Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Tadbir negeri berteras keadilan, ehsan

Oleh Amirudin Shari

Edisi terbaharu majalah Foreign Affairs (November-Disember 2021) memuatkan artikel berjudul ‘The New Cold War: America, China, and the Echoes of History’.

Komentari tersebut ditulis Hal Brands dan John Lewis Gaddis, dua tokoh besar dalam kajian strategi dan sejarah Perang Dingin.

Sudah tentu tiada kepastian jelas sama ada perang dingin baharu ini mirip dengan perang dingin yang terjadi selepas Perang Dunia Kedua.

Apa yang pasti Xi Jinping sudahpun meniup semboyan manakala Amerika Syarikat yang dipimpin Joe Biden juga telah menyambutnya.

Saya tidak berhasrat menjadi ‘prophet of doom’ atau peniup khabar masa hadapan gelita, buat kita semua.

Walaupun badai ketidaktentuan belum berakhir sama ada kerana Covid-19 mahupun kerana ‘perang dingin’ baharu di antara China dan Amerika Syarikat, Selangor tidak punya pilihan lain.

Negeri ini harus memastikan pembangunan terus menerus pesat dalam kerangka yang lestari. Kita tidak mampu untuk duduk diam serta ketinggalan dari arus perdana.

Sebagai menteri besar bersama saf Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri berserta dukungan para Ahli Dewan Negeri, penjawat awam yang berdedikasi dan jaringan akar umbi, kita bertanggungjawab untuk tangkas membaca, meramal dan berikhtiar melakar masa hadapan yang lebih baik untuk rakyat negeri ini.

Keangkuhan Firaun

Waima demikian, berikhtiar melakar masa hadapan yang lebih baik bukan bermakna kita angkuh menetapkan takdir. Marilah kita merenungi al-Quran surah al-Ankabut ayat 39:

“Dan (ingatkanlah juga peristiwa kebinasaan) Qarun dan Firaun serta Haman. Dan demi sesungguhnya Nabi Musa telah datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, lalu mereka berlaku sombong takbur di bumi padahal mereka tidak dapat melepaskan diri (dari azab Allah).”

Al-Quran menyebut ketiga-tiga sosok ini Firaun, Haman dan Qarun. Firaun merasakan dia menguasai kehidupan serta takdir manusia, hidup dan mati mereka. Qarun pula menggunakan kekayaannya untuk menyokong kezaliman Firaun manakala Haman pula sang penasihat, atau wizurai yang menasihati Firaun.

Oleh kerana itu, kita yang ditaklifkan untuk mentadbir serta memimpin negeri ini harus mengambil iktibar dari teguran al-Quran itu.

Ketamakan, kezaliman dan ketakburan pemerintahan triarki  Firaun, Haman dan Qarun itu dicela Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Ketiga-tiga mereka menumpukkan kekayaan di kalangan mereka sahaja seumpama apa yang kita kenal sekarang ini sebagai oligarki.

Apabila ketamakan bermaharajalela, mereka tidak sanggup mengagih-agihkan kekayaan itu di kalangan rakyat.

Justeru mereka menggunakan cambuk kekerasan agar rakyat Mesir terus tunduk menjadi hamba. Firaun merasakan dialah Tuhan.

Namun kita tahu pengakhiran Firaun yang tragis itu. Janganlah pula kita menuruti keangkuhan Firaun, Haman dan Qarun itu.

Rintihan rakyat

Saya memanjatkan doa ke hadrat Ilahi semoga saya tidak tergolong sebagai Firaun zaman moden ini.

Manakala kita dipinjamkan sedikit kekuasaan oleh Tuhan, adalah bijak dan berhikmah untuk Kerajaan Negeri sentiasa berlapang dada mendengar nasihat yang baik, bukan nasihat buruk seumpama hasutan Qarun serta Haman itu, dan tawaduk merendah diri mendengar rintihan rakyat.

Kerajaan Negeri sedar bahawa segenap segmen masyarakat terutamanya anak-anak muda, bukan sahaja di negeri ini, bahkan di seluruh pelusuk negara dan seantero dunia merasa resah, rimas dan kecewa dengan institusi atau establishment.

Ramai yang beranggapan, kekecewaan dan keresahan ini disebabkan pandemik yang belum berakhir. Manakala pandemik menajamkan kekecewaan tersebut, saya pula menyimpulkan keresahan mutakhir ini bermula lebih awal lagi.

Antara manifestasi terawal adalah meletusnya Occupy Movement di New York pada September 2011 dan terkini yang terjadi di Hong Kong, Thailand dan Myanmar.

Anak-anak muda meluahkan rasa tidak puas hati mereka terhadap ketidaksamaan, kezaliman dan ketamakan elit politik, feudal dan korporat!

Kita lihat kemudiannya gerakan seumpama Black Lives Matter dan #MeToo merupakan kesinambungan daripada cita-cita tersebut. Malaysia juga tidak ketinggalan.

Saya tidaklah cuba menghubungkan beberapa gerakan seperti Undi 18 mahupun kelompok seni seperti Pangrok Sulap atau pejuang alam sekitar dengan Occupy Movement.

