Categories
AGENDA NASIONAL SUKANKINI

Pan Gon: Perubahan tidak berlaku sekelip mata

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Pepatah Inggeris ‘Rome was not built in a day’ (Rom tidak dibina dalam sehari), mungkin menggambarkan misi ketua jurulatih Harimau Malaya yang baharu Kim Pan Gon untuk menerapkan falsafah bola sepaknya ke dalam minda pemain kebangsaan.

Bagi peminat, apa yang mereka boleh lakukan buat masa ini adalah duduk, berehat dan nikmati apa yang akan berlaku seterusnya buat Harimau Malaya.

Bercakap pada sidang akhbar pertama beliau selepas dilantik sebagai pengendali baharu skuad bola sepak kebangsaan, Pan Gon mahu lebih masa diberikan jika beliau ingin mengubah corak permainan pasukan menjadi lebih agresif.

“Saya tidak boleh membuat banyak perubahan dalam tempoh singkat. Saya ada pengalaman dan jika anda memberi saya masa, saya akan lakukannya untuk anda,” kata bekas Pengarah Pasukan Kebangsaan Persatuan Bolasepak Korea Selatan itu.

Untuk mencapai misi itu, bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Hong Kong itu menegaskan bahawa beliau terlebih dahulu perlu membina asas yang kukuh dan meningkatkan kekuatan fizikal anak-anak buahnya yang baharu, dalam usaha agar Harimau Malaya ‘mengaum’ dengan garang di atas padang.

Dalam pada itu, Pan Gon yang sedia maklum tentang Peta Hala Tuju F:30 Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata beliau akan menganalisis semua pemain sebelum memilih skuad untuk tugas terbesar pertamanya, kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini.

F:30 adalah projek oleh FAM dengan matlamat utamanya meletakkan Malaysia menjadi lima negara terbaik Asia.

Projek itu mungkin selari dengan visi Pan Gon untuk membawa bola sepak Malaysia ke tahap seterusnya dan melangkaui kawasan Asia Tenggara, dengan membantu pasukan negara mara ke peringkat akhir Piala Dunia buat kali pertama pada masa hadapan.

Jurulatih berusia 52 tahun itu turut memuji dua lagi rakan senegaranya, Park Hang-seo yang kini mengendali skuad Vietnam dan Shin Tae-yong (Indonesia), kerana kedua-dua negara itu menunjukkan prestasi baik di rantau Asia Tenggara sejak akhir-akhir ini.

“Saya amat menghormati jurulatih berkenaan tetapi saya adalah diri saya dan saya akan membina sejarah bola sepak tersendiri di sini,” katanya.

Memandangkan beliau belum mengenal pasti penolong jurulatih tempatan yang akan diumumkan tidak lama lagi, Pan Gon mempunyai empat lagi pembantu yang boleh diharapkan buat masa ini.

Daripada empat pembantu dalam pasukan kejurulatihan Pan Gon, Pau Marti Vicente lebih menonjol daripada kalangan peminat tempatan kerana beliau sangat mahir dalam membangunkan pemain muda, terutama ketika bersama skuad berpangkalan di Sepanyol, Barcelona B dari 2018-2021, selain menjadi orang kanan Pan Gon dengan pasukan Hong Kong dari 2012-2013.

Tiga lagi pembantu termasuk dua lagi dari Korea Selatan iaitu jurulatih penjaga gol Cho Junho dan jurulatih analisis prestasi pasukan Lim Jaehun yang kedua-duanya pernah berkhidmat dengan Daegu FC, serta jurulatih kecergasan Dr Gokhan Kandemir yang berpengalaman luas dalam liga bola sepak Turki sebelum ini.

