Categories
AGENDA BERITA UTAMA EXCO NASIONAL SELANGOR

myGAP: Video animasi bantu promosi hasil pertanian berkualiti

SEPANG, 1 MAC: Kerajaan Selangor melancarkan video animasi mengenai Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (myGAP) hari ini bagi mempromosi hasil tanaman berkualiti kepada orang ramai.

EXCO pertanian berkata inisiatif berkenaan turut menggalakkan petani mengamalkan kaedah penanaman sistematik sekali gus mengeluarkan hasil yang selamat untuk dimakan.

Ir Izham Hashim berkata setakat ini sebanyak 1,487 ladang di Selangor sudah menerima sijil berkenaan dan sebahagian besar hasil pertanian yang dikeluarkan adalah berkualiti.

“Sebab itu kita mahu lebih ramai lagi petani mendapatkan sijil myGAP. Apabila hasil yang dikeluarkan berkualiti, permintaan dari pengguna juga akan meningkat, sekali gus menambah pendapatan mereka.

“Justeru, kita sasarkan 380 lagi sijil myGAP dikeluarkan tahun ini. Jabatan pertanian akan merangka beberapa strategi bagi memastikan hasrat itu tercapai,” katanya selepas melancarkan video berkenaan di sini hari ini.

Jelas Izham sebanyak 36 ladang pertanian dan penternakan yang mengamalkan konsep organik turut mendapat sijil myOrganic, selain enam ladang lebah dan kelulut berjaya menerima myGAP AM.

Dalam majlis sama, beliau turut menyerahkan bantuan awal RM500,000 kepada 250 petani yang terjejas banjir pada Disember tahun lalu.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO pertanian lawat Kebun Komuniti Seksyen 8 Prima

BANDAR BARU BANGI, 7 OKT: EXCO Pertanian Ir Izham Hashim mengadakan lawatan ke Kebun Komuniti Seksyen 8 Prima di sini hari ini.

Lawatan Izham diiringi Pegawai Daerah Hulu Langat Dr Ani Ahmad dan Ahli Dewan Negeri Sungai Ramal Mazwan Johar.

Izham memaklumkan Selangor aktif dalam membangunkan pertanian moden dan bekalan makanan terutama ketika pandemik.

“Kita ambil iktibar ketika pandemik keperluan sekuriti makanan yang menjadi agenda penting Kerajaan Negeri,” katanya ketika berucap.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Peserta minat bertani digalak sertai projek jaminan bekalan makanan

SHAH ALAM, 13 JUN: Minat bertani serta komited antara kriteria pemilihan peserta projek pertama jaminan bekalan makanan di Bukit Changgang, Banting.

 

EXCO pertanian berkata mereka yang berusia 18 hingga 40 tahun dan memenuhi kriteria ditetapkan digalakkan memohon bagi memastikan matlamat program menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 tercapai.

 

“Kerajaan Negeri bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menyediakan kemudahan lengkap dari tapak hingga proses pemasaran. Kita akan bantu tetapi perlu komited,” kata Ir Izham Hashim hari ini.

 

Menurutnya projek di tapak Selangor Smart Agro Farm itu akan melibatkan 30 peserta dengan masing-masing akan mengusahakan satu ekar tanah.

 

“Prasarana akan disediakan sama ada bidang pertanian, perternakan atau perikanan. Projek ini termasuk dalam peruntukan RM10 juta bagi pembangunan agropreneur negeri, menyasarkan 200 peserta setahun selama lima tahun,” katanya.

 

Rabu lalu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan lebih RM13 juta merangkumi program jaminan bekalan makanan (RM10 juta), Program Agro Prihatin (RM1.5 juta) dan program peningkatan hasil (RM1.93 juta).

 

Pelan keseluruhan bernilai RM551.56 juta itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Penyakit kulit serang lembu, pengusaha digesa pantau ternakan

SHAH ALAM, 3 JUN: Kerajaan Negeri bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar memantau penularan penyakit kulit kental (LSD) pada ternakan lembu dan kerbau.

