Categories
BERITA UTAMA EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Kerajaan Negeri kaji tambah stok pembelian unit Skim Smart Sewa

SHAH ALAM, 16 NOV: Kerajaan Negeri mengkaji keperluan menambah stok pembelian 100 unit Skim Smart Sewa tahun depan bagi menampung permintaan sedia ada.

EXCO Perumahan berkata sejak diperkenal pada 2015, sejumlah 1,111 unit terlibat dengan pelaksanaan program itu melalui peruntukan pembangunan disalurkan Kerajaan Negeri sebagai modal permulaan.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 649 unit dibuka sewaan kepada orang awam memandangkan projek siap sepenuhnya manakala 110 unit telah dibuat penyerahan untuk proses penyewaan.

“Projek dalam pembinaan di tapak pula membabitkan 40 unit manakala pembelian baru diluluskan tahun lepas dan tahun ini ialah 312 unit,” kata Rodziah Ismail ketika dihubungi Selangorkini.

Mengulas lanjut, beliau berkata sebanyak 920 permohonan diterima setakat ini dengan 530 unit disewakan kepada orang awam, sementara baki unit kosong dalam proses temuduga bagi kemasukan baharu.

Menerusi Belanjawan Selangor 2021, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan sebanyak RM20 juta bagi program Skim Smart Sewa menggunakan dana Tabung Amanah Pengecualian Syarat Kuota Bumiputera.

Skim Smart Sewa memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang tidak berupaya memiliki Rumah Selangorku untuk memiliki kediaman sendiri.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor sasar 300,000 peniaga guna e-dompet tahun ini

SEPANG, 7 APRIL: Kerajaan Selangor menyasarkan 300,000 peniaga kecil mendaftar dan menggunakan e-dompet sehingga penghujung tahun ini.

EXCO perumahan, kesejahteraan dan hartanah berkata konsep itu diperkenal pada 2019 namun terdapat sedikit kekangan menyebabkan ia terlewat dilaksanakan.

“Sepanjang dua tahun ini kita dapati golongan peniaga kecil paling lambat untuk terlibat. Apabila kita buat kajian didapati mereka belum bersedia dan tidak faham.

Rodziah Ismail menyampaikan bantuan makanan kepada pemandu teksi di Dataran BBST Walk di Sepang pada 7 April 2021. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGOKINI

“Jadi kita serahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan seorang pegawai khas akan bawa perkara ini ke bawah dan yang dapat lesen perlu melalui khusus e-dompet supaya mereka faham,” kata Rodziah Ismail.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan makanan kepada pemandu teksi dan bas sekolah peringkat Majis Perbandaran Sepang di Dataran BBST Walk di sini, hari ini.

Katanya, antara kesulitan dihadapi peniaga kecil menggunakan e-dompet adalah mereka berdepan kesukaran mendapatkan wang tunai segera bagi dijadikan modal untuk keesokan harinya.

“Sekarang ini kita gunakan e-dompet yang sedia ada tetapi ia diluar kawalan Kerajaan Selangor dan dijangka Kerajaan Negeri akan mengeluarkan sendiri e-dompet yang lebih mesra peniaga,” katanya.

Ditanya sama ada Kerajaan Selangor akan mengambil tindakan dengan tidak membenarkan peniaga memperbaharui lesen jika gagal mendaftar e-dompet Rodziah berkata pihaknya tidak bercadang berbuat demikian.

“Kita lebih kepada advokasi terlebih dahulu, itu lebih penting… kita bimbing dulu kerana tanpa ada bimbingan ia akan lambat,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

3,000 unit Rumah Selangorku di Semenyih, Rawang siap tahun ini

SHAH ALAM, 1 APRIL: Sebanyak 3,000 unit rumah mampu milik di beberapa kawasan seluruh negeri dijangka siap menjelang Disember tahun ini.

EXCO perumahan berkata projek Rumah Selangorku tersebut meliputi Semenyih, Hulu Kelang, Telok Panglima Garang, Rawang dan Sungai Buloh.

“Hampir setiap bulan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor meluluskan projek pembinaan rumah.

Rodziah Ismail melakukan gimik pelancaran seminar pemantapan pengurusan kediaman bangunan berstrata di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 1 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Selepas mendapat kelulusan, pemaju perlu berurusan dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan projek berjalan lancar,” kata Rodziah Ismail selepas merasmikan seminar pengurusan kediaman bangunan berstrata di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini.

