Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin kanak-kanak penting untuk fasa peralihan ke endamik – KKM

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Pengambilan vaksin Covid-19 amat penting bagi kalangan kanak-kanak yang berumur lima hingga 11 tahun terutamanya semasa negara akan memulakan fasa peralihan ke endemik 1 April depan, menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

KKM menerusi catatan di akaun Facebook rasminya hari ini berkata kanak-kanak kini merupakan golongan yang lebih berisiko mendapat jangkitan Covid-19.

Menurutnya ini memandangkan mereka yang berumur 11 tahun dan ke bawah belum mendapat perlindungan sewajarnya berbanding dengan kumpulan umur lebih tinggi yang telah mendapat vaksinasi.

“Kadar kemasukan kanak-kanak ke wad PICU (Unit Rawatan Rapi Pediatrik) akibat Covid-19 meningkat sebanyak 94 peratus untuk kesemua kategori tiga hingga lima, dengan peningkatan ketara untuk kategori empat sebanyak 200 peratus, diikuti kategori lima sebanyak 125 peratus,” menurut kenyataan itu.

Justeru KKM sekali lagi menasihatkan ibu bapa untuk mengambil vaksin untuk anak-anak bagi melindungi mereka daripada varian Omicron yang boleh membawa maut dari jangkitan Covid-19 dan komplikasinya iaitu Multi System Inflammatory Syndrome in Children atau MIS-C.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pakar: 90 peratus penduduk perlu divaksin untuk ke fasa endemik, bukan dewasa sahaja

SHAH ALAM, 6 OKT: Pakar kesihatan mencadangkan Malaysia hanya melangkah ke fasa endemik apabila 90 peratus daripada 32.75 juta penduduk negara lengkap vaksin Covid-19 dan bukan hanya golongan dewasa sahaja.

Tidak setuju dengan kenyataan perdana menteri dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin bahawa peralihan fasa dilaksana apabila 90 peratus golongan dewasa lengkap vaksin, Datuk Dr Musa Nordin sebaliknya berkata Malaysia perlu mengambil contoh kes Covid-19 di Singapura.

“Kalau 18 tahun ke atas sahaja hanya 63 peratus (lengkap vaksin) populasi sahaja, tengok Singapura yang capai 82 peratus kes masih naik dan gelombang baharu setiap hari,” kata Perunding Pediatrik Hospital Pakar KPJ Damansara itu.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara bertajuk Vaksinasi remaja, lindungi semua di Facebook Media Selangor malam tadi.

Setakat 4 Oktober, seramai 20,317,843 atau 86.8 peratus populasi dewasa di negara ini sudah lengkap vaksin yang menghampiri angka 90 peratus.

Pada 22 September lalu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan rakyat akan dibenarkan merentas negeri apabila negara mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa.

Pemberian vaksin kepada golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun sedang dijalankan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja bermula 20 September lalu.

Pada 2 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program Vaksin Selangor (Selvax) sedia ditawar kepada remaja bagi melindungi kumpulan itu daripada dijangkiti wabak.

Perkembangan itu susulan keputusan Kementerian Kesihatan meluluskan pemberian suntikan vaksin jenis Sinovac kepada remaja.

Dr Musa berkata sebelum melangkah ke fasa endemik kerajaan juga harus memastikan sistem kesihatan negara mampu melakukan asas pencegahan Covid-19 mengikut piawaian antarabangsa iaitu cari, uji, kesan, asing dan sokong.

“Ini ditetapkan badan kesihatan dunia yang turut menyatakan kadar positif mesti bawah lima peratus tetapi kita masih 10 hingga 15 peratus,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Orang Asli sedia hadapi fasa endamik, mahu maklumat disalur secara berkala

MERSING, 30 SEPT: Masyarakat Orang Asli di daerah ini telah bersedia untuk menghadapi fasa endemik tetapi mahu pemberian maklumat secara berkala diteruskan oleh kerajaan termasuk menerusi platform dalam talian.

Tidak mahu ketinggalan dalam menerima maklumat, Tok Batin Kampung Punan, Acai Kadir berkata kerajaan perlu sentiasa memastikan golongan Orang Asli diberi maklumat apatah lagi dalam menghadapi fasa endemik ini.

“Masyarakat kita (Orang Asli) sebenarnya terima baik (mengenai pemberian vaksin) cuma penerangan daripada pihak Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kebajikan Orang Asli (JAKOA) penting. Kalau penyampaian tu tak betul, masyarakat hari ini tak akan terima, mungkin dah lari.

“Dunia sekarang dah canggih, dah ada Internet dan sebagainya. Itu sebab pihak-pihak luar membuat andaian kononnya bila cucuk vaksin, ada yang meninggal, populasi jatuh dan sebagainya. Harapan saya agar pihak JAKOA, KKM dari semasa ke semasa bagi maklumat terperinci supaya masyarakat kita tak takut dan tidak ketinggalan,” kata beliau kepada Bernama ketika ditemui pada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Daerah Mersing di Sekolah Kebangsaan Punan di sini, baru-baru ini.

Katanya transformasi pemberian maklumat oleh agensi-agensi yang terlibat perlulah seiring dengan perkembangan semasa memandangkan masyarakat Orang Asli walaupun duduk di kawasan pedalaman, majoriti mereka sentiasa mengikuti perkembangan terkini dalam negara.

“Kalau dapat perbanyakkan perbincangan menerusi dalam talian selain daripada luar talian. Sejak pandemik ini, mesyuarat atau perbincangan pun sering terganggu, mungkin boleh dibuat menerusi Google Meet memandangkan kes Covid-19 dalam negara masih tinggi,” kata beliau.

Ini menurutnya bagi mengelakkan kekeliruan maklumat atau gangguan daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, kata Acai sambil menambah sebahagian maklumat kini disalurkan menerusi aplikasi WhatsApp serta program outreach.

Menyentuh mengenai vaksinasi masyarakat Orang Asli di daerah berkenaan, Pegawai JAKOA Daerah Mersing Nor Faizzi Sulaiman berkata setakat 20 Sept, seramai 714 orang telah selesai satu dos manakala 295 orang telah pun lengkap kedua-dua dos.

“Mereka yang layak divaksin adalah seramai 1,043 orang dan jumlah mereka yang telah divaksin ketika ini adalah tinggi,” kata beliau ketika ditemui di kampung berkenaan.

Beliau berkata proses vaksinasi melibatkan komuniti itu akan dijalankan secara berterusan tanpa henti dalam usaha kerajaan mencapai sasaran imuniti menjelang fasa endemik pada bulan hadapan.

“Penerimaan orang kampung (mengenai vaksin) sejak akhir-akhir ini semakin baik. Peratus mereka yang setuju vaksin pun semakin meningkat. Sebelum ini, mereka menolak vaksin sebab maklumat tidak sampai.

“Jadi pihak JAKOA dengan bantuan sukarelawan, pergi dari rumah ke rumah dan kami berjaya menambah peratusan setuju vaksin sekali gus menunjukkan keberkesanan program outreach,” kata beliau.

Pada program dua hari itu, seramai 336 Orang Asli suku kaum Jakun di Kampung Orang Asli Tewowoh, Kampung Punan dan Kampung Peta telah menerima suntikan vaksin menerusi Pogram Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Seramai 95 petugas terdiri daripada kakitangan kesihatan daerah Mersing, Pejabat Daerah, Jabatan Kemajuan Orang Asli JAKOA Mersing, Pejabat Tanah dan Pertubuhan bukan kerajaan NGO, terlibat dalam program tersebut.

– BERNAMA