Sementara itu, Pengarah Teknikal FAM Scott O’Donnell berkata pihaknya berhasrat untuk bekerjasama dengan Pan Gon dan pasukannya dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Memenangi perlawanan bola sepak bukan mudah dan ia akan bergantung kepada semua orang dan persekitaran bola sepak di Malaysia untuk bersama-sama berusaha mendapatkan sesuatu daripadanya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Tiga pemain, dua pegawai Liga Premier Futsal Malaysia digantung perlawanan

KUALA LUMPUR, 12 FEB: Seramai tiga pemain dan dua pegawai pasukan terlibat dalam saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2022 masing-masing dikenakan hukuman penggantungan perlawanan kerana berkelakuan ganas serta tiada semangat kesukanan.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Dr Baljit Singh Sidhu dalam kenyataan semalam berkata hukuman tersebut diputuskan jawatankuasa itu kelmarin dalam mesyuarat kali keenam bagi penggal 2021-2025 yang diadakan di Wisma FAM.

Tiga pemain itu adalah Muhamad Norakmal Norizal yang mewakili pasukan Perak, Muhammad Amirul Sugito (Selangor TOT United) dan Muhammad Hamzah Ahmad (Kedah) manakala dua pegawai pasukan adalah Mohd Zulhilmi Razali (PDRM FC) dan S Devandran dari KL City FC.

Muhamad Norakmal dan Muhammad Amirul yang melanggar Artikel 50.1 (d) Kod Tatatertib FAM masing-masing dihukum dengan penggantungan tiga perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik.

Pada masa sama, Muhammad Hamzah dan Mohd Zulhilmi yang didapati melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM dikenakan hukuman penggantungan tiga perlawanan dengan Mohd Zulhimi turut dikenakan denda sebanyak RM1,000.

Sementara itu, Devandran yang melanggar Artikel 62 Kod Tatatertib FAM dikenakan hukuman penggantungan empat perlawanan.

Dalam pada itu, Baljit Singh berkata walaupun keputusan hukuman itu boleh dirayu namun kesemua pemain dan pegawai terbabit diberi amaran keras dan hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Empat pemain Selangor FC sertai kem latihan skuad B-23 kebangsaan

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Empat lagi pemain dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bagi Kejuaraan Bawah 23 (B-23) Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022 di Phnom Penh, Kemboja pada 14 hingga 26 Februari ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini menyatakan empat pemain itu adalah penjaga gol Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman serta tiga pemain pertahanan Ahmad Zikri Mohd Khalili, Muhammad Azrin Afiq Rusmini dan Harith Haiqal Adam Afkar.

Kesemua pemain pasukan Selangor FC itu yang telah melapor diri malam tadi merupakan tonggak yang membantu negara layak ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2022 selepas mengungguli saingan kumpulan pusingan kelayakan di Mongolia, Oktober lepas.

Pasukan negara yang diundi dalam Kumpulan B pada pertandingan di Kemboja itu akan memulakan kempen menentang Myanmar di Stadium Prince pada 15 Februari ini.

Anak buah ketua jurulatih Brad Maloney kemudian akan bertemu Laos pada 18 Februari di venue sama sebelum melengkapkan perlawanan kumpulan dengan aksi berdepan Indonesia di Stadium Nasional Morodok Techo pada 21 Februari.

Tiga juara kumpulan dan satu naib juara kumpulan terbaik akan mara ke separuh akhir pada 24 Februari manakala perlawanan akhir dijadualkan pada 26 Februari.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

5,000 pemain bersaing dalam Liga Suparimau, cungkil bakat baharu bola sepak

KUALA LUMPUR, 30 JAN: Usaha untuk memastikan tiada ketandusan bakat dalam arena bola sepak negara disambut baik oleh ibu bapa dengan penyertaan 5,000 pemain muda dalam Liga Suparimau yang bermula sejak 15 Jan lepas.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata liga itu yang dilancarkan 30 Mac tahun lepas sewaktu beliau memegang portfolio Menteri Belia dan Sukan, berjaya menarik minat 300 pasukan.

