Categories
AGENDA NASIONAL

Zuckerberg minta maaf atas gangguan kepada Facebook

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Pengasas bersama Facebook Mark Zuckerberg hari ini memohon maaf kepada semua pengguna di seluruh dunia yang mengalami gangguan dalam penggunaan Facebook, Instagram dan WhatsApp.

Dalam hantaran di Facebooknya, beliau berkata kesemua aplikasi tersebut ini telahpun kembali pulih secara beransur-ansur.

“Facebook, Instagram, WhatsApp dan Messenger kini telah kembali beroperasi.

“Maaf atas gangguan yang berlaku hari ini — Saya tahu bagaimana anda bergantung kepada perkhidmatan kami untuk berhubungan bersama mereka yang anda sayangi,” kata Zukerberg dalam hantaran tersebut.

Sementara itu WhatsApp dalam ciapan di Twitter menyatakan “Mohon maaf kepada semua yang telah tidak dapat menggunakan WhatsApp hari ini. Kami lakukan secara perlahan-lahan dan berhati-hati untuk membolehkan WhatsApps berfungsi semula.

Terdahulu, jutaan pengguna di seluruh dunia menghadapi masalah menggunakan ketiga-tiga perkhidmatan yang dimiliki Facebook itu menerusi laman sesawang atau pun telefon pintar.

– BERNAMA

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN guna Facebook hebah saringan, program diterus di dua DUN hari ini

KLANG, 1 JUN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa menggunakan siaran langsung di Facebook bagi mengajak orang ramai membuat Saringan Komuniti semalam.

Dr G Gunarajah berkata pendekatan itu digunakan bagi memastikan orang ramai mendapat maklumat yang tepat mengenai program anjuran Kerajaan Negeri.

Beliau berkata kaedah itu juga membantu orang ramai memahami dengan lebih jelas langkah awal yang perlu diambil seperti persediaan tempat.

ADN Sentosa Dr G Gunarajah

“Kita membuat hebahan selama tiga hari berturut-turut dan semalam kita buat ‘live’ Facebook untuk bagi keyakinan kepada orang ramai datang dan kita akan selesaikan urusan saringan dalam tempoh setengah jam.

“Hasil kaedah itu hari ini (semalam) jam 7.30 pagi lebih 200 orang datang beratur walaupun saringan dibuka pada jam 9 pagi,” katanya ketika membuat tinjauan di Dewan Majlis Perbandaran Klang (MPK) Taman Klang Jaya semalam.

Saringan percuma diteruskan hari ini di DUN Sungai Kandis dan Kota Kemuning bermula jam 9 pagi hingga 4 petang iaitu hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara.

Program berkenaan diadakan di Dewan (Andalas) Sukan Klang, Lingkungan Seri Mersing dan Dewan Kemunting MBSA, Seksyen 25.

Orang ramai digalakkan mendaftar di aplikasi Langkah Masuk dengan Selamat (SELangkah) bagi memastikan proses saringan lancar.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Resepi warga maya bantu peniaga ketengah aiskrim durian D24

KUANTAN, 20 FEB: Perkongsian resipi makanan di media sosial oleh warga maya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ternyata memberi manfaat kepada peniaga Norhabibah Herman, 30, apabila ‘menemukannya’ dengan menu aiskrim durian buatan sendiri yang kini menjadi pendapatan sampingannya.

Ibu kepada seorang anak perempuan itu berkata beliau pada mulanya hanya sekadar ‘suka-suka’ mencuba resipi itu, sebelum ahli keluarga dan rakan-rakannya memujuknya supaya menjual pemanis mulut berkenaan pada Disember lepas.

“Saya cuba untuk buat aiskrim durian selepas melihat resipi di Facebook dan sama sekali tidak berhasrat untuk menjadikannya sebagai produk jualan memandangkan fokus kini untuk menjual durian crepe yang dihasilkan 200 pek setiap hari sejak 2015.