Sementara itu, beliau menyasar sebanyak 3,000 unit Rumah Selangorku Harapan dan Rumah Selangorku Idaman yang dikhaskan untuk Skim Smart Sewa Kemudian Beli (2STAY) siap dua tahun lagi.

“Skim ini menawarkan tempoh sewa antara dua hingga lima tahun sebelum penyewa diberi pilihan untuk beli atau sebaliknya,” katanya lagi.

Skim 2STAY membantu golongan berpendapatan rendah dan individu sukar mendapat pembiayaan untuk memiliki kediaman sendiri pada harga kurang RM200,000.

Program tersebut membabitkan unit kontra percuma di bawah inisiatif Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Majikan digesa sedia penginapan lebih selesa kepada pekerja

SHAH ALAM, 5 DIS: Majikan perlu menyediakan penginapan lebih selesa dan tidak sesak kepada pekerja termasuk warga asing bagi mengelak penyakit berjangkit.

EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar berkata langkah itu selaras Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

Rodziah Ismail menjelaskan ia ditambah peningkatan kes harian Covid-19 yang melangkaui unjuran Institut Kesihatan Negara Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kita memandang serius isu penginapan warga asing yang didakwa agak sempit dan sesak. Pihak majikan perlu segera memainkan peranan lebih besar dalam menanganinya,” tulisnya di Facebook.

Wakil rakyat Batu Tiga berkata warga asing tidak harus disisih dan distigmakan, sebaliknya perlu dibantu untuk mengurangkan penularan Covid-19.

Rodziah berkata tenaga kerja baik tempatan mahupun asing adalah aset berharga sesebuah syarikat mahupun organisasi yang harus dijaga.

Pada 1 Disember, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia membuka 19 kertas siasatan terhadap enam kumpulan syarikat pengeluar sarung tangan getah terkemuka yang gagal mematuhi Akta 446.

Di bawah akta terbabit, majikan yang didapati bersalah boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 bagi setiap kesalahan.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO sasar 21,094 unit Rumah Selangorku siap dalam tiga tahun

SHAH ALAM, 3 DIS: Kerajaan Negeri menyasar pembinaan 21,094 unit Rumah Selangorku dalam tempoh tiga tahun.

EXCO perumahan berkata sebanyak 9,606 unit sedang dibina di Kuala Langat, Sepang dan Kajang.

Sementara 6,368 unit lagi meliputi kawasan Shah Alam, Klang, Petaling Jaya, Subang Jaya dan Ampang.

“Sebanyak 5,120 unit pula sedang dibina di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Selayang,” kata Rodziah Ismail ketika dihubungi.

Beliau berkata tumpuan diberikan kepada pembinaan kediaman selesa bagi golongan berpendapatan rendah dan menengah selain memastikan tiada rakyat terpinggir.

Sebanyak 14,497 unit Rumah Selangorku berjaya disiapkan antara 2018 hingga kini. Sementara 102,996 unit dalam proses mendapat kelulusan.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Rangka dasar kediaman baharu, tingkat potensi miliki rumah pertama

SHAH ALAM, 3 DIS: Kerajaan Selangor bakal merangka dasar perumahan baharu bagi meningkatkan pemilikan kediaman pertama dalam kalangan rakyat negeri ini.

EXCO perumahan berkata dasar itu mengambil kira keperluan dan kemampuan pemohon mengikut taraf kehidupan semasa bagi mengimbangi syarat ketat bank.

Rodziah Ismail memaklumkan ketika ini hanya 30,793 daripada 64,072 pemohon Skim Rumah Selangorku (RSKU) mendapat kelulusan pinjaman bank sejak 2014.

“RSKU bertujuan membantu rakyat mendapat rumah tetapi tidak sampai separuh permohonan dapat pinjaman bank, jadi kita kena fikirkan cara baharu untuk meningkatkan kadar pemilikan rumah,” katanya ketika dihubungi.

Dasar Rumah Selangorku 2.0 yang diperkenal pada April 2018 menumpu penambahbaikan aspek pemilikan, perancangan dan pelaksanaan untuk manfaat pemaju, pelaksana dasar dan pemilik rumah.

Rumah Selangorku dijual pada harga antara RM42,000 sehingga RM250,000 dengan variasi lima jenis rumah berkeluasan antara 700 sehingga 1,000 kaki persegi.

