Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Ekspo pelancongan promosi Pusing Selangor Dulu, tingkat jumlah pelancong

SHAH ALAM, 26 OGOS: Kempen pelancongan domestik “Pusing Selangor Dulu” akan dipromosikan dalam Ekspo Pelancongan Maya (VTE) 2021 yang berlangsung mulai esok sehingga Ahad ini.

Pengurus besar Tourism Selangor berkata ia bagi meningkatkan jumlah kedatangan pelancong apabila pergerakan domestik dibenarkan melalui pembudayaan norma baharu.

“Usaha ini mampu membantu operator pelancongan negeri menjana pendapatan menerusi penjualan pakej pelancongan domestik ditawarkan VTE2021 sekali gus memberi sinar kepada industri yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

“Penyertaan ini memberi peluang kepada penggemar aktiviti pelancongan untuk mendapatkan maklumat terkini berkaitan produk sedia ada di Selangor termasuk yang terbaharu,” kata Azrul Shah Mohamad dalam kenyataan.

Beliau menambah pembabitan Tourism Selangor dalam ekspo anjuran Persatuan Teknologi Pelancongan Digital Malaysia (DiTTAM) mampu memberikan pendedahan dan pembelajaran bagi pelaksanaan program pendigitalan pelancongan pasca pandemik.

“Pusing Selangor Dulu” dilancarkan 17 Disember tahun lalu sebagai pendekatan menggalakkan rakyat tempatan melancong ke negeri ini.

Aktres popular Che Puan Juliana Evans dilantik sebagai duta pelancongan Selangor bagi mempromosikan kempen terbabit.

Penggemar aktiviti pelancongan boleh menyertai VTE2021 di pautan https://vte2021.malaysiaexpo.net/.