Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

700 peserta terlibat sidang bandar pintar, fokus ekonomi digital

SHAH ALAM, 13 NOV: Seramai 700 peserta dijangka terlibat menerusi Persidangan Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC) 2021 yang bakal berlangsung pada 19 hingga 21 November ini.

Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) berkata penganjuran edisi keenam konvensyen digital terbesar itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dan secara maya.

Agensi memaklumkan dengan tema Transformasi Digital Ke Arah Pemulihan Ekonomi, SDEC 2021 adalah acara tahunan di bawah Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS).

“Konvensyen ini mengumpulkan pemain industri, ahli akademik, peniaga kecil dan sederhana (PKS) dan individu dari pelbagai sektor untuk mendalami serta mengembangkan ekosistem pendigitalan sedia ada dan masa hadapan.

“Tiga aktiviti teras dipilih untuk mencerminkan tema tahun ini iaitu perbincangan panel selama dua hari dan Pitch@Selangor serta Liga Super Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Persidangan itu akan dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 20 November dan turut diserikan penyanyi tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin.

Menerusi persidangan itu, EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim turut menandatangani memorandum persefahaman bersama CTDK Holdings dan Sidec Sdn Bhd sambil disaksikan Amirudin.

Selain itu, sebanyak 45 panelis berpengalaman turut ditampil bagi membincangkan pelbagai topik mengenai Fintech, Agritech, Travel Tech, pemasaran digital dan pendigitalan PKS.

Panelis terdiri daripada pemimpin terkemuka, pengasas dan pakar dalam industri antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping, Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Khadijah Iskandar dan Ketua Pegawai Eksekutif MyDIGITAL Fabian Bigar.

Manakala, sebanyak 20 syarikat startup daripada tiga program pemecut terbaik di Selangor iaiatu Sidec, ScaleUp Malaysia dan Sunway iLabs akan bersaing untuk memenangi tiga tempat teratas dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM30,000.

Mereka yang ingin membeli tiket berharga RM79 untuk tiga hari ke konvensyen berkenaan boleh berbuat demikian menerusi pautan https://www.ticket2u.com.my/sdec2021.

Layari http://www.sidec.com.my/sdec2021untuk maklumat lanjut.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Pandemik Covid-19 dorong peningkatan ekonomi digital – MDEC

KUALA LUMPUR, 24 JAN: Unjuran Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk memperoleh pertumbuhan 20 peratus sumbangan e-dagang kepada ekonomi digital dapat dicapai kerana pandemik Covid-19 membantu mendorong peningkatan penggunaan digital dalam kalangan usahawan.

Naib Presiden perniagaan digital (industri-bekalan), Gopi Ganesalingam berkata pada 2019, ekonomi digital menyumbang sehingga 19.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Sektor seperti MedTech, Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan Teknologi Agri akan menjadi pelopor pada tahun 2021, menyumbang kepada kenaikan pendapatan digital,” katanya kepada Bernama.

Gopi berkata Asean adalah antara ekonomi yang paling berkembang pesat di dunia dan menghubungkan serta mempromosikan perniagaan teknologi Malaysia ke rantau ini, sebagai permulaan, akan menjadi satu dorongan yang hebat.

Beliau berkata Malaysia sudahpun menerajui kedudukan kepimpinan dalam banyak sektor teknologi.

“Program eksport seperti GAIN MDEC mesti dipertingkatkan bagi mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat Asean digital,” katanya.

Meningkatkan kemahiran dan melahirkan bakat digital yang baik amat penting untuk ekonomi digital terus maju, jelasnya.

Ekonomi gig pula sedang meningkat dan ia perlu dimanfaatkan dan diperkembangkan untuk kekal berdaya saing di peringkat global.

