Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: Selangor percepat proses pulih ekonomi pasca banjir, pandemik

SHAH ALAM, 1 FEB: Selangor akan mempercepatkan proses pemulihan ekonomi pasca banjir dan pandemik Covid-19 tahun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ia bagi memastikan negeri ini terus berada di landasan pembangunan ekonomi yang kukuh.

“Tahun ini kerajaan akan mempercepatkan proses pemulihan ekonomi pasca banjir dan pandemik demi memacu pembangunan untuk memastikan negeri terus mengukuhkan sebagai pusat pertumbuhan utama ekonomi yang mampan di Malaysia dan rantau Asia.

“Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua yang meraikan perayaan ini sama ada di Malaysia dan Selangor,” katanya.

Nyanyian lagu Tahun Baharu Cina versi acapella dipersembahkan oleh kumpulan Colour of Voices pada siaran langsung sambutan Tahun Baharu Cina 2022 peringkat negeri pada 1 Februari 2022. Foto Facebook Teng Chang Khim

Beliau berkata demikian menerusi program Sambutan Tahun Baharu Cina 2022 peringkat Selangor yang berlangsung secara maya di Facebook Mandarin Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari @ami.mbselangor.

Program selama lebih 90 minit dari jam 9 malam itu menampilkan 10 persembahan daripada 55 artis tempatan dan ucapan ringkas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Sambutan diteruskan secara dalam talian buat edisi kedua selepas dilaksanakan tahun lalu susulan penularan Covid-19 yang belum reda.

Program itu turut memberi peluang kepada orang ramai tanpa mengira kaum memenangi angpau berjumlah RM10,000 dengan menyediakan ucapan kreatif yang boleh ditulis dalam pelbagai bahasa.

Persembahan tarian oleh kumpulan Dua Space Dance Theatre memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina 2022 peringkat negeri yang akan disiarkan secara langsung pada 1 Februari 2022. Foto Facebook Teng Chang Khim

Acara yang ditampilkan dalam program sambutan itu seperti berikut:
– Persembahan lagu-lagu klasik Tahun Baharu Cina oleh Chow Kam Leong dan Chang Sang Teck (Kumpulan Dua Sekawan) dan Artis Lee Elaine
– Persembahan tarian singa oleh Persatuan Tarian Singa Hong Jing, Selangor
– Persembahan tarian oleh Dua Space Dance Theatre
– Nyanyian lagu Tahun Baharu Cina versi acapella oleh kumpulan Colour of Voices
– Persembahan muzik tradisi Guzheng oleh Sara Heng
– Persembahan gendang Cina oleh Hands Percussion
– Persembahan Guzheng elektronik dan diabolo LED oleh Sara Heng dan Kumpulan DiAbolution
– Persembahan artis Lim Wen Suen
– Persembahan artis Gaston Pong & JE Pong
– Ucapan Tahun Baharu Cina daripada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor

Categories
AGENDA EKONOMI

KDNK 5.5-6.5 peratus tahun ini mampu dicapai susulan indikator positif

KUALA LUMPUR, 19 JAN: Kerajaan yakin pertumbuhan ekonomi negara yang diunjurkan sekitar 5.5-6.5 peratus pada tahun ini mampu dicapai, dipacu oleh indikator-indikator positif termasuk pengurangan jumlah penganggur.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata bilangan penggangur pada November 2021 menunjukkan trend menurun selepas mencatat seramai 694,400 orang berbanding 705,000 orang pada Oktober 2021.

Menurutnya, indikator lain seperti Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) negara yang meningkat 9.4 peratus tahun ke tahun pada November 2021, dipacu oleh peningkatan dalam indeks pembuatan, elektrik dan perlombongan.

Malah, kata beliau, bagi tempoh sama, jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan paras tertinggi iaitu tujuh peratus tahun ke tahun kepada RM118.1 bilion yang mengatasi paras bulan sebelumnya sebanyak RM116.2 bilion.

“Oleh itu, secara keseluruhannya kalau kita lihat petanda-petanda ini, ia jelas menunjukkan bahawa unjuran pertumbuhan ekonomi negara itu dapat dicapai. Kita juga dapat melihat lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan serta mengembalikan sentimen positif negara terutamanya selepas pandemik Covid-19.

“Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2021, keluaran dalam negara kasar (KDNK) meningkat tiga peratus tahun ke tahun manakala unjuran kerajaan bagi keseluruhan tahun tersebut adalah sekitar 3.0-4.0 peratus,” kata beliau dalam program bual bicara Inklusif yang disiarkan di saluran TV1 pada malam tadi.

Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul berkata walaupun negara masih berdepan dengan cabaran akibat pandemik Covid-19 pada tahun ini, tempoh itu sebaliknya juga merupakan tahun pemulihan ekonomi yang menyaksikan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM322 bilion menerusi Bajet 2022 iaitu angka terbesar dalam sejarah negara.

“Fokus kerajaan adalah untuk kesejahteraan rakyat dan membina daya tahan sektor perniagaan selain membina ekonomi agar lebih makmur dan mampan,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL PENDAPAT RENCANA

Ekonomi negara diramal pulih, harap pintu sempadan dibuka

Ekonomi Malaysia dijangka pulih selepas menguncup akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penutupan sempadan lantaran pandemik Covid-19.

Gabenor Bank Negara Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus pada 12 November 2021 percaya momentum ekonomi tahun ini bakal didorong pemulihan aktiviti ekonomi, kerancakan pasaran tenaga kerja, penerusan dasar kerajaan yang menyokong ekonomi dan peningkatan permintaan dari luar.

Kadar vaksinasi, pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) kesihatan dan kemampuan mengekang rebakan varian Omicron menjadi kunci penting kebangkitan ekonomi Malaysia.

Agensi penarafan kredit RAM Rating Services Bhd (RAM Ratings) menjangka kadar pertumbuhan ekonomi negara 6.8 peratus pada 2022 berbanding kadar sebenar pada 2021 iaitu empat peratus.

Namun, RAM Ratings pada 9 Disember 2021 menegaskan ancaman varian tersebut mungkin melambatkan proses pemulihan tetapi tidak pula merencatkan ekonomi negara secara keseluruhan.

Kementerian Kewangan pula meramal pertumbuhan tahun ini antara 5.5 peratus hingga 6.5 peratus. Peningkatan perdagangan global, harga komoditi yang stabil, pandemik yang terkawal dan peningkatan sentimen peruncitan dan kepenggunaan akan memacu ekonomi.

Usaha memulihkan ekonomi diperkukuh dasar fiskal kerajaan persekutuan yang membentang belanjawan bernilai RM332.1 bilion, jumlah terbesar dalam sejarah negara.

Sebanyak RM233.5 bilion diperuntuk bagi belanja mengurus, RM75.6 bilion untuk pembangunan dan RM23 bilion pula bagi Kumpulan Wang Covid-19 manakala RM2 bilion sebagai simpanan luar jangka.

Di sebalik ruang fiskal yang terhad dengan hutang kerajaan diunjur mencecah RM1.1 trilion atau 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022, perdana menteri memaklumkan Bajet 2022 tidak boleh dikurangkan pada paras minimum.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan kerajaan persekutuan mengambil kira semua aspek dan keadaan kewangan negara serta rakyat yang bergelut pandemik Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam ehwal ekonomi pula merujuk prestasi sektor minyak dan gas yang memberangsangkan mutakhir ini menyuntik keyakinan bahawa ekonomi negara berada pada landasan tepat untuk bangkit.

Datuk Seri Mustapa Mohamed pada 13 Disember 2021 juga mendapati aktiviti dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan pertanian turut meningkat selain data semasa dalam aspek penawaran termasuk sektor pembuatan, pertanian dan perlombongan menunjukkan bukti peningkatan.

Semua petunjuk memberi indikator kepada pemulihan yang baik pada 2022. Namun, beliau menyuarakan kebimbangan terhadap penutupan sementara sempadan negara yang boleh menyukarkan pemulihan sepenuhnya.

Ketua Unit Penyelidikan Risiko Ekonomi dan Politik Universiti Utara Malaysia pula menjelaskan beberapa perkara memberi prospek ekonomi lebih baik untuk 2022, antaranya Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 dan Rancangan Malaysia Ke-12.

Menurut Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, pelaksanaan dasar itu mampu mengawal harga barangan lebih tuntas dan boleh mengelakkan kenaikan harga makanan dan keperluan pada masa depan serta tidak mengganggu prospek pemulihan ekonomi.

Beliau juga menyifatkan cadangan Ismail Sabri untuk menghidupkan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura sebagai berita baik untuk ekonomi Malaysia.

Projek bangunan kedua tertinggi di dunia iaitu Menara Merdeka 118 yang dijangka siap tahun depan juga dijangka meningkatkan nilai pelaburan dan sentimen positif pelaburan serta perniagaan di Malaysia.

 

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Covid-19 rencat usaha pulih ekonomi tahun ini

Oleh Niam Seet Wei

KUALA LUMPUR, 8 DIS: Tahun 2021 sekali lagi membawa kita cabaran yang sama seperti yang dihadapi dunia pada 2020 dengan Covid-19 masih lagi menjadi isu kritikal yang perlu ditangani, yang berterusan menggugat nyawa serta kehidupan manusia dan merencatkan usaha pemulihan ekonomi.

