Categories
NASIONAL

Jajaran baharu ECRL: JAS belum terima laporan EIA

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih belum menerima laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) daripada Kerajaan Persekutuan berhubung jajaran baharu Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Ketua Pengarah JAS, Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim berkata tiada tarikh muktamad yang ditetapkan untuk menyerahkan laporan berkenaan.

“Laporan EIA boleh diserahkan sekiranya kerajaan persekutuan sudah bersedia untuk membentangkannya kepada JAS. Tiada tarikh muktamad yang ditetapkan untuk menyerahkan laporan EIA tersebut,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran majlis ‘Prime Minister’s Hibiscus Award 2019/2020’, di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Inovasi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) Isnaraissah Munirah Majilis.

Jajaran baharu ECRL yang dicadangkan itu akan merentasi 20 stesen dari Kota Bharu melalui Kuala Terengganu, Kuantan, Mentakab dan diteruskan hingga ke Jelebu, Bangi/Kajang, Putrajaya Sentral serta Pelabuhan Klang.

Dalam pada itu, Kamarulnajuib berkata orang ramai yang ingin mengetahui mengenai 56 syarat yang membawa kepada kelulusan pembinaan Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1) di Pulau Pinang, boleh mendapatkannya di pejabat kerajaan negeri tersebut.

Katanya pihaknya juga akan mengambil tindakan sekiranya berlaku perlanggaran syarat dalam kerja-kerja pembinaan tersebut.

“Jabatan Alam Sekitar bertanggungjawab terhadap laporan EIA itu dan bukannya projek terbabit. Projek itu di bawah bidang kuasa kerajaan negeri…sekiranya ada apa-apa perlanggaran, kerajaan negeri harus memastikan mereka komited dan memenuhi syarat…kami akan mengambil tindakan terhadap sebarang perlanggaran syarat,” katanya.

Sementara itu, berucap pada majlis perasmian itu, Isnaraissah Munirah berkata anugerah itu akan terus memainkan peranan penting untuk menggalakkan beribu-ribu perniagaan di Malaysia, kecil dan besar, untuk mewujudkan dan mengguna pakai penyelesaian inovatif dalam menangani pertimbangan alam sekitar, ekonomi dan sosial, tonggak kepada kemampanan.

Anugerah itu dibuka untuk pendaftaran sehingga 30 Ogos ini. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Mahkamah Tinggi Kuantan Akan Dengar Permohonan Stop Lynas

SHAH ALAM,28 OGOS : Mahkamah Tinggi Kuantan akan mendengar dua permohonan dari gerakan Save Malaysia Stop Lynas (SMSL) untuk semakan semula kehakiman berhubung pemberian lesen operasi sementara (TOL) projek loji nadir bumi Lynas Corp.

Jurucakap SMSL, Tan Bun Teet berkata, permohonan pertama untuk membatalkan TOL yang diberikan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) kepada syarikat itu pada 30 Januari.

Tan berkata TOL itu diberikan walaupun tiada laporan penilaian impak alam sekitar (EIA).

Semakan yang kedua adalah keputusan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi untuk tidak menarik balik TOL tersebut selepas mendengar rayuan dari sekumpulan penduduk Kuantan.

Penduduk tersebut bersama peguam dan pakar telah mengemukan bukti kepada satu panel MOSTI pada April 17 berkenaan bahaya dan risiko kesihatan projek tersebut.

“Kami percaya bahawa Menteri telah bertindak secara tidak adil terhadap kami dan keputusannya adalah tidak adil.

“Kami kini membawa perkara itu kepada Mahkamah untuk mengkaji dan untuk membatalkan TOL,” kata Tan.

Jelas Tan lagi, Lynas Corporation Australia pada mulanya memohon menjadi suatu pihak kepada prosiding itu.

Tetapi peguamnya menarik diri pada saat-saat terakhir untuk sebab yang tidak diketahui.

“Kami tidak pasti jika permohonan kita akan diterima atau dibuang keluar dari mahkamah.

“Kami amat berbesar hati bahawa permohonan kami diterima oleh mahkamah,” ujarnya.

Menurut Tan lagi, Mahkamah akan menyambung semula untuk menentukan tarikh pendengaran dan lain-lain perkara yang berkaitan.

“Kuantan adalah bandar rumah kami. Setiap seorang daripada kita telah banyak melabur untuk membuatkan bandar ini sebagai tempat yang istimewa.

“Kita perlu melakukan segala yang mungkin untuk melindungi ia, terutama daripada bahaya berpunca dari kilang penapisan Lynas nadir bumi itu, ” katanya.

Kira-kira 200 penyokong SMSL yang hadir di mahkamah untuk mendengar keputusan permohonan itu.