Categories
BERITA UTAMA EXCO PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Sasar bina 40,000 unit rumah bantu golongan bawah, menengah

SHAH ALAM, 12 DIS: Kerajaan Negeri menyasarkan pembinaan sebanyak 40,000 unit Rumah Idaman menjelang 2022, kata EXCO perumahan.

Rodziah Ismail berkata setakat ini empat projek melibatkan 6,029 unit dalam pembinaan serta peringkat kelulusan pelan pembangunan.

“Pembinaan Rumah Idaman diharap dapat menyelesaikan isu pemilikan rumah golongan pertengahan (M40) dan berpendapatan rendah (B40).

“Aspek perumahan merupakan perkara penting mewujudkan masyarakat harmoni serta kehidupan bahagia, justeru Kerajaan Negeri komited menyediakan rumah mampu milik kepada rakyat,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Unit kediaman tersebut seluas lebih 1,000 kaki persegi dengan harga kira-kira RM250,000 dilengkapi penghawa dingin, kabinet dapur, kabinet baju dan pemanas air. Projek perumahan tersebut dibina di Kajang, Bangi dan Paya Jaras.

Pada 13 Julai Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata negeri itu menyasarkan projek perumahan dengan nilai ekonomi RM12 bilion bakal menyelesaikan isu pemilikan rumah golongan peringkat bawah dan pertengahan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agenda digitalisasi diperhebat, bantu rakyat – EXCO

SHAH ALAM, 15 NOV: Kerajaan Negeri bakal memperhebat inisiatif digitalisasi bagi membantu rakyat terkesan akibat Covid-19, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata kajian mendapati pendapatan seramai 36 peratus daripada 6.6 juta penduduk Selangor terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Malah kajian juga mendapati kira-kira 84 peratus rakyat mempunyai simpanan yang hanya mampu bertahan selama tiga bulan sahaja, perkara ini membimbangkan kita.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail bersama Ketua Pengarah Eksekutif MSSB, Fareed Mohd Asharee serta Ketua Degitalisasi Perbadanan Menteri Besar, Kamarul Nizam Kassim bergambar bersama di pejabat Media Selangor selepas bual bicara pendigitalan dan keusahawanan di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 14 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Cara untuk membantu adalah mengajar mereka bagaimana perniagaan dalam talian boleh mengubah nasib kerana boleh dilakukan tanpa perlu ada kedai atau gerai secara fizikal,” katanya dalam program bual bicara Media Selangor.

Sejumlah RM369 juta diperuntuk bagi menjayakan agenda Negeri Pintar Ulung dan Agenda Digitalisasi dalam Belanjawan Selangor 2021.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha itu bagi menggerak ekonomi secara holistik melalui transformasi sistem perkhidmatan, sosial, perniagaan dan keusahawanan, penciptaan nilai serta seni kreatif.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan dasar itu juga memecahkan stigma bahawa pendigitalan tidak membunuh peluang pekerjaan, sebaliknya mewujudkan peluang pekerjaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pencemar guna tandas lepas sisa kimia punca pencemaran air – EXCO (VIDEO)

SHAH ALAM, 11 NOV: Tandas di premis Taman Velox disyaki menjadi tempat buangan sisa kimia sehingga menyebabkan loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di situ tercemar, kata EXCO alam sekitar.

Katanya premis terletak 700 meter dari IWK Taman Velox itu berjaya dikesan Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Jabatan Alam Sekitar (Jas) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi operasi bersepadu semalam.

“Hasil siasatan mendapati premis itu menjadi stor simpanan sisa buangan berjadual, dan menggunakan tandas sebagai tempat buangan sisa tersebut kerana menjumpai hos. Tetapi tak dapat membuat tangkapan individu terlibat.

Premis disyaki melakukan pembuangan efluen secara tidak sah ke Loji Rawatan Kumbahan IWK Taman Volex, Rawang sehingga menyebabkan pencemaran di Sungai Selangor disita Majlis Perbandaran Selayang awal pagi 11 November 2020. Gambar: LUAS

“Bagaimanapun, polis sudah mengenalpasti tuan punya premis dan mereka akan buat tangkapan serta siasatan lanjut,” kata Hee Loy Sian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Namun Loy Sian kecewa apabila Kerajaan Negeri dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) tidak dimaklumkan berhubung kejadian loji IWK Taman Velox dicemari sisa kimia sejak 4 November lalu.

Jelasnya, IWK hanya melaporkan perkara berkenaan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Jika kita tahu lebih awal perkara ini, kita akan bertindak segera bagi mencari kilang atau premis yang lakukan pencemaran ini.

