Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Selhac: Kerajaan Negeri sasar penyertaan sekali ganda selepas ini

SHAH ALAM, 7 MAC: Kerajaan Negeri menyasarkan penyertaan sekali ganda dalam Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) pada sesi penganjuran akan datang.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata sasaran itu adalah berdasarkan maklum balas yang diterima pempamer sepanjang penganjuran persidangan berkenaan.

“Ia berakhir dengan cemerlang dan sambutan yang diterima daripada pengunjung amat hebat dari pengunjung, malah pempamer menunjukkan komitmen yang tinggi.

“Saya berharap Selhac ini dapat terus diperluaskan pada masa akan datang. Sebahagian besar pempamer juga menyatakan minat untuk turut serta dalam penganjuran selepas ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penangguhan Selhac di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini semalam.

Pemenang pilihan juri gerai terbaik bergambar pada Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 6 Mac 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Program julung kali anjuran Kerajaan Negeri dengan kerjasama Halal International Selangor (HIS) itu menampilkan tiga komponen iaitu forum, ekspo dan padanan perniagaan.

Selhac berlangsung dari Jumaat hingga Ahad mulai jam 10 pagi hingga 9.30 malam di Pusat Konvensyen Shah Alam.

Sebanyak 100 pempamer daripada 40 syarikat menyertai Selhac dan ia dibahagikan kepada enam kluster iaitu makanan, farmasi, kecantikan, pelancongan, fesyen dan bahan halal.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor giat promosi produk halal, sasar pasaran global

SHAH ALAM, 16 DIS: Kepelbagai sektor halal yang menjadi tumpuan masa kini termasuk di Selangor diketengahkan melalui program Fam Trip Media Promosi Industri Halal.

Program empat hari dengan kerjasama Pertubuhan Media Negeri Selangor (PMNS) turut menghimpunkan pempengaruh bagi mempromosikan sektor tersebut, kata EXCO industri halal.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni menjelaskan segmen halal perlu diangkat meliputi makanan, farmaseutikal, dandanan diri, kosmetik, kewangan, hiburan, pelaburan dan pelancongan.

“Mungkin sebelum ini ramai beranggapan halal itu berkaitan makanan dan minuman sahaja sedangkan skopnya lebih luas yang patuh syariah.

“Justeru kita akan pelbagaikan program untuk membantu pemain industri meneruskan kelangsungan dalam norma baharu,” katanya dalam sidang media di Mardhiyyah Hotels and Suites semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Halal International Selangor (HIS) – Aspire Flagship Sdn Bhd Mat Ghazali Mohd Rakim dan Setiausaha PMNS Nuar Md Diah.

Sementara itu, Mohd Zawawi berkata Selangor menjadi negeri pertama mewujudkan bidang tugas khas berhubung aspek halal bagi mengangkat sektor terbabit ke peringkat global.

Menurutnya, bahagian industri halal dikawal HIS manakala pensijilan halal diselia Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Jais dan Jakim akan mengadakan pemantauan audit serta pendaftaran sijil halal sementara HIS fokus untuk mengangkat industri halal ke peringkat antarabangsa bagi menarik pelabur.

“Kita percaya industri ini sentiasa berkembang dan mempunyai nilai transaksi berbilion dolar,” katanya lagi.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Negeri teliti tambah senarai barangan bawah skim harga maksimum

SHAH ALAM, 9 DIS: Kerajaan Selangor meneliti keperluan untuk menambah barangan dalam senarai Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) sebelum mencadangkannya kepada persekutuan.

EXCO industri halal berkata pemilihan produk berdasarkan permintaan tertinggi pengguna yang dipantau Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor.

“Kita akan memantau produk yang permintaannya tinggi dalam kalangan pengguna dan jika harganya didapati tidak terkawal, maka kita akan masukkan dalam senarai tersebut.

“Perkara ini akan diusulkan KPDNHEP kepada kerajaan persekutuan,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni selepas melancarkan inisiatif Halal Suri Darul Ehsan di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut mempertimbang untuk melanjutkan tempoh skim itu bergantung situasi semasa selain menggesa rakyat mengadukan kepada KPDNHEP jika berlaku kenaikan melampau.

“Kita akan melihat dari semasa ke semasa terutama pada hari perayaan dan cuti sekolah kerana permintaan produk makanan dan barang keperluan ketika itu agak tinggi,” katanya.

Pada Selasa, kerajaan mengumumkan pelaksanaan SHMKM di seluruh negara hingga 31 Disember bagi menstabilkan harga barangan keperluan dan memastikan bekalan itu mencukupi di pasaran.

Antara barangan disenaraikan ialah ayam hidup, ayam standard, ayam super, telur ayam gred A, B dan C, kacang panjang, cili merah, tomato, sawi hijau, kubis bulat import (dari Indonesia dan China) serta timun.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Anggota Jawatankuasa Industri Halal sedang dimuktamad – EXCO

SHAH ALAM, 2 JAN: Kerajaan Negeri kini di peringkat akhir memuktamadkan senarai anggota Jawatankuasa Industri Halal Selangor, kata EXCO industri halal.

