Categories
AGENDA SUKANKINI

NSW FC benam The Footsouls, juara edisi sulung Liga Super Wanita

SHAH ALAM, 26 JAN: Negeri Sembilan Women’s FC (NSW FC) melakar sejarah tersendiri apabila menjuarai edisi sulung Liga Super Wanita FAS malam ini.

Jaringan tunggal Henrietta Justine pada minit ke-73 sudah cukup bagi skuad berkenaan membenam The Footsouls pada saingan akhir di Stadium Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Pencapaian itu sekali gus melunaskan janji kapten pasukan terbabit Malini Nordin yang mahu memberi aksi terbaik hingga hujung permainan untuk bergelar juara.

Pada aksi separuh akhir 17 Januari lalu, skuad berkenaan membelasah FC Swat 3-1 melalui jaringan Henrietta, Malini dan Noor Hartini.

Liga Super Wanita FAS membuka tirai pada 29 November lalu dengan disertai 10 pasukan.

Kejohanan terbahagi kepada dua kumpulan, empat pasukan teratas layak ke pusingan kalah mati manakala perlawanan akhir berlangsung hujung bulan ini di Stadium MBSJ.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan merasmikan liga terbabit di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada 20 November.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Aksi akhir Liga Super Wanita: The Footsouls, NSW FC berentap rebut gelaran juara

SHAH ALAM, 26 JAN: Dua kapten yang membawa pasukan masing-masing ke perlawanan akhir Liga Super Wanita anjuran Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berharap menjadi juara edisi sulung kejohanan.

Perlawanan akhir itu dijadualkan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada jam 8.30 malam ini.

Kapten NSW FC Malini Nordin

Kapten Negeri Sembilan Women’s (NSW FC) Malini Nordin berkata pasukannya akan memberi aksi terbaik hingga ke hujung permainan untuk bergelar juara.

“Pemain, penyokong, warga Negeri Sembilan dan kami semua akan bersatu di atas nama iaitu NSW FC.

“Harapan kami di pentas final nanti adalah ingin mempersembahkan aksi yang menarik hingga ke wisel penamat serta menjadi juara sulung edisi pertama ini,” katanya seperti dikongsi di Facebook FAS.

Sementara itu, Kapten The Footsouls Gan Lay Pin berkata mereka sudah bekerja keras sejak dari awal dan pastinya mahu pulangan yang berbaloi pada malam ini.

Kapten The Footsouls Gan Pay Lin. Foto FB Persatuan Bola Sepak Selangor

“Kami sudah berusaha keras untuk sampai ke tahap ini dan akan akan bekerja lebih keras untuk memastikannya berbaloi. Harap pasukan yang terbaik akan menang,” katanya.

Aksi akhir kedua-dua pasukan akan berlangsung di MBSJ pada jam 8.30 malam juga boleh disaksikan menerusi Facebook Media Selangor.

Liga Super Wanita FAS membuka tirai pada 29 November lalu dengan disertai 10 pasukan.

Kejohanan terbahagi kepada dua kumpulan dengan empat pasukan teratas layak ke pusingan kalah mati.

Categories
AGENDA SELANGOR SUKANKINI

Pemain dikeluar masuk semula, MBSJ FC hilang kelayakan liga wanita

SHAH ALAM, 16 JAN: Pasukan bola sepak Majlis Bandaraya Subang Jaya FC (MBSJ FC) berputih mata untuk mara ke separuh akhir Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Ini susulan pasukan itu didapati bersalah memasukkan semula pemain yang dikeluarkan ketika menentang First 11 FC pada peringkat suku akhir Selasa lalu.

FAS menerusi Facebook memaklumkan MBSJ didapati bersalah selepas melanggar peraturan pertandingan iaitu Klausa 20: Peraturan Pertukaran Pemain Biasa di peringkat kalah mati.

Menurut persatuan itu, hukuman kekalahan “walkover” 0-3 telah dijatuhkan dan kelayakan ke pusingan separuh akhir dibatalkan.

Kemenangan diberikan kepada First 11 FC.

Selasa lalu, MBSJ FC berjaya ke separuh akhir Liga Super Wanita FAS selepas memenangi aksi suku akhir menewaskan First 11 FC 4-0 di Radia Arena Bukit Jelutong.

Kemenangan itu hasil jaringan Steffi Sargie pada minit ke-21 dan 49, manakala dua gol lagi melalui Farahiyah serta Fatin Shahida masing-masing minit ke-44 dan 72.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Liga Super Wanita: MBSJ FC berpesta gol belasah SA United

SHAH ALAM, 30 NOV: Pasukan bola sepak MBSJ FC menang besar selepas menewaskan SA United FC, 0-6 dalam saingan kumpulan B Liga Super Wanita FAS.

