Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 13,000 individu disuntik menerusi program Selvax bergerak

SHAH ALAM, 21 OKT: Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak tamat pada 17 Oktober selepas lima minggu beroperasi, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata pemberian vaksin yang dijalankan di 25 Dewan Undangan Negeri (DUN) berjaya menyuntik 13,238 individu termasuk lebih 4,000 warga asing.

Antara DUN terlibat Sungai Tua, Hulu Bernam, Sijangkang, Kuala Kubu Bharu, Bukit Lanjan, Bandar Utama, Kinrara, Tanjung Sepat dan Batang Kali.

“Untuk DUN Batu Tiga, Dengkil dan Bandar Baru Klang, kita adakan dua kali program suntikan selepas mendapat sambutan.

“Lepas ini kita fokus kepada Selvax Remaja untuk pelajar 12 hingga 17 tahun yang dijangka berjalan pada November ini,” katanya kepada SelangorKini.

Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September menggunakan bas dan van bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Inisiatif melibatkan kos mencecah RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas dan pekerja industri.

Categories
AGENDA NASIONAL

Cari individu belum divaksin, wakil rakyat disaran bantu program Vaksin Selangor

KLANG,12 SEPT: Semua wakil rakyat termasuk Ahli Dewan Negeri (ADN) pembangkang disaran memberi kerjasama dalam program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata kerjasama antara wakil rakyat tanpa mengira fahaman politik penting bagi menjayakan usaha ini kerana maklumat diterima masih ramai belum menerima vaksin.

“Penting untuk wakil rakyat terlibat secara langsung dengan bantu cari siapa belum divaksin, kena tahu berapa ramai hendak divaksin kerana kita tidak mahu membawa bekalan berlebihan.

“Kita mengeluarkan jadual untuk tempoh seminggu dan mengalu-alukan wakil-wakil rakyat pembangkang untuk menyertai Selvax bergerak,” katanya ditemui pada program Selvax bergerak peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang di Kompleks Pasar Besar Meru.

Siti Mariah memaklumkan penganjuran program Selvax bergerak tidak terhad kepada wakil rakyat sahaja sebaliknya turut terbuka kepada ketua masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli majlis.

“Kalau ketua masyarakat atau NGO nak anjur, mereka perlu pastikan aspek pengurusan berjalan lancar terutama menyediakan sukarelawan manakala di pihak Kerajaan Negeri, kita sediakan vaksin percuma.

“Mereka perlu menyediakan sekurang-kurangnya 250 nama, selepas itu kita akan membawa klinik van bergerak. Jika berminat mereka menghubungi Mirzan menerusi talian 018-4645155,” katanya.

Penganjuran program Selvax bergerak bermula hari ini bagi memastikan tiada rakyat negeri ini yang tercicir menerima suntikan pelalian.

Program dimulakan di DUN Meru diikuti Batu Tiga, Tanjung Sepat, Hulu Bernam, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.

Categories
BERITA UTAMA EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Selangor sedia 50,000 dos untuk program vaksin bergerak

KLANG, 12 SEPT: Kerajaan Negeri memperuntuk sebanyak 50,000 dos pelalian untuk program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata suntikan pelalian program vaksin bergerak itu menggunakan bekalan dos Selvax Komuniti yang diberikan secara percuma kepada penduduk Selangor.

“Bagi program ini dua kenderaan digunakan iaitu bas bergerak iaitu 500 dos sehari dan klinik van bergerak yang dipinjamkan oleh Hospital Avisena yang mampu memberi suntikan 250 dos.

EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita & Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud (kanan) bergambar di hadapan bas sempena program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Pasar Besar Klang pada 12 September 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari juga menyatakan kesediaan untuk mengeluarkan lagi bekalan vaksin sekiranya peruntukan 50,000 dos ini habis digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Selvax bergerak Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Baru Klang di Kompleks Pasar Besar Meru, hari ini.

Dr Siti Mariah turut menggalakkan orang ramai untuk berdaftar dan memberi nama di pejabat wakil rakyat masing-masing berbanding terus hadir ke lokasi Selvax bergerak.

“Sekiranya berdaftar di pejabat wakil rakyat mereka menerima baucar atau nombor dan slot disediakan berbanding hadir terus. Jika DUN yang mereka ingin daftar penuh boleh juga memberi nama di DUN berhampiran,” katanya.

Program Selvax bergerak yang bermula hari ini diadakan bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan vaksin Covid-19.

