Categories
AGENDA NASIONAL

Bekalan elektrik 706 kawasan di empat negeri pulih, 167 di Selangor

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Bekalan elektrik di 539 kawasan di Pahang, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur yang terjejas akibat banjir sudah dipulihkan, sehingga 11 pagi tadi.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) memaklumkan bekalan elektrik pulih di 396 kawasan di Pahang, 25 kawasan di Negeri Sembilan dan 118 kawasan di Kuala Lumpur.

Sementara, bekalan elektrik di 167 kawasan di Selangor telah dipulihkan setakat 12 tengah malam tadi.

“Jika banjir sudah surut di kawasan anda tetapi masih belum menerima bekalan elektrik, hal ini disebabkan oleh pencawang elektrik yang menyalurkan bekalan elektrik ke premis anda masih belum benar-benar selamat untuk diaktifkan,” katanya melalui laman Facebook rasmi TNB Careline, hari ini.

Selain itu, 105 kawasan di Pahang dan dua kawasan masing-masing di Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur serta 127 kawasan di Selangor masih belum mendapat bekalan elektrik ekoran penutupan bekalan oleh TNB demi keselamatan pengguna setempat.

“Usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat bergantung kepada akses dan keadaan setempat,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

284 laluan di Selangor terjejas akibat banjir, 27 jalan ditutup

SHAH ALAM, 25 DIS: Sebanyak 284 jalan persekutuan dan negeri di Selangor terjejas akibat banjir pada minggu lalu, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata daripada jumlah itu 11 jalan persekutuan di Petaling, Gombak, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sepang, Hulu Langat dan Hulu Selangor ditutup.

“Manakala 16 jalan negeri di Kuala Selangor, Sepang, Hulu Langat dan Sabak Bernam ditutup setakat semalam,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau terdapat 38 kes cerun dan tanah runtuh di lima wilayah pentadbiran pihak berkuasa tempatan yang mana tujuh daripada kritikal.

Tujuh kawasan kritikal:
1. Taman Nusa, Subang (MBSA)
2. Apartmen Teratai, Selayang (MPS)
3. Jalan Bunga Anggerik, Taman Dataran Ukay (MPAJ)
4. Jalan Melati 7, Taman Seri Melati (MPS)
5. Kampung Sepakat, Batu 16, Rawang (MPS)
6. Jalan Haji Abdul Latif, Kampung Bukit Kapar (MPK)
7. Jalan 45B, Bukit D, Kampung Cheras Baru (MPAJ)

Status sistem pengairan dan saliran:
1. Stesen Sungai Langat (Bukit Changgang) dan Stesen Sungai Buloh – trend menurun
2. Stesen Sungai Langat (TNB Pangsun) – trend mendatar.

Empangan
1. Status – 100 peratus terkawal
2. Trend menurun – Empangan Batu, Semenyih, Klang Gates, Tasik Subang dan Sungai Tinggi
3. Trend bertahan – Empangan Langat, Sungai Selangor dan Kolam Takungan Sungai Labu
4. Melaksanakan pelepasan – Empangan Batu dan Klang Gates

Telekomunikasi (342 menara terjejas)
1. 177 menara – beroperasi sepenuhnya
2. 165 menara – peringkat baik pulih
3. Kawasan paling terjejas – Klang (53), Petaling (52) dan sepang (28)

Bekalan elektrik (1,407 pencawang terjejas)
1. Proses baik pulih – 147 (89 di Shah Alam dan 31 di Sepang)
2. Pulih gGuna genset – 30 lokasi
3. Pulih guna bekalan grid biasa – 3 lokasi

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Indeks Pengeluaran Perindustrian melonjak 9.3 peratus pada Mac 2021

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia melonjak 9.3 peratus pada Mac 2021 berbanding angka pada bulan yang sama 2020 dan ia merupakan angka tertinggi yang dicatatkan bagi tempoh sejak Julai 2013, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan IPP pada Mac 2021 dipacu oleh indeks pembuatan dan elektrik yang masing-masing meningkat 12.7 peratus dan 10.3 peratus.

