Categories
NASIONAL

Tiga empangan hidroelektrik sedia tampung kapasiti air musim tengkujuh

SHAH ALAM, 11 NOV: Ketiga-tiga empangan hidroelektrik milik Tenaga Nasional Bhd (TNB) di Tasik Kenyir Terengganu, Cameron Highlands Pahang dan Sungai Perak, Perak bersedia menakung kapasiti air dari hulu sungai yang dijangka meningkat naik sepanjang musim tengkujuh tahun ini.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) Datuk Nor Azman Mufti berkata kapasiti empangan menakung air di huluan dapat mengelakkan bencana lebih besar daripada berlaku di kawasan hilir sungai setiap kali musim tengkujuh.

“Seperti lazimnya, kami membuat persiapan awal dengan mengurangkan paras empangan sebagai persediaan menghadapi hujan lebat pada hujung tahun.

“Air yang ditakung akan dilepaskan semula secara terkawal ke dalam sungai seterusnya membantu mengawal banjir di hilir empangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pengarah Urusan TNB Power Generation Sdn Bhd Datuk Nor Azman Mufti
Foto TNB

Nor Azman berkata empangan hidroelektrik TNB bukan sahaja untuk menjana elektrik malah berfungsi sebagai tebatan banjir dengan keupayaan menampung jumlah air hujan yang besar semasa musim tengkujuh.

Jelas beliau proses pelepasan air secara terkawal di empangan hidroelektrik dilaksanakan mengikut tatacara pengendalian piawai (SOP) dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan.

“TNB juga telah mengadakan beberapa siri taklimat persediaan dan koordinasi kecemasan di stesen-stesen hidroelektrik bagi meningkatkan kecekapan semua pihak berkenaan bertindak pada musim banjir,” katanya.

Tambah Nor Azman orang ramai dinasihatkan agar mengutamakan aspek keselamatan, berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya premis mereka dinaiki air.

“Jika ada pencawang elektrik yang ditenggelami air dan operasinya terpaksa dihentikan, penyambungan semula hanya akan dibuat TNB selepas keadaan selamat,” ujar beliau.

Bagi sebarang maklumat lanjut mengenai perkhidmatan dan bekalan elektrik, orang ramai boleh menghubungi talian TNB CareLine di 15454 atau Facebook TNB Careline.