Categories
SELANGOR

Jangan bagi perut terkejut di Aidilfitri – EXCO Kesihatan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 5 JUN: EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga menasihatkan penduduk di negeri ini supaya tidak membuat kejutan terhadap perut masing-masing di Aidilfitri.

Siti Mariah Mahmud melalui laman facebooknya berkata, pesanan melalui Public Health Malaysia turut memaklumkan makanan yang masuk mengejut tanpa kawalan akan menyebabkan cirit birit dah loya.

“Oleh sebab itu digalakkan makan makanan yang mempunyai sumber karbohidrat terlebih dahulu seperti lemang atau nasi impit dan kunyah makanan perlahan-lahan.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya makan dalam jumlah kuantiti sedikit tetapi kerap, sebaiknya elak minuman berkarbonat dan kopi,” katanya.

Pada masa sama Siti Mariah berkata, Public Health Malaysia turut menggalakkan orang ramai mengelakkan makan buah berasid seperti limau, anggur dan tomato.

 

Categories
SELANGOR

Komited laksana pelbagai strategi, capai 30% pembabitan wanita

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 MAC: Selaras hasrat Kerajaan Negeri mahukan 30 peratus pembabitan wanita dalam peringkat pembuat dasar, pelbagai strategi dilaksanakan bagi merealisasikan matlamat itu.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Kerajaan Negeri menerusi Institut Wanita Berdaya (IWB) komited menganjurkan pelbagai program bagi mencapai sasaran terbabit.

Katanya, antara program dilaksanakan baru-baru ini adalah Persidangan Nasional Gender dan Reformasi Pilihanraya dengan tema ‘More Women Better Nation’.

“Persidangan ini bertujuan mempercepatkan penyertaan wanita sebagai pembuat dasar di peringkat nasional dan negeri.

“Antara input diketengahkan semasa persidangan itu adalah pengenalan kepada Kerusi Tanpa Kawasan iaitu sistem ini akan memberi peluang untuk lebih ramai wanita dilantik menjadi wakil di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Kerusi Tanpa Kawasan adalah sistem iaitu calon dipilih tetapi tidak mempunyai kawasan secara spesifik tetapi menjalankan tugas selaku Ahli Dewan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan dikemukakan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib berhubung strategi IWB mencapai sasaran 30 peratus wanita di semua peringkat pembuat dasar, di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya, IWB turut melakukan penyelidikan berkenaan penyertaan dan pemberdayaan wanita dalam politik di Malaysia : kes Pilihan Raya Umum ke-14 yang dilakukan di lima negeri iaitu Selangor, Perlis, Pulau Pinang, Johor dan Sabah.

“Hasil penyelidikan ini sudah dibentangkan pada Januari lalu, menerusi Seminar Nasional Wanita dan Politik dengan tema ‘Ke Mana Hala Tuju Politik Negara?’.

“Selain itu, IWB juga terbabit secara langsung dalam menyediakan Modul Latihan Pembangunan Kapasiti untuk Penyelia Pusat Wanita Berdaya dan Program Wanita Berdaya Selangor (WBS),” katanya.

Katanya, program WBS menyasarkan peserta terpilih daripada sesi program umum dari setiap DUN merangkumi modul kepimpinan, pengucapan awam, pengurusan, kewangan, integriti, latihan fizikal, pendidikan politik dan pembangunan sosial.

Malah, beliau berkata, pada akhir program itu, peserta akan melalui proses penilaian berdasarkan pembabitan mereka sepanjang modul dilaksanakan dan akan dianugerahkan Sijil WBS daripada Kerajaan Negeri.

Categories
SELANGOR

Sedia tapak klinik baharu Setia Alam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 MAC: Bagi menampung kepadatan dan menambah baik perkhidmatan kesihatan kepada penduduk Setia Alam, Kerajaan Negeri menyediakan tapak klinik baharu.

EXCO Kesihatan, Kebajikan dan Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, bagaimanapun status tanah berkenaan masih belum dibuat pemberimilikan tapak.

“Justeru, Jabatan Kesihatan Negeri akan membuat permohonan untuk pemberimilikan tanah terbabit.

“Ketika ini, penduduk kawasan Setia Alam boleh mendapatkan perkhidmatan kesihatan di Klinik Kesihatan Meru, Klang, Seksyen 7, Shah Alam dan Bukit Kuda,” katanya di Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini.

Pada masa sama, Dr Mariah berkata, sebanyak 13 buah klinik panel yang berdaftar di bawah Skim Peduli Sihat disediakan bagi menampung keperluan klinik kawasan berkenaan.