Untuk permulaan Selvax bergerak melibatkan 11 DUN bermula di DUN Bandar Baru Klang dari 9 pagi hingga 5 petang. Program selama seminggu itu juga membabitkan DUN Batu Tiga, Tanjung Sepat, Hulu Bernam, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO kesihatan minta jangan sebar berita lama babit bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 2 SEPT: EXCO kesihatan awam meminta orang ramai berhenti menyebarkan berita lama mengenai bantuan RM1,000 kepada pesakit atau waris Covid-19 di negeri ini.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata penularan berita bertarikh 22 Julai 2020 itu menyebabkan seorang lelaki datang ke pejabatnya untuk bertanyakan mengenai bantuan berkenaan.

“Kami beritahu bantuan yang dinyatakan dalam berita di atas ialah bantuan pada tahun 2020 dan sudah pun ditutup hujung Disember 2020.

“Jika anda nampak mesej tular tentang berita ini, mohon jangan di ‘forward’ ke individu atau ‘group’ lain,” katanya menerusi Facebook.

Jelas Dr. Siti Mariah bantuan berkenaan telah digantikan dengan bantuan khairat kematian RM1,000 kepada waris mangsa Covid-19 yang boleh dimohon melalui www.selangorprihatin.com.

Pada tahun lalu pesakit Covid-19 menerima bantuan RM1,000 tetapi kini waris menerima jumlah yang sama bagi khairat kematian.

Bantuan untuk pesakit diumumkan dalam pakej Selangor Prihatin fasa satu yang sudah tamat tempoh permohonan tetapi pakej Kita Selangor 2.0 mengekalkan jumlah itu kepada keluarga.

Dr itu menjelaskan kekeliruan di media sosial apabila keratan akhbar lama disebarkan semula, seolah-olah bantuan untuk pesakit masih ada.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Rakyat diminta manfaatkan saringan Covid-19 percuma

SUBANG JAYA, 4 APRIL: Rakyat Selangor yang menetap di kawasan berisiko dan kepadatan tinggi diminta memanfaatkan program Saringan Komuniti secara percuma.

EXCO kesihatan berkata bilangan individu hadir program anjuran Kerajaan Negeri menurun sedikit sejak kebelakangan ini sekali gus menimbulkan kebimbangan masyarakat sudah alpa.

“Meskipun Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sudah bermula namun masih jauh untuk mencapai imunisasi kelompok.

“Justeru perebakan masih berlaku dalam komuniti meskipun kes harian Covid-19 menunjukkan penurunan,” kata Dr Siti Mariah Mahmud pada Majlis Pelancaran Program Perluasan Imunisasi Covid-19 di Dataran Puchong Permai hari ini.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 di seluruh Selangor untuk membendung wabak.

Program menyasar penglibatan 50,000 penduduk menumpukan kawasan berisiko yang jumlah kes positif berpotensi melonjak termasuk rumah penjagaan warga emas.

Pemilihan lokasi program saringan dibuat berdasarkan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mampu mengenal pasti serta meramal sebaran wabak.

Categories
EXCO SELANGOR

Ahli Skim Insurans Peduli Sihat antara diberi keutamaan terima vaksin Selangor

SUBANG JAYA, 2 MAC: Ahli Skim Insurans Peduli Sihat antara diberi keutamaan menerima suntikan vaksin Covid-19 apabila dos dibeli Kerajaan Selangor diperoleh kelak.

Justeru, EXCO kesihatan awam menyeru rakyat negeri ini khususnya golongan berpendapatan rendah (B40) mendaftar skim inisiatif peduli rakyat itu bagi memudahkan proses penyediaan vaksin.

“Kalau tak daftar, kita tidak tahu jumlah vaksin untuk disiapkan. Sebab itu kita perlukan data lengkap kerana ia melibatkan aspek pengangkutan selain mengelak pembaziran.

“Memang mereka boleh pilih untuk menerima vaksin kerajaan pusat atau Kerajaan Negeri kerana apa yang paling penting kita mahu memastikan tiada siapa tercicir,” kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Penduduk sekitar Puchong hadir menjalani saringan Covid-19 percuma secara bersasar di Dewan MPSJ Puchong Indah, Puchong pada 28 Februari 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau ditemui SelangorKini selepas meninjau program Saringan Komuniti Covid-19 bersasar percuma di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Taman Puchong Indah di sini pada Ahad.

