Categories
ADN SELANGOR

Ratu rock negara sumbang pek makanan kepada mangsa banjir Batu Tiga

SHAH ALAM, 20 DIS: Kesusahan dihadapi mangsa banjir di Batu Tiga di sini mendapat perhatian ratu rock tanah air, Ella.

Pemilik nama lengkap Norzila Aminuddin, 55, tampil menghulurkan 300 pek makanan sedia dimakan kepada Bilik Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga semalam.

Perkara itu dikongsikan wakil rakyat kawasan terbabit Rodziah Ismail melalui Facebook yang berterima kasih dan menghargai sumbangan penyanyi berkenaan.

“Terima kasih Ella (beri sumbangan). Dia beri makanan sedia dimakan iaitu terubuk steam jenama Timore, jadi tak perlu masak,” kata Rodziah yang juga EXCO Kerajaan Negeri.

Sementara itu, pelantun Sepi Sekuntum Mawar Merah dan Sembilu meminta orang ramai mengulang kicau tulisannya di Twitter berkenaan inisiatif sedang digerakkan bagi membantu mangsa terjejas.

“Ella nak hantar 300 pek makanan ‘ready to eat’ kepada mangsa banjir sekitar Shah Alam.

“Mohon RT (ulang kicau) untuk team (pasukan) Ella hantarkan ke lokasi dengan sebaiknya #daruratbanjir,” tulisnya di Twitter.

Hujan lebat luar biasa sejak Jumaat, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di Selangor ditenggelami air.

Semua aset Kerajaan Negeri dan agensi persekutuan termasuk bomba, polis dan tentera dikerah bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat selain mengagih barang keperluan asas.

Usaha berkenaan diselaras Smart Selangor Operations Centre (SSOC) yang beroperasi 24 jam, berpusat di Ibu Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

Categories
SELANGOR

Anti dadah tema konsert Ella 16 April ini

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 13 APRIL: Ratu Rock, Ella kembali mengubat rindu peminat menerusi konsert solo terbesar tahun ini, Konsert ELLA 2016 di Stadium Malawati, Shah Alam, 16 April ini.

Kemunculan semula penyanyi wanita rock popular itu yang kali terakhir berkolaborasi dengan Orkestra Simfoni Kebangsaan di Istana Budaya Negara sekitar 2010, pasti dinantikan ribuan peminatnya selepas lama menyepi daripada sebarang persembahan dan konsert besar.

Bertemakan anti dadah, Konsert ELLA 2016 mendapat kerjasama Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor dan Jawatankuasa Tetap Kebudayaan kelolalan Exco, Amirudin Shari.

ella2016Ella turut berbesar hati menyumbangkan RM2 dari setiap jualan tiket konsertnya untuk disalurkan ke tabung Pemadam Selangor.

“Ia adalah sumbangan ikhlas Ella dalam usaha memerangi gejala dadah dan supaya lebih banyak program anti dadah dapat dijalankan pada masa depan.

“Sebagai simbolik kepada mesej keprihatinan dibawa, Ella menyeru peminat ke konsert berkenaan memakai baju berwarna putih kerana ia melambangkan kesucian naluri bekas penagih dadah yang mahu kembali ke pangkal jalan dan putih umpama kelahiran semula mereka,” kata kenyataan media berkenaan.

Bagi memeriahkan konsert diterajui gitaris handalan Man Kidal, Ella akan menyampaikan lagu hitsnya seperti Dua Insan Bercinta, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Bayangan, Sembilu, Tiada Tangis lagi dan yang lain di samping turut disertai rakan artis lain seangkatan dengannya.

Sesuatu yang istimewa, Ella akan sekali lagi mengembalikan sejarah lamanya apabila beliau terbang bersama helikopter khas untuk ke stadium sebelum bermula konsert berkenaan.

Acara terbabit adalah salah satu promosi konsert dan dijangka mencipta sejarah bagi Konsert ELLA 2016 dan penganjur, Atlas One Event Sdn Bhd.

Orang ramai khususnya peminat yang ingin menyaksikan konsert boleh menghubungi penganjur atau mendapatkan tiket di premis terpilih.

-AA-

Categories
SELANGOR

Ella: Battle Of The Bands mampu beri impak positif industri muzik

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 NOV: Rancangan Kerajaan Negeri menganjurkan pertandingan Battle Of The Bands (BOTB) mampu memberi impak positif terhadap perkembangan ekonomi sektor industri muzik di negeri itu.

