Oleh: AFIX REDZUAN
KUALA KUBU BARU, 7 DIS: Kapasiti simpanan air di Empangan Sungai Selangor mencapai tahap maksimum susulan taburan hujan mencukupi sejak tiga minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Pengurusan Air Selangor, Yeo Bee Yin, berkata perkembangan positif itu menyaksikan Selangor mempunyai bekalan air mentah mencukupi namun tumpuan perlu diberikan terhadap usaha menangani pencemaran dan kapasiti air terawat.
Katanya, empangan itu tidak penuh sejak dua tahun lalu kerana masalah taburan hujan namun ia berjaya diatasi dengan inisiatif baru Kerajaan Negeri.
Keadaan itu turut disokong dengan projek Horas 600 dan pelan pembinaan loji rawatan air.
“Untuk tahun hadapan kita mempunyai simpanan air yang penuh.
“Ini perkembangan baik dari segi pengurusan air,” katanya kepada media selepas melawat Empangan Sungai Selangor di sini, hari ini.
Katanya, punca catuan air berlaku sebelum ini disebabkan kekurangan air mentah pada musim kering berpanjangan.
“Usaha mengatasi pencemaran ammonia di Lembangan Langat dan pembinaan loji rawatan baru perlu diberikan perhatian bagi mengelakkan catuan air berlaku,” katanya.
Hadir sama dalam lawatan itu, Adun Kuala Kubu Baru, Lee Kee Heong.
Beliau turut gembira dengan perkembangan positif Empangan Sungai Selangor sekaligus menjawab dakwaan Selangor berhadapan krisis bekalan air mentah.
EZY