“Selepas mendapat keyakinan dan mengolah sedikit resipi tersebut mengikut cita rasa sendiri baru saya mengambil tempahan daripada orang ramai, malah apa yang membuatkan saya berani mengetengahkan aiskrim ini kerana raja buah mempunyai peminatnya tersendiri yang pasti menggemari apa sahaja produk berasaskan durian,” katanya kepada Bernama.

Selain ramuan lain, anak jati Kuantan itu berkata antara bahan digunakan bagi menghasilkan aiskrim mengikut resipi istimewanya itu ialah isi durian jenis D24 dan susu yang diadun sebelum dibekukan.

“Selain mudah dapat, durian jenis D24 mempunyai rasa yang lemak dan baik untuk hasilkan produk. Saya memperoleh stok isi durian ini sama ada daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sendiri atau pembekal lain di seluruh Malaysia.

“Sehari saya mampu hasilkan 70 hingga 80 bekas aiskrim bergantung kepada tempahan pelanggan dan dijual dengan harga RM6 sebekas,” katanya yang menjalankan perniagaan berkenaan bersama suaminya Mohd Syukri Sulaiman, 32.

Menurutnya, penghasilan aiskrim durian itu tidak mengambil masa yang lama iaitu sekitar 20 minit, bagaimanapun proses membekukannya memerlukan sekurang-kurangnya enam jam, namun bagi hasil terbaik perlu dibekukan dalam tempoh sehari.

Norhabibah berkata beliau sama sekali tidak pernah terlintas produk yang diketengahkan dengan jenama Eskrem Durian D24 by Ebah Herman itu akan mendapat permintaan ramai termasuk FAMA yang turut memasarkannya di House of Durian FAMA di Jerantut, dekat sini.

“Rata-rata pelanggan memang suka dengan resipi aiskrim durian ini kerana rasanya yang lemak, mereka kata seolah-olah makan seulas durian segar,” katanya.

Buat masa ini, beliau hanya mempromosikan aiskrim buatannya melalui laman Facebook dan Instagram malah berhasrat mengetengahkan produk berkenaan luar dari Kuantan dengan melantik ejen jualan di sekitar Pahang.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Setahun negara dibadai Covid-19, KKM tetap giat perangi pandemik

KUALA LUMPUR, 25 JAN: Genap setahun negara dilanda badai Covid-19, warga Kementerian Kesihatan (KKM) tetap komited dan bekerja tanpa putus asa dalam memerangi pandemik yang boleh membawa maut itu.

Dalam tulisa di laman Facebooknya, KKM menyatakan kerja tetap diteruskan seperti biasa oleh semua pengurusan tertingginya dan juga barisan hadapan KKM yang berjuang di hospital, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC), CAC (Pusat Penilaian Covid-19) dan klinik seluruh negara.

Tulisan itu turut menyatakan Mesyuarat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC Kebangsaan hari ini secara maya diadakan hari ini melibatkan semua Pengarah Kesihatan Negeri di seluruh negara.

“Fokusnya adalah melihat kepada strategi dalam menangani Covid-19 dan memperkukuhkan 213 Covid-19 Assessment Center, CAC di seluruh negara,” menurut tulisan itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dan timbalannya Datuk Dr Noor Azmi Ghazali serta Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Malaysia mengenai Kesihatan Awam Tan Sri Dr Jemilah Mahmood adalah antara yang menghadiri mesyuarat itu.

KKM mengimbau kembali kes pertama wabak itu yang dilaporkan di Malaysia membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura.

“Mereka yang terlibat dalam tiga kes pertama positif di Malaysia itu adalah ahli keluarga rapat kepada seorang lelaki berusia 66 tahun dan anak lelakinya yang berasal dari Wuhan, China, yang direkodkan sebagai dua kes pertama positif virus itu di Singapura. Mereka kemudiannya dirawat di Hospital Sungai Buloh.

“Hari ini, kes di Malaysia sudah mencapai 183,801 kes keseluruhan, sejumlah 678 orang telah meninggal dunia dan seramai 141,446 (77 peratus) orang telah sembuh daripada virus ini.