“Kita harap Kerajaan Persekutuan membantu Kerajaan Negeri kerana IWK berada di bawah Kementerian Kewangan, mereka perlu buat sesuatu kerana ini sudah kali keempat (pencemaran) berlaku di IWK.

Pekerja Indah Water Konsortium (IWK) melihat lokasi disyaki berlaku pencemaran bau di Sungai Selangor di loji kumbahan IWK di Taman Velox, Rawang, pada 10 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Ini amat malang, loji rawatan air terpaksa dihenti tugas dan menyebabkan orang Selangor tak dapat bekalan air,” katanya.

Terdahulu, LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 ditutup jam 6 petang semalam susulan pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor.

Henti tugas memberi kesan gangguan air tidak berjadual kepada lebih 1.1 juta pemegang akaun di 1,279 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat manakala bekalan air pulih bermula jam 3 petang.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor syak sumber air disabotaj, EXCO cadang lapor polis (VIDEO)

SHAH ALAM, 10 NOV: Kerajaan Negeri bercadang membuat laporan polis selepas mengesyaki wujud unsur sabotaj berikutan pencemaran bau di Sungai Selangor.

EXCO Alam Sekitar berkata bacaan sifar TON (ukuran kadar bau) dicatat tiga kali antara jam 2 hingga 7 pagi ketika pemeriksaan Lembaga Urus Air Selangor dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

“Oleh itu, kita syak ia (pencemaran) berlaku selepas jam 7 hingga ke 10 pagi. Kita syak ada sabotaj berlaku dan akan buat laporan polis,” kata Hee Loy Sian pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong pada sesi penggulungan Belanjawan Selangor 2021.

Susulan pencemaran itu, Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1,2 dan 3 ditutup jam 6 petang ini.

Henti tugas itu dijangka memberi kesan gangguan air tidak berjadual kepada lebih 1.1 juta pemegang akaun di 1,279 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata sebanyak 992 juta liter sehari (JLH) air dilepaskan ke Sungai Selangor bagi mencairkan pelarut yang mencemari sumber air mentah itu.

Categories
EXCO SELANGOR

Dewan Kongres Belia Selangor diwujud, dengar suara anak muda – EXCO

SHAH ALAM, 7 NOV: Dewan Kongres Belia Selangor yang dianggotai 56 individu bakal ditubuhkan pada awal tahun depan, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata seramai 10 daripada mereka dipilih sebagai EXCO jawatankuasa eksekutif peringkat negeri yang berfungsi mengetengahkan isu semasa serta langkah memperkasa golongan tersebut.

“Semua 56 anggota kongres dipilih dalam kalangan Penggerak Belia Tempatan (PeBT) seluruh negeri berdasarkan kriteria tertentu antaranya aktif dalam aktiviti dan mempunyai sifat kepimpinan tinggi.

“Resolusi kongres dibawa kepada saya selaku EXCO bertanggungjawab dan bakal diangkat ke dalam Sidang DNS bagi membolehkan isu serta cadangan dikemukakan diteliti wakil rakyat,” katanya pada  sidang DNS semalam.

Beliau berkata Kerajaan Negeri sentiasa mendengar suara dan pandangan anak muda dalam setiap proses keputusan di semua peringkat.

“Dewan kongres ini merupakan kesinambungan kepada penubuhan PeBT, selaras hasrat Kerajaan Selangor menggerakkan program pembangunan generasi muda secara menyeluruh,” katanya.

Pada 3 Oktober Selangor menjadi negeri pertama menganjur sidang DNS secara maya khusus untuk golongan muda termasuk pelajar sekolah seawal umur 15 hingga 35 tahun.

Program yang disertai 56 peserta mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) bertujuan melahirkan bakal pemimpin berkaliber, bertanggungjawab dan memupuk sifat kepimpinan dalam kalangan peserta.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Giat usaha atasi pencemaran, yakin selesai isu gangguan air

SHAH ALAM, 31 OKT: Gangguan bekalan akibat pencemaran sumber air mentah dijangka dapat diatasi melalui pelbagai langkah yang bakal dilaksana tahun depan.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata masalah tersebut bukan hanya menghantui rakyat Selangor, malah membimbangkan Kerajaan Negeri.

Ir Izham Hashim bercakap kepada media selepas pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 30 Oktober 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kita yakin langkah tambahan bagi menyelesaikan isu pencemaran air mentah yang kerap berlaku di Sungai Selangor dan Sungai Langat dapat diatasi sepenuhnya tahun hadapan.