Penyanyi rock yang terkenal dengan jolokan ratu rock negara, Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminuddin berkata, disamping membuka peluang kepada anak muda mengembangkan bakat dalam bidang seni, pertandingan BOTB itu turut memberi peluang pekerjaan kepada golongan yang sudah sedia terlibat dalam industri itu menjana pendapatan.

Ela“Program BOTB merupakan program yang baik untuk industri muzik apabila program ini dapat mencungkil bakat baru, lebih-lebih lagi bagi anak muda kerana pada Ella, platform untuk mereka mengetengahkan bakat mereka agak kurang tetapi dengan adanya BOTB ini, dapat memberi peluang kepada mereka.

“Pertandingan BOTB itu semestinya sedikit sebanyak memberi impak positif terhadap kesan ekonomi kerana permintaan terhadap muzik agak tinggi, sekaligus dapat menaikkan industri dan ekonomi negara,” kata Ella kepada Selangor Kini di sini.

Ella merupakan bekas vokalis kumpulan The Boys, mula menempa nama dalam industri muzik tempatan pada tahun 1985 selepas menyertai pertandingan BOTB yang mencetuskan fenomena rock di kalangan anak muda ketika itu.

Selain Ella, pertandingan BOTB turut menaikkan beberapa nama besar lain dalam industri muzik tempatan seperti Lord dari kumpulan The Boys; Nash, Man Kidal dan Allahyarham Samad dari kumpulan Lefthanded; Rahim Maarof dari kumpulan Rahim Maarof & Whitesteel, Bloodshed, SYJ dan lain-lain.

Battle BandSelepas beberapa dekad bergelumang dalam industri hiburan tempatan, kebanyakkan penggiat seni tempatan lazimnya menceburkan diri dalam perniagaan belakang tabir seperti studio kelas muzik, perkhidmatan menyewa kelengkapan pementasan termasuk jurutera bunyi profesional, membekal peralatan muzik, studio ‘jamming’ dan lain-lain.

Selain perniagaan berkaitan hiburan, ramai antara mereka turut melabur dalam industri kecantikan, antaranya Ella sendiri yang merupakan pengasas bersama kakaknya, Jojie bagi produk jenama Lameya yang beribu pejabat di Shah Alam.

EZY

Categories
SELANGOR

Ella: Terap nilai positif dalam Battle of The Bands

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 NOV: Ratu rock negara, Ella percaya Kerajaan Selangor mampu menerapkan nilai positif dalam tema penganjuran pertandingan Battle Of The Bands (BOTB) yang dirancang diadakan pada tahun hadapan.

Ella atau nama sebenarnya Norzila Aminuddin berkata, penerapan nilai positif dalam tema pertandingan seumpama ini diperlukan supaya generasi muda tidak terlibat dalam gejala negatif seperti mencampurkan elemen pengambilan dadah dengan hiburan atau seumpamanya.

Battle Band“Kerajaan Selangor perlu memperbanyakkan aktiviti ini dari kampung sehingga ke peringkat profesional dan juga perlu menerapkan nilai positif dalam tema BOTB itu nanti supaya anak muda ini tidak terlibat dalam gejala negatif seperti penyalahgunaan dadah.

“Pada Ella, muzik itu sendiri tidak memberi pengaruh negatif tetapi imej ataupun pembawakan pemuzik atau penyanyi itu sendiri yang menunjukkan imej positif mahupun negatif,” kata penyanyi yang dibesarkan di Klang itu kepada Selangor Kini.

Ketika menyentuh perkembangan muzik rock yang semakin diterima masyarakat hari ini berbanding ketika tercetusnya fenomena BOTB pada 1985 dahulu, Ella menjelaskan keadaan ini didorong dengan keterbukaan fikiran masyarakat hari ini dengan menerima konsep hiburan muzik tanpa dicemari gejala negatif.

Bekas vokalis kumpulan The Boys itu mula menempa nama dalam industri muzik tempatan pada 1985 apabila kumpulannya menyertai pertandingan BOTB yang mencetuskan demam rock dikalangan anak muda ketika itu.

ElaSelain Ella And The Boys, turut sama bergandingan dalam pertandingan yang pada masa sama turut mencetuskan kontroversi itu, Lefthanded, Bloodshed, Rahim Maarof and Whitesteel dan SYJ.

Antara isu hangat diperkatakan terutama di pihak Kementerian Penerangan diterajui Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat pada masa itu adalah isu penyanyi atau pemuzik lelaki berambut panjang dipandang serong.

Sebelum ini, Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan Selangor, Amirudin Shari mengumumkan aktiviti seni pada 2016 dirancakkan apabila Kerajaan Negeri merancang mengadakan pertandingan BOTB dengan melibatkan pelbagai peringkat.

EZY