Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor sasar anjur pelbagai kejohanan, libat peserta luar negara

SHAH ALAM, 16 FEB: Kerajaan Negeri menganjurkan pelbagai kejohanan sukan berskala sederhana di peringkat daerah mulai tahun ini dengan menyasarkan penyertaan dari luar negara.

Inisiatif bagi menyemarak semangat kesukanan itu dijayakan dengan kerjasama Tourism Selangor mengikut tatacara operasi piawai (SOP), kata EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman.

“Sebaik selesai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC), kita akan turun jelajah ke daerah untuk anjurkan kejohanan sukan tetapi menjadikannya sebagai acara antarabangsa dengan melibatkan peserta luar negara.

“Objektif penganjuran adalah bagi membangkitkan semula semangat kesukanan sesuai dengan tema Selangor Bangkit yang diperkenalkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari,” katanya ketika ditemui pada BATC 2022 di Pusat Konvensyen Setia City dekat sini malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata Selangor sentiasa mengorak langkah ke hadapan bagi memajukan industri sukan meskipun berdepan kekangan SOP susulan pandemik Covid-19.

“Kalau boleh kita tidak mahu industri ini mati. Atas faktor itu, kita sentiasa mencari ruang untuk bergerak memajukan sukan di Selangor.

“Kita juga tidak boleh menunggu keputusan KBS (Kementerian Belia dan Sukan) semata-mata (penganjuran acara sukan). Oleh sebab itu kita ambil peluang yang ada untuk kembangkan bidang sukan,” katanya lagi.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Badminton Asia: Hari pertama kejohanan jalan lancar, ikut SOP ketat

SHAH ALAM, 15 FEB: Hari pertama Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City dekat sini berjalan lancar mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata kehadiran penonton menggalakkan selain menjangka lebih ramai pada hari berikutnya.

Beliau memaklumkan kira-kira 200 tiket percuma ditempah secara dalam talian sehari sebelum kejohanan berlangsung, sekali gus membuktikan rakyat Selangor menanti penganjuran itu.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Perjalanan kejohanan sangat memuaskan walaupun dalam keadaan mengawal SOP. Malah, cara kita anjurkan acara ini juga mencapai piawaian dunia,” katanya kepada Selangorkini.

Pada masa sama, Mohd Khairuddin meminta Konfederasi Badminton Asia (BAC) mempertimbangkan permohonan supaya lebih ramai penonton dibenarkan masuk menyaksikan kejohanan tersebut.

“Kapasiti tempat ini mampu memuatkan sehingga 1,500 orang tetapi KKM (Kementerian Kesihatan Malaysi) dan BAC hanya benarkan beberapa peratus sahaja masuk. Jadi, kita akan kaji perkara ini.

“Diharap pada hari seterusnya mereka pertimbangkan permohonan ini. Buat masa ini, kita minta penonton bersabar kerana susunan kejohanan adalah di peringkat asia dan luar daripada kuasa penganjur,” katanya.

Buat julung kalinya, Selangor menjadi tuan rumah BATC 2022 dari 15 hingga 20 Februari yang diselaraskan Majlis Sukan Negeri Selangor dengan kerjasama Badminton Asia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM)

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor rancang guna padang Stadium Shah Alam akhir tahun ini

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kerajaan Negeri sedaya upaya berusaha memastikan padang bola sepak Stadium Shah Alam dapat digunakan semula akhir tahun ini, kata EXCO sukan.

Mohd Khairuddin Othman berkata, rancangan jangka pendek itu akan dibentangkan kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Kita yakin dapat realisasikan wajah baharu, cuma sementara menunggu pembangunan holistik yang bakal dilengkapi pelbagai kemudahan kita mempunyai angan-angan untuk memastikan padang tersebut digunakan semula akhir tahun ini.

“Saya akan berbincang dengan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berhubung perancangan ini memandangkan Stadium Shah Alam sangat besar dan unik malah semua pemain legenda bola sepak pernah bermain di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara ‘Ikhtiar Selangor Bantu Belia’ yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Pada 21 Ogos lalu, Amirudin berkata stadium yang berusia lebih 20 tahun bakal berwajah baharu menerusi kerja naik taraf yang dijangka menelan belanja sehingga RM350 juta berdasarkan penilaian Jabatan Kerja Raya.

