Categories
EXCO SELANGOR

Minyak masak 5kg hanya RM20 jika buat dua peringkat harga

SHAH ALAM, 12 JUN: Kerajaan persekutuan perlu menimbang cadangan membuat dua peringkat harga bagi minyak sawit mentah untuk mengawal kenaikan kos minyak masak.

EXCO hal ehwal pengguna berkata langkah termasuk menjual eksport minyak sawit mengikut harga pasaran selain memperkenal harga lebih rendah untuk kegunaan domestik.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni menjelaskan kaedah itu membolehkan minyak masak 5kg dijual paling mahal pada kadar RM20 sebotol setelah mengambil kira semua kos terlibat.

“Sukacita ingin saya ingatkan Malaysia antara pengeksport minyak sawit mentah dunia terbesar iaitu 27 juta tan dan hanya 1 juta tan untuk kegunaan tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Jadi, kegunaan domestik bagi minyak sawit mentah ini masih boleh ditawarkan pada harga rendah. Ia lantaran kenaikan harga minyak masak sudah ke tahap yang membebankan rakyat.”

Menurut Mohd Zawawi, kerajaan kini berpandukan kaedah simulasi harga runcit minyak sawit bagi menetapkan harga minyak masak bersubsidi dengan mengambil kira semua komponen kos.

Katanya, komponen kos itu sama untuk pengeluaran minyak masak tanpa subsidi termasuk harga minyak sawit RBD Olein, kos pengilang, margin keuntungan pemborong dan peruncit serta kos pentadbiran.

Pada Selasa, timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna (KPDNHEP) berkata kenaikan harga minyak masak dipengaruhi kenaikan harga buah tandan sawit di ladang iaitu RM1,000 satu tan, berbanding RM300 satu tan sebelum ini.

Pada 9 Jun, bekas Menteri KPDNHEP Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyaran harga dua peringkat dibuat susulan kenaikan 100 peratus harga minyak masak botol yang disifatkan tidak munasabah.