Categories
SELANGOR

Penduduk Selangor dinasihat kurangkan aktiviti cuaca panas

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 26 FEB: Penduduk di Selangor dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar ketika cuaca panas gara-gara amaran suhu tinggi yang dikeluarkan Jabatan Metereologi Malaysia (METMalaysia), semalam.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, rakyat juga perlu berwaspada terhadap tanda awal strok haba berikutan cuaca panas dan kering ketika ini.

Katanya, orang ramai yang melakukan aktiviti riadah juga digalakkan melakukannya pada waktu pagi dan juga lewat petang.

“Sebaiknya janganlah terlalu kerap berada di luar terutamanya pada waktu tengahari dan sebaiknya jangan lupa memakai topi ataupun cermin mata.

“Saya amat berharap supaya tidak ada kes strok haba berlaku di negeri ini dan untuk pengetahuan semua, ia berlaku apabila paras suhu badan meningkat melebihi 40.5 celcius berbanding suhu normal badan manusia kira-kira 37 celcius,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Melalui laman web METMalaysia melaporkan, Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang diramalkan akan dilanda cuaca panas sehingga 35 darjah celcius sehingga Isnin depan.

Bagaimanapun, Gombak dan Hulu Langat pula diramalkan hujan di satu dua tempat pada waktu pagi.

Pada masa sama, METMalaysia turut melaporkan 10 kawasan di Semenanjung mengalami suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 celcius selama tiga hari berturut-turut.

Antara kawasan disenaraikan adalah di Chuping (Perlis), Kubang Pasu, Kota Setar, Sik (Kedah), Hulu Perak, Kuala Kangsar dan Kinta (Perak).

Kawasan lain turut dalam senarai ialah di Maran (Pahang), Kepong (Kuala Lumpur) dan Muar (Johor).

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri perhalusi program ‘Work From Home’

OLEH SHEEDA FATHIL

AMPANG JAYA, 10 FEB: Kerajaan Negeri sedang memperhalusi program ‘Work From Home’ bagi melihat secara lebih teliti sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, proses bagi melaksanakan program itu mengambil sedikit masa kerana ia membabitkan aspek teknikal.

“Aspek teknikal dimaksudkan adalah ‘Work From Home’ menggunakan proses untuk kita menghantar bahan, mengumpul bahan dan memikirkan imbuhan yang akan diberikan kepada peserta itu nanti.

“Malah, kebanyakan peserta pula dari pemegang kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), mereka tidak mampu keluar sendiri jadi kita yang akan menyediakan segalanya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Karnival Wellness, Welfare, Women (3W) di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yang turut dihadiri EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar merangkap Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Haniza Talha serta Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari.

Pada masa sama, Dr Siti Mariah berkata, program ‘Work From Home’ itu akan dilaksanakan sekurang-kurangnya dua bulan dari sekarang selepas kerja penelitian itu selesai.

“Kita juga sudah mengadakan sesi temuduga bersama usahawan dan pelatih yang akan melatih peserta ‘Work From Home’ ini,” katanya.

Terdahulu, menerusi Belanjawan Selangor 2019, program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat akan diteruskan ekoran sambutan luar biasa di kalangan rakyat negara ini khasnya Selangor yang memberi manfaat kepada 40,000 ibu.

Justeru, bagi mengorak langkah ke arah Pemberian ke Pemberdayaan (From Gift To Empowerment), penerima KISS terpilih menyertai program ‘Work From Home’.

Pembabitan proaktif 56 Pusat Wanita Berdaya di seluruh Selangor turut sama dizahirkan dalam mengenal pasti penerima KISS berpotensi untuk menjadi peserta program berkenaan.

 

Categories
SELANGOR

RM5 juta diperuntuk Bantuan Sihat Selangor khas buat pesakit kanser

OLEH SHEEDA FATHIL

AMPANG JAYA, 10 FEB: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5 juta menerusi Bantuan Sihat Selangor khusus buat pesakit kanser.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, bantuan itu pernah diadakan namun tidak spesifik.

“Sebelum ini, Bantuan Sihat Selangor sudah dibuka kepada pesakit kanser tetapi di bawah kategori ‘lain-lain’ dan kali ini kita bukakan secara spesifik.

“Objektif supaya ramai yang akan nampak dan sedar bahawa Kerajaan Negeri prihatin terhadap masalah rakyat terutama berkaitan kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Karnival Wellness, Welfare, Women (3W) di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yang turut dihadiri EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar merangkap Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya, Haniza Talha serta Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari.

Pada masa sama, Dr Siti Mariah berkata, sejumlah RM5,000 diperuntukkan kepada setiap seorang pesakit kanser yang memohon dana Bantuan Sihat Selangor itu.