 

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ masih selanggara PPR Taman Putra Damai, penduduk perlu bekerjasama

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 OKT: Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) masih menyelenggarakan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Damai, Lembah Subang dan penduduk diminta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata MBPJ masih mengendalikan segala perkara berkaitan termasuk kerja pembersihan biarpun Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendakwa mengambilalih PPR berkenaan.

“PPR itu masih di bawah MBPJ maka penduduk perlu membayar sewa mereka kepada MBPJ dan bukan KPKT.

“Sekiranya penduduk membayar kepada KPKT dan kutipan sewa MBPJ tidak mencukupi untuk menanggung kos penyelenggaran maka penduduk akan berhadapan dengan masalah kerana KPKT tidak akan melakukannya,” katanya.

Beliau berkata, kerja pembersihan dikendalikan empat pekerja bagi tingkat atas dan bawah dan MBPJ turut mempunyai pejabat di Blok D diuruskan Penolong Jurutera serta empat kakitangan yang bertanggungjawab menerima aduan juga bayaran sewa dari penduduk dibuka Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Katanya, MBPJ melantik dua syarikat bagi menyelenggarakan lif di PPR itu dan lif akan dipastikan berfungsi sekurang-kurangnya satu bagi setiap blok.

“Penyelenggaraan kerja mekanikal dan elektrikal ini diuruskan Jabatan Kejuruteraan MBPJ manakala terdapat juga seorang pengawal keselamatan bagi setiap blok yang disediakan PBT itu,” katanya.

Selain menguruskan penyelenggaraan, beliau berkata, MBPJ juga menggerakkan program komuniti melalui Pusat Aktiviti Penjanaan Pendapatan Komuniti Bandar (PPKB) di PPR berkenaan.

Katanya, antara program dijalankan ialah menjahit apron dan beg dari kain rentang terpakai dan membuat serta menjual kuih pau.

“Oleh yang demikian, MBPJ bukan sahaja prihatin terhadap penyelenggaraan bangunan tetapi pembinaan komuniti,” katanya.

=EZY=

3,940 orang tolak tawaran Rumah Selangorku

3,940 orang tolak tawaran Rumah Selangorku sejak 1 Jan 2015 hingga 15 Mac 2016. Pemohon menolak tawaran kerana gagal mendapatkan pinjaman bank.

Jom Guna 2.0 galak masyarakat kitar semula

Kempen Jom Guna 2.0 galakkan amalan kitar semula ekoran peningkatan sisa pepejal di kediaman berstrata.

Akta Pengurusan Strata 2013 selesaikan isu perundangan rumah


Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) yang dikuatkuasa pada 1 Jun menggantikan Akta Bangunan dan Harta Bersama (Akta 663) untuk menyelesaikan masalah perundangan dan peraturan.

Ucapan Penggulungan Bajet Selangor 2016 oleh EXCO Iskandar Abd Samad

EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar , Iskandar Abd Samad mengambil bahagian menggulung Belanjawan Selangor 2016, berkait dengan portfolio beliau.

Categories
SELANGOR

Peruntukan bantu rakyat miliki rumah jadi RM20 juta

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PANDAN, 5 OKT: Peruntukan skim Pembiayaan Perumahan Selangorku (DanaSel) dijangka ditingkatkan kepada RM20 juta pada Belanjawan Selangor 2016.

Exco Perumahan, Datuk Iskandar Abdul Samad, berkata langkah ini diambil bagi membantu membantu rakyat memiliki kediaman sendiri khususnya golongan yang gagal mendapat pinjaman bank.

Iskandar Samad“Kita beri fokus kepada mereka nak beli rumah tetapi tidak dapat pinjaman. kita akan teruskan penambahbaikan dengan mengandakan peruntukan skim DanaSel ini.

“Peruntukan sebelum ini ditambah sekali ganda hingga RM20 juta. Kita  berusaha memuktamadkan angka ini sebelum Belanjawan 2016 dibentangkan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Selangor Kini pada Sambutan Pesta Tanglung peringkat DUN Chempaka di Pandan Jaya di sini, malam tadi.

Iskandar menambah, pihaknya turut mengadakan perbincangan dengan Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) bagi membantu mereka yang tidak mempunyai wang pendahuluan membeli rumah.

Iskandar turut menjangkakan peruntukan bagi portfolio perumahan dalam Belanjawan 2016 nanti bertambah berbanding 2015.

-NR-