Pasukan Covid-19 Hospital Sungai Buloh juga mendapat pengiktirafan apabila menerima Anugerah Kesihatan Global (GHA) 2020, selain beberapa anugerah lain yang diterima KKM dalam menguruskan Covid-19, katanya.

“Doakan agar semua barisan hadapan KKM diberikan kekuatan dalam menghadapi musuh yang tidak nampak ini. Salam takziah buat mereka yang kehilangan anggota keluarga akibat virus Covid-19 ini. Semoga Tuhan terus melindungi negara tercinta kita ini,” menurut tulisan itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan Facebooknya menyatakan kesedihannya kerana sudah setahun Malaysia berdepan pandemik berkenaan.

“Ini menyedihkan saya hari ini, kita telah bertahan selama satu tahun bertempur melawan Covid-19 di negara kita. Pengakhirannya yang tidak diketahui. Namun, walaupun kepenatan mental dan fizikal, kita semua perlu terus bertugas. Semua orang, tidak kira siapa anda, mesti memikul tanggungjawab ini untuk menyelamatkan negara kita bersama.

“Tinggal di rumah jika anda tidak mempunyai masalah mendesak di luar. Bersama-sama kita memutuskan rantaian penularan Covid-19. Kita mesti bersatu dan bersama-sama kita terus berjuang,” katanya.

Dr Noor Hisham juga menasihati orang ramai agar mematuhi tatacara operasi piawai (SOP), memakai pelitup muka dengan betul, mencuci tangan dan menjaga penjarakan fizikal kerana setiap individu harus memikul tanggungjawab untuk menyelamatkan negara.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Warga emas rugi RM61,500 diperdaya kekasih Facebook

KUANTAN, 19 DIS: Seorang wanita warga emas mendakwa kerugian RM61,500 selepas terpedaya dengan kata-kata manis lelaki yang hanya dikenalinya di laman sosial Facebook selama beberapa bulan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang berusia 73 tahun mendakwa mula berkenalan dengan suspek sekitar April dan hubungan itu semakin rapat sehingga menjadi pasangan kekasih.

“Mangsa mendakwa pada penghujung November lepas, suspek menyatakan hasrat untuk meminjam wang sebanyak RM100,000 kerana berdepan masalah kewangan dan memberi jaminan akan memulangkannya kembali apabila keadaan semakin baik.

“Atas dasar percaya, mangsa meminjamkan wang RM61,500 yang dimasukkan ke dalam akaun diberikan suspek menerusi mesin deposit tunai sebanyak empat kali dengan transaksi terakhir dibuat pagi semalam,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa hanya mengetahui dirinya ditipu selepas dihubungi pihak bank pada petang semalam, bagi membuat semakan selepas melihat transaksi pengeluaran simpanan dalam jumlah yang besar.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bentong kira-kira 162 kilometer dari sini semalam dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis nafi jalan masuk ke Petaling Jaya ditutup

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Polis menafikan laluan keluar dan masuk ke Petaling Jaya, Selangor di beberapa lokasi ditutup kepada lalu lintas seperti yang tular di laman sosial Facebook sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata polis hanya melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) di tiga lokasi di daerah berkenaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 14 hingga 27 Oktober ini.

“SJR didirikan di plaza tol Subang, plaza tol Sungai Buloh dan plaza tol Damansara membabitkan laluan keluar dan masuk, dari dan ke Petaling Jaya.

“Gambar yang dimuat naik ke laman Facebook berkenaan diambil dari akaun Facebook kami namun ia tidak memuat naik status menyatakan ia adalah SJR dan bukan penutupan jalan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Status yang tular dan mendapat lebih 1,000 perkongsian itu mendakwa semua laluan masuk dan keluar ke Petaling Jaya melalui Damansara, Ara Damansara, Subang, Sungai Buloh, Kota Damansara dan Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) ditutup kecuali bagi yang mempunyai permit polis atau surat majikan.