Katanya, pengajuran itu menunjukkan kejayaan Kementerian Belia dan Sukan di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melalui Institut Sukan Negara untuk terus memperkasakan Program Pengenalpastian Bakat (TID) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Saya ucapkan tahniah kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan penganjur bersama, Maxim Event dan Boost Juice atas usaha ini yang membolehkan inisiatif pengenalpastian bakat sukan bola sepak yang lebih menyeluruh dapat dilaksana.

“Insya-Allah, dengan sinergi semua pihak, ikhtiar kita untuk memperkasa sukan negara pasti akan membuahkan hasil,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.

Terdahulu, hari ini beliau bersama-sama Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dan Pengarah Teknikal FAM Scott O’Donell, membuat lawatan ke Stadium Panasonic Shah Alam untuk menyaksikan salah satu perlawanan Liga Superimau bagi melihat bakat barisan pemain muda beraksi.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

FAM tubuh badan siasatan bebas, cari punca kegagalan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Bedah siasat laporan prestasi pasukan kebangsaan pada Piala AFF 2020 di Singapura baru-baru ini, bakal dilaksanakan oleh Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya diketuai oleh bekas pemain kebangsaan dan mantan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Dell Akbar Khan.

Penubuhan badan siasatan bebas itu, diumumkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin menerusi kenyataan pada hari ini.

Menurutnya, Dell Akbar diberi mandat untuk melantik beberapa individu lain bagi menganggotai badan siasatan itu terdiri, daripada mereka yang pernah memegang jawatan dalam bola sepak, termasuk bekas pemain serta jurulatih, tetapi tidak memegang sebarang jawatan mahupun menganggotai mana-mana jawatankuasa FAM ketika ini.

“Tugas utama badan bebas ini adalah untuk melakukan bedah siasat terlebih dahulu, terhadap laporan dan analisis lengkap daripada barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan kebangsaan mengenai prestasi Harimau Malaya sepanjang kempen di Singapura, yang telah pun siap dan diserahkan kepada Sekretariat FAM, baru-baru ini.

“Hasil bedah siasat daripada Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya ini seterusnya akan dibentangkan oleh Datuk Dell Akbar, bersama langkah-langkah penambahbaikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM untuk dibincangkan,” katanya.

Malaysia gagal mara ke pusingan separuh akhir di Singapura selepas menamatkan kempen di tangga ketiga Kumpulan B, selepas mencatat dua kemenangan awal ke atas Kemboja (3-1) dan Laos (4-0), namun tewas baki selepas itu kepada Vietnam (0-3) dan Indonesia (1-4), sekali gus gagal mencapai sasaran FAM untuk mara ke final.

Berikutan itu, ketua jurulatih Harimau Malaya Tan Cheng Hoe meletak jawatannya pada Isnin lalu dengan mengambil tanggungjawab terhadap prestasi kurang memuaskan pasukannya.

Namun, segelintir penyokong dan pengkritik mendesak supaya pihak pengurusan FAM juga mengambil tanggungjawab ke atas kegagalan tersebut, yang didakwa kerana kelemahan FAM dalam merancang dan mempersiapkan pasukan dengan baik.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Calon pengarah teknikal FAM diketahui Januari depan

PETALING JAYA, 15 NOV: Individu yang akan mengisi kekosongan jawatan pengarah teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang ditinggalkan Datuk Ong Kim Swee dijangka diketahui pada awal Januari depan.

Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata pihaknya masih meneliti senarai calon berkaliber untuk menggalas tanggungjawab itu yang bukan sahaja perlu menyediakan penggredan dan pendidikan kepada barisan jurulatih, malah memantau serta membimbing mereka.

Beliau berkata pengumuman mengenai perkara berkenaan dijangka dilakukan badan induk itu selepas segala proses pemilihan yang sedang giat dilakukan selesai.

“FAM akan adakan satu sidang media pada 3 Jan apabila kita selesai dengan semua proses pelantikan jawatan itu. Kita mempunyai terlalu ramai calon,” katanya pada sidang media Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM di Wisma FAM di Kelana Jaya hari ini.