Namun mereka mempunyai cita-cita yang sama iaitu memastikan kesaksamaan, keadilan dan kelestarian alam. Kita harus menyelami, meneliti dan menghormati pandangan anak-anak muda tersebut.

Peruntukan setimpal

Malahan Kerajaan Negeri juga tidak ketinggalan baru-baru ini dikritik hebat berkenaan penyahwartaan Hutan Simpan Kuala Langat Utara.

Walaupun saya mahu menyatakan dalam Dewan yang mulia ini bahawa aspirasi pelaksanaan pembangunan di situ ada asasnya, namun kita akui dengan penuh keinsafan pendirian rakyat negeri ini terutamanya generasi muda.

Kami, kepemimpinan Negeri Selangor, juga insan biasa. Kami tidak lekang daripada khilaf. Namun niat kami ikhlas untuk memacu pembangunan syumul dan meningkatkan hasil buat negeri dan digunakan demi rakyat negeri ini.

Justeru kita akan berusaha lebih baik untuk merangka pelan merancakkan ekonomi dan program yang bermanfaat demi rakyat. Pada masa yang sama saya menegaskan sudah tiba waktunya kerajaan pusat berbincang dengan Kerajaan Negeri untuk memastikan peruntukan yang lebih buat Selangor berpaksikan dasar kemerdekaan fiskal.

Selangor berhak mendapat peruntukan setimpal serta pelan pembangunan yang ditentukan oleh aspirasi rakyat negeri ini menerusi Kerajaan Negeri yang dipilih rakyat.

Saya mahu mengambil kesempatan untuk menegaskan bahawa sementara kekecewaan terhadap institusi memuncak, ini bukanlah bermakna kita wajar mengambil pendekatan yang radikal atau bersifat anarkis.

Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama-sama membaiki atau mengubah sesuatu yang buruk atau rosak. Kita tidak meruntuhkan. Kita membangunkan, membina semula dan dengan izin, conserve, memulihara.

Kita berpaksikan cita-cita hizbul muhafizin yang bersalasilahkan Edmund Burke dan Roger Scruton. Kita menolak radikalisme Jacobin dan reign of terror (keganasan selepas Revolusi Perancis, antara 1793 hingga 1794).

Kita harus memperkukuhkan cita-cita dan menumpukan perhatian untuk memastikan kestabilan, kemakmuran, kebajikan rakyat dan keadilan bersertakan ehsan.

Sentimen perkauman

Al-Quran menyebut untuk kita melaksanakan keadilan dan juga ehsan. Ehsan, hasan, ahsan dan lain-lain istilah yang berakarkan huruf ha-sin-nun diulang-ulang sebanyak 194 kali dalam al-Quran.

Ehsan sendiri diulang-ulang sebanyak 12 kali. Kita dianjurkan untuk melaksanakan keadilan bersama kebaikan, keindahan dan kecemerlangan.

Berasaskan anjuran ini jugalah menjadi satu bentuk conviction saya, bahawa Selangor “is morally obliged to help the underserved so no one will be left behind.”

Wajib ditekankan pelaksanaan keadilan sentiasa bergandingan dengan ehsan.

Setiap keputusan yang kita lakukan sebagai pemimpin haruslah rasional dan berlandaskan data serta fakta yang tepat. Jangan kita terbawa-bawa dengan trend dan pendekatan short term yang berasaskan inflammatory political rhetoric seperti membakar sentimen perkauman. Kerana akhirnya ini akan menjadikan negara yang kita cintai ini lebih parah.

Kita harus sentiasa belajar dari sejarah bukan sahaja di negara ini tetapi di luar. Misalnya kebangkitan Trumpisme di Amerika Syarikat yang dibina atas paksi emosi menguatkan far right (aliran politik kanan melampau) dan menjulang dasar Keagungan Kulit Putih yang kemudian memecahbelahkan fabrik sosial negara itu.

Ini adalah ujian terbesar bagi pemimpin-pemimpin di negara kita. Adakah kita akan terbawa-bawa dengan kemungkinan ‘quick win’ yang boleh terhasil dengan cara tidak bertanggungjawab ini?

Ataupun kita mempunyai daya tahan dan memilih untuk mempertahankan keadilan, kesederhanaan, kesaksamaan dan dengan izin, “strike at the heart of the issue”, dan bukannya mengambil kesempatan serta meningkatkan kegelisahan rakyat.

Kita boleh memilih antara shortcut ataupun long haul. Misalnya lockdown sewaktu penularan Covid-19 memuncak ataupun menguatkan sistem kesihatan awam sekali gus meningkatkan kesedaran rakyat mengenai kepentingan menjaga diri dan keluarga.

Rakyat negara ini juga mempunyai tanggungjawab untuk tidak membiarkan minda kita dijajah oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

Saya amat yakin kita mempunyai daya tahan pemikiran cekal dan matang untuk memilih pimpinan yang mempunyai kebolehan jangka masa panjang.

Bukannya sekadar soundbites yang membuat kita teruja untuk seketika waktu sahaja tetapi tidak mengubah dan membaiki sistem kehidupan kita.

