Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Exco: Segera tukar syarat tanah atau berdepan tindakan tegas

SHAH ALAM, 19 MAC: Kerajaan Negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk meroboh premis serta kilang yang masih berdegil menukar syarat tanah dari pertanian kepada industri.

EXCO kerajaan tempatan berkata daripada 3,400 premis yang dikesan gagal berbuat demikian hanya 363 sahaja yang membuat permohonan untuk menukar status tanah.

Jelas Ng Sze Han, sebanyak 194 permohonan diluluskan, 144 dalam proses manakala baki 25 lagi ditolak.

“Kita tidak roboh semua kerana rakyat boleh kehilangan kerja kerana kita masih menimbang dari aspek ekonomi, namun jika ia mendatangkan masalah besar kepada masyarakat tindakan tegas akan diambil,” katanya ketika ditemui di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Mengulas lanjut, Sze Han berkata walaupun notis dan amaran sudah diberikan, golongan ini masih layak untuk menukar syarat tanah walaupun program pemutihan sudah berakhir pada 31 Disember lalu.

Katanya, mereka yang membuat permohonan selepas tarikh berkenaan tidak lagi menerima insentif seperti diskaun 30 peratus selepas Kerajaan Negeri menawarkannya sejak 1 Oktober 2019.

Sementara itu, menerusi program sama sebanyak 1,246 premis sudah diberikan lesen perniagaan.

Sze Han berkata, tujuan utama langkah pemutihan dijalankan adalah untuk mengurangkan kebocoran hasil Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Ia tidak adil kepada orang lain apabila satu lagi pihak hanya membayar cukai kediaman dan pertanian sedangkan mereka patut membayar kadar yang lebih tinggi,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB, EXCO, anggota MKN lengkapkan suntikan vaksin Covid-19

SHAH ALAM, 18 MAC: Dato’ Menteri Besar bersama EXCO Kerajaan Negeri hari ini selesai melengkapkan dos suntikan vaksin Covid-19.

Selain Dato’ Seri Amirudin Shari, anggota Majlis Keselamatan Negeri antara 42 individu yang menerima suntikan dos kedua vaksin jenis Pfizer-BioNTech di Hospital Shah Alam, di sini pada jam 2.45 petang.

Suntikan kedua itu diterima mereka genap 21 hari selepas disuntik dos pertama di hospital sama pada 25 Februari lalu seperti disyaratkan bagi penggunaan vaksin jenis itu.

Turut disuntik, Timbalan Menteri Kesihatan I Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, EXCO Kesihatan Awam Dr Siti Mariah Mahmud, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Nor Azmie Diron dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman.

Terdahulu, Amirudin tiba di hospital berkenaan pada jam 2.25 petang sebelum mengimbas kod MySejahtera, salah satu daripada lima kaedah pendaftaran untuk mendapatkan vaksin.

Beliau bersama petugas hadapan, EXCO dan pegawai kanan Kerajaaan Negeri diberi penerangan ringkas sebelum menandatangani dokumen pengisytiharan diri dan persetujuan untuk disuntik.

Selepas menerima suntikan, Amirudin dibawa ke ruangan khas untuk dipantau antara 15 hingga 30 minit bagi mengesan gejala sampingan sebelum mendapat pelepasan.

Malaysia berada dalam fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilancarkan pada 24 Februari dengan sasaran kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan bermula akhir Februari lalu hingga April depan.

Fasa kedua imunisasi yang membabitkan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac dijadual bermula April hingga Ogos depan bagi kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa ketiga pula bermula pada Mei hingga Februari tahun depan dan disasarkan untuk sekitar 13.7 juta penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas, sama ada rakyat tempatan atau warga asing.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Ekspo promosi produk halal setiap daerah bermula Mei

SHAH ALAM, 18 MAC: Selangor bercadang untuk melaksanakan pameran halal di setiap daerah bermula Mei depan, kata EXCO industri halal.

Zawawi Ahmad Mughni berkata program itu bagi mempromosikan produk halal keluaran usahawan di negeri ini kepada penduduk tempatan.