Menurutnya, proses itu termasuk dalam cadangan pembangunan semula kawasan sekitarnya yang diusahakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Stadium yang dibuka pada 1994 itu mampu menampung 80,000 penonton namun tidak dapat digunakan buat masa ini akibat kerosakan struktur bumbung.

Pada pembentangan Belanjawan 2021 Oktober tahun lalu, Amirudin turut mencadangkan projek pembangunan Bandar Belia dan Sukan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM8 bilion di sekitar stadium itu.

Beliau berkata kerjasama strategik dengan swasta itu dilaksana secara perkongsian berkonsepkan perkotaan hijau berpaksi kelestarian alam dan bandar pintar.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Selangor Xtiv Virtual rancak aktiviti e-sukan ketika pandemik

SHAH ALAM, 27 OGOS: Selangor Xtiv Virtual yang diperkenal sejak tahun lalu membuktikan Kerajaan Negeri serius merancakkan aktiviti e-sukan sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata program berbentuk kejohanan yang menawarkan hadiah lumayan berjaya menarik lebih 250,000 penyertaan daripada pelbagai latar belakang tanpa menumpukan pemain elit atau profesional semata-mata.

“Pokok pangkalnya apabila berlakunya Covid-19, Kerajaan Negeri memang tidak boleh duduk diam. Jika rakyat dan kerajaan masing-masing takut, tiada apa yang akan berubah.

“Sebab itu kita berani ambil risiko dan segera mengarahkan pegawai melakukan sesuatu kerana sedar bahawa kita mesti ke hadapan, jika tidak secara fizikal kita buat dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program bual bicara ‘Ikhtiar Selangor Bantu Belia’ yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Untuk edisi tahun ini, Selangor Xtiv Virtual menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM411,680.

Acara dipertandingkan seperti Xtiv Virtual e-Sport meliputi permainan PUBG, Mobile Legends Bang Bang, Call of Duty Mobile, Pro Evolution Soccer 2021 dan FIFA Pro Club selain Selangor Xtiv Virtual Marathon, Selangor Xtiv Virtual Chess serta Selangor Xtiv Virtual Martial Art.

Tahun lalu, program terbabit mendapat sambutan luar jangka dengan 250,631 penyertaan dan 18 juta tontonan di platform media sosial.

Mengulas kebenaran beberapa sektor sukan rekreasi di negeri ini, wakil rakyat Paya Jaras mengingatkan orang ramai agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan bagi mengelak jangkitan wabak.

“Apapun aktiviti sukan dilakukan, keselamatan perlu jadi keutamaan kerana kita tidak mahu timbul isu Covid-19. Semua takut dengan wabak sebab ia bukan perkara main-main apatah lagi apabila melibatkan kematian,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Kerajaan Negeri sedia beri kerjasama jayakan Visi Sukan Negara

SHAH ALAM, 5 OGOS: Kerajaan Negeri sedia memberi sokongan dan kerjasama kepada Putrajaya terutama melibatkan sukan dalam menjayakan Visi Sukan Negara (VSN) 2030.

EXCO sukan berkata semua agensi dan persatuan sukan seperti Majlis Sukan Negeri Selangor, Penggerak Belia Selangor, atlet serta rakyat sedia memberi buah fikiran serta idea baharu.

“Hari ini kita dapat menjayakan program sesi libat urus Kanvas VSN 2030 peringkat negeri.

“Setinggi penghargaan kepada Jabatan Belia Dan Sukan Selangor serta Majlis Sukan Negeri Selangor yang berusaha menjayakan program seumpama ini,” kata Mohd Khairuddin Othman dalam kenyataan.

Beliau menambah menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri menjayakan program yang memberi keuntungan kepada rakyat.

“Kerajaan Negeri sedar, kepelbagaian pendapat dari semua pihak perlu dirai agar dokumen VSN 2030 dapat disiapkan dengan cemerlang selaras dengan cogan kata ‘Ini Visi Kita’.”