Pelaksanaan keadilan tidak boleh terburu-buru, dipenuhi dendam kesumat dan yang paling utama, yang bercita-cita mahu melaksanakan keadilan tidak boleh sama sekali merasakan seolah-olah dia maksum daripada salah serta silap.

Salah satu contoh ikhtiar Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Selangor melaksanakan keadilan bergandingan ehsan adalah memastikan falsafah pengagihan kekayaan negeri dalam kalangan rakyat berasaskan keperluan, based on needs, bukannya semata-mata perkauman cauvinis ataupun slogan meritokrasi yang hanya akan memangsakan kelompok B40 dan lower bracket of M40.

Dengan itu, datanglah ribut dan badai, kecelaruan politik, virus dan mutasi terkini, Insya-Allah kita akan tetap berjaya menangani cabaran yang ada. Dan kita melakukannya tanpa meninggalkan rakyat dan mengekalkan martabat insani.

  • Petikan ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentang Belanjawan #Selangor2022 di Dewan Negeri Selangor pada 26 November 2021

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPS sasar nilai jualan produk jenama Ehsan cecah RM23 juta

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyasarkan nilai jualan produk pertanian jenama Ehsan mencecah RM23 juta dalam tempoh setahun di pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya berkata rangkaian produk berasaskan makanan itu bakal ditempatkan di pasar raya, premis jualan PKPS, pasar borong dan secara dalam talian dijangka mulai Januari depan.

Menurut Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi produk itu meliputi ayam segar, beras, minyak masak, gula, tepung, buah-buahan dan sayuran yang menjadi sumber pengeluaran utama hasil pertanian agensi tersebut.

“Pelancaran jenama Ehsan juga adalah salah satu strategi kita memperkasa sektor agro-makanan dengan menawarkan produk pertanian yang berkualiti pada harga berpatutan.

“Untuk tahun pertama kita menyasarkan nilai jualan sehingga RM23 juta dan tahun berikutnya meningkat kepada RM85 juta,” katanya pada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Majlis pelancaran logo jenama Ehsan itu juga disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan turut diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Dr Mohamad Khairil berkata hasil jualan produk itu akan disalurkan secara terus kepada rakyat Selangor yang terkesan pandemik melalui program tanggungjawab sosial korporat.

Mengulas mengenai sasaran tahun hadapan, beliau berkata PKPS akan terlibat secara aktif dalam aspek rantaian bekalan makanan agar jaminan bekalan dapat ditangani dengan lebih baik.

Persidangan SIBS 2021 edisi kelima sejak diperkenalkan pada 2016 itu menghimpunkan jenama global dan pemain industri dari seluruh dunia.

Acara fizikal berkenaan menampilkan kira-kira 500 pempamer manakala bentuk mayanya boleh diakses melalui www.selangorbusinesshub.my melibatkan 800 reruai.

SIBS 2021 menampilkan ekspo khusus kepada empat sektor utama iaitu makanan dan minuman; produk dan perkhidmatan perubatan; penyelidikan,pembangunan dan inovasi serta taman perindustrian.

Categories
SELANGOR

Adil dan Ihsan menjadi dasar Kerajaan Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 2 MEI: Menjadi dasar Kerajaan Negeri untuk melaksanakan dan mengamalkan prinsip keadilan dan berbuat ihsan selaras ajaran Islam dalam kitab suci Al-Quran.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dua perkara itu diamalkan beliau dan pentadbirannya apabila diangkat memegang jawatan nombor satu di negeri terbabit.

“Apabila saya diberi amanah menjadi Menteri Besar, saya sebagai orang Melayu yang beragama Islam mengikuti ajaran Al-Quran iaitu apabila diberikan amanah, berbuatlah dua perkara ini iaitu adil dan ihsan.

“Ini yang saya terapkan dalam dasar Kerajaan Negeri. Saya bukan seperti di sebelah sana, cuma adil pada diri sendiri dan isteri sebab itu mereka kaya, tetapi rakyat susah,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan lebih 10,000 rakyat di program Jelajah Harapan Rakyat di Taman Sri Andalas, di sini.

Hadir sama Presiden Amanah yang juga calon Parlimen Kota Raja (P111) Mohamad Sabu dan calon KEADILAN DUN Sungai Kandis (N49), Shuhaimi Shafiei.

Turut hadir calon KEADILAN DUN Sentosa (N48), Dr G Gunaraj dan calon DUN Kota Kemuning (N50), V Ganabatirau.

Mohamed Azmin berkata sebagai Kerajaan Negeri yang prihatin, beliau memastikan semua kaum menerima hak sama rata menerusi pelbagai Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang hampir 10 tahun dilaksanakan.

“Kerajaan kalau nak kutip cukai boleh. Tetapi saya laksanakan lagi pengecualian cukai taksiran dan fi lesen iaitu hampir RM300 juta kerajaan rugi selama empat tahun ini.

“Namun, lagi banyak saya bagi, lagi banyak Allah SWT turunkan rezeki. Sekarang kita mempunyai rizab sebanyak RM4 bilion. Bukan Rupiah. Apabila banyak wang, kita beri semula kepada rakyat,” katanya.

=EZY=