Walaupun Malaysia pada mulanya merasakan negara bakal menyaksikan prospek pemulihan pada akhir 2020, namun harapan itu terbantut seketika ekoran kemunculan varian baharu berbahaya Covid-19 dari semasa ke semasa daripada varian Delta hinggalah kepada Lambda dan yang terkini Omicron.

Pelaksanaan semula PKP

Tidak sampai dua minggu kita melangkah masuk ke tahun 2021, perdana menteri pada masa itu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan sekatan pergerakan baharu di seluruh negara bagi membendung lonjakan kes Covid-19 selepas Malaysia merekodkan 2,232 kes baharu dan empat kematian pada hari tersebut yang menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 138,224 dan 555 kematian sejak permulaan pandemik tahun lepas.

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 itu dilaksanakan semula di Melaka, Johor, Pulau Pinang, Selangor, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula 13 hingga 26 Jan, 2021.

Dengan pelaksanaan PKP 2.0 maka bermulalah semula sekatan pergerakan antara negeri dan daerah; perjalanan dihadkan hanya sejauh 10 kilometer dari rumah masing-masing dan hanya lima sektor ekonomi utama — pembuatan, pembinaan, perkhidmatan (termasuk pasar raya, bank dan perkhidmatan kesihatan) perdagangan dan pengedaran dan perladangan — dibenarkan beroperasi, yang sekali lagi membawa kejutan baharu kepada ekonomi.

Dengan kes harian melebihi 4,000 kes, 37,396 kes aktif dan 1,700 kematian dilaporkan sehingga 10 Mei, Malaysia berdepan dengan gelombang ketiga pandemik itu dan kerajaan kemudiannya mengumumkan pelaksanaan sekatan pergerakan di seluruh negara iaitu PKP 3.0 dari 12 Mei hingga 7 Jun, 2021.

Seterusnya, sekatan pergerakan penuh selama 14 dilaksanakan bermula 1 Jun dan dilanjutkan kepada dua minggu lagi sehingga 28 Jun, kerana kes baharu harian masih berjumlah lebih daripada 5,000 kes.

Bagi menangani kegawatan ekonomi, Muhyiddin pada 15 Jun melancarkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) empat fasa yang bertujuan memastikan kehidupan kembali normal menjelang akhir tahun ini.

PPN itu merupakan strategi untuk keluar daripada pandemik Covid-19 dan peralihan fasa PKP secara berperingkat.

Pada 15 Ogos, kerajaan mula melonggarkan sekatan dan membenarkan lebih banyak sektor perniagaan memulakan semula operasi di bawah Fasa Satu PPN yang terpakai kepada mereka yang telah lengkap menerima vaksin.

KDNK terjejas terus akibat pelaksanaan PKP

Berikutan pelaksanan PKP yang berterusan sepanjang tempoh tiga suku pertama tahun ini, kesannya terhadap ekonomi dapat dilihat menerusi angka pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang menguncup 0.5 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2021 daripada 0.7 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2020.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), KDNK suku kedua 2021 meningkat 16.1 peratus tahun ke tahun disebabkan oleh asas rendah yang dicatatkan pada suku kedua 2020 (-17.1 peratus tahun ke tahun).

Bagi suku ketiga 2021, ekonomi negara menguncup 4.5 peratus tahun ke tahun berbanding penurunan 2.6 peratus tahun ke tahun berikutan pelaksanaan semula langkah pembendungan di seluruh negara dalam tempoh berkenaan.

Walaupun penguncupan dan kesan PKP pada 2021 tidak seteruk suku kedua 2020 yang menyaksikan KDNK negara menjunam 17.1 peratus, namun ia memaksa pihak berkuasa untuk menyelaraskan unjuran pertumbuhan ekonomi.

Sementara itu, bersandarkan kepada kadar pemberian vaksinasi, Bank Negara Malaysia (BNM) pada mulanya mengunjurkan pertumbuhan 6.0-7.5 peratus untuk 2021, tetapi pada Ogos, pertumbuhan itu telah disemak kepada antara 3.0-4.0 peratus untuk tahun berkenaan,

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Nor Shamsiah Yunus berkata semakan dalam unjuran pertumbuhan tahunan dibuat selepas mengambil kira pelaksanaan semula langkah pembendungan di seluruh negara.

Beliau berkata sasaran pertumbuhan 3.0-4.0 peratus itu boleh dicapai kerana langkah-langkah pembendungan telah dilonggarkan secara berperingkat dan aktiviti ekonomi akan bertambah baik.