“Bagaimanapun indeks perlombongan menguncup 1.9 peratus,” katanya dalam kenyataan pada Khamis bagi mengulas laporan IPP Malaysia, Mac 2021 yang dikeluarkan DOSM.

Menurut jabatan itu, IPP bagi suku pertama 2021 berkembang 3.9 peratus berbanding angka pada tempoh yang sama tahun lepas.

Pertumbuhan ini didorong peningkatan 6.8 peratus dalam indeks pembuatan namun sektor perlombongan dan elektrik masing-masing merekodkan kemerosotan 4.1 peratus dan 0.1 peratus, jelasnya.

DOSM melaporkan subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada Mac 2021 adalah kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (20.9 peratus), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (14.1 peratus) serta produk peralatan elektrik dan elektronik (13.8 peratus).

Ia menambah, industri berorientasikan eksport menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembuatan sebanyak 12.4 peratus manakala industri berorientasikan domestik meningkat 13.4 peratus.

Pertumbuhan sektor pembuatan turut didorong oleh kadar kapasiti penggunaan kilang yang tinggi terutama dalam subsektor produk peralatan elektrik dan elektronik serta produk petroleum, kimia, getah dan plastik.

Prestasi sektor pembuatan ini juga selari dengan pertumbuhan eksport yang memberangsangkan dan IPP bagi beberapa rakan dagang utama Malaysia, tambah jabatan itu.

Output sektor perlombongan menguncup 1.9 peratus pada Mac 2021 berbanding tempoh yang sama 2020 disebabkan oleh penurunan indeks minyak mentah dan kondensat (-9.4 peratus).

Pada masa yang sama, indeks gas asli berkembang 4.3 peratus, menurut DOSM.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Elak ubah kedudukan meter elektrik tanpa maklumkan TNB

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Pemilik kediaman yang berhasrat untuk mengalih atau mengusik pepasangan Tenaga Nasional Bhd (TNB) termasuk meter elektrik ketika membuat pengubahsuaian dinasihatkan untuk memaklumkan kepada TNB terlebih dahulu.

Dalam kenyataan di sini, hari ini TNB memaklumkan kebenaran perlu diperoleh daripada syarikat itu sebelum pengalihan pepasangan dilakukan supaya sebarang kerja yang dijalankan mengikut spesifikasi TNB dan tidak menganggu bekalan elektrik.

“Pengalihan pepasangan TNB yang tidak teratur boleh mengakibatkan gangguan bekalan yang kerap, kejadian voltan berlebihan, litar pintas atau kebakaran di kediaman pengguna,” menurut kenyataan itu.

Penglibatan diri dalam sebarang aktiviti berhampiran pepasangan elektrik tanpa kebenaran sah termasuk tindakan mengusik atau mengalihkan kedudukan meter elektrik TNB menjadi kesalahan mengikut Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.

Individu yang disabitkan kesalahan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya.

Bagi sebarang pertanyaan berkaitan akaun dan bil, pelanggan disarankan untuk menghubungi TNB CareLine di talian 1300885454 atau e-mel kepada [email protected] atau kunjungi Kedai Tenaga yang berhampiran.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TNB: Mesin penapis air antara punca bil elektrik tinggi

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Mesin penapis air yang mempunyai fungsi pemanas dan penyejuk dikenal pasti menjadi antara punca peningkatan bil elektrik terutamanya ketika cuaca panas yang sedang melanda negara.

Ketua Retail Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor Ismail Lathifi Teh berkata peralatan elektrik yang mempunyai fungsi sedemikian seperti peti sejuk dan alat penyaman udara dan kini penapis air minuman menggunakan tenaga elektrik yang banyak untuk mengekalkan suhu berkenaan terutamanya ketika cuaca panas.

“Pada cuaca panas seperti sekarang ini, mesin yang mempunyai kompresor akan menggunakan tenaga yang lebih banyak untuk mengekalkan suhu.