Ditanya sama ada individu dari luar negara atau anak tempatan menjadi pilihan FAM, Mohd Saifuddin berkata keputusan dibuat berdasarkan pencapaian dan reputasi cemerlang dimiliki calon, selain mengambil kira pandangan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Kita belum putuskan (pakar luar negara atau tempatan), itu adalah berdasarkan kepada pengalaman individu tersebut. Kita juga kena dapatkan pengesahan daripada FIFA dan AFC. Kita mahukan yang terbaik,” katanya.

Selain menyediakan pelan dan memantau perkembangan semasa jurulatih, Pengarah Teknikal turut berperanan memastikan pasukan kekal bermain mengikut falsafah ditetapkan yang akan meningkatkan keupayaan teknikal pemain supaya dapat mencapai potensi mereka.

Pada September lepas, Kim Swee yang dilantik sebagai pengarah teknikal FAM pada 1 Jan tahun ini, mengumumkan peletakan jawatan susulan menerima tawaran sebagai ketua jurulatih pasukan Liga Super Sabah FC.

Beberapa nama sebelum ini dikaitkan untuk mengisi jawatan ditinggalkan Kim Swee antaranya Pengarah Teknikal Sarawak United FC B Sathianathan dan Pengarah Teknikal Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) Saad Ichalelene.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Saifuddin berkata FAM kini melihat Stadium Nasional di Bukit Jalil sebagai venue utama bagi menganjurkan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun tahun depan, jika berjaya membida menjadi satu daripada enam venue berpusat pusingan kelayakan itu.

-BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA SUKANKINI

Tujuh legenda negara dimasyhur anggota Kelab Abad Fifa

KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Empat legenda bola sepak negara termasuk bekas pertahanan skuad kebangsaan Datuk Soh Chin Ann yang disahkan sebagai pemain memiliki penampilan antarabangsa terbanyak, diisytihar sebagai anggota terbaharu Kelab Abad Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa).

Perkara itu diumumkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini selepas menerima pengesahan dari Fifa, menerusi kemas kini terbaharu terhadap keanggotaan Kelab Abad Fifa yang dikhaskan untuk pemain yang mencatat 100 penampilan antarabangsa ke atas.

Kemas kini terbaharu itu bermakna kini terdapat tujuh legenda bola sepak negara berada dalam senarai itu.

Tiga lagi yang menjadi anggota terbaharu dari Malaysia menyertai senarai berprestij berasaskan statistik rasmi FIFA dengan kerjasama badan mengumpul statistik melibatkan persatuan bola sepak, RSSSF itu terdiri daripada Zainal Abidin Hassan, mendiang Datuk M Chandran dan Datuk Santokh Singh.

Chin Ann disahkan memiliki 195 penampilan di peringkat antarabangsa meskipun jumlah aksi yang dicatat oleh FAM adalah sebanyak 252, namun FIFA hanya mengiktiraf perlawanan kategori A melibatkan anak jati Melaka itu, yang kini berusia 71 tahun.

“Terima kasih Fifa dan FAM atas pengiktirafan ini. Saya berasa cukup terharu atas pengesahan rekod ini….menjadi pemain dengan jumlah penampilan paling banyak dunia adalah penghargaan tertinggi buat saya,” kata Chin Ann dipetik dalam kenyataan itu.

Jumlah penampilan Chin Ann mengatasi rekod Ahmed Hassan dari Mesir yang mengumpul 184 penampilan, Bader Al Mutawa dari Kuwait (181) dan Ahmed Mubarak dari Oman (180).

Satu-satunya pemain masih aktif yang berada dalam kelompok 10 pemain dengan penampilan terbanyak adalah ketua pasukan Portugal Cristiano Ronaldo yang mengumpul 173 penampilan sehingga Mac lepas.