Pada 7 April, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melancarkan Kanvas VSN 2030 yang menjadi permulaan baik dalam memartabatkan pendemokrasian sukan.

Menterinya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pendemokrasian tersebut bermula dengan suara dan keterbukaan dalam memberi pandangan tanpa mengira latar belakang.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Peserta Selangor Xtiv Virtual Marathon daftar ambil vaksin dapat diskaun yuran

SHAH ALAM, 17 JUN: Peserta siri kedua Selangor Xtiv Virtual Marathon 2021 yang mendaftar pengambilan vaksin Covid-19 akan mendapat potongan yuran 10 peratus.

EXCO sukan berkata inisitif terbabit dapat menggalakkan masyarakat khususnya peserta larian membantu kerajaan membentuk imuniti kelompok menjelang hujung tahun ini.

“Langkah ini juga sebagai menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berhubung kepentingan vaksin.

“Peserta boleh mengemukan bukti sama sudah disuntik atau mendaftar pengambilan imunisasi ketika pendaftaran program,” kata Mohd Khairuddin Othman menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata potongan yuran itu ditawarkan bermula 1 Jun lalu sehingga 14 Julai ini.

“Setakat semalam, seramai 1,000 peserta sudah mendaftar dan kita jangka jumlah akan meningkat.

“Kerajaan Negeri percaya program ini dapat membantu orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat disamping menyokong usaha mencapai sasaran imuniti kelompok agar kita kembali menjalani kehidupan normal,” katanya.

Peserta boleh mendaftar di laman sesawang https://www.irun.my/collections/xtiv-virtual-run/products/-new-irun-selangor-xtivvirtual-marathon-2 dan bakal menerima t-shirt, sijil dan medal.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Kerja naik taraf fasiliti sukan lima daerah memuaskan

SHAH ALAM, 14 FEB: Kerajaan Negeri sudah meninjau prestasi projek naik taraf dan baik pulih infrastruktur sukan di lima daerah yang selesai dilaksanakan sepanjang tahun lalu.

EXCO Pembangunan Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata kerja tambah baik fasiliti di Klang, Petaling, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Hulu Langat itu berada pada tahap memuaskan.

“Sebanyak 40 projek penyelenggaraan berjaya disempurnakan di seluruh negeri ini melalui peruntukan RM2.24 juta bagi memastikan kemudahan sukan dijaga dengan baik.

“Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah seliaan sama ada pihak berkuasa tempatan atau pejabat tanah dan daerah menerima dana RM40,000 untuk pelaksanaan kerja berkaitan di kawasan mereka,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Sementara itu, beliau berkata lawatan ke tapak projek di Sepang, Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Gombak pula akan diadakan dalam tempoh terdekat.

“Kita berharap supaya orang ramai dapat menjaga dan menggunakan kemudahan yang disediakan ini sebaik mungkin demi kepentingan bersama,” katanya.

Wakil rakyat Paya Jaras itu turut memaklumkan akan membuat tinjauan ke beberapa lokasi kemudahan sukan yang memerlukan perhatian Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, Mohd Khairuddin berkata Selangor tekad memastikan kemudahan dalam keadaan baik seiring matlamat membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat.

Katanya kemudahan sukan di peringkat daerah akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa seiring misi Selangor Negeri Pintar 2025.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Gilap potensi, buka peluang anak muda desa

SHAH ALAM, 7 FEB: Projek Pembangunan Generasi Muda dan Sukan dijangka memberi manfaat kepada seluruh anak muda terutama di luar bandar.

Melalui peruntukan RM34.9 juta dalam Belanjawan Selangor 2021, inisiatif itu dijangka mampu melahirkan atlet masa depan.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman yakin hasrat itu mampu dicapai menerusi pelbagai usaha pembangunan peringkat akar umbi.

“Kita akan buat program sukan berkonsep jelajah daerah supaya peluang dapat diberi sama rata kepada belia-belia yang berbakat dan berpotensi.

“Kerajaan Negeri akan menarik lebih banyak penglibatan persatuan sukan dan syarikat swasta untuk menyumbang kepada pembangunan sukan,” katanya kepada SelangorKini.