“Kerajaan Negeri menyediakan dana ini bagi memudahkan pesakit kanser membuat rawatan susulan terutama kepada mereka yang tidak mempunyai dana akibat kesempitan hidup.

“Oleh itu, saya menyeru pesakit kanser terutama di Selangor untuk berani tampil melakukan pemeriksaan sekali gus memanfaatkan peluang yang diberikan Kerajaan Negeri melalui Bantuan Sihat Selangor ini,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kempen Selangor Gempur Aedes bakal dilancar

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 JAN: Berikutan jumlah kes wabak denggi yang tinggi di Selangor, Kerajaan Negeri bakal melaksanakan ‘Kempen Selangor Gempur Aedes’ bermula 21 Januari hingga 17 Februari ini.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kempen itu dilaksana dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Selangor.

“Saya memandang serius terhadap statistik terkini penularan wabak denggi terutama di Selangor yang menunjukkan peningkatan amat ketara membabitkan beberapa daerah di negeri ini.

“Oleh itu, selaku EXCO Kesihatan sejumlah RM500,000 diperuntukkan kepada seluruh PBT untuk menjalankan ‘task force’ pembersihan dan penghapusan tempat pembiakan aedes di semua lokaliti ‘hotspot’ denggi yang sukar diakses serta kurang mendapat kerjasama dari komuniti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Selangor Isytihar Ops Gempur Aedes besar-besaran di Hotel Carlton, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, antara aktiviti dilakukan pada kempen itu adalah kawalan sporadik berfokus bersama PBT dengan sasaran melebihi 50 peratus lokaliti wabak melalui aktiviti Penghapusan Tempat Pembiakan (PTP) dan ‘larvaciding’.

“Penguatkuasaan tempat pembiakan akan dipertingkatkan dengan memberi fokus kepada kawasan tumpuan awam antaranya seperti pasar raya, tapak pasar malam atau pagi, pasar basah, pusat sukan dan rumah ibadat.

“Justeru, Pasukan Perubahan Tingkah Laku (COMBI) juga akan diaktifkan semula bagi meningkatkan aktiviti promosi kesihatan dan penghapusan tempat pembiakan Aedes melalui kumpulan kecil atau gotong-royong. Ini juga membabitkan mobilasi ahli COMBI ke lokaliti ‘hotspot’,” katanya.

Terdahulu, Selangor dilaporkan antara yang tertinggi mengalami wabak denggi bermula hujung tahun lalu sehingga minggu kedua tahun ini.

Berdasarkan analisa dilakukan Unit Vektor, Jabatan Kesihatan Selangor mendapati peningkatan adalah melebihi 200 peratus berbanding tahun lalu.

Antara daerah mencatat kumulatif kes tertinggi sehingga 12 Januari lalu adalah Petaling dengan 1,061 kes, Klang (960), Hulu Langat (608) dan Gombak (328).

Manakala, sebanyak 122 lokaliti ‘hotspot’ berjaya dikenal pasti membabitkan 66 di Petaling, Klang (22), Hulu Langat (21), Gombak (12) dan Sepang (satu).

 

Categories
SELANGOR

Petaling catat kes tertinggi denggi

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 DIS : Petaling menjadi antara lokasi tertinggi kes denggi di Selangor, diikuti Klang, Hulu Langat dan juga Gombak.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kes denggi pada minggu ke 51 sehingga 22 Disember lalu mencatatkan peningkatan daripada 1,262 kepada 1,462 kes.

Katanya, trend peningkatan itu berlaku disebabkan kekerapan cuaca hujan serta musim cuti persekolahan.

“Tidak dinafikan kes denggi pasti akan meningkat pada hujung tahun memandangkan masyarakat kita akan keluar bercuti dan meninggalkan rumah masing-masing, jadi pada waktu itu nyamuk akan membiak sekali gus menyebabkan denggi semakin merebak.

“Oleh sebab itu, saya ingin nasihatkan orang ramai supaya bersihkan rumah anda terlebih dahulu sebelum pergi bercuti bagi mengelakkan kes tidak diingini berlaku,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, walaupun berlaku peningkatan saban minggu, namun jumlah kumulatif kes didapati menurun berbanding tahun lalu.

Katanya, mengikut statistik, sebanyak 44,731 dicatatkan tahun lalu sementara 43,767 pada tahun ini.

“Sementara bagi daerah Hulu Selangor dan Sabak Bernam pula tiada peningkatan berlaku.

“Saya berharap supaya kes denggi akan terus menurun dan ianya amat memerlukan kerjasama daripada penduduk setempat,” katanya.