Mengenai inflasi pula, BNM pada November telah memberi jaminan negara tidak akan menghadapi stagflasi walaupun inflasi global meningkat.

Menurut bank pusat, inflasi utama Malaysia berada pada purata 2.3 peratus pada 12 Nov dan diunjurkan berpurata antara 2.0 peratus dan 3.0 peratus untuk 2021, manakala inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi teras, dijangka pada purata di bawah 1.0 peratus untuk tahun itu.

BNM telah mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus sejak 7 Julai, 2020, sementara Moody’s Analytics mengunjurkan kadar faedah kekal tidak berubah sebelum bank pusat dijangka mengumumkan kenaikan kadar pada separuh kedua 2022, memandangkan prospek ekonomi Malaysia akan lebih cerah tatkala memasuki tahun baharu.

Sementara itu, Malaysia menyaksikan dagangannya mencatatkan satu lagi rekod tertinggi sebanyak RM202.6 bilion, atau sehingga 26.5 peratus, tahun ke tahun pada Oktober, melepasi paras RM200 bilion buat kali pertama.

Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan eksport pada Oktober meningkat 25.5 peratus tahun ke tahun kepada RM114.4 bilion, import naik 27.9 peratus tahun ke tahun kepada RM88.2 bilion manakala lebihan dagangan meningkat 17.9 peratus tahun ke tahun kepada RM26.3 bilion.

Eksport untuk tempoh awal tahun kewangan hingga Oktober naik 25 peratus tahun ke tahun kepada RM1 trilion, pertumbuhan terpantas sejak 1998, menurut Ambank Research.

Bagi pelaburan langsung asing (FDI), data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Malaysia terus mencatatkan aliran masuk sebanyak RM12.8 bilion pada suku ketiga 2021 daripada RM8.2 bilion pada suku kedua 2021 manakala pelaburan langsung di luar negara (DIA) menjadi aliran masuk bersih sebanyak RM4.7 bilion daripada aliran keluar bersih sebanyak RM4.0 bilion pada suku tahun sebelumnya.

Pakej rangsangan, RMK12 pacu pertumbuhan pasca pandemik

Kembali kepada awal 2021, kerajaan memperkenalkan empat pakej rangsangan berjumlah RM225 bilion, dengan suntikan fiskal sebanyak RM25 bilion, dalam usaha untuk terus membantu rakyat dan perniagaan mengatasi kesukaran kewangan yang terjejas akibat PKP yang berpanjangan.

Empat pakej rangsangan itu ialah Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) RM20 bilion, Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA Tambahan) RM40 bilion dan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) RM150 bilion.

Sementara itu, 2021 turut menjadi tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) 2021-2025, apabila RM400 bilion diperuntukkan di bawah pelan hala tuju negara selama lima tahun itu, meningkat sebanyak 61 peratus berbanding perbelanjaan sebenar sebanyak RM248.5 bilion untuk RMK11.

Diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 Sept, RMK12 mempunyai tiga tema, empat pemangkin dasar dan 14 pemacu perubahan untuk menyediakan asas yang kukuh untuk masa depan Malaysia.

Ismail Sabri, yang juga Naib Presiden UMNO, dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kesembilan pada 20 Ogos menggantikan Presiden Bersatu Muhyiddin yang meletak jawatan pada 16 Ogos selepas kehilangan sokongan majoriti di Parlimen.

Pada 27 Ogos, Ismail Sabri mengumumkan senarai barisan ‘Kabinet Berorientasikan Hasil’ melibatkan 31 menteri, termasuk 13 menteri berpengalaman di bawah kerajaan terdahulu yang termasuk Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Had hutang, Bajet 2022 bagi merangsang pemulihan

Berikutan Malaysia terus berdepan dengan gelombang Covid-19 yang masih tidak reda, Dewan Rakyat pada 11 Okt telah meluluskan kenaikan had hutang statutori kepada 65 peratus daripada KDNK berbanding 60 peratus sebelum ini.

Tengku Zafrul yang membentangkan dua rang undang-undang (RUU) iaitu Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) (Pindaan) 2021 dan Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) (Pindaan) 2021 pada Oktober berkata, RUU pertama bertujuan membiayai empat pakej bantuan dan rangsangan — PERMAI, PEMERKASA, PEMERKASA Tambahan dan PEMULIH yang memerlukan tambahan peruntukan sejumlah RM27 bilion.

Beliau berkata pindaan RUU kedua bertujuan memperoleh kelulusan meningkatkan had siling perbelanjaan di bawah Kumpulan Wang Covid-19 (KWC-19) dari RM65 bilion kepada RM110 bilion.

