Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Harga kit ujian Covid-19 mahal, kerajaan diminta turun bawah RM5

SHAH ALAM, 3 MAC: Kerajaan diminta menetapkan harga siling kit ujian kendiri air liur bawah RM5 sebagai langkah mengurangkan beban rakyat.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata ketika ini penggunaan kit kendiri menjadi rutin masyarakat bagi memastikan diri bebas dari jangkitan Covid-19.

“Ahli Dewan Rakyat diberi kemudahan membuat tuntutan bayaran balik (pembelian kit kendiri). Agak tak munasabah kita dapat manfaat tetapi rakyat yang selalu guna sebelum ke tempat kerja, sekolah.

“Jadi mohon pertimbangkan mengurangkan dan meletakkan harga siling bawah RM5. RM4.90 itu agak baik tetapi jika belasan ringgit, RM10 terlalu mahal,” katanya pada sesi Dewan Rakyat hari ini.

Pengarah komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) itu juga berkata rebat cukai pembelian kit RM1,000 yang boleh dituntut turut tidak terpakai kepada rakyat berpendapatan rendah.

Semalam isu kit kendiri turut dibawa beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan antaranya Steven Sim Chee Keong (Bukit Mertajam) dan Cha Kee Chin (Rasah).

Kerajaan pada September tahun lalu menetapkan harga siling runcit maksimum kit ujian kendiri air liur pada harga RM19.90.

Categories
AGENDA NASIONAL

Wakil rakyat Lembah Pantai sumbang 10 mesin oksigen kepada PPUM

SHAH ALAM, 27 OGOS: Ahli parlimen Lembah Pantai menyumbang 10 mesin penumpu oksigen kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) hari ini.

Fahmi Fadzil berkata sumbangan berjumlah RM38,000 kepada Pengarah PPUM Profesor Dr Nazirah Hasnan hasil kutipan dana bersama pihak lain.

“Ini dapat membantu pesakit Covid-19 yang sukar bernafas. Terima kasih kepada semua yang membantu mengumpul dana ini,” tulisnya di Twitter.

Sementara itu, Fahmi berkata tumpuan seterusnya akan diberikan kepada program suntikan vaksin penduduk di Parlimennya yang masih rendah.

Sebanyak 60.2 peratus populasi dewasa atau 14,095,554 individu di seluruh negara lengkap dos suntikan vaksin setakat semalam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Jangan anak tirikan media, MP gesa agihan vaksin secara adil

SHAH ALAM, 11 JUN: Ahli parlimen Lembah Pantai menggesa kerajaan tidak menganaktirikan pengamal media sebaliknya mempercepat agihan vaksin Covid-19 secara adil kepada golongan terbabit.

Fahmi Fadzil berkata mereka adalah sebahagian dari petugas barisan hadapan untuk laporan berita yang pasti menjadi risiko kepada diri, rakan sekerja dan keluarga sekiranya belum diberi vaksin.

“Saya sebenarnya amat terkesan apabila warga media terpaksa meluahkan perasaan dengan menggunakan tanda pagar #CucukMyPress untuk mendapat layanan segera dari kerajaan.

“Pengamal media tidak patut dianak tiri. Mereka yang berada di lapangan, merakam dan melaporkan segala berita setiap hari dalam usaha kita membendung penularan Covid-19 dan mencapai imuniti kelompok,” katanya menerusi kenyataan.

Menurut Fahmi, beliau menyambut baik usaha kerajaan memberi vaksin kepada golongan berkaitan pada 1 Jun lalu namun jumlah 100 individu disifatkan kecil berbanding 5,000 yang telah mendaftar.

Jurucakap KEADILAN bagi komunikasi, seni dan budaya itu menggesa Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 menjelaskan mengapa warga media tidak termasuk dalam senarai fasa satu pemberian vaksin.

“Menteri komunikasi dan multimedia juga mesti beri penjelasan bila tarikh tepat kesemua golongan yang mendaftar ini akan terima vaksin. Seharusnya beliau lebih tegas dan pantas dalam hal ini, namun beliau jelas telah gagal,” luahnya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN perkukuh kerusi ahli parlimen tinggalkan parti

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) fokus untuk memperkukuhkan kerusi ahli parlimen yang pernah dikhianati sebelum ini.

Pengarah komunikasinya berkata parti itu sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

“Kita juga akan beri fokus pada kerusi yang mana ahli parlimen sebelum ini khianati dan berusaha tampilkan tokoh yang layak untuk memenangi semula kerusi tersebut,” kata Fahmi Fadzil.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Wanita dan Angkatan Muda Keadilan Lembah Pantai serta pelancaran jentera pilihan raya KEADILAN kawasan itu di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Lembaga Penasihat KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengulas sejauh mana persediaan KEADILAN menghadapi PRU-15, Fahmi berkata jentera pilihan raya sudah dilancarkan dan beliau percaya ramai yang sudah bersedia.