Sebelum ini, tiga pemain bola sepak iaitu Datuk Abdul Shukor Salleh yang mempunyai 163 penampilan antarabangsa, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari (138) dan mendiang Datuk R Arumugam (131) telah diberi pengiktirafan menganggotai Kelab Abad Fifa.

Sementara itu, Zainal Abidin, 58, yang menyarung jersi negara selama 17 tahun menyifatkan pengiktirafan itu sebagai satu penghormatan.

“Bukan mudah untuk diisytiharkan sebagai anggota senarai pemain yang mengumpul 100 ‘caps’ di peringkat dunia. Saya menganggap ia sebagai ganjaran kepada pengorbanan serta khidmat bakti saya sepanjang hampir dua dekad mewakili negara,” katanya.

Sementara itu, meskipun jumlah penampilan Abdul Shukor dalam catatan FAM ialah 215, beliau menganggap menjadi anggota Kelab Abad FIFA dengan jumlah rasmi 163 penampilan sebagai pengiktirafan tertinggi.

“Ia bukan sekadar statistik. Ia bukti bahawa saya antara kelompok pemain yang menyumbang bakti kepada negara,” jelasnya yang bakal menyambut ulang tahun ke-73, Disember ini.

Berikut merupakan tujuh pemain negara diiktiraf dalam Kelab Abad Fifa:

1. Datuk Soh Chin Ann – 195 penampilan
2. Datuk Abdul Shukor Salleh – 163 penampilan
3. Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari – 138 penampilan
4. Mendiang Datuk R Arumugam – 131 penampilan
5. Zainal Abidin Hassan – 116 penampilan
6. Mendiang Datuk M Chandran – 115 penampilan
7. Datuk Santokh Singh – 100 penampilan

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasukan bola sepak digesa peka isu bayaran gaji

KUALA LUMPUR, 20 MEI: Bantuan dana daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berjumlah US$456,214.48 (kira-kira RM1.88 juta) kepada pemain tempatan kurang bernasib baik perlu dilihat secara serius bagi mengatasi masalah pengurusan pasukan dan kelab di negara ini.

Walaupun ia perkembangan menggembirakan, namun Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) Izham Ismail menyifatkan perkara itu menandakan masih terdapat tugas besar perlu dilaksanakan pasukan dalam meningkatkan kualiti pengurusan.

Beliau berkata ia juga menjadi isyarat kepada setiap pihak supaya lebih peka terhadap isu hak dan kebajikan pemain khususnya bayaran gaji, selain usaha lebih giat perlu dibuat dari sudut pemerkasaan tadbir urus pasukan, sistem pelesenan dan penguatkuasaan undang-undang.

“Ia bagi memastikan ekosistem bola sepak Malaysia berada dalam keadaan stabil sekali gus memastikan kelestarian yang berpanjangan buat mereka terlibat secara aktif dalam arena bola sepak negara.

“…dan tanggungjawab ini harus didukung semua pemegang taruh bola sepak negara secara kolektif, bukan disandarkan kepada pihak tertentu sahaja,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabtu lepas, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan seramai 147 pemain tempatan daripada lima pasukan di negara ini yang ‘gulung tikar’ akan menerima bantuan antara US$1,227.67 (kira-kira RM5,000) hingga US$9,227.67 (kira-kira RM38,000) selepas permohonan mereka diluluskan FIFA.

Lima pasukan tersebut adalah Terengganu City FC, Perlis, Marcerra United FC, Kuantan FA serta Hanelang FC dan kesemua pasukan itu kini sudah ditutup.

Sementara itu, Izham berkata sebanyak 139 daripada keseluruhan 147 permohonan itu dibuat menerusi PFAM dan mengakui dana tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban sedia ada pemain meskipun bantuan diterima bukanlah merupakan jumlah penuh.

Beliau berkata usaha untuk menuntut baki bayaran akan terus dibuat dengan PFAM sentiasa berusaha menggunakan segala saluran undang-undang yang ada bagi tujuan tersebut.