Nik Ezanee berkata orang ramai dinasihatkan terus mematuhi PKPB agar rantaian wabak Covid-19 yang belum menunjukkan penurunan jumlah kes dapat diputuskan dan memperlahankan kenderaan di SJR demi keselamatan petugas dan pengguna jalan raya lain.

“Orang ramai juga diminta mematuhi jumlah individu di dalam kenderaan seperti yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ganjaran RM10,000 individu tampil maklumat kes kucing dibakar

KUALA LUMPUR, 19 JULAI: Persatuan Haiwan Malaysia (Malaysia Animal Association) menawarkan ganjaran RM10,000 kepada individu atau kumpulan yang mempunyai maklumat mengenai insiden membakar kucing supaya tampil membantu siasatan.

Menurut persatuan itu menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya hari ini bahawa ia mendapat maklumat tidak lengkap dengan ada yang mengatakan kejadian berlaku di Pahang namun butiran tidak disertakan untuk siasatan seterusnya.

“Malaysia Animal Association menaikkan tawaran ganjaran daripada RM3,000 kepada RM10,000 untuk mana-mana individu atau kumpulan yang boleh mengesahkan aksi bakar anak kucing dengan mencurah minyak lalu mencucuh api menggunakan pemetik api”.

Persatuan itu turut merayu agar maklumat lengkap dengan laporan polis dapat diambil sehingga pelaku berjaya ditangkap, didakwa di mahkamah dan dijatuhi hukuman maksimum atas kezaliman membakar anak kucing itu hidup-hidup sekiranya benar kejadian dan pelaku berada di Malaysia.

Terdahulu, persatuan tersebut memuat naik satu klip video berdurasi 45 saat yang memaparkan seekor anak kucing sedang dibakar dan perbuatan zalim itu dirakam sendiri oleh pelakunya.

Orang ramai digesa untuk memberikan maklumat melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-20901097.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Facebook: Perniagaan Malaysia beralih kepada landskap digital

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Perniagaan Malaysia kini mencari cara baharu untuk berkembang dalam landskap digital terutama dalam situasi penularan pandemik Covid-19 pada masa ini, demikian menurut kaji selidik oleh gergasi media sosial, Facebook.

Dalam laporan bertajuk “State of Small Business”, ia menyatakan perniagaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia telah berusaha keras untuk menyesuaikan diri dengan kebiasaan baharu, dengan menggerakkan operasi dalam talian masing-masing.

“Sebanyak 44 peratus PKS yang beroperasi di Facebook melaporkan 25 peratus atau lebih daripada jualan mereka dijana secara digital sejak bulan sebelumnya,” katanya.

Ia berkata antara penemuan penting lain dari Malaysia ialah aliran tunai dikenal pasti sebagai kebimbangan utama dengan 63 peratus daripada PKS melaporkan jualan yang rendah berbanding tempoh sama tahun lepas, manakala 58 peratus menjangkakan aliran tunai akan menjadi cabaran kepada mereka dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Selain daripada itu, ia berkata 42 peratus daripada PKS di Malaysia telah mengurangkan jumlah pekerja berikutan pandemik itu.

Sementara itu, 47 peratus PKS yang ditinjau mengatakan mereka yakin dengan prospek masa depan, didorong oleh isu-isu utama yang tercetus daripada pandemik berkenaan, katanya.

Sebagai contoh, Facebook berkata antara perniagaan yang berjaya ialah Tajuddin Tempelicious, perniagaan tempe tempatan yang memanfaatkan teknologi dan media sosial untuk berhubung dengan pelanggan dan rangkaian bekalan.

Pengasas Tajuddin Tempelicious, Noorasliyati Sukiman berkata 80 peratus daripada tempahan yang diterima ialah melalui iklan produknya di Facebook Marketplace, Instagram dan WhatsApp.