“Selepas kes khianat Sheraton saya lihat tidak ramai KEADILAN Lembah Pantai yang keluar parti malahan semakin ramai yang masuk parti ini antaranya Altimet dan Afdlin Shauki,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN minta penjelasan menteri isu komputer riba untuk pelajar

SHAH ALAM, 8 FEB: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menggesa menteri kewangan memberi penjelasan berhubung status agihan 150,000 komputer riba kepada pelajar.

Pengarah komunikasinya berkata maklum balas Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz penting kerana peralatan itu sepatutnya diagihkan kepada 500 sekolah pada bulan ini.

“Pada 25 Januari, media melaporkan 150,000 komputer riba akan dihantar kepada sekolah terpilih menerusi Yayasan Hasanah mulai Februari.

“Namun timbul persoalan berhubung agihannya selepas 14 hari persekolahan antaranya tarikh akan dihantar, sekolah terpilih dan apa akan berlaku jika gagal dihantar,” kata Fahmi Fadzil menerusi kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai turut membidas sikap Menteri Pendidikan Dr Mohd Radzi Md Jidin yang diam seribu bahasa berhubung perkara itu.

“Ramai ibu bapa menanggung beban sejak pelaksanaan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) malah keluarga ada anak ramai juga terpaksa berkongsi peralatan selain isu capaian internet yang masih gagal diatasi,” katanya.

Pada 6 November tahun lepas Tengku Zafrul berkata sejumlah RM150 juta diperuntuk untuk membeli 150,000 komputer riba kepada 500 sekolah.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor ambil tindakan tegas pihak terlibat cemar air

SHAH ALAM, 12 NOV: Kerajaan Selangor akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam insiden pencemaran sumber air mentah negeri ini.

Perkara tersebut dimaklumkan Dato’ Seri Amirudin Shari kepada Biro Politik Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dalam mesyuarat semalam.

“Dato’ Menteri Besar memaklumkan beliau dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan mengadakan mesyuarat khas berkenaan isu gangguan bekalan air.

“Selain itu, Kerajaan Negeri akan mempertimbang tindakan tegas terhadap pihak yang terlibat dalam pencemaran sumber air mentah di Selangor,” kata Pengarah Komunikasi KEADILAN Fahmi Fadzil.

Beliau berkata pihaknya turut memberi beberapa cadangan dan pandangan termasuk rungutan serta kegusaran warga Lembah Klang yang terkesan dengan kejadian itu.

Pada 10 November, LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau dikesan di Sungai Selangor sekali gus menjejaskan lebih 1.1 juta akaun pengguna.

Susulan itu, polis menahan empat individu termasuk seorang wanita di Gombak, Damansara dan Kelana Jaya antara tengah malam kelmarin hingga awal pagi semalam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Fungsi Jasa bertindih, salurkan dana untuk rakyat

SHAH ALAM, 8 NOV: Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) menerima peruntukan RM85.5 juta dilihat mempunyai fungsi sama dengan beberapa agensi sedia ada, kata Pengarah Komunikasi KEADILAN.

Fahmi Fadzil berkata nilai berkenaan sepatutnya digunakan agensi lain antaranya Jabatan Penerangan, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) membeli peralatan baharu, menambah jawatan serta memperkukuhkan organisasi.

“Sekiranya kerajaan memahami keresahan rakyat, menteri komunikasi dan multimedia serta menteri kewangan perlu membatalkan cadangan mewujudkan semula Jasa.

“Belanjawan 2021 juga perlu dipinda dengan mengagihkan dana itu kepada program serta agensi sedia ada atau dibelanjakan untuk program lebih bermanfaat kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fahmi berkata semua pihak mengetahui Jasa adalah unit propaganda politik parti pemerintah yang dahulunya digunakan bagi menyerang pembangkang.

“Sebagai perbandingan, jumlah ini boleh membina dua Klinik Kesihatan jenis 2 yang lengkap peralatan perubatan terkini serta mampu memberi khidmat kepada 500 hingga 800 pengunjung setiap hari.

“Ia juga boleh membina tiga bangunan sekolah dengan 24 bilik darjah atau dimasukkan ke dalam Tabung CERDIK bagi membeli 85,000 komputer riba tambahan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah yang tidak mampu mengikuti pembelajaran secara dalam talian,” kata ahli parlimen Lembah Pantai.

