Categories
NASIONAL

Elaun Sara Hidup Nelayan diteruskan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 31 MEI: Kerajaan akan meneruskan Elaun Sara Hidup Nelayan untuk dinikmati 55,000 nelayan laut dan 5,400 nelayan darat.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, ketetapan itu diambil selepas menyemak kementerian itu mempunyai bajet mencukupi untuk meneruskan pembayaran elaun.

“Kementerian juga akan mengkaji kenaikan elaun tersebut jika keadaan kewangan negara dapat dipulihkan dengan kadar segera.

“Sekiranya keadaan ekonomi negara dapat dipulihkan secepat mungkin dan kita dapat meningkatkan pendapatan negara, saya mengambil tanggungjawab memastikan elaun kumpulan ini dapat ditambah dan saya akan mohon bajet yang lebih untuk kementerian,” katanya.

Katanya, ketika ini nelayan zon A menikmati elaun sebanyak RM300 sebulan, manakala RM250 bagi nelayan zon B, C dan C2.

Perkara itu dijelaskan bagi menjawab isu yang mengaitkan elaun bulanan persatuan itu akan ditamatkan susulan perubahan pucuk pimpinan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dalam pada itu, beliau berkata Kabinet hari ini turut meluluskan penubuhan Majlis Penasihat Pertanian Negara dan anggota majlis itu akan diperkenalkan selewat-lewatnya Isnin depan.

“Anggota majlis tidak lebih 10 orang. Peringkat pertama mungkin akan lantik lima hingga enam orang dan selepas itu kita akan lihat individu dan kepakaran tertentu yang akan kita isi kemudian,” katanya.

-Bernama