Categories
PBT SELANGOR

1,600 anak pokok ditanam sekitar muara, pulih habitat pesisir pantai

SEPANG, 27 FEB: Sebanyak 1,600 anak pokok pelbagai jenis ditanam di dua muara sungai sekitar daerah ini bagi memperkukuh kawasan berkenaan sebagai zon penampan ombak.

1,000 anak pokok bakau jenis ‘Rhizophora Apiculata’ dan ‘Rhizophora Mucronata’ ditanam di Sungai Sepang Besar, Pantai Pasir Putih hari ini manakala baki pokok ketapang dan rhu di Pantai Bagan Lalang esok.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) inisiatif itu mampu memulihkan habitat pesisir pantai yang menempatkan kepelbagaian biologi selain memperkaya sumber hasil pantai.

“Secara tidak langsung, ia berperanan menjamin keselamatan sumber makanan dari laut dan sosioekonomi masyarakat tempatan terutama nelayan,” kata Dato’ Abd Hamid Hussain ketika ditemui.

Program selama dua hari itu mendapat kerjasama Jabatan Perhutanan Selangor, Institut Rimbawan Malaysia, Balai Iktisas Malaysia disertai mahasiswa jurusan perhutanan dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sementara itu, Abd Hamid berkata pokok berperanan membantu mengimbangi suhu dan iklim setempat sekali gus mengurangkan fenomena pulau haba.

“Pada masa ini, isu pemanasan global menjadi topik utama yang memberi kesan besar kepada alam sekitar.

“Perubahan iklim mengakibatkan bencana seperti peningkatan paras air laut yang mendadak dan banjir,” katanya lagi.

Sukarelawan menanam anak pokok bakau dalam program penanaman pokok anjuran Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) dan Jabatan Perhutanan Selangor di Sungai Sepang Besar, Pantai Pasir Putih, Sepang pada 27 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor negeri pertama miliki rancangan pengurusan hutan

KUALA KUBU BHARU, 11 NOV: Selangor satu-satunya negeri mempunyai rancangan pengurusan tulang belakang hutan tengah (CFS) bagi memelihara dan melindungi ekosistem biodiversiti.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif bermula 2020 hingga 2029 itu sudah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 2019 dan menjadi bukti keprihatinan pihaknya berhubung penjagaan alam sekitar.

Jelas Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi rancangan berkenaan Kerajaan Selangor meluluskan jawatankuasa pemandu dan teknikal CFS selain sokongan dari agensi teknikal terutama pejabat tanah dan galian, pejabat tanah daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Peruntukan berjumlah RM60 juta diluluskan untuk tempoh itu bagi menjayakan segala aktiviti. Selain itu Kuala Kubu Bharu dipilih bandar CFS manakala Felda Soeharto, Gedangsa dan Sungai Tengi sebagai sahabat CFS.

“Harimau kumbang dijadikan ikon CFS. Alhamdulillah kita bangga cuma bagaimana (cara) pemantauan dan pelaksanaan itu akan dipertimbangkan,” katanya.

Beliau berucap merasmikan sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Selangor dan pengisytiharan Kuala Kubu Bharu sebagai wilayah CFS di Taman Tasik Millenium, dekat sini.

Majlis julung kali itu turut dihadiri Ketua Pengarah Perhutanan Semananjung Malaysia Datuk Mohd Ridza Awang;EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Haris Kasim.

Sementara itu Amirudin berkata pewartaan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara pada September menjadikan keluasan hutan simpanan kekal di negeri ini sebanyak 31.51 peratus.

“Pencapaian ini satu manifestasi yang amat signifikan dalam pengurusan hutan negeri,” katanya.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor pada pembukaan sidang Dewan Negeri Selangor pada Ogos bertitah kewajaran mengekalkan keluasan hutan simpan tidak kurang 30 peratus daripada tanah negeri dalam melaksanakan agenda hijau.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah setakat ini 31.47 peratus keluasan negeri melibatkan 250,000 hektar kawasan sudah diwartakan sebagai hutan simpan kekal.

Kerajaan Negeri turut menyasarkan 32 peratus kawasan diwartakan sebagai hutan kekal simpan pada 2025.