“Jadi lebih kerap kita membuka pintu peti sejuk dan lebih kerap kita mengambil air sejuk daripada penapis air di rumah, lagi banyak tenaga elektrik yang akan digunakan oleh peralatan berkenaan bagi mengekalkan suhu sejuk,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata contohnya, jika tangki penapis minuman yang menyimpan air sejuk habis ia akan diisi dengan air yang baharu dan kompresor akan berfungsi untuk menyejukkan air berkenaan.

Ismail Lathifi berkata jika lebih banyak isian semula berlaku, lebih kerap kompresor berkenaan berfungsi dan ini akan menyebabkan peningkatan penggunaan elektrik.

Dalam pada itu, Ismail Lathifi turut menasihati pengguna agar menetapkan pemasa pada alat penyaman udara masing-masing selain menetapkan suhu antara 24 hingga 26 darjah Celcius sahaja bagi menjimatkan penggunaan elektrik.

“Pengguna digalakkan menggunakan pemasa yang ada pada penyaman udara masing-masing dan menetapkan agar ia ditutup pada awal pagi kira-kira pukul 2 pagi dan ke atas kerana ketika itu cuaca mulai sejuk dan memasang kipas untuk mengekalkan suhu sejuk di dalam rumah,” katanya.

Ismail Lathifi turut menyarankan kepada pengguna agar melakukan servis terhadap penyaman udara secara berkala agar ia dapat berfungsi dengan lebih efisien dan jimat.

“Saya dapat aduan yang mengatakan mereka (pengguna) tidak menggunakan penyaman udara tetapi kenapa bil elektrik melambung, mereka lupa bahawa barang elektrik lain juga menggunakan elektrik,” katanya lagi.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

TNB: Cara jimat elektrik semasa cuaca panas

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Cuaca panas yang dijangka berterusan hingga bulan depan boleh menyebabkan penggunaan elektrik yang tinggi, oleh itu Tenaga Nasional Berhad (TNB) hari ini mengeluarkan panduan bagi menjimatkan tenaga elektrik di waktu cuaca panas.

Antara perkara mudah yang boleh diamalkan adalah mematikan penyaman udara, kipas dan lampu di dalam bilik yang kosong serta mematikan suis peralatan elektrik seperti komputer selepas selesai digunakan.

Menurut panduan itu, ketika cuaca panas terik tindakan menutup tingkap dengan langsir tebal boleh menghalang haba masuk dan bebankan pendingin hawa, semakin kurang beban pada penyaman udara untuk menyejukkan bilik, semakin rendah penggunaan elektrik.

Selain itu, menghidupkan kipas pada waktu malam membantu penggerakan udara di dalam bilik selepas beberapa jam penyaman udara dihidupkan, suhu bilik akan berada dalam keadaan selesa dan menetapkan masa untuk mematikan penyaman udara juga boleh menjimatkan penggunaan elektrik.

TNB dalam kenyataan turut menekankan, cuaca yang panas ini boleh dimanfaatkan dengan menjemur pakaian daripada menggunakan mesin pengering pakaian dan elakkan suis alat pemanas air terbuka tanpa digunakan.

Pengguna digalak memilih alat elektrik berlabel cekap tenaga 4 atau 5 bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk membantu menjimatkan penggunaan elektrik di kediaman.

Meter Pintar berupaya memantau penggunaan elektrik secara langsung, oleh itu, pengguna boleh mengendalikan tenaga dengan lebih efisien kerana meter ini boleh menghantar maklumat penggunaan tenaga kepada pengguna.

Maklumat lanjut mengenai langkah penjimatan elektrik dengan bijak boleh didapati di www.mytnb.com.my/energy-efficiency/home-energy-savings-tips/tips-tricks.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Indeks keluaran industri naik 1.7 peratus pada Dis 2020

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) meningkat 1.7 peratus pada bulan Disember 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya, dipacu oleh indek pembuatan sebanyak 4.1 peratus, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Bagaimanapun, indeks perlombongan dan elektrik, masing-masing menyusut 5.4 peratus dan 0.2 peratus.