Wakil rakyat Seri Serdang berkata pihaknya juga akan mengumpul data penerima manfaat Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) untuk mendapat suntikan awal.

Menurutnya, pertimbangan turut diberikan kepada warga emas yang ditempatkan di pusat jagaan berikutan golongan itu berisiko tinggi mendapat jangkitan Covid-19.

Selain itu, Dr Siti Mariah menambah pekerja di syarikat industri akan diberi keutamaan namun majikan perlu menanggung kos tersebut.

Pada 22 Februari, Dato’ Menteri Besar berkata vaksin yang dibeli bakal diperoleh pada Mei atau Jun hadapan.

Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan vaksin tersebut penting bagi membantu mempercepatkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sekali gus menjamin kesihatan rakyat.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO kesihatan: Elak kawasan berisiko, patuh SOP

SHAH ALAM, 23 OKT: Masyarakat diingatkan untuk mengambil langkah selamat dengan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan tidak berada di tempat berisiko bagi mengelak jangkitan Covid-19.

EXCO kesihatan awam berkata golongan yang mempunyai penyakit kronik dan warga emas disaran untuk berada di rumah kerana penularan jangkitan tanpa gejala wujud dalam kalangan masyarakat.

“Kita perlu ingat Covid-19 tidak sama sekali melupakan kita kerana ia berada di mana-mana, tapi sayangnya masyarakat kita mudah alpa dengan kelonggaran diberikan sebelum ini.

“Kita perlu lebih peka terutama di kawasan yang ramai orang,” kata Dr Siti Mariah Mahmud ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan sebelum ini pelbagai rungutan disuarakan ketika permulaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan namun sikap sambil lewa dan keengganan mematuhi SOP selepas kelonggaran diberikan menyebabkan angka positif kembali meningkat.

Siti Mariah berkata jika sikap lalai diteruskan ia akan menyukarkan usaha semua pihak untuk membendung penularan Covid-19 yang merekodkan peningkatan kes positif kebelakangan ini.

Semalam jumlah kes baharu Covid-19 di negara ini kembali melonjak kepada 847 kes selepas mencatat penurunan sebelumnya selain turut merekodkan lima lagi kematian baharu dan 486 kes pulih.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Jaga kesihatan mental, elak tindakan tidak rasional

SHAH ALAM, 4 OGOS: EXCO kesihatan menyeru rakyat supaya peka terhadap kesihatan mental masing-masing bagi mengelakkan tekanan yang boleh mendorong kepada tindakan tidak rasional.

Dr Siti Mariah berkata pada masa sama rakyat juga perlu menjaga kesihatan fizikal serta mengukuhkan institusi keluarga untuk kehidupan sejahtera dan harmoni.

“Kerajaan Negeri sedar mutakhir ini, gangguan kesihatan mental semakin meningkat dan kegagalan menangani tekanan dan cabaran kehidupan boleh menyebabkan tindakan yang tidak rasional.

“Ia perlu ditangani dan rakyat perlu mengekalkan kesihatan mental masing-masing disamping menjaga kesihatan fizikal,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu Dr Siti Mariah menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Allahyarhamah Prof Madya Dr Maizatulnisa Othman yang meninggal dunia selepas dijerut menggunakan tudung oleh suaminya pada Rabu lalu.

“Kerajaan Selangor mengucapkan terima kasih kepada Pusat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat atas tindakan pantas memberi bantuan serta perlindungan sementara kepada waris mangsa dan menyediakan bantuan khidmat kaunseling,” katanya.

 

Categories
EXCO SELANGOR

PKPP: Jangan terlalu teruja, waspada ancaman Covid-19

SHAH ALAM, 8 JUN: Rakyat diingatkan supaya terus berwaspada dan tidak terlalu teruja dengan lebih banyak kelonggaran dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kerana ancaman Covid-19 masih wujud ketika ini.

EXCO Kesihatan, Dr Siti Mariah Mahmud berkata amalan pencegahan yang dipraktikkan sebelum ini perlu dikekalkan sehingga menjadi norma baharu dalam kalangan masyarakat demi keselamatan semua.

“Kebenaran kerajaan untuk tempoh kelonggaran ini sangat dinantikan rakyat.

“Namun, tetap menjadi kebimbangan Kerajaan Negeri akan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil oleh semua pihak dalam tempoh PKPP ini,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, sebarang kelalaian boleh mengakibatkan jangkitan kembali meningkat dan kerajaan terpaksa melaksanakan semula PKP Diperketatkan (PKPD) atau PKP Bersyarat (PKPB).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan pelaksanaan PKPP bermula 10 Jun sehingga 31 Ogos susulan PKPB yang tamat pada 9 Jun.