“Program seperti GLOW membantu mereka yang memerlukan platform “crowdsourcing” untuk menjana pendapatan digital. Dalam tempoh Januari hingga Jun tahun lepas, GLOW menjana pendapatan berjumlah lebih dari RM190 juta,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Mata wang kripto semakin dapat sambutan dalam kewangan Islam

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Potensi mata wang kripto dalam kewangan Islam kelihatan meningkat, didorong oleh peralihan kepada ekonomi digital seiring dengan kebiasaan baharu, menurut Datuk Dr Mohd Daud Bakar yang mempengerusikan Majlis Penasihat Shariah Bank Negara Malaysia.

Beliau berkata mata wang kripto boleh dianggap sebagai perkara baharu dalam kewangan Islam dan melihat potensinya dalam persekitaran normal baharu kerana peluang peluang tersedia dalam segmen tersebut.

“Kami tidak hanya menghadapi krisis tetapi juga kebiasaan yang baharu dan teknologi digital menjadi popular kepada orang ramai kerana sekatan perjalanan.

“Bagi saya, kripto bukanlah sesuatu yang susah atau persepsi. Ini hanya melibatkan kemampuan kita untuk memudahkan orang ramai untuk memahaminya kerana ketika ini, ia adalah perkara baharu dan orang ramai cenderung untuk menganggapnya sesuatu yang menyusahkan atau persepsi,” katanya pada Persidangan SCxSC Fintech 2020 di sini, semalam.

Mohd Daud yang juga mempengerusikan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia adalah seorang penceramah dalam sesi panel bertajuk ‘Crypto Conundrum In Islamic Finance: Digital Assets and Shariah Compliance’.

Walaupun seluruh dunia, termasuk Malaysia, melakukan transformasi digital dalam menjalankan perniagaan kerana pandemik Covid-19, beliau berkata mata wang kekal menjadi antara perkara yang tidak disentuh.

“Mata wang bukan digital, ia masih memerlukan keseluruhan ekosistem untuk beralih daripada satu pihak ke pihak lain. Kadangkala ia mengambil masa yang lama.

“Ini menjadikan semuanya tidak cekap. Ekonomi digital telah berkembang dengan sangat baik dan menarik tetapi penghujahan mengenainya masih tidak wujud. Justeru, kita berjuang habis-habisan iaitu menjadikan semuanya lebih cekap menerusi penggunaan mata wang digital.

“Ini bukan soal mata wang baharu, mungkin kerajaan boleh menjadikan mata wang fiat kepada kripto and ini adalah asas kripto, token yang stabil disokong oleh kriptografi,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan serius pacu ekonomi digital tahun ini

PUTRAJAYA, 27 JAN: Kerajaan serius memacu ekonomi digital bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara tahun ini, kata menteri kewangan.

Lim Guan Eng berkata ekonomi digital berperanan sebagai faktor penarik kepada pelabur, pembinaan modal insan dan penyelidikan.

“Transformasi Malaysia kepada Ekonomi Digital hanya boleh direalisasikan sekiranya rakyat mengamalkan budaya digital dan mengambil bahagian dalam urus niaga digital yang menjurus ke arah masyarakat tanpa tunai,” katanya.

Beliau berkata antara langkah yang diambil bagi memacu ekonomi digital ialah pengenalan inisiatif e-Tunai Rakyat, dengan sejumlah RM450 juta disalurkan melalui pengendali e-dompet terpilih bagi menggalakkan penggunaan bayaran tanpa tunai dalam kalangan rakyat.

“Sistem bayaran tanpa tunai ini bukan sahaja lebih efisien, bahkan dapat membantu mengurangkan kejadian pengelakan cukai,” katanya dalam amanat tahun baharunya kepada warga Kementerian Kewangan baru-baru ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng. Foto BERNAMA

Guan Eng berkata kerajaan akan turut membangunkan infrastruktur yang diperlukan untuk membentuk Malaysia Digital menerusi kerjasama awam swasta, membabitkan pelaburan RM21.6 bilion, dengan kerajaan akan membiayai sekurang-kurangnya separuh daripada kos keseluruhan.

