Categories
AGENDA NASIONAL

Petugas KKM terima sekali bayar RM500, elaun khas RM600 diteruskan

SHAH ALAM, 6 NOV: Kira-kira 100,000 kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia bakal menerima bantuan sekali bayar (one-off) berjumlah RM500 sebagai menghargai jasa mereka memerangai pandemik Covid-19.

Menteri Kewangan berkata elaun khas bernilai RM600 bermula Mac lalu juga akan diteruskan sehingga ancaman virus ini berjaya diatasi.

“Kerajaan menghargai pengorbanan dan keringat petugas barisan hadapan dalam mengendalikan wabak Covid-19 ini,” kata Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Elaun khas bakar semangat petugas kesihatan

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Pemberian elaun khas sebanyak RM400 sebulan kepada doktor dan petugas perubatan yang lain merupakan satu pengiktirafan terhadap mereka di lapangan yang melaksanakan tugas berisiko tinggi menghadapi penularan jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya menyambut baik langkah kerajaan memberikan elaun khas kepada petugas yang secara langsung terdedah kepada risiko jangkitan penyakit berkenaan.

“Elaun khas ini merupakan satu pengiktirafan terhadap pengorbanan petugas di lapangan yang melaksanakan tugas berisiko tinggi dalam tindakan kesiapsagaan dan respons bagi menghadapi penularan jangkitan Covid-19.

“Terima kasih diucapkan atas tanda penghargaan ini. Semoga ia menjadi pendorong dan pembakar semangat bagi petugas kesihatan demi memelihara kesihatan dan keselamatan rakyat negara ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Semalam, Perdana Menteri interim Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya berkata elaun khas RM400 sebulan akan diberikan kepada doktor dan petugas perubatan serta RM200 kepada imigresen dan petugas lain yang terlibat, berkuat kuasa Februari 2020 hingga wabak Covid-19 berakhir.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Cadang Elaun Khas Kepada Kakitangan Pakar Hal Ehwal Tanah

MB Bengkel 01

SHAH ALAM 7 FEB : Kerajaan Negeri Selangor akan meminta Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri supaya memberikan elaun khas kepada kakitangan yang mempunyai kepakaran terhadap hal ehwal tanah.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata elaun itu wajar diberikan selepas pihak PTG mengadakan kursus kemahiran dan pendidikan kepada kakitangannya beserta sijil.

“Saya mahu penjawat awam mempunyai kemahiran dan keupayaan yang luas. Kita bagi mereka ilmu dan dengan ilmu itu mereka dapat jalankan pelbagai tugasan.

“Jika mereka lulus, kita bagi elaun. Di Selangor, kita mentadbir dengan telus, lebih lagi perkara yang melibatkan tanah.

“Kita banyak selesaikan isu tanah yang berbangkit, contohnya kita berjaya selesaikan projek perumahan terbengkalai Bukit Botak dan Alam Perdana di Puncak Alam. Juga masalah kegagalan segelintir pemaju perumahan menjelaskan bayaran premium dalam tempoh yang ditetapkan.

“Oleh itu, mereka ini perlu belajar bagaimana cara kita mentadbir dan menyelesaikan masalah-masalah ini. Juga belajar sesuatu yang baru contohnya penggunaan teknologi atau sebagainya,” katanya selepas Merasmikan Bengkel Pengurusan Tanah negeri bagi tahun 2008-2012.

Hadir sama Pengarah PTGS, Datuk Kamarulzaman Jamil dan Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Selangor, Rodziah Ismail.

Tambahnya, dengan pendekatan itu, kakitangan dapat mempelajari dan mengubah cara pentadbiran yang diikuti sebelum Kerajaan Negeri yang baru ini.

“Sekarang kita masuk ke peringkat menyelesaikan secara keseluruhannya iaitu masalah pemilikan dan pentadbiran tanah secara keseluruhannya, bukan separuh jalan sahaja.

“Walaupun tidak mudah untuk mereka memahami perkara yang undang-undang tanah, tetapi ia satu kriteria yang membolehkan mereka jalani tugas dengan teratur,” katanya.