“Pada masa sama, kita turut merancang untuk menganjurkan pameran  halal peringkat antarabangsa pada Oktober tahun ini, namun kedua-dua program ini bergantung kepada situasi semasa pandemik Covid-19,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni memberi penjelasan beberapa isu dalam program bual bicara bersama Media Selangor di Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Zawawi Ahmad yang juga EXCO hal ehwal pengguna berkata webinar secara maya di peringkat antarabangsa juga bakal dilaksanakan untuk memacu produk halal Selangor ke pasaran lebih luas.

“Program berbentuk ekspo, kempen mahupun seminar dalam talian mampu meningkatkan kesedaran pengusaha mahupun pengguna berkaitan produk halal.

“Kesedaran ini sekali gus dapat memastikan lebih ramai usahawan berusaha untuk mendapatkan sijil halal,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Pupuk minat seni muzik cempuling bermula usia muda

KUALA LANGAT, 21 FEB: Minat terhadap seni muzik cempuling harus dipupuk seawal usia kanak-kanak demi memelihara warisan itu daripada pupus.

EXCO kebudayaan dan warisan berkata seni itu perlu dipelihara dan dihayati terutama dalam kalangan generasi muda.

“Saya nasihatkan ahli keluarga juga menyokong dan beri galakan kepada anak mereka untuk menghayati nilai seni muzik tradisional seperti cempuling.

“Malah, konsep cempuling juga bagus yang mana berunsurkan nasihat dan menyebarkan dakwah,” kata Borhan Aman Shah.

Beliau berkata demikian pada program Jelajah Rentak Selangor Siri Satu yang menampilkan demonstrasi seni muzik cempuling di Kampung Sungai Lang Tengah di sini semalam.

Beliau berharap semua kaum minat untuk belajar cempuling walaupun muzik tradisi itu berasal dari masyarakat Jawa.

Pada program sama beliau turut memuji persembahan ditonjolkan kumpulan kanak-kanak peringkat Kampung Sungai Lang Tengah yang bakal menjadi pelapis cempuling.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA JENAYAH

EXCO: PPR Selangor bakal jadi model negeri lain

SHAH ALAM, 17 JAN: Selangor mewujudkan Program Perumahan Rakyat (PPR) ke arah merealisasikan model kediaman kos rendah terbaik kepada negeri lain.

EXCO perumahan berkata PPR contoh merangkumi pengurusan cekap, penyelenggaraan rapi, kesejahteraan keluarga dan penduduk, keselamatan serta ruang komunal bersepadu.

“Impian mewujudkan model atau ikon PPR kepada pihak luar antara perkara ditekankan sepanjang 100 hari saya memegang portfolio perumahan sejak 7 Oktober tahun lepas.

“Selain itu Kerajaan Negeri turut menekankan aspek pembangunan strata menerusi pemerkasaan Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB) dan bimbingan kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB),” kata Rodziah Ismail kepada SelangorKini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut memperkenal Dasar Rumah Mampu Milik SelangorKu (RSKU) 3.0 bagi mengganti dasar sedia ada.

“Usaha menambah baik dasar perumahan bertujuan meningkatkan pemilikan kediaman pertama dalam kalangan rakyat negeri ini,” katanya.

Dasar RSKU 2.0 diperkenal pada April 2018 menumpu penambahbaikan aspek pemilikan, perancangan dan pelaksanaan untuk manfaat pemaju, pelaksana dasar dan pemilik rumah.

Rumah Selangorku dijual pada harga antara RM42,000 sehingga RM250,000 dengan variasi lima jenis rumah berkeluasan antara 700 sehingga 1,000 kaki persegi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tarikh program kerjaya bergantung tempoh PKP – EXCO

SHAH ALAM, 16 JAN: Penganjuran Program Jelajah Selangor Bekerja 2021 bergantung kepada tarikh penamatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata EXCO generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata pelaksanaan PKP bermula 13 sehingga 26 Januari serta pengisytiharaan darurat menjejaskan perancangan disusun Kerajaan Negeri pada tahun ini.

“Jelajah Selangor Bekerja merupakan program dinantikan orang ramai kerana menawarkan banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang serta tahap kelulusan akademik.

