel Gombak-Pelabuhan Klang tidak disertakan dalam pameran awam,” katanya dalam kenyataan.

Pameran Awam ECRL diadakan di Ibu Pejabat SPAD di Kuala Lumpur dan 38 lokasi terpilih lain, bermula 8 Mac sehingga 5 Jun ini.

yeo-bee-yin-kidexBee Yin yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor turut memetik laporan akhbar berhubung rancangan Putrajaya memberi keutamaan terhadap pembinaan landasan sepanjang 250 km menghubungkan Kuantan dan Pelabuhan Klang.

“Adakah Kerajaan Persekutuan diketuai Umno merancang untuk mengenepikan Kerajaan Negeri dalam proses membuat keputusan mengenai projek berkenaan.

“Adakah mereka akan memaksa kami untuk menerima apa sahaja rancangan mereka dan menyembunyikan sesuatu tentang projek ini,” katanya.

Bee Yin berkata, projek menelan kos RM55 bilion itu dijangka memerlukan 1,000 bidang tanah di Selangor selepas penjajaran dimuktamadkan Kerajaan Negeri.

“Ia memberi impak ekonomi dan sosial kepada rakyat Selangor, maka Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor berhak mendapat maklumat projek ini.

“Hanya dengan itu, orang ramai boleh menilai sama ada ia setimpal dengan kos dan dilakukan secara betul,” katanya.

-AA-