Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: Lebih 100 penduduk terkandas, berlindung di surau lebih lima jam

PASIR MAS, 27 FEB: Lebih 100 penduduk di Taman Perumahan Prima dekat Lubuk Jong, di sini, berdepan detik cemas apabila terperangkap lebih enam jam akibat banjir sehingga terpaksa berlindung di surau taman perumahan berkenaan sejak pukul 2 pagi tadi.

Siti Hariaty Bee Mohd Ismail, 39, berkata beliau terpaksa berlindung untuk menyelamatkan diri berikutan air di kawasan kediamannya naik secara mendadak sejak petang semalam.

“Saya bersama tiga anak berusia antara lima hingga 14 tahun terpaksa mengharungi banjir sejauh 300 meter pada pukul 2 pagi tadi selepas rumah saya dimasuki air hampir satu meter.

“Apabila hujan berterusan tanpa henti dan air naik dengan cepat, saya terus mengambil keputusan untuk berteduh di surau kawasan rumah ini,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Nazura Che Ali, 51, pula berkata beliau tidak menyangka kejadian menjadi buruk selepas paras air meningkat secara mendadak dalam tempoh yang singkat.

“Saya tidak dapat menyelamatkan barang-barang keperluan termasuk barangan niaga habis rosak selain peti ais juga terbalik,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Pasir Mas Kapten Pertahanan Awam Mohd Arif Mohd Zain ketika ditemui berkata pihaknya menerima panggilan daripada penduduk, memaklumkan kejadian itu sekitar 3 pagi tadi.

“Disebabkan faktor keselamatan pihak kami memulakan operasi memindahkan mangsa banjir bermula pukul 8 pagi dengan kekuatan anggota seramai lima orang menggunakan sebuah trak tujuh tan.

“Kita berjaya memindahkan mangsa banjir mengikut keutamaan terlebih dahulu seperti warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU). Kesemua mereka akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Apam Putra, Pasir Mas,” katanya.

— BERNAMA