EXCO pertanian berkata pihaknya memandang serius penyakit tersebut yang dikesan di Sabak Bernam dan Hulu Selangor terutama untuk persediaan ibadah korban.

“Kita terima laporan ada dua kes LSD di Selangor, keadaan ini membimbangkan kerana memberi kesan besar kepada bekalan makanan serta industri ternakan.

“Penternak lembu atau kerbau digesa menghubungi agensi berkaitan sekiranya terdapat jangkitan kulit haiwan ternakan,” kata Ir Izham Hashim pada Majlis Pelancaran Agro Prihatin di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam.

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) semalam mengesan penyakit tersebut pada 42 lembu hidup dari Thailand yang dikuarantin.

Jumlah itu sebahagian daripada 1,434 lembu yang diimport pada 26 April lalu, yang diasingkan sebelum dibenarkan masuk ke negara ini.

Penyakit LSD menular di Asia sejak 2019 antaranya di Bangladesh, India, China dan terbaharu Thailand.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Giat ternak ikan air tawar, elak bergantung sumber luar

BESTARI JAYA, 4 APRIL: Kerajaan Selangor akan mempergiat sektor ternakan ikan air tawar bagi mengelak kebergantungan sumber dari negeri lain.

EXCO pemodenan pertanian dan industri asas tani berkata negeri ini memiliki banyak kolam dan tasik yang berpotensi dimajukan bagi mencapai hasrat berkenaan.

Jelas Ir Izham Hashim, antara ternakan yang dikenal pasti ialah keli, talapia, patin, kaloi, puyu, sepat dan haruan.

“Setakat ini kita hanya ada 30 peratus sumber ikan air tawar dan selebihnya dibawa masuk dari negeri lain.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri serta beberapa agensi sedang membuat kajian termasuk meneliti tahap kualiti air yang bersesuaian dengan ternakan ikan air tawar,” katanya selepas merasmikan program Ground Test The Tomanz di Universiti Selangor semalam.

Hadir sama Naib Canselornya Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Program percuma yang disertai 40 pemancing itu bertujuan memindahkan ikan toman ke tasik The Tomanz yang akan dilancarkan pada Mei ini.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih RM600,000 bantu petani, penternak terkesan Covid-19

SHAH ALAM, 31 MAC: Kerajaan Selangor membelanjakan sebanyak RM648,600 bagi membantu petani dan pengusaha ternakan yang terjejas berikutan Covid-19.

EXCO pertanian berkata sumbangan kepada 934 penerima meliputi bantuan makanan ternakan, akuakultur dan bahan mentah yang diagih secara berperingkat.

“Tujuan bantuan untuk meringankan beban mereka dan memberi semangat supaya terus bertani dan menternak.

“Kita juga akan sentiasa membantu golongan ini kerana mereka antara yang terkesan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” kata Ir Izham Hashim ketika dihubungi.

Pada 20 Januari, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM2 juta untuk melaksanakan pelbagai inisiatif meringankan beban golongan tersebut.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata insentif itu antaranya baucar petrol (nelayan), barangan pertanian (petani), makanan ternakan (penternak) dan bahan mentah (pengusaha industri asas tani).

Inisiatif tersebut antara yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor bagi meringankan beban rakyat untuk mendepani PKP 2.0.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

1,500 hektar tapak sawah tidak subur dikaji, dirawat

SUNGAI BESAR, 10 MAC: Agensi Nuklear Malaysia akan mengkaji tapak sawah bermasalah seluas 1,500 hektar sekitar Sungai Panjang dan Bagan Terap sebelum proses menanam pada Julai.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata inisiatif Kerajaan Selangor bagi memastikan tapak tanaman kembali subur sekali gus pesawah tidak lagi mengalami kerugian.

“Satu daripada punca hasil merosot kerana tanah sudah gersang akibat penggunaan berulang, jutsteru kita rancang untuk rawat tanah ini dan menjadikannya kembali subur.