“Bagi pihak yang menjadi punca kepada permasalahan ini, PFAM benar-benar menyeru dan menggesa untuk tampil bersemuka dengan pemain dan seterusnya benar-benar mengambil tanggungjawab untuk menyelesaikan isu ini,” kata Izham.

Bantuan dana daripada FIFA itu adalah menerusi program ‘FIFA Fund for Football Players’ (FIFA FFP) yang diwujudkan pada 2020 menerusi kerjasama dengan Persekutuan Antarabangsa Pemain Bola Sepak Profesional (FIFPro).

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Perancangan skuad Harimau Malaya tidak terjejas dengan PKP

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Kuala Lumpur serta beberapa daerah dan mukim di Selangor, Terengganu, Johor dan Perak tidak mengganggu percaturan pasukan bola sepak kebangsaan membuat persediaan ke pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bermula 16 Mei ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam yakin model Gelembung Sukan yang dilaksanakan skuad Harimau Malaya sama ada dalam aktiviti pasukan mahupun venue latihan adalah selamat, sehingga skuad berlepas ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 20 Mei depan.

“Tetapi dengan pengumuman baru ini, mungkin ada kekangan atau SOP (tatacara operasi piawai) berubah. Jadi kita akan memastikan semua arahan dan garis panduan yang diberikan (dipatuhi) dan pasukan kebangsaan tidak akan terganggu,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas majlis undian Liga M3 2021 dan pemeteraian perjanjian penajaan antara Liga Amatur Malaysia (AFL) dengan syarikat minuman tenaga terkenal dari Indonesia, Extra Joss, malam tadi.

Mengulas lanjut, Stuart berkata persediaan pihaknya untuk menghadapi kempen kelayakan itu berjalan lancar, namun hanya beberapa perkara berkaitan logistik dan venue latihan sedang dibincangkan dengan kerjasama baik daripada Persatuan Bola Sepak UAE.

Selain itu, katanya walaupun sudah hampir 18 bulan skuad kendalian Tan Cheng Hoe tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif danhanya mengadakan kem latihan pusat sekali pada Mac lepas, pemain tetap bersemangat untuk mengharungi baki tiga aksi Kumpulan G serta tidak menjadikan Covid-19 alasan gagal mempamerkan aksi yang terbaik pada kempen itu.

“Maklum balas yang saya terima dari jurulatih Tan sangat positif, saya rasa pasukan kebangsaan yang tidak beraksi dan tidak bersama untuk tempoh yang agak lama, memberi satu sentimen dan semangat dalam pasukan yang agak luar biasa kali ini.

“Pemain sendiri meminta untuk berlatih lebih awal dan mahu bersama-sama pasukan lebih lama dan ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Pada saya, kita harus lebih positif dan tidak membenarkan perkara-perkara negatif mengganggu tumpuan kita,” katanya.

Beliau turut mengesahkan bahawa skuad Harimau Malaya akan melengkapkan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech pada Isnin (10 Mei) ini sebagai persediaan ke UAE selepas memperoleh suntikan pertama, bulan lepas.

Mengenai hasrat Korea Utara yang mahu menarik dari daripada kelayakan Kumpulan H di Korea Selatan kerana kebimbangan terhadap penularan Covid-19, Stuart berkata beliau belum menerima keputusan rasmi daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

“Biarlah AFC yang membuat keputusan mengenai kedudukan dalam kumpulan dan slot ke pusingan ketiga nanti. Sekarang ini, kita tidak tahu sama ada keputusan Korea Utara itu akan memberikan impak negatif kepada kita, tetapi pasukan kebangsaan bersedia untuk mencapai keputusan terbaik di UAE,” katanya.