Tengku Zafrul pada Julai dilaporkan berkata defisit fiskal Malaysia dijangka meningkat sehingga antara 6.5 dan 7.0 peratus daripada KDNK pada 2021 daripada 6.0 yang disasarkan sebelumnya, selepas mengambil kira pakej rangsangan yang diumumkan kerajaan.

Bagi mengeluarkan Malaysia daripada kesuraman ekonomi, Malaysia telah membentangkan bajet terbesarnya — Bajet 2022 bernilai RM332.10 bilion pada 29 Okt, melebihi Bajet 2021 iaitu RM322.54 bilion, dengan sebahagian besarnya disalurkan untuk penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Menerusi Bajet 2022, Cukai Makmur yang dikenakan sekali sahaja telah diperkenalkan kepada syarikat yang menjana pendapatan bercukai tinggi, dengan RM100 juta pertama akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 24 peratus dan pendapatan bercukai selebihnya akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33 peratus bagi tahun taksiran 2022.

Dalam bajet itu, pendapatan daripada sumber asing yang diterima di Malaysia akan turut dikenakan cukai bermula 1 Jan, 2022.

Mengenai impak Bajet 2022 terhadap penarafan negara, Ketua Penyelidikan Pendapatan Tetap Maybank Kim Eng, Winson Phoon menjangkakan Fitch mengekalkan unjuran BBB+/Stabil manakala Moody’s pula pada unjuran A3/Stabil bagi Malaysia. Satu-satunya risiko ialah S&P, yang memberi prospek A-/Negatif untuk Malaysia.

“Persoalan penting adalah sama ada pengukuhan fiskal jangka sederhana Malaysia ini cukup besar atau pantas untuk mengelakkan penarafan diturunkan, yang saya fikir ia mungkin hampir-hampir berlaku,” katanya dalam webinar pada 3 Nov.

Omricon – tetamu tidak diundang

Ketika Malaysia berusaha untuk memulihkan pertumbuhan ekonominya, kemunculan varian baharu yang tidak dijangka, B.1.1.529 baharu atau lebih dikenali sebagai Omicron telah memberi satu lagi cabaran dalam perjalanan menuju pemulihan.

Pada 30 Nov, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan bahawa Malaysia terpaksa menangguhkan seketika usaha untuk beralih ke fasa peralihan ke endemik berikutan ketidaktentuan yang disebabkan oleh varian Omicron.

Bagaimanapun, Ambank Research terus mengekalkan unjuran terhadap pertumbuhan KDNK tahun penuh 2021 pada kira-kira 3.5 peratus dengan peningkatan sebanyak 4.0 peratus.

“Melangkah ke hadapan, peningkatan dalam sektor pembuatan akan kekal disokong oleh pembukaan semula ekonomi, elektrik dan elektronik berprestasi tinggi, pembuat sarung tangan, subkumpulan petroleum dan bahan kimia, permintaan luar yang kukuh dan harga komoditi yang tinggi.

“Kami masih memantau faktor-faktor yang menimbulkan ancaman besar kepada kemajuan pemulihan, sekiranya menjadi kenyataan, ia boleh menyebabkan kemelesetan ekonomi,” kata Ketua Ekonomi dan Ketua Penyelidik, Dr Anthony Dass dan ahli ekonomi Muhamad Farid Anas Johari dalam nota penyelidikan baru-baru ini.

Kementerian Kewangan menjangkakan KDNK berkembang antara 3.0 dan 4.0 peratus pada 2021 dan antara 5.5 dan 6.5 peratus pada 2022, disokong oleh peningkatan ketara dalam perdagangan global, harga komoditi yang stabil, pembendungan pandemik dan keadaan bertambah baik secara beransur-ansur dalam sentimen pengguna dan perniagaan.

Ia berkata selepas mempertimbangkan pertumbuhan hasil dan keperluan perbelanjaan, defisit fiskal dijangka menyederhana kepada 6.0 peratus dalam KDNK pada 2022.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Peniaga enggan vaksin sukar beroperasi, pergerakan terhad

KUALA SELANGOR, 19 OKT: Golongan usahawan dan peniaga yang enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 akan berhadapan kesukaran menjalankan aktiviti perniagaan mereka.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar berkata ini berikutan status vaksinasi merupakan satu daripada kriteria penting untuk membolehkan individu untuk pergi ke mana-mana tempat.

“Bila tidak lengkap dos vaksin ini, individu yang tidak dapat masuk ke mana-mana tempat ini akan mengganggu aktiviti ekonomi mereka,” katanya kepada media selepas melawat proses vaksinasi untuk remaja di pusat pemberian vaksin (PPV) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Kuala Selangor hari ini.