Beliau berkata kerajaan juga akan memperkenal Geran Pembangunan Ekosistem 5G berjumlah RM50 juta dalam usaha menggalakkan pembangunan teknologi oleh syarikat bagi menghadapi gelombang perubahan 5G di seluruh dunia.

Bagi merancakkan pertumbuhan e-dagang, katanya kerajaan memperuntuk RM20 juta kepada Perbadanan Ekononi Digital Malaysia (MDEC) bagi mengembangkan jaguh tempatan dalam membangunkan kandungan digital seperti e-Permainan, animasi dan seni digital.

Kerajaan juga bercadang menubuhkan 14 Pusat Peningkatan Digital Sehenti di semua negeri bagi memudahkan akses kepada pembiayaan dan pembangunan kapasiti perniagaan, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi peruntukkan sebanyak RM70 juta, katanya.

Guan Eng berkata konsep Tanggungjawab Sosial Digital (DSR) yang diperkenal oleh kerajaan adalah usaha untuk menggalakkan kerjasama antara pihak kerajaan dan swasta.

“DSR adalah komitmen oleh sektor perniagaan untuk meningkatkan keupayaan tenaga kerja masa depan dengan kemahiran digital untuk masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata sumbangan sektor swasta dalam aktiviti DSR akan diberi potongan cukai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Insentif baharu galak kemajuan ekonomi digital

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Pemain industri telekomunikasi negara percaya insentif baharu untuk menggalakkan ekonomi digital perlu diberikan perhatian dalam pembentangan Belanjawan 2020 Jumaat ini.

Pengerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), Datin Mohana Mohariff berkata pihaknya berharap adanya pemberian insentif kepada perniagaan dan usahawan dalam talian bagi menggalakkan kemajuan dan perkembangan ekonomi digital.

“Antara insentif yang boleh disyorkan ialah insentif buat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam talian yang menawarkan peluang pekerjaan akan mendapat pengecualian cukai mengikut kadar tertentu.

“Secara tidak langsung, inisiatif ini dapat merangsang industri dan dalam masa sama dapat meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, selain itu, pemberian insentif cukai kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan pengguna juga dapat menggalakkan penglibatan rakyat dalam teknologi dan ekonomi digital seperti pemberian rebat cukai RM800 setahun untuk langganan jalur lebar tetap kepada pengguna.

Pihaknya menjangkakan peruntukan bagi Pelan Gentian Optik Dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) akan diagihkan secara lebih terperinci dan jelas untuk pertumbuhan digital seperti pembangunan infrastruktur, aktiviti dan program berkaitan untuk rakyat.

“Melalui pelaksanaan NFCP, CFM juga mempunyai peranan untuk menghubungkan pengguna di seluruh kawasan dengan pelan inisiatif ini melalui kerjasama dan membantu ahli-ahli CFM di seluruh negara yang terdiri daripada persatuan pengguna dengan menjalankan program-program berkaitan, selain daripada kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang lain,” katanya.

Pelan NFCP dijangka dapat mengurangkan jurang digital dan menyediakan persekitaran kondusif bagi penggunaan teknologi baharu seperti 5G.

Dalam pada itu, seorang penggiat industri telekomunikasi yang sudah 15 tahun berkecimpung dalam bidang itu, Romlan Sarpin berkata, kerajaan perlu memberi subsidi capaian internet pantas untuk kawasan kediaman dan di lokasi institut pengajian tinggi.

Beliau berkata, ini membolehkan kumpulan sasaran seperti keluarga dan pelajar menikmati capaian internet pantas untuk kegunaan harian, pelajaran dan perniagaan selain mengelakkan aktiviti tidak sihat, melepak di restoran makanan segera dan kedai kopi hingga lewat malam.

Jelasnya, pemberian subsidi tersebut selain pemberian internet percuma selama sebulan untuk penduduk di kawasan luar bandar, mampu merapatkan jurang, meringankan beban dan mencari pelbagai perniagaan di laman internet.