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Selangor komited lindungi kaum wanita, perkasa institusi keluarga

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Kerajaan Negeri sentiasa komited melindungi dan menegakkan kehormatan serta hak kaum wanita dan kanak-kanak sebagai usaha memperkukuhkan institusi kekeluargaan.

EXCO Kesihatan, Pemerdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, komitmen itu dizahirkan kerana kerajaan bimbang dengan isu keganasan rumah tangga khususnya yang semakin meningkat pada kadar yang membimbangkan.

Katanya, sejumlah 50,658 kes rogol, pencabulan, perbuatan seks tidak normal, gangguan seksual dan keganasan rumah tangga direkodkan oleh Kementerian Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari 2013 hingga Mei 2018.

Beliau berkata, daripada jumlah berkenaan, Selangor, Johor dan Kedah merekodkan kes tertinggi dalam semua kategori dalam tempoh lima tahun itu.

“Sebanyak bagi jenayah seks, sebanyak 3,439 kes dilaporkan dari Januari hingga Mei tahun ini.

“Manakala, jumlah kes yang diselesaikan hanya kira-kira 40 peratus daripada jumlah kes yang dilaporkan.

“Malangnya, mangsa ini kebanyakannya wanita, kanak-kanak dan remaja di bawah umur 18 tahun. Apa yang lebih membimbangkan, pelaku pada masa kini tidak takut atau tidak malu untuk mengekalkan keganasan mereka dalam keadaan terbuka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Persidangan Antarabangsa dan Muzakarah Fikh, di Institusi Sosial Malaysia (ISM), di sini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Rektor Kolej Universiti Islam Malaysia, Prof Dato’ Dr Abdul Halim Tamuri.

Pada masa sama, Dr Mariah berkata, program keibubapaan perlu diperkasa bagi memastikan supaya golongan lelaki menyedari peranannya bukan sekadar pencari nafkah tetapi pelindung isteri dan anak-anak.

“Diharap wacana fikah mengenai pemberdayaan keluarga bukan sahaja akan menyentuh isu-isu berkaitan dengan wanita, tetapi juga pemberdayaan para suami dan bapa.

“Selain pemberdayaan ibu bapa, wacana fiqh juga harus menangani aspek kebajikan kanak-kanak,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Belanjawan Selangor 2019: Pendidikan awal kanak-kanak OKU dipertingkat

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 OKT: Aksesibiliti pendidikan awal kanak-kanak kelainan upaya di Selangor dirancang untuk ditingkatkan dengan membuka pusat khas buat golongan itu, mulai tahun depan.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, inisiatif itu menyasarkan anak-anak down syndrom, autisme dan disleksia dari keluarga kurang berkemampuan.

Katanya, usaha itu masih giat dirangka dan perincian lanjut berkenaannya akan dibentangkan di Sesi Pembentangan Belanjawan Selangor 2019, pada 23 November depan.

“Pusat khas itu bertujuan supaya setiap kanak-kanak OKU mampu menjalani kehidupan dengan menitikberatkan beberapa aspek kemahiran, bermain dan belajar.

“Kita akan melaksanakan pusat khas ini di dua taska di setiap Dewan Undangan Negeri terpilih di Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Dr Siti Mariah berkata, pusat khas yang akan dilanksanakan secara ‘pilot’ itu selaras dengan Program Intervensi Awal (EIP) dilaksanakan Kerajaan Negeri seperti sebelum ini.

Katanya, ia merupakan pakej pendidikan merujuk kepada perkhidmatan diberikan kepada bayi atau kanak-kanak mempunyai ketidakupayaan seperti pendengaran, penglihatan, pembelajaran dan fizikal.

“Apabila wujudnya program ini, ibu bapa tidak perlu risau lagi untuk berfikir mahu menghantar anak mereka jauh daripada rumah yang menjadi punca banyak perbelanjaan dikeluarkan.

“Malah, Kerajaan Negeri amat memahami permasalahan dihadapi rakyat dan kita berusaha sedaya upaya untuk membantu meringankan beban dihadapi setiap golongan ini,” katanya.

Dr Siti Mariah berkata, dua sukarelawan akan dihantar menjalani latihan kemahiran khusus supaya mereka boleh mendidik anak-anak itu sebaiknya.

 

Cegah denggi agenda utama Kerajaan Negeri 2016

Kerajaan Negeri memfokuskan agenda memerangi penularan wabak denggi sepanjang tahun ini -MB

Daroyah kekal Exco Kesihatan


Tiada keperluan menukar kepimpinan, Daroyah tiada salah laku -MB