Selepas mengharungi dua aksi pemanas badan menentang Kuwait pada 23 Mei dan Bahrain (28 Mei), Malaysia akan menyambung kempen kelayakan yang tertangguh lebih setahun menentang UAE (3 Jun), diikuti Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun) dalam aksi Kumpulan G.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

FAM telus, tidak berpihak laksanakan hukuman

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sentiasa mengambil pandangan dan mengikut lunas undang-undang dalam menjatuhkan hukuman atau membuat sebarang keputusan penting demi memelihara keharmonian kancah bola sepak tempatan.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam berkata badan induk bola sepak negara itu sentiasa bertindak sebagai ‘orang tengah’ dan segalanya dilakukan secara telus termasuk keputusan melibatkan mutu pengadilan ataupun kelakuan pemain.

Katanya, sesuatu hukuman serta keputusan juga dibuat tanpa tekanan daripada mana-mana pihak termasuk warga maya yang lantang menyuarakan pandangan menerusi media sosial sehingga memberikan persepsi negatif terhadap FAM.

“Kalau kita mengikut tekanan daripada warga maya setiap perlawanan kita perlu ambil tindakan, saya rasa FAM tidak begitu. Segala yang dilaporkan FAM dan tindakan ke atas pengadil atau pemain semua diterangkan dengan jelas, tiada yang disembunyikan.

“Tugas FAM adalah untuk kekal tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak atau dalam apa jua situasi, kita ambil kedudukan tengah untuk memastikan keputusan dibuat dengan betul,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Stuart berkata FAM juga sentiasa mendapatkan pandangan daripada setiap jawatankuasanya yang terlibat selain mekanisme pelaksanaan hukuman mengikut prosedur yang betul.

“Tetapi ada keputusan yang diambil secara dalaman, namun kita masih mengikut undang-undang permainan,” tambah beliau.

Sebagai rekod, tiga pengadil telah dikenakan hukuman sepanjang kempen Liga Malaysia (Liga-M) 2021 dengan dua daripadanya digantung tugas selama dua minggu sementara seorang lagi diarahkan mengikuti program penambahbaikan.

Sementara itu, tiga pemain iaitu pemain Petaling Jaya City FC Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri, Hein Htet Aung (Selangor FC 2) dan Ignacio Insa Bohigues (JDT) telah digantung dua perlawanan atas kesalahan berbeza manakala Jack Raymond Hindle (Kelantan FC) dan Alex Dos Santos (Melaka United) hanya diberi amaran keras.

Musim ini menyaksikan kualiti pengadilan pegawai perlawanan tempatan sekali lagi menjadi perhatian, selain timbul insiden menolak pengadil melibatkan beberapa pemain import dan tempatan, namun Stuart menegaskan FAM sentiasa mencari jalan terbaik bagi membendung sesuatu yang tidak diingini berlaku.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

FAM, MFL mohon 2,500 pemain, pegawai diberi suntikan vaksin Covid-19

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memohon kepada kerajaan untuk memberikan suntikan vaksin Covid-19 kepada 2,500 pemain dan pegawai di peringkat elit, demi kelangsungan saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, inisiatif itu hasil perbincangan bersama Kementerian Sains, Inovasi dan Teknologi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM), dengan sasaran kelompok pemain tempatan dapat diberikan suntikan vaksin dengan kadar segera.

“FAM dan MFL telah berjumpa dengan Menteri MOSTI Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba, berbincang mengenai perlunya vaksin diberikan kepada pemain dan pegawai secepat mungkin. Mungkin selepas kumpulan petugas barisan hadapan dan keutamaan lain diberikan.

“Kita berdoa vaksin kita dapat digunakan supaya dapat melihat bola sepak tempatan bergerak dengan lebih baik dan berkeyakinan, terhadap kelangsungan saingan Liga-M,” katanya dalam sidang video bersama pihak media, hari ini.

Malaysia dijadual menerima bekalan pertama vaksin Covid-19 daripada syarikat farmaseutikal Pfizer-BioNTech esok, dengan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi fasa pertama akan dilaksanakan bermula 26 Februari.