“Oleh itu, kita akan adakan pertemuan dengan pihak berkaitan bagi memaklumkan langkah-langkah yang akan dilakukan Kerajaan Negeri,” kata Ir Izham Hashim mengulas pembentangan Belanjawan Selangor 2021 di sini semalam.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM200 juta pada 2021 untuk melaksana projek mengatasi pencemaran sumber air yang dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menjangka usaha tersebut mampu mengurangkan sehingga 90 peratus risiko henti tugas loji rawatan air.

Projek berkenaan ialah:

– Projek perintis rawatan biologikal bagi pemuliharaan kualiti air Sungai Gong

– Pemantauan dan pengawasan 24 jam melalui Skuad Pantas di kawasan sensitif sumber air

– Menambah bilangan stesen telemetri kualiti air bagi sistem amaran awal di hulu muka sauk berisiko

– Projek pengepaman air mentah dari kolam takungan Hybrid Off River Augmentation Storage (Horas) 600 di Sungai Selangor dan Sungai Semenyih

 

Categories
EXCO SELANGOR

RiDE: 3,000 peserta dipilih ikuti kursus e-panggilan

SHAH ALAM, 20 SEPT: Seramai 3,000 peserta Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) bakal mengikuti kursus e-panggilan secara berperingkat dalam tempoh terdekat.

EXCO pembangunan generasi muda berharap kumpulan perintis yang menyertai program tersebut dapat menjana pendapatan berasaskan khidmat penghantaran.

“Permohonan untuk menyertai program ini di luar jangkaan dan pemilihan peserta berdasarkan siapa cepat dia dapat bagi mengisi kuota ditetapkan.

“Kerajaan Negeri akan merangka dasar bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dalam sektor ekonomi sampingan kerana ia boleh dijalankan secara individu sama ada sepenuh masa atau separuh masa,” kata Mohd Khairuddin Othman ketika dihubungi.

RiDE menyasarkan 3,000 belia miskin bandar mendapat subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, kursus e-panggilan bernilai RM200 dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial RM70 setahun.

Pada 2 September, Mohd Khairuddin memaklumkan borang permohonan program itu yang dibuka mulai 1 Ogos dimuat turun lebih 19,000 kali.

Pada 17 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif itu berupaya mencetuskan minat belia menceburi perniagaan berasaskan khidmat penghantaran, terutama sejak penularan Covid-19.

Categories
EXCO SELANGOR

Sepuluh peniaga kecil kongsi kejayaan bangkit selepas PKP

SHAH ALAM, 15 OKT: Kejayaan 10 usahawan kecil dan sederhana (PKS) di negeri ini bangkit semula susulan penularan Covid-19 bakal dikongsi dalam dialog khas.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata sesi pertama Dialog Industri: Pemulihan Pasca Pandemik bakal disiarkan pada 20 Oktober secara dalam talian.

“Sesi dialog ini disertai usahawan pelbagai bidang antaranya e-dagang, peruncitan, pelancongan, perhotelan, makanan dan minuman, pertanian, perikanan, pengiklanan, perfileman serta logistik.

“Antara fokus ialah bagaimana inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri membantu memulihkan perniagaan selepas Perintah Kawalan Pergerakan selain memastikan peniaga kekal bersaing dalam krisis Covid-19 yang belum berakhir,” katanya.

Beliau berucap pada Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor 2020 yang dianjurkan secara maya hari ini.

Chang Khim berkata program itu turut membuka peluang kepada semua pihak berkongsi idea dan bertukar pandangan mengenai cabaran semasa serta masa hadapan.

“Kejayaan hanya dapat diraih apabila semua pihak duduk bersama, jadi saya mengajak pemain industri, pemegang taruh, dewan perniagaan dan pertubuhan bukan kerajaan untuk bersama Kerajaan Negeri menjayakan program ini,” katanya lagi.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Peniaga kecil perlu terap norma baharu, manfaat pendigitalan

SHAH ALAM, 15 OKT: Penularan Covid-19 memberi kesedaran kepada sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berhubung kepentingan pendigitalan dalam perniagaan.

EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim berkata peniaga perlu memanfaatkan aplikasi pintar untuk kelangsungan perniagaan serta berkembang dalam norma baharu.

“Golongan peniaga amat terkesan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac dan kini kerajaan melaksanakan pula PKP Bersyarat di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah.