Tidak melupakan kepentingan sukan dalam talian, malah Khairuddin juga merancang untuk memperbanyak kejohanan e-sukan lantaran ia berpotensi melonjak peserta ke peringkat lebih tinggi.

Selain itu, beliau mahu mengemas kini struktur dan fungsi Penggerak Belia Tempatan (PeBT) supaya keberkesanan program peringkat akar umbi benar-benar dikecapi anak muda.

“Kita juga merancang untuk menubuhkan Institut Generasi Muda yang bertujuan mengkaji dan meneliti keperluan semasa golongan itu.

“Ruang seluas-luasnya akan dibuka kepada persatuan dan badan bukan kerajaan di seluruh negeri untuk memudahkan anak muda menyampaikan pandangan akar umbi,” katanya.

Dalam pada itu, dari sudut pembangunan modal ihsan, program Selangor Bekerja di peringkat daerah akan diteruskan memandangkan lima siri jelajah sebelum ini mendapat sambutan hebat.

Lima siri Jelajah Selangor Bekerja sebelum ini telah berlangsung di Kuala Selangor, Gombak, Paya Jaras, Hulu Langat dan Shah Alam.

Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) juga akan diperluas lagi ke kawasan luar bandar bagi memberi peluang sama rata kepada golongan belia di sana.

“Kesinambungan RiDE sedang kita kaji, ini penting supaya kita dapat melahirkan usahawan atau operator e-panggilan dalam kalangan peserta program ini,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor tumpu sukan potensi sumbang pingat

SHAH ALAM, 28 OKT: Acara sukan yang berpotensi menyumbang lebih banyak pingat dalam kejohanan utama antara fokus Selangor tahun depan.

EXCO pembangunan generasi muda dan sukan berkata tumpuan meliputi program latihan, kejurulatihan dan kemudahan sukan buat atlet.

“Justeru, besarlah harapan saya agar Kerajaan Negeri memberi peruntukan lebih baik dalam Belanjawan 2021 untuk kita meneruskan pogram pembangunan sukan.

“Semoga belanjawan kali ini membolehkan atlet mendapat kemudahan sempurna sekali gus meningkatkan prestasi mereka,” kata Mohd Khairuddin Othman menambah pelan tindakan jangka panjang sedang dirangka Majlis Sukan Negeri.

Pada masa sama, beliau berkata Kerajaan Negeri sedang menstruktur pengambilan jurulatih untuk melahirkan lebih ramai atlet berkualiti.

Mohd Khairuddin Othman ditemui media selepas upacara pelepasan (Flag off) peringkat kelima Le Tour De Langkawi 2020 di Kuala Kubu Bharu pada 11 Februari 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Penstrukturan jawatan yang lebih baik juga dapat menjamin karier mereka sebagai jurulatih,” katanya lagi.

Pembentangan Belanjawan Selangor 2021 dipancar secara langsung dari Dewan Negeri Selangor dan boleh diikuti melalui saluran TV Selangor, selangortv.my.

Siaran langsung itu juga boleh diikuti melalui Facebook Live Media Selangor.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Karnival mega: 60 majikan, 5,000 kerja pelbagai sektor 3-4 Okt

SHAH ALAM, 24 SEPT: Sebanyak 60 majikan bakal menyertai Karnival Mega Kerjaya Selangor yang berlangsung pada 3 dan 4 Oktober di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata karnival tersebut menawarkan kira-kira 5,000 pekerjaan dalam sektor perkilangan, makanan dan minuman, kesihatan, perkhidmatan, teknologi maklumat dan pelbagai sektor lain lagi.

“Selain penganjuran di SACC, sebanyak 103 majikan juga menyatakan minat untuk menyertai karnival kerjaya yang bakal dianjurkan di seluruh daerah di Selangor.

“Mereka yang berhasrat menghadiri karnival ini digalakkan mendaftar secara dalam talian bagi memudahkan urusan untuk memasuki kawasan pameran menerusi laluan khas yang disediakan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Mereka yang berhasrat menyertai program itu boleh mengisi borang secara dalam talian melalui pautan Selangor Mega Job Fair.