“Proses ini memerlukan kajian lanjut kerana semua tanah berbeza dan rawatan juga berlainan mengikut jenis tanah,” katanya selepas menyerahkan baja kompos dan makanan kepada petani di sini semalam.

Menurut Ir Izham, keputusan kajian akan diperoleh dalam tempoh singkat selain kos rawatan tanah serendah RM200 berbanding RM1,000 sebelum ini.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM1 juta bagi membantu 2,500 pesawah yang berdepan masalah kemerosotan hasil padi ke tahap 2.5 tan berbanding lapan tan untuk satu hektar.

 

Categories
EXCO SELANGOR

Kelong Paradise ditambah baik, sasar jadi taman ikan

SABAK BERNAM, 9 MAC: Kerajaan Selangor memperuntuk sejumlah RM200,000 bagi menaik taraf Kelong Paradise Waterfront Resort bagi menarik kehadiran orang awam.

EXCO Pertanian Ir Izham Hashim berkata selain merancang menceriakan kawasan tumpuan pelancong itu, pihaknya bakal menambah beberapa kemudahan antaranya kawasan renang dan bilik berhawa dingin bagi keselesaan pengunjung.

“Kemudahan yang ada sebelum ini seperti lantai, tandas, tempat makan dan bilik keluarga juga akan dibaiki. Langkah ini menggalakkan pengunjung datang bersama keluarga.

Bangunan tiga tingkat Kelong Paradise di Sabak Bernam pada 9 Mac 2021 yang dirancang dijadikan kawasan taman ikan dan tarikan pelancongan. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Kita jangkakan kerja pembaikan dan naik taraf ini berjalan ketika Ramadan. Semua kemudahan mengutamakan aspek keselamatan,” kata Ir Izham Hashim selepas meninjau kawasan berkenaan.

Menurutnya bangunan tiga tingkat dibina lapan tahun lalu itu juga bakal dijadikan kawasan taman ikan.

“Tahun lalu kos sebanyak RM350,000 digunakan untuk menambah tukun. Jadi kita yakin ikan dapat membiak dengan banyak,” katanya.

 

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Baja kompos tingkat hasil tani, bantu pulih tanah

KUALA SELANGOR, 6 DIS: Kerajaan Selangor bakal meluaskan penggunaan baja kompos bagi meningkatkan hasil tanaman negeri.

EXCO pertanian berkata baja yang dihasil menggunakan tinja ayam memulihkan kualiti tanah serta menjadikan tanaman lebih subur.

Ir Izham Hashim menjelaskan ia terbukti melalui projek perintis tanaman padi seluas 60 hektar di Parit 10, Sungai Burong.

“Setiap kali musim menuai, kita dapati hasil meningkat lebih enam tan malah tanah kekal subur berbanding kawasan sekeliling,” katanya selepas menyampaikan bantuan baja kompos kepada petani di sini.

Menurutnya, kempen penggunaan baja kompos akan dipergiat sebagai perancangan jangka panjang dan diharap mendapat sokongan petani.

“Penggunaan baja kimia secara berlebihan boleh merosakkan struktur tanah dan mencemarkan sungai,” kata Ir Izham lagi.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Keluasan tanaman nanas MD2 cecah 404 hektar

SHAH ALAM, 1 OGOS: Program tanaman nanas bernilai tinggi jenis MD2 di Selangor mula berhasil apabila keluasan penanaman mencecah 404 hektar (1,000 ekar) setakat ini, kata EXCO pemodenan pertanian.

Ir Izham Hashim berkata Kerajaan Negeri yakin keluasan tanaman dan kadar pengeluaran nanas bakal bertambah sekiranya mendapat kerjasama pihak terlibat selain disokong kecekapan strategi.

“Tanaman nanas MD2 mampu hasilkan pulangan lumayan kerana bekalannya tidak mencukupi di pasaran tempatan, malah dikelaskan dalam program tanaman sumber kekayaan baharu.