Belanjawan 2021 dibentangkan Jumaat lalu oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan peruntukan RM85.5 juta bagi menghidupkan semula jabatan berkenaan.

Bagaimanapun ia mengundang persoalan pelbagai pihak memandangkan pandemik Covid-19 memerlukan pengagihan peruntukan secara saksama, mengikut situasi semasa.

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN kesal Parlimen had bilangan media

SHAH ALAM, 16 OKT: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) kesal terhadap arahan mengehadkan bilangan media bagi membuat liputan pembentangan Belanjawan 2021 di sidang Parlimen.

Pengarah Komunikasinya Fahmi Fadzil berkata sesi tersebut sebaliknya memerlukan lebih ramai petugas bagi menyaksikan perbincangan dan perbahasan penggunaan wang ringgit rakyat pada tahun akan datang.

“Sekiranya benar Parlimen berpandangan ruang bagi petugas media tidak mencukupi dan itu antara sebab utama menghalang lebih banyak media hadir, saya percaya terdapat banyak ruang boleh diubah suai menjadi tempat mereka.

“Sebagai contoh, sekiranya tempat media di aras bawah tidak mencukupi untuk memuatkan semua petugas, bilik jawatankuasa di bangunan sementara, ruang di Dewan Rakyat sementara, malah bangunan pejabat ahli-ahli parlimen boleh diubah suai dengan mudah untuk membolehkan lebih ramai petugas media hadir tanpa melanggar tatacara operasi piawai (SOP).

“Malah, jika perlu khemah khas seperti yang biasa didirikan untuk VIP (kenamaan) sewaktu program-program kementerian di Parlimen boleh didirikan untuk menempatkan petugas media,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata arahan tersebut boleh menimbulkan salah faham dengan membayangkan institusi itu mengekang kebebasan bersuara kerana membenarkan terbitan media rasmi sahaja.

Beliau turut meminta Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mempertimbang semula arahan itu demi kebebasan bersuara dan kemuliaan dewan.

Hari ini, Setiausaha Bahagian Komunikasi Korporat Parlimen mengeluarkan surat kepada ketua pengarang media memaklumkan hanya 15 petugas dibenarkan hadir di Parlimen untuk membuat liputan sepanjang sidang mulai 2 November hingga 23 Disember depan.

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN sanggah PM, bantuan bukan alat raih undi

SHAH ALAM, 18 SEPT: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) hari ini mendesak perdana menteri supaya tidak menjadikan bantuan sebagai alat memancing undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengarah Komunikasinya Fahmi Fadzil berkata rakyat negeri itu berhak memilih mana-mana parti yang diingini tanpa pengaruh pendekatan “cash is king” (wang itu segala-galanya).

“Perdana menteri seharusnya tidak menggunakan isu bantuan untuk meraih undi. Beliau harus menjadi perdana menteri untuk semua negeri dan rakyat Malaysia, bukan hanya negeri yang ditadbir parti Kerajaan Persekutuan atau mereka yang mengundi parti Kerajaan Persekutuan.

“Jika beliau enggan bantu negeri-negeri pada kadar dan keperluan yang sepatutnya, saya rasa wajar beliau berundur daripada menjadi perdana menteri,” katanya dalam kenyataan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap di Kudat hari ini berkata lebih banyak bantuan disalurkan kepada Sabah jika kepimpinan kerajaan negeri selari dengan Kerajaan Persekutuan, lapor Bernama.

Perdana menteri berkata buat masa ini, bantuan kepada Negeri di Bawah Bayu setakat yang diwajibkan dalam Perlembagaan Persekutuan kerana pentadbiran tidak sehaluan dengan Putrajaya.

Rakyat Sabah akan memilih 73 calon pada 26 September ini. KEADILAN yang bergabung dengan Warisan Plus bertanding di tujuh kerusi.

Fahmi, ahli parlimen Lembah Pantai, turut mempertikai amalan “cash is king” yang dahulunya menjadi kecaman Muyhiddin terhadap kerajaan Barisan Nasional.

“Amalan yang dahulunya ditegur dan dilawan perdana menteri sendiri malangnya kenyataan beliau (kini) mirip apa yang ditegur dan lawan dahulu. Apa sudah jadi?

“Saya percaya rakyat Sabah cukup matang dalam menilai yang mana kaca, yang mana permata,” katanya lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Catat rekod baik, Selangor model PAKATAN kukuh kedudukan

SHAH ALAM, 26 JULAI: Kejayaan pentadbiran Kerajaan Selangor lebih sedekad harus dijadikan model memenangi hati rakyat, kata pengarah komunikasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Fahmi Fadzil berkata negeri lain perlu menterjemah gerak kerja Selangor serta pemikiran barisan pemimpinnya supaya kedudukan Pakatan Harapan (PAKATAN) kekal utuh.

