Categories
EKONOMI PERSONALITI RENCANA RENCANA

Hampir ranap gara-gara beri hutang, usahawan pes tumis kini popular di Shopee

Termangu-mangu Hashima Hassan, 42 melihat angka hutang pelanggan. Hampir mencecah RM50,000. Malah, ada kalangan penghutang telah pun gulung tikar.

Fikirannya berserabut. Kekurangan modal pusingan gara-gara hutang lapuk menyebabkan perniagaannya sukar meneruskan operasi.

“Bagaimana hendak kutip hutang orang yang muflis?” Usahawan pes tumis itu kebingungan saat dihimpit masalah pada 2018 ketika baru dua tahun berniaga.

Hashima menggagahkan diri mengutip hutang. Cuma sebahagian kecil dapat dipungut. Terlintas juga untuk berhenti niaga. Namun, hasrat itu dibuangnya jauh-jauh berkat sokongan ahli keluarga.

Hasilnya, jenama Shimaz Tumisan Bonda kini diiktiraf antara jualan tertinggi di Shopee pada 2021. Produk tanpa pengawet itu juga dipasarkan di pasar raya Segi Fresh dan Kohijrah.

Selain itu, Hashimah juga mengenal pasti kesilapannya. Lantaran mentah dalam selok-belok perniagaan, ibu empat anak itu mudah lembut hati memberi hutang.

Kerenah beberapa restoran dan penjual yang hutang mereka berpukal-pukal hampir meranapkan perniagaannya.

Mujur suami Khairul Azhar Bahari, 43, yang bekerja dalam bidang komunikasi rela berkorban masa dan tenaga. Berbekal sisa modal, mereka menggandakan pemasaran di media sosial dan Shopee. Perniagaan tersebut bangkit semula.

Beri percuma

Shimaz Tumisan Bonda bermula dengan modal permulaan RM800. Hashima menghasilkan empat jenis pes tumisan segera kari ikan, ikan bakar, nasi goreng dan masak lemak secara kecil-kecilan di rumah.

“Mula-mula susah mahu jual. Saya banyak beri percuma kepada jiran, saudara-mara dan kawan-kawan tetapi lama-lama ramai yang beli,” kata beliau kepada Selangorkini di kilangnya di Shah Alam baru-baru ini.

Selepas setahun, Hashima menyewa premis berikutan perniagaan kian berkembang. Beliau mendapat kepercayaan pelanggan besar yang mempunyai jenama sendiri dan pengusaha rangkaian restoran. Mereka menjenamakan semula produk Shimaz Tumisan Bonda.

Pengasas Shimaz Tumisan Bonda Hashima Hassan (kiri) menunjukkan mesin steril bagi memastikan produk pes keluarannya tahan lama di Berjaya Park, Shah Alam pada 3 Disember 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Kesungguhan itu mendapat perhatian Exco Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail yang membantunya memperoleh mesin steril bernilai RM30,000 pada 2019. Mesin tersebut menjadikan produknya bertahan hingga dua tahun tanpa pengawet.

“Kami tidak guna pengawet supaya lebih sedap. Sebab itulah bila ada mesin steril sangat membantu produk tahan lama,” kata Hashima.

Agensi antaranya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia dan Jabatan Pertanian turut memberi geran untuk membeli kelengkapan mesin memasak dan membungkus.

Jualan melonjak

Perniagaannya kian maju. Beliau sekali lagi berpindah ke premis lebih besar di Berjaya Park, Seksyen 32, Shah Alam. Hashima juga meminjam RM5,000 daripada Yayasan Hijrah bagi menambah peralatan di kilang baharu.

Sebuah lagi mesin steril berharga kira-kira RM60,000 dibeli pada April tahun lalu bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada 1,200 bungkus pes sehari.

Ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada Mac 2020, jualan produknya melonjak sehingga mencecah 11,500 bungkus seminggu.

“Mungkin sebab masa itu orang cuma duduk rumah. Jadi jualan dalam talian melonjak tinggi,” kata Hashima.

Bermula empat jenis produk, jenama Shimaz Tumisan Bonda berkembang kepada 20 produk pelbagai pes tumisan segera.

Beliau juga mampu menggaji sembilan pekerja antaranya golongan fakir miskin dan orang kelainan upaya, sesuatu yang diazaminya ketika mula berniaga.

 

Categories
SELANGOR

Aktiviti YB : Rodziah edar topeng muka, bunga sempena Hari Wanita

Oleh : NURUL FARINA NAZLAN

SHAH ALAM, 14 MAC: Atas keprihatinan terhadap maslaah kualiti udara yang semakin meruncing di beberapa kawasan di Selangor, Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail, mengedarkan 400 topeng muka kepada mereka yang berkunjung ke pasar malam Prima Saujana, Kajang, semalam.

Usaha  positif Rodziah itu dilihat mampu memberi kesedaran kepada orang ramai supaya menjaga kesihatan dan menyediakan inisiatif sebelum menjalankan aktiviti luar rumah.

r1Keadaan jerebu dilihat semakin meruncing apabila Pelabuhan Klang dan Banting mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berbahaya menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), setakat jam 8 pagi tadi.

Jabatan Pelajaran Selangor juga mengarahkan 131 sekolah di Daerah Klang ditutup hari ini ekoran catatan IPU tidak sihat dan berbahaya itu.

Rodziah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga turut mengedarkan kuntuman bungan sempena meraikan Hari Wanita yang dilihat mendapat rekasi positif daripada orang ramai.