Namun setakat ini pihaknya tidak mewajibkan golongan usahawan di bawah kementerian itu untuk mengambil vaksin.

“Saya akan bincang (mengenai mewajibkan vaksinasi) namun setakat ini kita tidak mengenakan syarat tetapi kita akan lihat nanti betapa seriusnya perkara ini,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perhebat digitaliasasi perniagaan, pacu pemulihan ekonomi

SHAH ALAM, 13 SEPT: Selangor giat menumpukan usaha pemulihan ekonomi melalui proses digitalisasi  perniagaan, kata EXCO pelaburan, perdagangan dan perindustrian.

Dato’ Teng Chang Khim berkata ia selaras perkembangan pesat perniagaan berkaitan teknologi perbankan, pertanian dan e-dagang terutama dalam tempoh pandemik Covid-19.

“Langkah ini menjadi tumpuan Selangor untuk memulihkan ekonomi melalui digitalisasi atau menumpukan penggunaan teknologi dalam operasi perniagaan.

“Menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk menyediakan platform dan inisiatif yang diperlukan untuk memacu pertumbuhan ekonomi digital,” katanya berucap pada hari demo Program Pemecut Selangor (SAP) 2021 secara maya semalam.

Hari demo terakhir menyaksikan 30 peserta SAP berpeluang membuat pembentangan kepada pelabur, syarikat korporat dan agensi kerajaan.

Mereka dinilai tujuh juri yang menyumbang 70 peratus skor penilaian manakala 30 peratus merangkumi prestasi dan kehadiran sepanjang tiga bulan latihan, bimbingan serta pembelajaran.

10 syarikat rintis terbaik adalah eMLab, GFI Fintech, NextMind AI, Boss Boleh, Farmy, Xhinobi, Umorie, i-3s, Securepay dan SnappEd.

Sementara itu, Chang Khim menaruh kepercayaan terhadap peserta SAP supaya memainkan peranan dalam membantu pemulihan ekonomi negara melalui pelbagai inisiatif disediakan Kerajaan Negeri.

“Sidec (Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor) telah berusaha keras dalam membantu Kerajaan Negeri untuk memastikan ekosistem digital dapat memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini,” katanya.

Categories
AGENDA GLOBAL

Ancaman varian bahaya Delta, ekonomi global dijangka lambat pulih

SHAH ALAM, 11 JULAI: Menteri Kewangan Negara G20 memberi amaran varian Covid-19 Delta yang merebak dengan cepat dan melumpuhkan sistem penjagaan kesihatan awam boleh memperlahankan pemulihan ekonomi global.

Menurut kenyataan bersama semalam, pemulihan ekonomi itu adalah berdasarkan perbezaan bagi setiap negara yang tetap terdedah kepada penyebaran varian baharu virus Covid-19, lapor AFP.

Menteri kewangan G20 itu juga mengingatkan bahaya ‘kadar kemajuan program vaksinasi berbeza’ di seluruh dunia.

Kebimbangan utama adalah varian Covid-19 Delta, yang pertama kali muncul di India dan merebak dengan cepat di benua Asia dan Afrika sebelum menular ke Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

“Kami mempunyai ramalan ekonomi yang baik bagi semua negara G20,” kata Menteri Ekonomi Perancis, Bruno Le Maire.

“Satu perkara yang boleh mengancam pemulihan ekonomi yang kukuh dan pesat adalah varian Covid-19 serta gelombang baharu pandemik. Kita mesti menambah baik program vaksinasi di setiap negara seluruh dunia,” katanya.

Menteri Kewangan Britain, Rishi Sunak dalam nada bertentangan, apabila berkata kepada AFP dalam satu temubual di negara itu bahawa vaksin berkesan dalam menghalang kemasukan ke hospital dan kematian, termasuk varian Covid-19 Delta.

“Saya fikir ia memberi kita keyakinan untuk bergerak ke hadapan dan secara perlahan serta selamat membuka semula ekonomi dan negara kita,” kata Sunak.

Banyak negara, dari Sepanyol hingga ke Thailand, bagaimanapun mengambil langkah melaksanakan semula sekatan anti Covid-19.

G20 menggesa kempen vaksinasi di seluruh dunia dipercepat dan berjanji akan melakukan lebih lagi bagi membantu negara membangunan memberikan suntikan kepada warga mereka.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Selangor rancang ekonomi jangka panjang, bantu rakyat terkesan Covid-19

SHAH ALAM, 4 JULAI: Kerajaan Selangor merancang untuk membangunkan ekonomi jangka panjang pada tahun hadapan bagi membantu rakyat terkesan Covid-19, kata dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ketika ini pihaknya sedang meneliti segala anggaran perbelanjaan sepanjang 2022 dan akan mengumumkannya hujung tahun ini.