PKPP ini membolehkan lebih banyak sektor ekonomi kembali dibuka selain membenarkan orang awam merentas negeri pulang ke kampung termasuk menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha.

Categories
EXCO SELANGOR

PKP: Jaga aturan makan, buat aktiviti berfaedah

SHAH ALAM, 26 MAC: Masyarakat dinasihatkan menjaga kesihatan dan mengambil makanan berkhasiat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April ini.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata ibu bapa juga harus pandai mendidik anak-anak untuk makan mengikut masa tertentu dan tidak berlebihan terutama melibatkan makanan ringan.

“Kita juga belum pasti apa akan jadi sejurus tamat tempoh PKP ini dan adalah penting untuk menyimpan stok makanan secukupnya. Umat Islam pula digalakkan berpuasa sempena Syaaban,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata ketua keluarga perlu kreatif mengisi masa lapang dengan mengajak anak melakukan aktiviti berfaedah.

Katanya orang ramai perlu mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya PKP tamat 14 April kerana kemungkinan wabak Covid-19 itu belum berakhir.

Categories
EXCO SELANGOR

Lebih 2,000 jalani rawatan tibi melalui bantuan RM800

KLANG, 29 FEB: Lebih 2,000 pesakit tuberkulosis (tibi) kini menjalani rawatan penuh selama enam bulan melalui insentif Kerajaan Selangor dengan RM800 seorang, kata EXCO Kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM2 juta menerusi pembentangan Belanjawan Selangor 2020 bagi mendapatkan rawatan penyakit terbabit.

Katanya, beliau menggalakkan orang ramai ambil peluang ini bagi memastikan kesihatan orang sekeliling terpelihara kerana tibi mampu merebak.

“Kematian berpunca tibi amat tinggi jumlahnya jika dibandingkan denggi tetapi kematiannya bukan dalam kadar segera, ia berlaku secara perlahan-lahan. Sebab itu pentingnya rawatan dari awal,” katanya selepas merasmikan Karnival 3W (Kesihatan, Kebajikan, Wanita) di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas, di sini hari ini.

Insentif itu bagi meringankan beban kos rawatan yang ditanggung selain memastikan pesakit melengkapkan semua sesi rawatan di hospital.

Pesakit boleh mendapatkan borang permohonan insentif itu di hospital dan klinik kerajaan atau pusat khidmat masyarakat.

Bayaran insentif dibuat menerusi tiga transaksi iaitu RM200 bagi dua bulan pertama, RM200 (dua bulan seterusnya) dan RM400 sehingga selesai rawatan.

Categories
SELANGOR

SLIM Selangor peluang kakitangan SUK semai gaya hidup sihat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 JUN: Kerajaan Negeri memberi pelepasan waktu kerja pada jam 4.30 hingga 5.30 petang setiap Rabu kepada warga kerja Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor bagi membolehkan mereka menyertai program SLIM Selangor.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, program setiap Rabu itu dilaksanakan bagi menggalakkan golongan itu sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat.

Untuk tujuan itu, Dr Siti Mariah berharap semua kakitangan SUK mengambil bahagian dalam program itu.

“Hari ini kita mulakan dengan program yang terbuka buat semua kakitangan dan pihak pentadbiran memberi pelepasan masa dari 4.30 hingga 5.30 petang.

“Esok kita mulakan pula kategori lebih intensif iaitu khas untuk mereka yang mempunyai berat berlebihan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada hari pertama program SLIM Selangor di ruang legar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, petang tadi.

Dr Siti Mariah berkata, kategori intensif dibuka kepada kakitangan awam yang mempunyai bacaan Indeks Jisim Tubuh (BMI) mencecah 30.

Katanya, jurulatih akan membantu golongan memiliki BMI 30 ini mengurangkan berat badan sekurang-kurangnya enam kilogram dalam tempoh tiga bulan.

Dr Mariah berkata, peserta kategori intensif juga akan diberikan panduan pemakanan sihat supaya dapat mengekalkan berat ideal.

“Bagi kategori ini kita mempunyai 50 peserta bagi sesi pertama dan sesi kedua dibuka selepas tiga bulan iaitu apabila selesai sesi pertama,” katanya.