Categories
AGENDA NASIONAL

Rumah terbakar, enam sekeluarga alami lecur beberapa bahagian badan

SHAH ALAM, 28 SEPT: Enam sekeluarga sempat menyelamatkan diri selepas rumah mereka di Jalan Makmur, Pasir Panjang, dekat Sekinchan, terbakar awal pagi tadi.

Mangsa Jamri Manap, 41, Jurina Aziz, 46, Mohd Raziq Azrai Jamri, 19, Norhidayah Jamri, 17, Norain Jamalin Jamri, 12 dan Mohd Zazil Hidayat Jamri, lapan tahun bagaimanapun mengalami lecur di beberapa bahagian badan.

Dalam kejadian 3 pagi itu, rumah setingkat didiami mereka musnah terbakar 90 peratus, manakala sebuah kereta Proton Wira musnah 60 peratus.

Keadaan rumah enam sekeluarga yang terbakar di Jalan Makmur, Pasir Panjang, Sekinchan dalam kejadian awal pagi 28 SEPT 2021. Foto Facebook JBPM Selangor

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.04 pagi.

Beliau berkata sepasukan 16 pegawai dan anggota bersama tiga jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dan BBP Sungai Besar dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Enam mangsa yang tinggal di rumah itu semasa kebakaran berlaku berjaya menyelamatkan diri sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

“Mereka yang melecur di beberapa bahagian badan dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang (HTK) dengan menaiki van EMRS,” katanya dalam kenyataan.

Norazam berkata, api berjaya dikawal pada 3.32 pagi dan kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada jam 4.15 pagi.