“Sejak Mac 2020 Selangor telah lancarkan lima pakej rangsangan, tidak termasuk belanjawan tahunan.

“Usaha terbaharu adalah Pakej Kita Selangor 2.0 bagi membantu individu atau mana-mana pihak yang terkesan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya menerusi wawancara ekslusif bersama The Star.

Awal Jun lalu, Amirudin mengumumkan Pakej Bantuan Kita Selangor 2.0 bertemakan ‘Bersama-sama Menuju Kejayaan’ bernilai RM551.56 juta yang bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat Selangor.

Pada Mac tahun lepas, Kerajaan Selangor mengumumkan pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin bernilai RM127.78 juta diikuti fasa kedua pada 1 April bernilai RM272 juta.

Pelan pemulihan ekonomi negeri sebanyak RM55.8 bilion nilai ekonomi dibentang pada 13 Julai diikuti Pakej Kita Selangor berjumlah 73.8 juta pada 20 Januari tahun ini.

Categories
AGENDA NASIONAL

Program vaksin besar-besaran dijangka pulihkan kembali Selangor

SHAH ALAM, 25 JUN: Program Vaksinasi Covid-19 Selangor (SCVP) yang dilaksana secara besar-besaran mulai Isnin menyasarkan pekerja industri dijangka dapat memulihkan semula Selangor selepas lebih setahun dilanda pandemik.

EXCO pelaburan, perdagangan dan perindustrian berkata beliau yakin program itu juga dapat membantu memulihkan semula ekonomi negeri selepas risiko penularan dalam kalangan pekerja dapat dikurangkan, lapor The Star.

“Kilang juga boleh kembali beroperasi dengan kapasiti sebelum ini selepas sebahagian pekerja sudah divaksin,” kata Dato’ Teng Chang Khim.

Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) pula berkata SCVP dapat mengembalikan keyakinan pelabur menjalankan perniagaan tanpa sekatan susulan pelbagai kekangan ketika pandemik.

“Banyak pengilang menandatangani kontrak untuk mengeluarkan dan menghantar produk tetapi tidak dapat memenuhi pesanan kerana tidak dapat beroperasi dengan kapasiti penuh kerana sekatan yang dikenakan,” kata Datuk Abdul Rahim Saad.

Semalam, Selgate Healthcare Sdn Bhd (Selgate) melancarkan SCVP menerusi pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) di lokasi terpilih mulai Isnin.

Maklum kenyataan Selgate, PPV terletak di Tropicana Garden Mall, Petaling Jaya; Evo Mall, Bangi; Kompleks PKNS, Kelana Jaya; Hotel De Palma, Shah Alam dan Aurora Mall, Bukit Jalil.

Pada 16 Jun, seramai 2,371 pekerja kilang Texas Instruments Malaysia Sdn Bhd menjadi kumpulan pertama dalam sektor perkilangan di Selangor disuntik vaksin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agong mahu usaha lawan Covid-19, pulih ekonomi diutama ketika darurat

KUALA LUMPUR, 12 APRIL: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah keutamaan dalam tempoh darurat hingga 1 Ogos ini wajar diberikan kepada usaha melawan wabak Covid-19 dan tindakan afirmatif untuk memacu pemulihan ekonomi.

Titah baginda, ini termasuk menerusi inisiatif kerajaan seperti Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan demi kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara.

Pada masa sama, Seri Paduka menzahirkan jaminan sistem pilihan raya berparlimen di bawah pentadbiran Raja Berperlembagaan yang mendukung prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan akan terus dipelihara di negara ini.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan sebuah kerajaan yang teguh merupakan prasyarat utama untuk kestabilan politik, pengukuhan ekonomi dan pembangunan negara yang lestari,” kata Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Negara hari ini.

Titah baginda, pada ketika negara dan rakyat masih bergelut dengan wabak Covid-19, kestabilan politik amat penting untuk menarik pelabur asing dan domestik bagi merangsang pemulihan ekonomi negara.

Ahmad Fadil berkata Seri Paduka juga menasihati ahli-ahli politik negara agar merapatkan saf berganding bahu memerangi penularan wabak Covid-19 demi keselamatan rakyat dan kesejahteraan negara.