Jabatan Perangkaan berkata output sektor pembuatan berdasarkan perbandingan tahun ke tahun meningkat 4.1 peratus pada bulan Disember 2020 selepas mencatatkan pertumbuhan 2.0 peratus pada bulan November 2020.

“Subsektor utama yang menyumbang kepada kenaikan sektor pembuatan pada bulan Disember 2020 adalah kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (8.4 peratus), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (7.7 peratus) dan produk peralatan elektrik dan elektronik (7.6 peratus), katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin.

Ia menambah output sektor perlombongan menguncup 5.4 peratus pada bulan Disember 2020 berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya dan kemerosotan itu disebabkan oleh penurunan dalam indeks minyak mentah dan kondensat (-9.0 peratus) serta indeks gas asli (-2.5 peratus).

Output sektor elektrik menurun sedikit 0.2 peratus pada Disember 2020 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, IPP bagi suku tahun keempat 2020 jatuh 0.3 peratus berbanding dengan tempoh yang sama tahun sebelumnya dan ini terutamanya disebabkan oleh penguncupan dalam perlombongan (-10.5 peratus) dan elektrik (-0.6 peratus).

Bagaimanapun, sektor pembuatan merekodkan peningkatan 2.8 peratus.

IPP bagi keseluruhan tahun 2020 merekodkan penyusutan 4.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, dipengaruhi oleh semua indeks iaitu indeks perlombongan (-9.7 peratus), indeks elektrik (-3.7 peratus) dan indeks pembuatan (-2.7 peratus).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Waspada bahaya elektrik ketika banjir, ambil langkah awal

PUTRAJAYA, 25 NOV: Suruhanjaya Tenaga (ST) mengingatkan orang ramai terutamanya yang tinggal di kawasan rendah serta berisiko banjir supaya mengambil langkah persediaan bagi mencegah sebarang kemalangan berpunca daripada elektrik.

Suruhanjaya itu dalam kenyataan hari ini berkata sebelum banjir, orang ramai perlu mematikan bekalan masuk utama ke rumah di papan agihan dengan meletakkan suis utama pada kedudukan ‘OFF’.

“Pastikan semua suis dalam keadaan ‘OFF’ dan cabut palam kuasa daripada soket kuasa semua kelengkapan elektrik serta simpan kelengkapan elektrik di tempat yang tinggi dan selamat daripada ditenggelami atau terkena air banjir,” katanya.

Semasa banjir pula, orang ramai perlu mengelak daripada melalui kawasan yang ada talian elektrik kerana paras air yang tinggi akan menyebabkan talian tersebut mudah disentuh, terutamanya pada waktu malam kerana ketika itu penglihatan tidak begitu jelas.

Selain itu, ST berkata orang ramai juga perlu menjauhkan diri dari lokasi terdapat talian elektrik yang jatuh atau putus bagi mengelak daripada renjatan elektrik akibat talian yang masih berarus elektrik.

Selepas banjir, katanya orang ramai diminta berhati-hati kerana kelengkapan elektrik dan pepasangan elektrik yang ditenggelami air berpotensi mendatangkan bahaya kerana ia boleh mengalirkan arus elektrik di kawasan persekitaran dan menyebabkan kehilangan nyawa dan harta benda.

Orang ramai perlu memastikan semua kelengkapan elektrik yang terendam di dalam air diperiksa dan berada dalam keadaan kering dan baik sebelum digunakan semula dan elak menggunakan kelengkapan yang diragui keselamatannya, katanya.

Sebelum ‘ON’ suis utama, pengguna perlu memeriksa semua pendawaian rumah dan kelengkapan elektrik dan ia hendaklah dilakukan oleh kontraktor elektrik yang berdaftar dengan ST.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

UTHM hasilkan kereta elektrik ‘ECO’, dilengkapi kecerdasan buatan

BATU PAHAT, 15 OKT: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) membuktikan negara ini tidak kekurangan bakat tempatan dalam industri automotif apabila sekumpulan penyelidiknya berjaya mencipta kenderaan berkuasa elektrik yang dinamakan ‘ECO’.