Categories
SELANGOR

Selangor atasi kerajaan pusat, umum RM30 juta untuk wanita

OLEH : SIRAJ MOHD ZAINI

SHAH ALAM 20 NOV : Kerajaan pusat melalui Kementerian Pembangunan Wanita dan Keluarga masih gagal membentangkan peruntukan yang disediakan khusus bagi pembangunan kaum wanita di negara ini.

Hal itu berbeza dengan kerajaan negeri yang memperuntukkan RM30 juta bagi golongan wanita serta RM1.3 juta bagi tujuan program kewanitaan di dalam Belanjawan Selangor 2014, semalam.

rodziah pc green 20 jul 01Sehubungan itu, Exco Wanita dan Kebajikan negeri, Rodziah Ismail mendesak menteri terbabit, Datuk Rohani Abdul Karim supaya menjelaskan kepada seluruh golongan wanita di Malaysia berkenaan jumlah sebenar peruntukan yang disediakan dalam Bajet Negara 2014.

Rodziah berkata, Jabatan Pembangunan Negeri di bawah kementerian berkenaan masih gagal menyatakan peruntukan yang disediakan bagi tujuan pembangunan wanita di Selangor, sehingga kini.

“Saya selaku EXCO negeri ingin mendesak kerajaan pusat mengumumkan berapa bajet yang selama ini ditanya dan dituliskan kepada Jabatan Pembangunan Negeri. Sehingga kini, kita belum tahu bajet yang diperuntukkan untuk rakyat negeri Selangor khasnya kepada pembangunan wanita melalui kementerian berkenaan,” katanya.

Rodziah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) (PKR-Batu Tiga) berkata demikian ketika sidang media di lobi Dewan Negeri Selangor (DNS), Bangunan Annex, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Rodziah berkata, Belanjawan Selangor 2014 memberi tumpuan kepada penjanaan dan peningkatan pendapatan golongan itu yang digandingkan dengan pelan tindakan wanita negeri yang menekankan kecelikan serta penghayatan dalam meningkatkan jati diri setiap wanita di negeri itu.

Katanya, belanjawan yang diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah jangkaan yang menunjukkan pengurusan kewangan berhemah berdasarkan hasil dan pencapaian.

“Ketelitian Menteri Besar dalam urusan Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) akan berterusan, selain dihayati dan dilaksanakan dalam belanjawan bagi golongan wanita sebanyak RM30 juta serta RM1.3 juta untuk program wanita yang sedia ada.

“Maknanya kalau kita tengok setiap tahun, RM1 juta dimasukkan dalam bajet yang disatukan dan kali ini Menteri Besar menambah peruntukan sebanyak RM30 juta untuk program pembangunan wanita,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Bantu Keluarga PI Bala

PI balasubramaniam rodziah sivarasa 03

PI balasubramaniam 02RAWANG 13 JUN : Keluarga penyiasat persendirian, mendiang P Balasubramaniam, 53, mendapat pembelaan Kerajaan Negeri hari ini yang menghulurkan sumbangan RM 10,000 bagi meringankan beban mereka.

Sumbangan yang disampaikan Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, Rodziah Ismail adalah bantuan awal bagi keluarga tersebut manakala Kerajaan Negeri akan membantu balu Balasubramaniam untuk menjana pendapatan sendiri.

“Kehadiran saya mewakili Kerajaan Negeri bukan setakat memberi sumbangan. (Kami mahu) selesaikan segala masalah yang dihadapi mereka.

“InsyaAllah melalui beberapa skim diperkenalkan Kerajaan Negeri, kita boleh lihat perkara yang boleh kita bantu keluarga ini secara terus.

“Kita harap semua pihak yang melihat situasi ini terus memberi sokongan kepada mereka sekeluarga supaya kebajikan mereka tidak diabaikan,” katanya.

Rodziah menyampaikan sumbangan itu kepada balu mendiang, A Santanilselvi, 46, di rumahnya di Taman Pelangi di sini hari ini.

Antara perkara yang diberikan perhatian adalah soal pendidikan tiga anak mendiang, Krishen, 16; Menaga, 15; dan Reeshi, 11, yang telah menuntut di India selama lima tahun.

“Mereka berada di India lima tahun maka banyak yang tidak dapat diikuti di dalam sistem pendidikan (Malaysia). Kita perlu tengok bagaimana ianya dapat diselesaikan dengan segera.

“Kita akan berbincang dengan Pejabat Pendidkan Daerah mengenai perkara ini selain membantu isterinya ke arah menjana pendapatan menerusi usaha yang ingin dijalankannya,” ujarnya.

Balasubramaniam atau P I Bala, meninggal dunia pada 15 Mac lalu akibat masalah jantung. Beliau antara personaliti penting di dalam kontroversi pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Balasubramaniam sebelum ini berkhidmat dengan Abdul Razak Baginda, pegawai khas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang didakwa oleh mahkamah dalam kes pembunuhan Altantuya.

Abdul Razak dibebaskan, manakala dua anggota polis didapati bersalah dalam pembunuhan tersebut.

Pada Julai 2008, Balasubramaniam mendakwa dalam satu akuan bersumpah (SD1) bahawa pembunuhan Altantuya melibatkan menteri tertinggi di dalam pentadbiran Najib.

Bagaimanapun Balasubramaniam membuat akuan bersumpah kedua (SD2) yang menafikan dakwaan di dalam SD1.

Selepas itu, beliau menghilangkan diri ke luar negara dan hanya pulang semula ke Malaysia pada 24 Februari lepas.

Dalam satu ceramahnya selepas beliau kembali dan sebelum meninggal dunia, Balasubramaniam mendakwa pendedahan yang dibuat di dalam SD1 adalah benar.