Pendaftaran awal juga boleh dibuat menerusi http://nfdot.com/ereg/views/jobfair atau Facebook Pusat Jobs Malaysia Selangor atau Instagram Jobs Malaysia Selangor atau di talian
03-55247740 dan 03-55231309.

Pada Sidang Dewan Negeri Selangor 14 Julai, Khairuddin berkata Selangor bakal menganjurkan karnival kerjaya yang menawarkan 24,500 peluang pekerjaan.

Karnival kerjaya turut bakal dianjurkan di daerah lain iaitu:

– Stadium Kuala Selangor (10 dan 11 Oktober)
– Dewan Orang Ramai Telok Panglima Garang, Kuala Langat (24 dan 25 Oktober)
– Pusat Komuniti Gombak (7 dan 8 November)
– Dewan Sri Cempaka Kajang, Hulu Langat (14 dan 15 November)
– Sepang (21 dan 22 November)
– Hulu Selangor (5 dan 6 Disember)
– Sabak Bernam (12 dan 13 Disember)
– Klang (28 dan 29 Disember)

Categories
AGENDA SUKANKINI

EXCO: Ketua jurulatih sementara Selangor diharap faham pemain, cipta kejayaan

SHAH ALAM, 22 SEPT: Skuad Selangor dipimpin Ketua Jurulatih sementara Michael Feichtenbeiner diharap memahami barisan pemainnya bagi melakar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

EXCO Sukan berkata khidmat pengendali baharu penting bagi memulihkan kembali semangat skuad Gergasi Merah meneruskan momentum kejayaan pasukan itu.

“Kita menghormati keputusan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menamatkan kontrak jurulatih yang ada (B Sathianathan) dan berharap pasukan dikendalikan jurulatih yang faham pemain sekali gus membantu meraih kemenangan untuk perlawanan seterusnya.

Ketua Jurulatih sementara Red Giants Michael Feichtenbeiner memberikan tunjuk ajar strategi permainan pada 22 September 2020 kepada Skuad Selangor apabila bakal menentang UITM FC di Stadium UITM Shah Alam pada 26 September 2020. Foto: Facebook FA Selangor

“Bagaimanapun, kita (Kerajaan Negeri) bersama-sama penyokong Merah Kuning akan terus setia selain meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap jurulatih baharu untuk menebus kekalahan ini,” kata Mohd Khairuddin Othman ketika dihubungi.

Beliau juga enggan melihat rentak permainan pasukan terus terjejas dan menggesa pemain kembali membentuk keyakinan untuk mengharungi cabaran berikutnya.

“Kekalahan pasukan Selangor dan Selangor II mempunyai sebab yang boleh diperbaiki, jadi kita berharap mereka dapat bangkit serta membuktikan keupayaan sebenar.

“Saya yakin pemain kita tahu di mana kelemahan dan kekurangan yang boleh mereka perbaiki untuk perlawanan seterusnya,” katanya lagi.

Semalam, FAS mengesahkan penamatan kontrak serta-merta B Sathianathan selepas membuat penilaian dan mengambil kira semua aspek prestasi semasa.

Tempat pengendali berpengalaman itu dipikul sementara oleh pengarah teknikal persatuan itu sehingga ketua jurulatih baharu diumum kelak.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Keputusan jadi tuan rumah Sukma 2022 diketahui hujung Februari

SHAH ALAM, 22 JAN: Keputusan sama ada Selangor layak menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2022 akan diketahui selewat-lewatnya penghujung Februari ini, kata EXCO sukan.

Sebagai persiapan awal, Mohd Khairuddin Othman berkata Majlis Sukan Negeri sudah mengadakan lawatan ke beberapa lokasi acara dalam temasya dwitahunan terbabit.

“Beberapa acara sukan bakal diberi tumpuan antaranya renang, olahraga, menembak dan memanah yang dilihat berpotensi menyumbang pingat kepada kontinjen Selangor,” katanya.

Sebelum ini, Mohd Khairuddin berkata Selangor mempunyai peluang cerah menjadi tuan rumah temasya terbabit selepas beberapa negeri menyatakan sokongan dalam mesyuarat majlis jawatankuasa tertinggi Sukma yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abd Rahman di Putrajaya, September tahun lalu.

Kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah pada 1998.