“Kerajaan Negeri akan berhubung dengan Majlis Keselamatan Negera (MKN) dari semasa ke semasa, sama-sama kita berdoa semoga PKP tidak akan dilanjutkan,” katanya kepada SelangorKini.

Program Jelajah Selangor Bekerja anjuran Kerajaan Negeri pada tahun lalu menerima lebih 10,000 permohonan sejak pendaftaran dibuka pada September.

Sebanyak 105 majikan menyertai program di Kuala Selangor, Gombak, Sungai Buloh, Hulu Langat dan Shah Alam.

Antara pekerjaan ditawarkan ialah profesor, pensyarah, tutor al-Quran, akauntan, pengurus jualan, pegawai penyelidik, juruteknik, penyelia pembaca meter, operator panggilan, pembantu jualan dan pemandu traktor terminal.

Pada 13 Disember tahun lalu, Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak 15,000 peluang pekerjaan bakal diwujudkan di Selangor pada 2021 menerusi pelbagai usaha menangani pengangguran.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah tersebut adalah melaksanakan Program Selangor Kerjaya, Jom Kerja, Inisiatif Selangor Automotif TVET dan Selangor Freelancers.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Selangor kaji wujud kampung dalam kampung, licinkan tadbir urus

KUALA LANGAT, 3 JAN: Kerajaan Negeri mengkaji keperluan menstrukturkan semula kampung tradisi yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi di setiap daerah.

EXCO pembangunan luar bandar dan kampung tradisi berkata penyusunan itu dengan mewujudkan kampung dalam kampung bagi melicinkan tadbir urus pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Borhan Aman Shah menjelaskan kewujudan kampung dalam kampung bakal memudahkan penduduk untuk menjalankan aktiviti setempat.

“Baru-baru ini kita mengadakan sesi dialog di beberapa daerah berhubung perkara ini, jadi saya mahu kenal pasti jumlah penduduk di kampung terbabit. Jika ada keperluan, kita akan wujudkan satu lagi kampung dalam kampung.

“Bagaimanapun, ia perlu diangkat ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk dikaji sebelum diselidik oleh Pejabat Tanah dan Daerah,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Agihan Bakul Makanan kepada penduduk sekitar Seri Jugra di Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Seri Jugra di sini semalam.

Mengulas lanjut, ahli dewan negeri Tanjung Sepat berkata penduduk terlalu ramai di sesebuah kawasan menyebabkan pengerusi MPKK sukar mentadbir sesebuah kampung dengan cekap.

Beliau juga bimbang agenda Kerajaan Negeri tidak sampai ke sasaran berikutan keluasan kampung melebihi jangkauan.

“Malah, kita tidak mahu kampung berkenaan berdepan isu kekurangan kemudahan misalnya dengan berkongsi balai raya,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Tempoh khidmat 278 pengerusi MPKK dilanjut, baki ditemuduga

KUALA LANGAT, 3 JAN: Tempoh perkhidmatan 278 pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di Selangor yang dijadual tamat Disember lalu dilanjutkan sehingga pembentukan kerajaan baharu pada penggal ke-15.

EXCO Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi Borhan Aman Shah berkata baki 93 pencalonan baharu dikenal pasti melalui proses temu duga untuk menggalas peranan tersebut.

“Saya sudah arahkan kakitangan saya untuk serah borang secepat mungkin kepada daerah berkaitan supaya (calon baharu) dipanggil hadir (untuk temu duga) dan pelantikan terus dibuat selepas dikenal pasti.

“Kita tidak mahu buat pelantikan tanpa temu duga kerana dikhuatiri ada kecacatan atau kelemahan seperti individu yang dilantik mengalami masalah bankrup mahupun jenayah,” katanya ditemui pemberita selepas menyerahkan bakul makanan di Balai Raya MPKK Kampung Seri Jugra di sini semalam.

Beliau berkata calon juga perlu diteliti daripada aspek fizikal supaya mampu memikul tanggungjawab itu.

Wakil rakyat Tanjung Sepat menambah pengerusi MPKK memainkan peranan penting bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan komuniti.