Liga itu yang membuka tirainya semalam di Radia Arena Bukit Jelutong turut menyaksikan Leopard FC, juga dalam kumpulan B menewaskan Rhym Rovers, 4-0.

FC SWAT yang berada dalam saingan kumpulan A terpaksa berkongsi mata 3-3 bersama The Footsouls selepas pasukan itu meledak gol pada minit terakhir perlawanan.

UiTM FC yang juga dalam kumpulan A pula menewaskan First 11 FC dengan jaringan 0-3.

Dalam cabutan undian, FC Swat, UiTM FC, First 11 FC, The Footsouls dan Radia Ladies berada dalam kumpulan A manakala kumpulan B – Leopard FC, MBSJ FC, SA United, Ryhm Rovers dan NSWFC.

Empat pasukan teratas dalam setiap kumpulan layak ke pusingan kalah mati dan perlawanan akhir bakal berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Subang Jaya pada hujung Januari.

Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan merasmikan liga terbabit di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya pada 20 November.

Categories
AGENDA SUKANKINI

UiTM sasar ungguli Kejohanan Liga Wanita FAS

SHAH ALAM, 25 NOV: Pasukan bola sepak wanita Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyasarkan gelaran juara untuk penampilan sulung mereka di Kejohanan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Women’s Super League 2021 yang dijadualkan bermula hujung bulan ini.

Naib Canselor UiTM Profesor Dr Roziah Mohd Janor berkata walaupun baru sahaja ditubuhkan namun pasukan tersebut diyakini mampu memberi saingan kepada sembilan lagi pasukan yang mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.

“Mereka telah pun menjalani latihan dan beberapa perlawanan persahabatan sebagai persediaan untuk kejohanan ini. Saya cukup teruja dengan penubuhan pasukan ini dan berharap mereka berjaya merangkul johan,” katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan pemain dan pegawai pasukan bola sepak wanita UiTM 2021 di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua pemain dibarisi oleh mahasiswi UiTM termasuk dua pemain skuad bola sepak wanita kebangsaan iaitu Nur Aliya Yasmin Md Nurul Alam dan Iv Alleyshiela Jemin.

Menurut beliau untuk tahun hadapan, diharapkan pasukan tersebut mampu melayakkan diri menyertai Liga Bola Sepak Wanita Kebangsaan dan Piala Tun Sharifah Rodziah yang merupakan liga tertinggi di Malaysia.

Kejohanan FAS Women Super League 2021 itu dijadualkan bermula 29 Nov ini hingga 19 Jan tahun depan di Radia Arena Bukit Jelutong.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan zahir takziah kepada waris bekas setiausaha FAS

SHAH ALAM, 6 APRIL: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menzahirkan takziah kepada waris mendiang bekas setiausaha Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang meninggal dunia Ahad lalu.

Menerusi Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj begitu menghargai komitmen dan kesungguhan Dato’ S Anthonysamy mengangkat bola sepak Selangor hingga zaman kegemilangan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari dan Datuk Santokh Singh.

“Sultan Selangor telah mengurniakan bintang kebesaran Darjah Sultan Idris Shah (DSIS) kepada mendiang yang membawa gelaran Dato’ pada 2016 atas sumbangannya.

“Baginda serta Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah yang juga Presiden FAS berharap mendiang akan dikenang sebagai antara tokoh yang berjasa terhadap pembangunan FAS dan bola sepak Selangor,” menurut kenyataan itu hari ini.

Anthony mula melibatkan diri bersama persatuan tersebut sejak awal 1960-an dan menjadi Ahli Majlis pada 1968 sebelum memegang jawatan setiausaha selama 19 tahun dari 1974 hingga 1963.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Dr Johan Kamal dilantik CEO Selangor FC

KUALA LUMPUR, 1 DIS: Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Dr Johan Kamal Hamidon dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif kelab bola Sepak Selangor (Selangor FC) susulan penswastaan pasukan Liga Super negeri berkenaan hari ini.

FAS dalam satu kenyataan memaklumkan Ketua Unit Pertandingan FAS, Muhammad Izrin Nabil pula dilantik sebagai Setiausaha Agung FAS yang baharu selepas proses pemisahan entiti pasukan Selangor daripada Persatuan Bola Sepak kepada Kelab Bola Sepak selesai dijalankan pada hari ini.