“Sudah pasti ia sekali lagi memberi kesan kepada kita semua tetapi sektor PKS perlu menerapkan norma baharu yang menggalakkan penggunaan teknologi seiring persekitaran pendigitalan ekonomi,” katanya pada Konvensyen Bandaraya Pintar dan Ekonomi Digital Selangor 2020 secara maya hari ini.

Chang Khim berkata peniaga mungkin perlu mengeluarkan kos untuk mengembang atau menaik taraf keupayaan teknologi, namun bakal mendapat manfaat bagi tempoh jangka panjang.

“Penggunaan teknologi akan meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos gaji pekerja, meluaskan capaian pelanggan serta mewujudkan rangkaian perniagaan baharu,” kata beliau lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor tetap sasaran baharu pelaburan RM8.5 bilion tahun ini

SHAH ALAM, 15 OKT: Kerajaan Negeri menyasarkan nilai pelaburan baharu RM8.5 bilion tahun ini, sesuai dengan kesan penularan Covid-19 di peringkat global.

Sasaran asal ditetapkan pada Januari lalu ialah RM12 bilion.

Bagaimanapun, EXCO pelaburan berkata di sebalik kelembapan ekonomi, sebanyak 122 projek bernilai RM3.3 bilion diluluskan dalam tempoh setengah tahun.

“Negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Diperketatkan atau PKP Bersyarat sejak Mac dan memadai jika Selangor berjaya mencatat nilai pelaburan RM8.5 bilion.

“Kita memerlukan nilai pelaburan sekurang-kurangnya RM5 bilion lagi dan dengan usaha serta kerjasama semua pihak, kita mampu mencapainya,” kata Dato’ Teng Chang Khim pada sidang media secara maya semalam.

Selangor mencatat nilai pelaburan RM17 bilion tahun lalu dan kekal penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selama beberapa tahun.

Pada 2018, negeri itu mencatat pelaburan RM18.7 bilion, tertinggi dalam tempoh 30 tahun.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: Exco ingatkan lima perkara, elak panik

SHAH ALAM, 12 OKT: Rakyat diperingatkan lima perkara perlu diikuti ekoran Kerajaan Persekutuan mengumumkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 hingga 27 Oktober.

Exco Selangor, Dato’ Teng Chang Khim menyatakan perkara demikian dalam Facebooknya hari ini.

Peringatan berikut adalah:

1. Jangan cemas kerana kita sudah memperolehi pengalaman PKP hanya beberapa bulan lalu.

2. Jangan kejar untuk membeli barangan asas kerana kegiatan ekonomi akan diteruskan. Berdasarkan pengalaman sebelum ini, bekalan makanan adalah mencukupi.

3. Jangan sebarkan berita yang belum disahkan benar.

4. Mematuhi tatacara operasi piawai (SOP).

5. Bersabar menunggu pengumuman lanjut daripada pihak berkuasa.

Sebelum ini Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata semua kegiatan ekonomi, industri dan perkilangan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dibenarkan beroperasi seperti biasa dan SOP lanjut dan terperinci diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam masa terdekat.

Ismail Sabri berkata keputusan itu dicapai pada Sidang Khas MKN dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mengambil kira peningkatan kes dan penularan Covid-19 seperti di Klang, Daerah Petaling serta Gombak.

Categories
EXCO SELANGOR

Belanjawan 2021: EXCO mahu perkasa belia melalui PeBT

SHAH ALAM, 11 OKT: Pemerkasaan belia menerusi Penggerak Belia Tempatan (PeBT) antara fokus utama portfolio pembangunan generasi muda dalam Belanjawan Selangor 2021.

EXCOnya Mohd Khairuddin Othman berkata pendekatan itu diambil dengan mewujudkan Dasar Belia 2020, bersesuaian dengan perkembangan semasa.

“Penekanan dasar yang akan diwujudkan membabitkan aspek digital seiring perkembangan Revolusi Industri 4.0,” katanya mengulas tumpuan belanjawan yang akan dibentang hujung bulan ini.

PeBT yang ditubuhkan pada 2009, selaras hasrat Kerajaan Selangor menggerakkan program pembangunan generasi muda secara menyeluruh di seluruh negeri.

Bagi aspek sukan, beliau berkata tumpuan diberikan kepada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) yang akan berlangsung di Johor tahun hadapan dengan sasaran kekal 45 pingat emas, 40 perak dan 40 gangsa.

Sukma Johor 2020 yang ditangguhkan susulan penularan Covid-19 dijadualkan semula pada 2 hingga 10 April manakala Para Sukma diawalkan ke 8 hingga 13 Mac.