Zawawi Ahmad Mughni berkata lantikan melibatkan pegawai Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan pakar universiti serta bidang berkaitan.

“Insya-Allah mesyuarat pertama jawatankuasa ini bakal diadakan pada Februari sekaligus memastikan Selangor selangkah ke depan dalam industri halal,” katanya kepada SelangorKini semalam.

Pada 22 Oktober tahun lepas, Zawawi berkata negeri ini bakal melaksanakan penstrukturan semula Halal International Selangor (HIS).

Jawatankuasa tersebut berperanan merancang pelan strategik ekonomi yang bakal membuka peluang pelaburan, trend dagangan dan penjanaan pendapatan kepada negeri.

Beliau berkata industri halal bukan tertumpu produk makanan dan minuman sahaja sebaliknya melibatkan pelbagai sektor yang memberi manfaat kepada industri tempatan.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Pergiat usaha bantu lebih ramai peniaga dapat sijil halal

SHAH ALAM, 15 DIS: Program International Muslim Friendly Affiliation Network (IMFAN) bakal diperluas bagi melayakkan lebih ramai peniaga mendapat sijil halal.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata sasaran untuk tahun depan meliputi usahawan mikro yang berdaftar dengan Hijrah Selangor.

“Bukan semua produk memerlukan sijil halal, sebaliknya hanya yang perlu sahaja kita bantu melalui agensi yang pakar sekali gus membolehkan peniaga pergi lebih jauh,” katanya.

Bercakap pada program bual bicara Kontroversi Makanan Halal dan Imej Dakwah anjuran Media Selangor malam tadi, beliau berkata program IMFAN mendapat sambutan selepas dua tahun dilancarkan.

IMFAN adalah inisiatif Kerajaan Negeri melalui Halal International Selangor dan Hijrah Selangor untuk membantu usahawan mikro memperoleh sijil halal menerusi modul tertentu.

Selangor menyasar sekurang-kurangnya 2,000 peniaga memperoleh pensijilan halal melalui program tersebut.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor negeri pertama wujudkan portfolio industri halal

SHAH ALAM, 15 DIS: Selangor muncul negeri pertama mewujudkan bidang tugas khas berhubung aspek halal bagi memperkasa industri itu ke peringkat global.

EXCO industri halal berkata portfolio diperkenal Oktober lalu menghubungkan institusi syariah negeri ini sebagai pemegang polisi untuk menarik pelabur.

“Sebelum ini (industri halal) di bawah EXCO pelaburan tetapi kita mahu rangkai Majlis Agama Islam Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor sebagai pemegang dasar.

“Kita pernah dijemput ke persidangan antarabangsa dan baru-baru ini ke Kanada untuk berkongsi pengalaman mengenai halal,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni pada program bual bicara anjuran Media Selangor malam tadi.

Beliau yang memegang portfolio hal ehwal pengguna turut berazam mempergiatkan kempen kesedaran berhubung isu penipuan dalam talian yang menyebabkan kerugian wang.

Pada 7 Oktober, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan lima bidang tugas baharu iaitu pembudayaan inovasi & Smart Selangor, pengurusan bencana, pemberdayaan pekerja, perpaduan dan industri halal.

 

Categories
EXCO SELANGOR

Jawatankuasa strategik industri halal ditubuh, jadikan Selangor hab serantau

SHAH ALAM, 22 OKT: Jawatankuasa Strategik Industri Halal Selangor bakal ditubuh untuk memacu negeri ini sebagai hab industri halal di Malaysia dan serantau.

EXCO industri halal berkata jawatankuasa tersebut dianggotai Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan pakar bidang berkaitan halal.

“Saya akan umumkan secara rasmi penubuhan jawatankuasa ini dalam tempoh terdekat dan perkara pertama akan dilakukan ialah melaksanakan penyusunan dan penstrukturan semula Halal International Selangor (HIS).

“Jawatankuasa ini antara lain berperanan merancang pelan strategik ekonomi yang bakal membuka peluang pelaburan, trend dagangan dan penjanaan pendapatan kepada negeri,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata industri halal bukan tertumpu produk makanan dan minuman sahaja sebaliknya melibatkan pelbagai sektor yang memberi manfaat kepada industri tempatan.

“Selain itu pembangunan industri halal perlu seiring dengan perkembangan teknologi terkini ke arah merealisasikan Selangor Negeri Pintar menjelang 2025,” katanya.

Pada 7 Disember tahun lepas Perbadanan Pembangunan Halal (HDC) Malaysia menjangka nilai pasaran industri halal Malaysia mencecah kira-kira RM614.36 bilion menjelang 2025.

Trend kukuh tersebut disokong peningkatan jumlah pengguna halal, selain peningkatan produk makanan disahkan halal yang dijangka memacu pasaran halal global pada tahun akan datang.