Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPKj perintis kaedah kitar semula kenderaan buruk, atasi lambakan

SHAH ALAM, 22 NOV: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama dalam negara menggunakan kaedah kitar semula kenderaan buruk bersifat mesra alam.

Yang Dipertuanya Najmuddin Jemain berkata kaedah End Live Vehicle (ELV) digunakan bagi mengatasi lambakan kenderaan buruk sekitar daerah terbabit yang dijangka bermula 1 Disember ini.

Menurutnya kerjasama pintar dijalin bersama Car Medic Sdn Bhd yang akan menunda semua kenderaan buruk ke depoh simpanan di Bandar Baru Bangi sebelum dibawa semula ke depoh syarikat berkenaan untuk proses ELV.

“Setiap kenderaan dileraikan secara teratur mengikut kaedah SW422 (piawaian Jabatan Alam Sekitar) dan komponen yang tidak dapat dikitar semula dihantar ke Kualiti Alam atau Pentas Flora untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata setakat ini sebanyak 5,000 kenderaan buruk yang dinotis akan ditunda menggunakan trak tunda konvensional MPKj dan lori kren syarikat berkenaan.

“MPKj mempunyai tiga trak tunda konvensional. Dengan kawasan pentadbiran yang luas, hanya 40 hingga 50 kenderaan dapat ditunda dalam tempoh sebulan manakala 150 kenderaan ditetapkan kepada pihak syarikat.

“Aduan melibatkan kenderaan berat seperti bas, lori dan kenderaan perdagangan lain juga dapat ditunda tanpa melibatkan sebarang kos,” katanya.

Najmuddin juga yakin kaedah ELV menjadi pemangkin penyelesaian lambakan kenderaan buruk dan boleh diguna pakai di seluruh PBT negara.