Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Asnaf fakir miskin dijangka meningkat kepada 72,000, akibat wabak dan tamat moratorium

SHAH ALAM, 5 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjangka  bilangan asnaf  fakir dan miskin meningkat kepada 72,000 orang pada tahun ini.

Agensi itu menerusi Facebook memberitahu peningkatan 7,000 orang daripada jumlah direkodkan tahun lalu itu susulan penularan pandemik Covid-19 serta penamatan moratorium.

Justeru, LZS menyeru orang ramai untuk bersama membantu dan menyumbang dengan membuat bayaran secara dalam talian bagi memudahkan urusan.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop berkata tahun lalu seramai 65,000 asnaf fakir dan miskin direkodkan dan menjangkakan peningkatan pada tahun ini.

Pada Julai tahun lalu LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta menjayakan program Zakat Selangor Peduli yang menyediakan 19 inisiatif bantuan bagi memanfaatkan hampir 60,000 penerima serta lebih 400 institusi.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Kutipan zakat Selangor hampir RM1 bilion, bantu orang susah makin meningkat

SHAH ALAM, 11 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperoleh kutipan zakat hampir RM1 bilion tahun lalu, melebihi sasaran RM900 juta.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M Yusop berkata perolehan tersebut akan digunakan sebaiknya untuk membantu asnaf fakir dan miskin termasuk individu terkesan akibat pandemik dan banjir.

“Kutipan kita lebih 10 peratus daripada jangkaan. Alhamdulillah, terima kasih kepada pembayar zakat kerana terus menyokong LZS dalam membantu masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas turun padang bagi program bancian dan semakan kelayakan baik pulih rumah mangsa bencana di Kampung Bukit Lanchong dekat sini hari ini.

Sementara itu, Saipolyazan menjangkakan bilangan asnaf fakir dan miskin di Selangor tahun ini meningkat kepada 72,000 berbanding 65,000 orang ketika ini kesan daripada bencana dan penamatan moratorium.

“Berdasarkan rekod setakat ini, seramai 15,000 orang adalah miskin sementara akibat pandemik dan moratorium yang telah tamat. Mereka dibantu melalui kategori asnaf gharim,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tengku Permaisuri Norashikin serah sumbangan tablet kepada pelajar asnaf

SHAH ALAM 5 OKT: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor berkenan berangkat ke majlis penyerahan sumbangan tablet kepada pelajar asnaf fakir dan miskin di Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Tengku Permaisuri Norashikin menyempurnakan sumbangan alat bantuan belajar berserta data internet itu kepada wakil-wakil daripada 7,000 pelajar asnaf fakir dan miskin kelolaan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Sumbangan ini adalah bagi meringankan beban pelajar dan keluarga dalam mengadaptasi norma baharu sesi persekolahan dalam talian melalui e-pem belajaran di semua sekolah ketika ini, kata Selangor Royal Office dalam laman Facebooknya.

Turut hadir Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saifulyazan M. Yusop.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS: 3,000kg daging korban diagih kepada asnaf, fakir miskin

SHAH ALAM, 9 OGOS: Sejumlah 3,000 kilogram daging korban diagihkan kepada asnaf dan fakir miskin serta masyarakat sekitar Puchong dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Hicom kelmarin.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) memaklumkan pihaknya membantu menyerahkan daging korban anjuran Yayasan Budi Ihsan Malaysia (YBIM).

Penyerahan daging itu dilakukan ketua pegawai eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop kepada wakil-wakil masjid di kawasan tersebut.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga dengan bekalan daging ini dapat meringankan beban terutama di waktu yang sukar ini,” katanya menerusi Facebook semalam.

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor Rasmi Masjid Bandar Baru Sungai Buloh Bernilai RM4.1 Juta

DYMM Rasmi Masjid 02

PETALING JAYA 17 JULAI : DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan merasmikan Masjid di Bandar Baru Sungai Buloh di sini sempena Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat di sini.

Bangunan masjid ini dibina oleh Syarikat MK Land dengan kos RM4.1 juta dan mampu menampung sehingga 5,000 jemaah di mana masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Kuning kerana kubahnya berwarna kuning.

Sultan Sharafuddin juga turut berkenan menamakan masjid itu dengan nama Masjid Bandar Baru Sungai Buloh.

Pada kesempatan yang sama, Baginda perkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada kira-kira 302 daripada kalangan Asnaf anak yatim, fakir-miskin, saudara baru dan pelajar tahfiz.

DYMM Rasmi Masjid 01

Sementara itu, Pengerusi Gapurna, Tan Sri Abdul Halim Ali dalam ucapannya berkata, syarikat itu turut memberi sumbangan daripada segi kewangan dan material untuk kerja-kerja menaiktarafkan masjid itu.

“Antara kerja naik taraf itu termasuk kerja mengecat dinding masjid, membaik pulih tempat wuduk dan tandas, menukar lampu kalimantan dan lampu limpah untuk mimbar, memasang dan menggantikan sistem pembesar suara.

“Turut dipasang adalah kipas helikopter pada ruang masjid utama dan pemasangan tangki tambahan berdasarkan daripada senarai keutamaan keperluan yang disediakan Jawatankuasa Masjid,” kata beliau.

Turut mengiringi Sultan Selangor pada majlis itu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Pengarah JAIS, Datuk Marzuki Husin.

DYMM Rasmi Masjid 03

Categories
SELANGOR

228 Fakir Miskin Puchong Terima Sumbangan Raya

PUCHONG, 2 OGOS: Seramai 228 asnaf fakir dan miskin di Puchong menerima sumbangan raya daripada Lembaga Zakat Selangor(LZS) sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Alhmarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj berkenan menyampaikan sumbangan wang tunai RM400 setiap orang di Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat yang diadakan di Masjid Al-Ehsan Bandar Kinrara, Puchong malam tadi.

Program ini bertujuan untuk mendekati seluruh rakyat Selangor di bawah pemerintahan baginda Sultan dan sumbangan tersebut sedikit sebanyak, meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan untuk menjalani ibadah ramadan dan menyambut aldilfitri kali ini.

Seorang penerima kurang upaya asnaf miskin, Kamilah Arifin, 41, berkata wang itu akan digunakan untuk keperluan empat orang anaknya bagi menyambut hari raya.

“Alhamdulillah, sekurang-kurangnya duit ini dapat meringankan beban saya mempersiapkan anak-anak menyambut syawal kelak,” katanya yang sudah 11 tahun menjadi Orang Kurang Upaya (OKU).

Turut hadir di majlis ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi, Orang Besar Daerah Petaling, Datuk Emran Kadir, Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Khairi , Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS), Datuk Marzuki Hussin dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor(MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Dalam majlis yang sama, seramai 140 saudara baru Islam dan 128 anak yatim di kawasan ini turut menerima sumbangan raya yang disampaikan oleh baginda Sultan.

Sementara itu, seorang saudara baru, Yusuf Islam Mohd Noor, yang memeluk Islam pada September tahun lepas, turut terharu kerana masih ada pihak yang sudi memberi sumbangan kepadanya.

“Syukur alhamdulillah saya sekeluarga kini memeluk Islam dan bagi persiapan raya, saya hanya membuat persiapan sederhana sahaja,” katanya yang masih mendalami Islam dengan mengikuti kelas Fardhu Ain anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia(PERKIM).