“Setiap aktiviti sama ada daripada ahli dewan negeri atau ahli parlimen, mereka (ketua kampung) harus bergerak aktif selain menjadi penasihat kepada masjid.

“Justeru, saya harap proses ini (temu duga) dapat mencari calon terbaik untuk meneruskan tanggungjawab sebaik mungkin,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MDKS berpotensi jadi perbandaran tahun ini, fokus tambah baik – EXCO

SHAH ALAM, 2 JAN: Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) berpotensi untuk bertukar status kepada majlis perbandaran pada tahun ini, kata EXCO kerajaan tempatan.

Bagaimanapun, Ng Sze Han berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) itu perlu fokus untuk meningkatkan perkhidmatannya kepada penduduk.

“Dari tahun lalu MDKS menanti untuk bertukar status kepada perbandaran. Oleh itu saya yakin tahun ini kemungkinan MDKS boleh bertukar status daripada majlis daerah kepada majlis perbandaran.

“Tetapi perlu diingatkan, bukan hanya status yang dikejar. Sebaliknya mutu perkhidmatan mereka perlu ditingkatkan sekali gus diyakini boleh dicapai,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian susulan yang dipertua MDKS memaklumkan PBT itu dijangka berstatus majlis perbandaran pada tahun ini.

Katanya, perkara itu dalam fasa akhir proses pewartaan dan sedang diteliti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan MDKS masih menunggu lampu hijau daripada KPKT berhubung perubahan status majlis daerah kepada perbandaran selain melihat kepada beberapa penelitian termasuk aspek penduduk, pendapatan dan hasil.

Bukit Melawati di Kuala Selangor berpotensi maju dalam sektor pelancongan

Setakat ini Selangor mempunyai tiga majlis bandaraya termasuk Shah Alam, Petaling Jaya dan Subang Jaya.

Ia disusuli enam majlis perbandaran iaitu Selayang, Ampang Jaya, Klang, Kajang, Kuala Langat dan Sepang.

Sementara itu majlis daerah iaitu Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Categories
EXCO SELANGOR

Harapan EXCO untuk tahun baharu 2021 membuka tirai

Harapan tinggi seluruh anggota masyarakat mahu kesihatan dan rezeki berpanjangan. Pun begitu, perjuangan dalam menjalani kehidupan bernorma baharu wajar diteruskan dalam memastikan pandemik yang merampas kehidupan lazim benar-benar berakhir

=======================================================

Kepelbagaian agama dan budaya adalah asas kekuatan jika kita berhasrat membina sebuah negara yang dihormati dan disegani dalam semua bidang. Selamat menyambut tahun baharu 2021

Dato’ Teng Chang Khim
EXCO Pelaburan, Perdagangan, Perindustrian, Industri Kecil dan Sederhana

=======================================================

Diharapkan tahun 2021 memberi sinar dan harapan yang lebih cerah untuk kita. sentiasa berhemah dalam berbelanja dan berusaha meningkatkan simpanan kecemasan ibarat pepatah “sediakan payung sebelum hujan”

Rodziah Ismail
EXCO Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan

=======================================================

Selamat datang 2021. Bersama kita mematuhi SOP agar pandemik Covid-19 cepat berakhir

Ir Izham Hashim
EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani

=======================================================

2021 menjelang tiba, diharapkan segala urusan kita akan lancar dan dipermudahkan

Ng Sze Han
EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru

=======================================================

Kedatangan 2021 sudah tentunya akan memberi cabaran baharu kepada seluruh rakyat Selangor. Dengan semangat tahun baharu marilah seluruh warga selangor mempertingkatkan keazaman untuk membawa kejayaan yang lebih tinggi. Amalkan budaya sihat, patuhi SOP

V Ganabatirau
EXCO Pembangunan Sosio-Ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja

======================================================

Selamat menyambut tahun baharu semoga tahun 2021 membawa sinar dan pembaharuan dalam hidup kita dan dipermudahkan segala urusan

Dr Siti Mariah Mahmud
EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga

=======================================================

Semoga 2021 lebih baik untuk semua dan kita sentiasa hidup bersatu padu. Terus patuhi SOP agar kita semua segera bebas dari pandemik Covid-19