Kaji selidik itu adalah dengan kerjasama Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang membuat kajian ke atas PKS di 50 negara dan rantau semasa pandemik menular dengan tujuan untuk mendengar pendapat PKS dan menilai bagaimana situasi mereka berubah.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Jangkitan sifar tempatan kali kedua di Malaysia

KUALA LUMPUR, 9 JULAI: Gambar sebiji telur dimuat naik Kementerian Kesihatan di Facebook dan Twitter mereka bagi menyatakan jangkitan tempatan sifar Covid-19 dicatatkan di Malaysia semalam, telah mencetuskan satu ‘tarikan’ dalam media sosial.

Ramai yang menyatakan rasa syukur mereka dengan berita tersebut, di samping memberikan penghargaan kepada petugas barisan hadapan atas usaha berterusan mereka tanpa mengenal penat lelah, dalam memerangi pandemik Covid-19.

Semalam Malaysia sekali lagi mencatatkan jangkitan tempatan sifar Covid-19 dengan hanya tiga kes baru dilaporkan, kesemuanya kes import melibatkan rakyat Malaysia yang dijangkiti ketika berada di luar negara.

Foto Sumber: KKM

Pada 1 Julai lepas, Malaysia mencatatkan rekod dengan satu kes baru dan jangkitan tempatan sifar, yang merupakan jumlah kes jangkitan baru terendah sejak 18 Mac.

Bagaimanapun, sehingga vaksin untuk virus tersebut ditemukan, adalah penting bagi rakyat Malaysia terus berhati-hati dan mengambil tindakan pencegahan dalam membebaskan negara daripada penyakit merbahaya ini.

Seperti yang pernah dikatakan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Malaysia memerlukan 28 hari jangkitan sifar, sebelum boleh diisytiharkan bebas daripada pandemik tersebut.

Sementara itu, dengan situasi semasa Covid-19, kerajaan telah membenarkan empat lagi katogeri pelajar pusat pengajian tinggi untuk pulang ke kampus secara berperingkat bermula bulan ini dan pengambilan penuh pelajar pada Oktober.

Bagaimanapun, pelajar diminta untuk terus mengamalkan jarakan sosial dan penjagaan kebersihan diri di kampus.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Facebook sekat akses akaun STR Singapura

SINGAPURA, 19 FEB: Facebook pada Selasa menyekat akses akaun States Times Review (STR) kepada pengguna Singapura, didakwa menyiarkan berita tidak benar mengenai beberapa isu termasuk berkaitan koronavirus 2019 (Covid-19), lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Pada 17 Februari, gergasi media sosial itu diarah berbuat demikian oleh pejabat yang menyelia kandungan dalam talian berdasarkan Akta Perlindungan daripada Pembohongan Dalam Talian dan Manipulasi (POFMA).

Sejak November lalu, Facebook STR, dikendalikan warga Singapura, Alex Tan telah tiga kali diarahkan membuat pembetulan berita yang disiarkan. Dua daripadanya mempunyai kaitan dengan wabak Covid-19.

Tan mendakwa beliau merupakan warga Australia yang berpangkalan di luar negara.

Selepas Tan tidak mengendahkan semua perintah terbabit, STR dikenakan beberapa tindakan termasuk dihalang daripada menerima sebarang manfaat kewangan.

Disebabkan gagal mematuhi peraturan di bawah POFMA, pihak berkuasa mengeluarkan arahan menyekat Facebook STR.

POFMA berkuat kuasa 2 Oktober tahun lalu. Di bawah akta itu kerajaan Singapura boleh mengarahkan platform atau perantara internet untuk menyekat akses terhadap kandungan dalam talian yang mengandungi maklumat salah. Mana-mana pertubuhan yang tidak mematuhi arahan itu boleh didenda sehingga AS$500,000.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Twitter, Facebook gantung akaun lemahkan protes di Hong Kong

HONG KONG, 20 OGOS: Twitter Inc (Twitter) dan Facebook Inc (Facebook) bertindak menggantung akaun media sosial yang beroperasi dari tanah besar China bagi melemahkan protes di Hong Kong.