Pada masa sama, Hamidin yang juga Presiden MFL berkata FAM dan MFL akan memastikan semua pasukan Liga-M mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) demi kelancaran perjalanan saingan liga, seterusnya membolehkan penyokong kembali ke stadium.

“Kalau semua berjalan dengan baik mungkin dua atau tiga bulan lagi kita inginkan kemasukan penyokong ke stadium sekurang-kurangnya dengan jumlah 10 peratus,” jelasnya.

Sementara itu, mengulas mengenai baki aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 pada Jun, Hamidin memaklumkan FAM tidak bersedia menjadi tuan rumah bagi saingan yang bakal dijalankan secara karnival itu.

Jelasnya, antara kelima-lima negara dalam saingan kumpulan itu, Emiriah Arab Bersatu (UAE) merupakan negara terbaik, memandangkan hampir kesemua rakyat UAE telah menerima suntikan vaksin Covid-19 selain penguatkuasaan SOP lebih bersistematik di negara tersebut.

“Kita serahkan kepada AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia) untuk tentukan venue terbaik pada Jun nanti, dan kita komited mahu menghabiskan baki tiga perlawanan saingan kelayakan itu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

FAM harap AFC dengar suara majoriti

KUALA LUMPUR, 2 FEB: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bersetuju supaya baki saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 dilangsungkan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun depan.

Timbalan Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata skuad kebangsaan dan dua lagi pasukan iaitu Thailand dan Indonesia telah menyatakan persetujuan supaya ia ditangguhkan untuk dijalankan secara karnival di UAE.

Namun, katanya Vietnam selaku pendahulu Kumpulan G merupakan satu-satunya pasukan yang belum memberikan kata putus.

“Harapan saya supaya AFC dapat bersetuju kerana majoriti pasukan telah menyatakan persetujuan untuk ia ditangguhkan ke bulan Jun, hanya satu (Vietnam) saja belum. Jadi AFC boleh mengambil kira faktor majoriti ini untuk dijadikan panduan dan memandu mereka dalam membuat keputusan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Mengikut perancangan asal, Malaysia dijadual menentang UAE di Dubai pada 25 Mac sebelum melayan kunjungan Vietnam pada 30 Mac, namun timbul isu perubahan jadual kelayakan itu dengan beberapa pasukan nampak bersetuju jika ia dijalankan secara karnival pada Jun.

Menurut Mohd Yusoff, FAM kini hanya menunggu keputusan akhir daripada AFC berhubung perkara berkenaan sebelum boleh merangka perancangan buat pasukan negara termasuk memuktamadkan sesi kem latihan pusat skuad kebangsaan.

Pada masa sama, beliau yang juga pengurus pasukan negara berpendapat UAE lebih berhak diberikan tanggungjawab sebagai tuan rumah sekiranya aksi ditangguh ke Jun memandangkan UAE memiliki baki perlawanan di gelanggang sendiri lebih banyak berbanding Vietnam.

“Sebelum ini, UAE lebih banyak beraksi sebagai pasukan pelawat dan berdasarkan senario terkini, tiga daripada empat baki perlawanan mereka akan bermain sebagai tuan rumah, jadi sebab itu kita pun setuju kalau bulan Jun karnival diadakan di UAE,” tambah beliau.

UAE dijadual berdepan Malaysia, Thailand dan Vietnam di laman sendiri sementara menjadi pasukan pelawat menentang Indonesia dalam melengkapkan keseluruhan baki empat perlawanan Kumpulan G saingan kelayakan itu.

Sementara Vietnam hanya mempunyai satu perlawanan sebagai pasukan tuan rumah menentang Indonesia dalam baki tiga perlawanan.

Selepas lima perlawanan, Malaysia menduduki tempat kedua Kumpulan G dengan kutipan sembilan mata sementara pendahulu Vietnam mengumpul 11 mata manakala Thailand ketiga dengan lapan mata. UAE di kedudukan keempat mengumpul enam mata dengan kurang satu perlawanan.

– BERNAMA