Hee Loy Sian
EXCO Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli

==========================================================

Segala pengalaman yang kita harungi dengan tabah sepanjang 2020 pastinya akan menjadi pemangkin semangat untuk menempuh tahun baharu. Selamat tahun baharu 2021

Mohd Khairuddin Othman
EXCO Pembangunan Modal Insan, Generasi Muda dan Sukan

============================================================

Marilah kita sama-sama berdoa agar jalinan ikatan sebagai rakyat Malaysia terus berkekalan dan saling hormat-menghormati demi kebaikan bersama

Borhan Aman Shah
EXCO Pembangunan Luar Bandar & Kampung Tradisi dan Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan & Warisan

===========================================================

Semoga 2021 memberi harapan baharu kepada kita bersama. Kekalkan tekad menjalani kehidupan dalam norma baharu demi keselamatan kita bersama

Mohd Zawawi Ahmad Mughni
EXCO Hal Ehwal Agama Islam dan Hal Ehwal Pengguna

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO: Manfaat tanah terbiar, jadikan ladang hasil daging halal tempatan

SHAH ALAM, 27 DIS: Tanah terbiar di seluruh negara boleh dimanfaatkan sebagai lokasi penternakan daging lembu dan tenusu, kata EXCO industri halal.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata tindakan itu sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap bekalan daging import.

“Kita wajar bertindak segera untuk mengurangkan kebergantungan ini. Malah, sumber daging halal tempatan boleh dimajukan dengan adanya dasar baharu tentang industri makanan halal.

“Saya yakin sekiranya tanah-tanah terbiar ini diusahakan secara besar-besaran menjadi ladang ternakan, negara boleh menjadi pengeluar utama dalam produk daging tempatan, juga diyakini halal,” katanya kepada SelangorKini.

Dato’ Seri Amirudin Shari meninjau keadaan lembu korban untuk diedarkan kepada 425 masjid seluruh negeri di Ladang HMA Kasturi Sdn Bhd, Rawang pada 19 Julai 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Mohd Zawawi yang juga EXCO Hal Ehwal Pengguna itu berkata Kerajaan Persekutuan wajar memberi tumpuan kepada agenda agro tani yang diusahakan rakyat tempatan.

“Kerajaan perlu terus fokus kepada pembangunan pertanian, ternakan dan perikanan yang dimajukan usahawan dalam negara.

“Amatlah rugi sekiranya golongan ini tidak dibantu kerana kita mempunyai sumber yang baik,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kegiatan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil, dan Argentina sebelum membungkusnya semula dengan menggunakan logo halal di sebuah gudang di Senai, Johor.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor tolak cadangan turun harga jualan rumah milikan warga asing – EXCO

SHAH ALAM, 22 DIS: Kerajaan Negeri menolak cadangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk menurunkan harga jualan rumah kepada warga asing menerusi skim Malaysia My Second Home (MM2H).

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata mengikut dasar Kerajaan Negeri, harga minimum ditetapkan kepada warga asing adalah sebanyak RM2 juta.

Bagaimanapun, katanya kementerian terbabit mencadangkan penurunan harga minimum kepada golongan berkenaan sebanyak RM600,000.

“Kita hanya pertimbangkan (harga minimum) RM1.5 juta sahaja kepada mereka (warga asing) kerana ia mungkin nampak besar tetapi untuk pemilikan asing itu mereka menunggu untuk beli.

“Jadi, KPKT kena buat harga kawalan kerana kalau tidak saya rasa peluang untuk warganegara memiliki itu akan terkesan,” katanya pada sidang media di Hotel De’Palma Seksyen 19 di sini hari ini.

Rodziah menjelaskan kebanyakan unit rumah tidak terjual bukan berpunca daripada kerajaan sebaliknya masalah pemaju itu sendiri.

Beliau berkata pemaju seharusnya mencari pendekatan lain bagi membolehkan rakyat tempatan memiliki rumah tersebut.

“Kalau dia (pemaju) mahu kerajaan memutuskan berapa (harga) supaya boleh jual kepada warga asing, saya rasa kita (Kerajaan Negeri) tidak boleh patuhi,” katanya.