Categories
AGENDA NASIONAL

Calon KEADILAN Sungai Rambai hargai sokongan kempen HARAPAN Selangor

JASIN, 13 NOV: Calon Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai menghargai sokongan kempen Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor.

Farzana Hayani Mohd Nasir atau lebih mesra disapa Nana juga berterima kasih atas kesudian Pengerusinya Dato’ Seri Amirudin Shari yang turun padang ke kawasan terbabit malam tadi.

“Saya sangat gembira apabila beliau (Amirudin) turun untuk bertemu saya dan memberikan sokongan kepada kami (jentera parti) di sini.

“Diharap pengundi dapat menilai melalui tekad, kesungguhan dan keikhlasan saya untuk menjaga kebajikan masyarakat,” katanya ditemui pada program santai malam di medan selera Kota Budaya Sungai Rambai di sini.

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) DUN Sungai Rambai Farzana Hayani Mohd Nasir atau Nana

Nana, 21, yang juga calon termuda pilihan raya negeri (PRN) Melaka berkata rata-rata penduduk tempatan memberikan reaksi positif terhadap penyertaannya dalam persaingan besar buat kali pertama.

Jelas Ketua Srikandi KEADILAN Melaka, maklum balas itu diterima sepanjang tempoh lima hari menyantuni penduduk di warung dan surau selepas penamaan calon.

“Alhamdulillah, rasa teruja apabila mereka menganggap saya tidak terlalu muda (untuk bertanding), sebaliknya menganggap mereka memerlukan orang muda,” katanya.

Nana yang kini mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Media (Penyiaran) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) berhasrat menambah baik capaian internet di kawasan itu jika mendapat mandat rakyat.

Gadis itu juga bertekad meningkatkan ekonomi digital rakyat tempatan yang diyakini mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

Nana menjadi pertaruhan HARAPAN untuk merebut kerusi DUN Sungai Rambai pada PRN Melaka 20 November ini.

Selain beliau, DUN itu turut ditandingi Muhammad Jefri Safry dari Bersatu yang mewakili Perikatan Nasional, Nazatul Asyraf Md Dom (Putra) dan Siti Faizah Abdul Azis (Umno-BN).