Ketua Projek ECO Prof Madya Dr Samsul Haimi Dahlan berkata ECO siap dalam masa 14 bulan, iaitu dua bulan lebih awal daripada jadual asal pada penghujung November ini.

Menurut penyelidik di Pusat Penyelidikan Elektromagnet Gunaan (ENCenter) UTHM itu, penyelidikan mengenai kereta berkenaan dijalankan oleh Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE) UTHM.

“Antara tujuan utama penghasilan kereta elektrik ini ialah untuk menyahut seruan penghasilan kenderaan masa depan yang lebih mesra alam, bebas pencemaran bunyi, asap dan yang lebih penting dapat mengelakkan gangguan elektromagnetik,” katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.

Katanya antara kelebihan ECO ialah kos pengoperasian hanya sekitar RM4 untuk pecutan 100 kilometer sejam berbanding kenderaan menggunakan bahan bakar petrol yang memerlukan RM30 untuk jarak sama.

“Kita juga cukup bertuah apabila UTHM memberikan geran dalaman sebanyak RM55,000 untuk menghasilkan kereta elektrik yang mampu membawa bebanan (barangan) sehingga 200 kilogram pada satu-satu masa.

“Sasaran pasaran kereta elektrik ini ialah trak pengangkut ringan yang kebiasaannya digunakan sebagai trak makanan. ECO sesuai digunakan bagi tujuan itu kerana saiz yang agak kecil selain kos penyelenggaraan yang lebih rendah,” katanya.

Selain dikuatkuasakan oleh bateri lithium-ion yang berjangka hayat hingga 10 tahun, ECO juga dilengkapi kemudahan kecerdasan buatan (AI) yang menerima arahan suara bagi mengoperasikan pengelap cermin dan membelok, katanya.

Menurutnya, ECO dibangunkan dengan kerjasama pensyarah FKEE Dr Xavier Ngu Toh Ik yang pernah terlibat sebagai konsultan pembinaan kereta elektrik di luar negara, Dr Mohd Razali Tomari, Mohd Rostam Anuar dan Miskiah Muhammad Ihsan.

Samsul Haimi juga berkata setakat ini beberapa syarikat menunjukkan minat terhadap ECO bagi kegunaan sendiri.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

TNB serbu premis di Klang curi elektrik lombong kripto

PELABUHAN KLANG, 8 JULAI: Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyerbu dua premis perniagaan matawang kripto di Taman Pendamar Indah di sini, kerana disyaki beroperasi dengan mencuri bekalan elektrik.

Serbuan Ops Bitcoin selama hampir dua jam bermula kira-kira 9 pagi itu, dijalankan 40 kakitangan SEAL (Special Engagement Against Losses) TNB bersama 12 penguatkuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan 15 kakitangan ST.

Pengarah Unit Perancangan dan Penyelarasan Penguatkuasaan ST Ir Shafie Mohamed berkata, siasatan selama sebulan yang dijalankan TNB menemukan satu pendawaian haram diwujudkan, untuk menyalurkan bekalan elektrik ke premis terbabit.

“Pendawaian haram ini dilakukan supaya bekalan elektrik disambung secara terus dan tidak melalui meter TNB. Dianggarkan premis ini telah beroperasi sejak tiga bulan lepas,” katanya kepada pemberita selepas serbuan berkenaan di sini, hari ini.

Kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) melakukan kerja pemotongan bekalan elektrik dalam Operasi Pengekangan Kes Penggunaan Elektrik Secara Curang oleh Premis Cryptocurrency di One Kesas pada 8 Julai 2020. Operasi bersepadu ini dijalankan bersama Suruhanjaya Tenaga dan Majlis Perbandaran Klang. Foto: BERNAMA

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK) Elya Marini Darmin.

Tambah Shafie, pihaknya menganggarkan TNB mengalami kerugian kira-kira RM30,000 setiap bulan bagi sebuah premis yang melakukan kegiatan mencuri elektrik berkenaan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 37 Akta Bekalan Elektrik 1990 dan jika didapati bersalah, mereka boleh didenda dan dihukum penjara,” katanya.