Twitter memaklumkan, syarikat itu menggantung 936 akaun dan operasi yang disyaki dikendalikan oleh beberapa pihak di China.

“Kesemua akaun itu dipercayai sebahagian daripada rangkaian lebih besar, iaitu kira-kira 200,000 akaun yang sudah digantung sebelum beroperasi dengan lebih aktif,” katanya lapor AFP.

Selain itu, Facebook berkata, mereka juga sudah mengeluarkan akaun dan laman daripada rangkaian operasi lebih kecil, selepas menerima maklumat daripada Twitter.

Katanya, hasil siasatan mendapati akaun itu mempunyai kaitan dengan beberapa individu yang dikaitkan dengan Kerajaan China.

Tunjuk perasaan yang sedang berlaku di Hong Kong adalah salah satu cabaran besar yang terpaksa dihadapi Presiden Xi Jinping, sejak mengambil alih kuasa pada 2012.

Pada masa sama, China turut mengecam tindakan Taiwan menawarkan perlindungan suaka kepada penduduk Hong Kong yang menghadapi pertuduhan susulan pembabitan dalam protes antikerajaan.

Jurucakap Kabinet China bagi Jabatan Hal Ehwal Taiwan, Ma Xiaoguang memberi amaran kepada parti pemerintah Taiwan supaya tidak mencampuri urusan Hong Kong dan berhenti menggalakkan penjenayah.

“Pihak berkuasa Taiwan bukan sahaja melindungi jenayah segelintir penunjuk perasaan Hong Kong malah menyemarakkan kesombongan mereka kerana memusnahkan Hong Kong,” kata Xiaoguang.

Categories
NASIONAL

Trend laporan langsung di Facebook kaedah cepat lapor kejadian

KUCHING, 9 JULAI: Trend laporan “langsung” di Facebook adalah kaedah cepat dan tepat untuk melaporkan sesuatu kejadian, kata Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Salmah Ibrahim Melina.

Beliau berkata, pada masa kini seorang pengamal media harus mengoptimumkan teknologi yang ada kerana telefon bimbit adalah alat telekomunikasi paling dekat dengan kehidupan seharian.

“Justeru dengan laporan berbentuk “real time” (tepat masa) ini dapat membantu dunia penyampaian melaporkan berita benar di samping dapat menangkis berita palsu yang berleluasa.

“Dulu, untuk melaporkan sesuatu kejadian ia mengambil masa untuk disampaikan memandangkan jaringan komunikasi agak terhad terutamanya di kawasan pedalaman,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian Kursus Mobile Journalist (Mojo) di Auditorium Kecil, RTM Kuching di sini, hari ini.

Tenaga pengajar bagi kursus itu ialah bekas pembantu Koresponden (Malaysia) Islam Online News, Dubai, Zamri Mohamad yang juga penulis 30 buah buku untuk PTS, Legacy dan Jejak Tarbiah.

Salmah berkata, secanggih mana pun teknologi yang ada pada masa kini, sebagai pengamal media etika kewartawanan harus dijunjung tinggi.

“Aspek format kerja, keperluan maklumat, tapisan dan kawalan haruslah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan agar peranan Mojo dalam organisasi dapat digerakkan secara efektif.

“Ini juga selari dengan visi dan misi kementerian dalam melahirkan pengamal media yang kompeten, berdaya saing, profesional, inovatif dan kreatif dalam bidang komunikasi dan multimedia,” katanya.

Beliau berkata kursus itu juga cetusan idea Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Gobind Singh Deo setelah melakukan lawatan kerja ke Pulau Pinang dan mendapati biro Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sana membuat siaran langsung di Facebook menggunakan telefon pintar selama dua jam tanpa henti untuk menyampaikan maklumat terkini kepada orang awam.

Seramai 35 peserta yang terdiri daripada beberapa agensi di bawah KKMM menghadiri kursus Mojo yang berlangsung selama tiga hari mulai hari ini.

-BERNAMA