“Faktor tanaman nanas tidak cerewet dijaga menyebabkannya menjadi pilihan golongan petani moden. Setakat ini nanas ditanam di pelbagai kawasan seluruh Selangor antaranya Kuala Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Klang,” katanya kepada SelangorKini.

Harga jualan terus nanas MD2 kepada pengguna yang membeli dari kebun atau ladang boleh mencapai harga RM2 hingga RM5 sekilogram bergantung pada saiz buah.

Dalam perkembangan berkaitan, Izham berkata Selangor di landasan tepat untuk menjadi pusat pengeluaran makanan bernilai tinggi negara pada masa depan.

“Selain nanas, kita telah pun memulakan projek 11 jenis tanaman bernilai tinggi iaitu nangka madu J33, halia, roselle, cendawan, jagung bijiran, lemon mattle, kelapa matag, rumput lembu, cendawan, pisang, cavendish dan sayuran bernilai tinggi seperti salad,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Pasar Agro Selangor catat nilai jualan RM15 juta

SHAH ALAM, 9 JULAI: Pasar Agro Selangor berjaya mencatatkan nilai jualan RM15 juta dalam tempoh hampir tiga bulan dibuka ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

EXCO pertanian berkata nilai jualan berjumlah RM500,000 turut direkodkan dalam tempoh dua hari pembukaan Pasar Agro Selangor Khas Aidilfitri di enam lokasi terpilih.

“Pasar segar daging menjelang Aidilfitri kita boleh jual daging RM33.50 untuk sekilogram kerana kita berbincang dengan penternak supaya kedua-dua pihak untung. Orang lain jual RM36 hingga RM38 untuk sekilogram tetapi kita jual pada harga berkenaan.

“Untuk ayam pula kita jual RM7.20 untuk sekilogram sedangkan harga kawalan RM7.50. Kita cuba perluaskan Pasar Agro Selangor pada masa akan datang,” kata Ir Izham Hashim pada SelangorKini.

Dato’ Seri Amirudin Shari meluangkan masa menyantuni peniaga dan pembeli serta meninjau keadaan Pasar Agro Selangor secara pandu lalu di Seksyen 13, Shah Alam pada 23 Mei 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Pasar Agro Selangor dilancarkan pada 27 Mac lalu sementara pasar segar sempena Aidilfitri berlangsung dua hari bermula 22 dan 23 Mei dengan operasi jualan secara pandu lalu untuk pelanggan mendapatkan barangan basah pada harga berpatutan.

Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk petani, penternak, nelayan serta industri asas tani bagi mempertingkatkan kelangsungan bekalan makanan.

Ikuti siaran langsung Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor di saluran YouTube selangortv.my pada 13 Julai.

Persidangan DNS pada 13 hingga 24 Julai juga disiarkan secara langsung di saluran sama.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sasar Bangun Semula Industri Koko

SHAH ALAM 22 NOV : Kerajaan Negeri mensasarkan membangunkan semula industri tanaman koko berjumlah 10,000 ekar.

Perkara ini dinyatakan Exco Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan, Dr Yaakob Sapari ketika menjawab pertanyaan yang dibangkitkan oleh Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar pada sesi soal jawab sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Jelasnya, penanaman koko ini menjadi pemerhatian semula Kerajaan Negeri ekoran masalah yang dihadapi petani tanaman pisang nipah.

Menurutnya, setakat ini projek tanaman semula koko dibuat di Kampung Bukit Kerayong, Klang.

“Kita cuba meningkatkan koko bersama dengan Lembaga Koko Malaysia mensasarkan sekitar 10,000 ekar di Selangor ini tapi tidak boleh kerana kita tidak mempunyai tempat yang luas.

“Buat masa ini, ia ditanam dibawah pokok kelapa yang sedia ada.

“Asalnya kawasan ini untuk tanaman koko. Harga jatuh maka petani tukar kepada tanaman pisang nipah,” katanya.

Berhubung persoalan mengenai peruntukkan pula, Dr Yaakob menjelaskan dana untuk pembangunan berkenaan  disediakan di bawah Lembaga Koko Malaysia.