Romlan merupakan Pengerusi Eksekutif Maficomm Resources Sdn Bhd, sebuah syarikat dealer eksklusif yang dilantik oleh pembekal telekomunikasi terkenal (Digi Telecommunications Sdn Bhd) bagi melancarkan pakej khas untuk kakitangan kerajaan seluruh Malaysia yang berjawatan tetap.

Berkongsi pengalamannya, Romlan berkata, kakitangan kerajaan perlu bijak mencari pakej atau pelan bulanan telefon yang sesuai dengan kegunaan dan keperluan mereka supaya tidak terpedaya dengan pakej-pakej istimewa yang pada akhirnya merugikan mereka.

Sementara itu, Pengarah Urusan Maficomm Resources Sdn Bhd, Datuk Mahadhir Mahideen pula berpendapat capaian internet negara tidak begitu pantas di kebanyakan tempat ekoran perkongsian menara telekomunikasi hingga berlaku ‘kesesakan capaian’.

Justeru, antara langkah untuk penyelesaian kepada masalah ini adalah pembinaan menara dengan tanggungjawab secara bersama-sama dan bukannya kepada syarikat telekomunikasi semata-mata.

“Ia kurangkan beban, memperluas dan memperhebatkan liputan internet, talian komunikasi tanpa berlaku kesesakan dan masalah gangguan talian. Sudah sampai masanya isu ini diselesaikan untuk situasi menang-menang kesemua pihak,” katanya.

Belanjawan 2020 akan dibentang Menteri Kewangan, Lim Guan Eng Jumaat ini.

– BERNAMA

Categories
EKONOMI GLOBAL

Perjanjian ASEAN bagi e-dagang buka laluan ke arah ekonomi digital

SINGAPURA, 13 NOV: Perjanjian ASEAN mengenai e-dagang membuka laluan bagi ekonomi digital untuk terus berkembang di rantau ini dan pada masa sama memperkukuh peraturan perdagangan dan pembangunan kesambungan digital serantau.

Ekonomi internet ASEAN dianggarkan mencapai US$200 bilion menjelang 2025.

“Negara Anggota ASEAN (AMS) komited untuk mengekalkan, atau menerima guna secepat yang boleh dilaksanakan, undang-undang dan peraturan yang mentadbir urus transaksi elektronik dengan mengambil kira konvensyen antarabangsa atau model undang-undang berkaitan e-dagang yang terpakai,” menurut Kementerian Perdagangan dan Perindustrian Singapura dalam satu kenyataan.

Perjanjian itu yang ditandatangani pada Isnin telah disahkan oleh Menteri-menteri Ekonomi ASEAN semasa Mesyuarat Menteri-menteri Ekonomi ASEAN ke-50 pada 29 Ogos, 2018.

ASEAN kini mempunyai 330 juta pengguna internet – jumlah pengguna internet ketiga terbesar di dunia. Secara purata pengguna internet di ASEAN meluangkan masa 3.6 jam sehari di internet mudah alih – lebih daripada pengguna lain di dunia.

Kementerian itu berkata lebih 50 peratus penduduk ASEAN berusia di bawah 30 tahun dan mempunyai daya tarik yang lebih besar kepada teknologi dan transaksi berasaskan internet.

Selain perjanjian itu, Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) ke-17 tersebut juga memuktamadkan Perjanjian Perdagangan ASEAN bagi Perkhidmatan.

Ia akan memperkukuh penyepaduan pasaran perkhidmatan ASEAN dan memperkenalkan komitmen berkaitan perdagangan perkhidmatan, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih liberal, stabil dan boleh dijangka untuk pembekal perkhidmatan di rantau ini.

Mesyuarat itu juga memuktamadkan Protokol Keempat untuk Meminda Perjanjian Pelaburan Komprehensif ASEAN yang akan memperkenalkan komitmen yang lebih kuat, yang melarang pengenaan keperluan prestasi ke atas pelabur, dan membantu ASEAN kekal sebagai destinasi pelaburan menarik dan berdaya saing.

SUMBER: BERNAMA