Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

MBSA, MPAJ kenal pasti lokasi pasang cas kenderaan elektrik

SHAH ALAM, 1 DIS: Dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini sedang mengenal pasti lokasi sesuai bagi pemasangan pengecas kenderaan elektrik (EV).

Merujuk kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), EXCO kerajaan tempatan Ng Sze Han berkata pemilihan kawasan dibuat bersama pihak swasta industri itu.

“Buat masa ini kita terima beberapa cadangan, namun kita alu-alukan lebih banyak (cadangan) agar Selangor mampu menjadi perintis projek stesen EV di Malaysia,” kata beliau ketika ditemui di luar sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Sze Han memberitahu Kerajaan Negeri turut menyasar pemasangan 1,000 pengecas di parkir milik PBT tahun depan manakala 10,000 unit menjelang 2025.

Beliau berkata inisiatif itu perlu dibuat segera bagi memastikan Selangor terus mengorak langkah sekali gus membantu mengurangkan pencemaran karbon.

“Sekarang stesen EV semakin popular di luar negara. Bukan sahaja untuk kereta malah kenderaan lain seperti van, bas, trak dan lori sampah,” katanya.

Dato’ Menteri Besar dalam pembentangan Belanjawan #Selangor2022 pada Jumaat lalu mengumumkan projek pemasangan stesen pengecas EV dengan nilai pelaburan RM10 juta di seluruh negeri.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut bercadang memberi insentif kepada perniagaan dan industri yang
melabur dalam infrastruktur EV termasuk pengurangan fi lesen dan cukai taksiran.

Beliau berkata pengguna EV juga diberi keistimewaan parkir percuma bawah pentadbiran PBT menjelang tahun depan.