Categories
NASIONAL

NFC: Jingga 13 Lapor SPRM Kes Kondo di Singapura

SHAH ALAM 9 FEB : NGO Jingga 13 hari ini tampil membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Jenayah (SPRM) berhubung pendedahan dua lagi kondominium mewah milik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di negara jiran, Singapura.

Ketua Koordinatornya, Fariz Musa berkata pihaknya juga mencabar Datuk Seri Shahrizat Jalil menafikan segala dakwaan terhadap dirinya termasuk ahli keluarganya.

“Kalau kita lihat, keluarga Shahrizat perlu membayar ansuran bulanan kedua-dua kondominium itu sebanyak RM173,000 sebulan.

“Persoalannya, bagaimana dia (Shahrizat) dan keluarganya mempunyai dana sebegitu besar untuk membayar balik ansuran ini,”katanya.

Mengulas lanjut, Fariz berkata pihaknya mencabar Shahrizat untuk menafikan serta mengistiharkan harta beliau dan keluarganya dalam tempoh tahun 2008 hingga 2011 sebagai menjelaskan bagaimana mereka mampu menanggung bayaran balik ansuran bulan itu.

Semalam, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendedahkan dua buah kondominium mewah yang dikenalpasti sebagai aset milik keluarga Shahrizat.

Menurut Rafizi, kondominium mewah bernilai RM34,562,784 itu terletak berhampiran sebuah restoran mewah, Brawn Steakhouse yang juga milik keluarga Ketua Wanita Umno itu di Marina Bay Suites, Singapura.

Kondominium mewah di tingkat 8 dan 11 itu adalah milik Suami Shahrizat, Datuk Salleh Ismail dan anak mereka, Wan Shahinur Irzan.

Sebelum ini PKR turut mendedahkan isu Pembelian kondominium mewah beralamat 7 Anthony Road, #14-24, Orchard Scotts,Singapore berharga S$4,107,600.

Rafizi berkata ekoran pendedahan terbaru ini, maka jumlah pembelian yang didakwanya dikaitkan kepada pinjaman NFC, mencecah RM62 juta.

Mengulas lanjut pendedahan terbaru ini, Fariz berkata ia adalah bukti jelas bagaimana dana RM250 juta telah digunakan bagi tujuan peribadi untuk mengumpul harta sedangkan tujuan asal dana tersebut adalah untuk pembangunan Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC).

“Jingga 13 mendesak agar siasatan terperinci dan profesional dilakukan oleh SPRM berkait skandal NFC kerana ia melibatkan dana rakyat sejumlah RM250 juta yang diselewengkan oleh keluarga Shahrizat,”jelas Fariz.

Sebelum ini PKR turut mendedahkan isu Pembelian kondominium mewah beralamat 7 Anthony Road, #14-24, Orchard Scotts,Singapore berharga S$4,107,600.

NFC juga didakwa membeli dua bidang tanah di Presint 10, Putrajaya di tapak PT 1886 dan PT 1887 dengan nilai pembelian RM3,363,507.

Pada 11 November tahun lalu, Jingga 13 turut membuat laporan yang sama kepada SPRM berhubung dakwaan penyelewengan dana NFC melibatkan pembelian kondomonium mewah di Bangsar bernilai RM9.8 juta.

Categories
SELANGOR

Jingga 13 Serah Surat Pada Ketua Audit Negara

PUTRAJAYA, 5 JAN: NGO Jingga 13 hari ini menyerahkan surat kepada Ketua Audit Negara, Tan Sri Dato Setia Haji Ambrin Bin Buang berhubung Penyelewengan dan Salahguna kuasa menggunakan wang zakat terhadap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengarah MAIWP Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Encik Shamsuddin Hussain.
Jingga 13 diketuai oleh Ketua Koordinator, Fariz Musa telah hadir ke Jabatan Audit Negara di Presint 2, ditemani oleh 10 orang ahli-ahlinya pada pukul 2.00 petang.

Ketibaan NGO tersebut disambut Pegawai Khas, Jamilah Binti Jais yang menerima surat bagi pihak Ambrin yang sedang bermesyuarat.

Pertemuan selama 15 minit tersebut berlangsung secara baik.

Pada 21 November lalu, Ambrin mengesahkan bahawa kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat pada Februari dan April 2010 meskipun akhirnya digantikan pada hujung tahun 2010.

Namun sekalipun menerima geran kerajaan sebanyak RM700,000 pada 22 Jun lalu, pembayaran semula kepada wang zakat hanya dibuat pada Disember 2010 sebagai proses ‘pelarasan semula’.

Khir bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan Shamsuddin Hussain didakwa melakukan penyelewengan wang zakat yang digunakan bagi pembayaran kos guaman beliau dalam kes tuntutan qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini terdapat kes amil zakat di Johor, Redzuan Mohd Said yang menyalahgunakan RM19,510 dan memulangkannya tetapi dipenjarakan empat tahun dan dihukum tiga kali sebatan tahun ini.

Pada 30 Disember lalu, Jingga 13 hari ini mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua lagi individu Datuk Che Mat Che Ali serta Shamsuddin Hussain memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 48 jam kepada seluruh umat Islam berhubung isu penggunaan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).