Seri Paduka menasihati ahli politik supaya memberi fokus dan menunaikan tanggungjawab serta amanah dalam membantu rakyat yang amat terkesan oleh ancaman wabak itu tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Yang di-Pertuan Agong juga mahu ahli politik menjadi model peranan kepada rakyat dari segi penyatuan dan mengurus tadbir negara dengan baik, katanya.

“Biarlah kehadiran bulan Ramadan yang mulia ini menjadi titik mula yang baik ke arah penambahbaikan landskap politik yang lebih bersih, beradab dan berintegriti,” kata Ahmad Fadil.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

GM Klang sedia persekitaran beli-belah selamat, selesa

KUALA LUMPUR, 17 MAC: GM Klang menyediakan persekitaran membeli-belah yang selamat dan selesa untuk pengunjung di pusat borong terkemuka itu, seiring usaha negara dalam memerangi penularan Covid-19.

Pengurus Pengiklanan dan Promosinya Norsuhaida Othman berkata menjangkakan peningkatan pengunjung ke kompleks itu menjelang musim perayaan, GM Klang akan memastikan tatacara operasi piawai (SOP) bagi mencegah penularan wabak itu dipatuhi.

Beliau berkata GM Klang bukan sahaja menjadi tumpuan orang ramai bagi persiapan Hari Raya, malah menjadi lokasi pilihan bagi peniaga dan usahawan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) untuk menambah stok jualan perniagaan mereka.

“Peniaga dan usahawan PKS mengambil peluang ini untuk merancakkan kembali aktiviti perniagaan mereka yang terjejas akibat pandemik sebelum ini dan mula menambah stok bisnes dengan pelbagai pilihan di GM Klang untuk diniagakan sama ada di bazar, pasar, mahupun secara dalam talian.

“Kami juga dapati ramai sudah mampu untuk mempertingkatkan pembelian stok mereka, ini mungkin disebabkan oleh insentif kerajaan yang diterima,” katanya dalam kenyataan.

Beliau optimis situasi itu adalah petanda positif yang mampu menjadikan transaksi perniagaan dan ekonomi kembali rancak.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA EKONOMI NASIONAL

Kajian: Ekonomi Malaysia dijangka tumbuh 5.2-5.9 peratus pada 2021

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Ekonomi Malaysia diunjur pulih pada tahun ini dengan pertumbuhan sekitar 5.2 peratus hingga 5.9 peratus, demikian menurut AmBank Research pada Isnin.

Dalam nota penyelidikannya, ia berkata ini didorong oleh peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan perdagangan global, langkah-langkah bantuan rangsangan, usaha membendung penularan Covid-19 serta pelaksanaan langkah pemvaksinan.

Jumlah pelaburan secara keseluruhannya juga diunjur meningkat dengan prospek sama turut dialami sektor-sektor utama dalam ekonomi, katanya.

“Oleh itu, peningkatan perbelanjaan modal dijangka berlaku pada tahun ini. Bagaimanapun, pertumbuhan bagi 2021 akan dijejaskan oleh peningkatan kes Covid-19 serta pelaksanaan langkah kawalan pergerakan pada Januari,” katanya.

Menurut AmBank Research, impak yang dapat dilihat pada suku pertama 2021 bagaimanapun kurang ketara berbanding kesan pelaksanaan kawalan pergerakan pada April 2020.

“Namun, kami masih bimbangkan keadaan perniagaan mikro, kecil dan sederhana. Atas alasan itu, KDNK tahun penuh 2021 dijangka sekitar 5.2 peratus hingga 5.9 peratus.”

AmBank Research berkata seperti dijangkakan, KDNK susut pada suku keempat 2020 — prestasi lebih rendah pada suku sebelumnya akibat peningkatan kes Covid-19 dan langkah kawalan bagi membendung penularannya.

Penguncupan KDNK suku keempat 2020 pada 3.4 peratus bagi tahun ke tahun sememangnya dalam jangkaan firma penyelidikan berkenaan iaitu sekitar -3.2 peratus dan -3.5 peratus berikutan semakan semula -2.6 peratus tahun ke tahun bagi suku ketiga 2020.

“Berikutan pertumbuhan negatif bagi tiga suku berturut-turut dengan (angka) terbesar pada suku kedua 2020 pada -17.1 peratus tahun ke tahun, KDNK bagi tahun penuh susut 5.6 peratus yang merupakan peningkatan daripada unjuran kami pada -5.5 peratus,” katanya.

Ini merupakan penguncupan terbesar pernah dicatatkan berbanding -7.4 peratus sewaktu krisis kewangan Asia pada 1998.

Selain itu, penurunan nominal KDNK sebanyak 6.3 peratus itu juga disebabkan oleh impak deflasi.

– BERNAMA