Sementara itu, Elya Marini berkata, MPK mengenal pasti 21 premis di sekitar kawasan pentadbiran majlis perbandaran itu, yang melakukan kegiatan mencuri bekalan elektrik.

Katanya, MPK akan mengenal pasti pemilik premis berkenaan dan maklumat mengenainya akan disalurkan kepada ST serta TNB, untuk siasatan lanjut bagi dikenakan tindakan undang-undang.

“Siasatan dijalankan oleh ST dan TNB kerana mungkin sambungan itu dibuat sama ada oleh pemilik, penyewa atau penceroboh.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

Guna sisa makanan, jimat elektrik

OLEH ERMIZI MUHAMAD

CYBERJAYA, 28 NOV : Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) memperkenalkan kaedah penjimatan baru tenaga elektrik untuk dimanfaatkan penduduk perbandaran itu.

Yang Dipertua MPSepang, Dato’ Puasa Md Taib berkata, pelaksanaan pelan teknologi itu dijayakan secara bersama, SIRIM Berhad.

“Kita menggunakan teknologi pencernaan makanan terpakai yang sudah tidak digunakan (sisa makanan) dengan melaksanakan pendekatan baru.

“Caranya, komponen terpakai ini akan ditukar dan dimasukkan ke dalam sebuah mesin untuk mengeluarkan tenaga yang mampu menjana pengeluaran elektrik.

“Untuk tempoh ini, projek ini masih lagi di peringkat percubaan dengan pelaksanaan uji kaji telah dimulakan di padang futsal.

“Sekiranya projek ini berjaya, kita bersedia untuk mengaplikasikannya di seluruh perbandaran,” katanya.

Beliau berkata demikan pada sidang media Pelancaran Pelan Tindakan Bandar Pintar dan Rendah Karbon Cyberjaya 2025, di Cyberview Resort and Spa, hari ini.

Terdahulu, ini bukan pertama kali pihak berkuasa tempatan (PBT) itu memperkenalkan inisiatif penggunaan teknologi baru kepada masyarakat setempat.

Sebelumnya, MPSepang juga pernah melaksanakan pendekatan berbeza untuk menangani habitat Aedes dengan menggunakan lebihan minyak terpakai.

Pendekatan itu menyaksikan MPSepang sebagai PBT pertama muncul dengan penerokaan teknologi hijau baru yang turut diperakui Exco Kerajaan Negeri, Elizabeth Wong.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Bekalan elektrik Kelantan mula pulih

SHAH ALAM, 3 JAN: Lebih 80 peratus pengguna elektrik di Kelantan mula menerima bekalan itu setakat petang semalam, kata
Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pengurus Besar Kanan (Operasi Wilayah 2), Bahagian Pembahagian TNB, Abdul Aziz Abdul Majid berkata, 506 lagi pencawang elektrik belum dipulihkan setakat ini, berbanding 1,017 pada 1 Januari lalu.

LOGO-TNB“Setakat jam 4 petang ini, 46 janakuasa bergerak dengan kapasiti sehingga 1,000 kVA (kilo Volt Ampere) juga sedang dioperasikan di Kelantan,” katanya dalam kenyataan yang dipetik dari Bernama.

TNB juga, katanya, sedang berusaha untuk memasang beberapa lagi set janakuasa di lokasi yang memerlukannya.

Syarikat pembekal tenaga itu berkata, di Pahang, jumlah pencawang yang belum dipulihkan menurun kepada 239, berbanding 301 semalam, manakala 58 pencawang di Perak masih dihentikan operasi.

TNB mengingatkan mangsa banjir yang kembali ke premis masing-masing supaya menggunakan khidmat kontraktor elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga (ST) untuk memeriksa terlebih dulu pendawaian dan peralatan elektrik sebelum digunakan.

Pengguna di Kelantan dan Terengganu boleh menghubungi pejabat ST di talian 09-7487390, Pahang (09-5142803) dan Perak (05-2535413).