“Selangor dapat bantu kedudukan kita (PAKATAN)…di Sabah dan Negeri Sembilan. Sebab kita (pentadbiran) tidak pernah culas, tidak membazir waktu dan buat terbaik untuk Selangor.

“Banyak tinjuan membuktikan KEADILAN di Selangor bukan sahaja dikenali rakyat sebaliknya turut disayangi,” katanya berucap pada Konvensyen Penerangan di Ampang hari ini.

Fahmi berkata kepimpinan Selangor juga disaran membantu negeri lain menyediakan manifesto pilihan raya umum serta pelaksanaannya.

Pada masa sama, ahli parlimen Lembah Pantai turut berharap parti gabungan PAKATAN terus menjalin hubungan erat selain meleraikan masalah demi kelangsungan bersama.

“Kita sama-sama turun program, kukuhkan (parti)…kita jumpa sesama kita boleh terus terang (selesai masalah),” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN desak Saifuddin letak jawatan, gagal tangani tiga isu

SHAH ALAM, 23 JULAI: KEADILAN menggesa Datuk Saifuddin Abdullah meletak jawatan susulan kegagalannya menangani tiga isu berasingan sepanjang bergelar menteri komunikasi dan multimedia.

Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil berkata terbaharu isu permohonan lesen Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk menerbit filem di media sosial hari ini yang turut mendapat kritikan warga maya.

“Sebenarnya beliau sendiri mulakan pagi tadi di Dewan Rakyat. Jika soalan saya dan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi dijawab dengan jelas isu itu tidak berpanjangan.

“Saya rasa kenyataan terbaharu Saifuddin hanya sebagai jalan keluar meredakan kemarahan warga maya walaupun tidak memberi penjelasan berkenaan lesen Finas tidak diperlukan untuk pengguna media sosial TikTok, YouTube, dan sebagainya,” kata Pengarah Komunikasi KEADILAN dalam kenyataan hari ini.

Pagi tadi di Dewan Rakyat, Saifuddin memaklumkan penerbit filem sama ada agensi media arus perdana atau media individu yang menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran Finas.

Bagaimanapun selepas mendapat kritikan, beliau mengeluarkan kenyataan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta Finas) [Akta 244] perlu ditambah baik supaya bersesuaian dengan kehendak semasa.

Jurucakap Komunikasi, Seni dan Budaya KEADILAN berkata sepanjang bergelar menteri sejak Mac lalu, dua lagi tindakan salah dilakukan Saifuddin iaitu isu penarikan balik pelantikan Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen sebagai Ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia serta pembatalan penggunaan spektrum dalam jalur frekuensi 700MHz, 900MHz dan 2600MHz atau spektrum 5G.

Categories
NASIONAL

Fahmi guna peruntukan RM200,000 baik pulih balai polis, kuarters

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Anggota Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil memperuntukkan sebanyak RM200,000 bagi membaik pulih balai polis dan kuarters Bukit Aman yang berada di bawah kawasan parlimennya.

Balai polis berkenaan adalah Balai Polis Pantai, Balai Polis Travers dan Balai Polis Petaling.

Beliau berkata, setiap balai polis dan kuarters diperuntukkan sebanyak RM50,000 untuk kos baik pulih berkenaan.

“Peruntukan (di bawah pejabat Anggota Parlimen Lembah Pantai) telah saya luluskan dan akan berbincang dengan Ketua Balai Polis serta pihak kuarters Bukit Aman untuk apa yang perlu dibaik pulih.

“Saya telah hantar pegawai ke lapangan (balai terlibat) untuk berbincang dengan mereka (ketua balai polis) untuk melihat apa yang mereka perlukan. Selain itu, kita beri peluang sendiri kepada mereka untuk tengok mana yang perlu dibaiki dan kita akan bantu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir majlis iftar mycommunity@care di Masjid Bukit Aman, di sini semalam.

Beliau berkata, kerja-kerja baik pulih balai polis dan kuarters itu akan dijalankan dalam masa beberapa bulan lagi.

Fahmi berkata, peruntukan berkenaan adalah sebahagian daripada ‘Aku Janji’ yang dibuat kepada pasukan keselamatan berkenaan selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lepas.

“Ini merupakan sebagai balasan atas khidmat yang diberikan mereka dalam menjaga keselamatan dan keamanan di kawasan terlibat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador menzahirkan terima kasih kepada Fahmi kerana amat prihatin mengenai kebajikan anggotanya terutamanya di kawasan Lembah Pantai.

Turut hadir majlis iftar berkenaan adalah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor. – BERNAMA