“Beliau (Muhammad Izrin) berpengalaman luas dalam menguruskan program pembangunan dan pertandingan liga di bawah FA Selangor, di samping peranan mengangkat liga amatur seperti Liga Juara-Juara Selangor ke satu tahap yang baharu,” jelas kenyataan tersebut.

FAS turut memaklumkan SFC bakal diuruskan oleh sebuah entiti baharu iaitu Red Giants FC Sdn Bhd., dan dimiliki oleh beberapa pemegang saham termasuk Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj selaku pemegang saham utama, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) dan FAS.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan bahawa Tengku Amir Shah kekal sebagai Pengerusi SFC serta Presiden FAS walaupun dua entiti berkenaan diuruskan oleh individu yang berbeza.

Penswastaan skuad Liga Super Selangor sebagai sebuah kelab bola sepak profesional diluluskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) secara rasmi pada 29 September lalu.

-BERNAMA

Sumber Grafik: Facebook Selangor FC
Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

FAS tumpu pembangunan pemain muda, tingkat kemudahan pusat latihan

SHAH ALAM, 1 NOV: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) akan memanfaatkan peruntukan RM20 juta dalam belanjawan negeri tahun depan bagi meningkatkan kemudahan sedia ada dan pembangunan pemain muda.

Setiausaha agungnya berkata pihaknya bersyukur di atas sokongan Kerajaan Negeri dan FAS bersedia melakukan yang terbaik demi kemajuan bola sepak Selangor.

“Kita akan menggunakan dana tersebut untuk meneruskan usaha meningkatkan kualiti jabatan teknikal, memampankan pembangunan elit pemain muda Selangor dan menaik taraf fasiliti di Pusat Latihan FAS,” kata Dr Johan Kamal Hamidon ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan pengumuman Dato’ Menteri Besar ketika pembentangan Belanjawan Selangor 2021 pada Jumaat lalu adalah kepercayaan terhadap transformasi serta perancangan jangka panjang dijalankan di bawah pentadbiran Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah selaku Presiden FAS.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan RM20 juta adalah bertujuan untuk pembangunan bola sepak iaitu RM10 juta daripada Kerajaan Negeri manakala bakinya sumbangan Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Categories
AGENDA SUKANKINI

Piala Malaysia: Selangor pertimbang beraksi di Paroi jika PKPB dilanjut

SHAH ALAM, 20 OKT: Selangor mempertimbangkan untuk beraksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan dalam saingan TM Piala Malaysia jika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilanjutkan.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor Dr Johan Kamal Hamidon berkata pemilihan stadium berkenaan dibuat atas faktor logistik yang berhampiran dengan Lembah Klang.

“Kita akan tulis surat kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan pengurusan stadium berhubung cadangan itu. Logistik antara sebab kita memilih stadium berkenaan,” katanya ketika dihubungi.

MFL dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan pindaan tarikh TM Piala Malaysia dari 25 dan 26 Oktober kepada 6 hingga 8 November selepas PKPB dikuat kuasa di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 27 Oktober.

Perancangan jadual baharu turut mengambil kira perkara berkaitan termasuk tarikh Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia yang melibatkan pasukan Johor Darul Ta’zim bermula 19 November hingga 4 Disember ini.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Red Giants teruskan latihan seperti biasa, ikut SOP MKN

SHAH ALAM, 15 OKT: Selangor meneruskan sesi latihan seperti biasa di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Seksyen 5, di sini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBP).

Setiausaha agungnya berkata sesi latihan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tanpa melibatkan corak latihan secara perlawanan (sparring).

“Seperti dilalui semasa PKPB beberapa bulan lepas, sesi latihan dibenarkan dengan had sepuluh pemain ke bawah dalam satu kumpulan tanpa sentuhan badan,” kata Dr Johan Kamal Hamidon ketika dihubungi.

Beliau turut mengingatkan kesemua pemain supaya tidak mengunjungi mana-mana tempat sesak sepanjang PKPB bagi melindungi mereka daripada risiko jangkitan Covid-19.

“Kita memang selalu berpesan kepada pemain malah sudah mengeluarkan notis beberapa kali supaya elakkan daripada (mengunjungi) tempat-tempat tersebut,” katanya.

Kelmarin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan aktiviti sukan tidak bersentuhan dan program latihan berpusat bagi atlet masih dibenarkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dikenakan PKPB berkuat kuasa semalam.

Menurutnya aktiviti sukan secara individu, e-sukan, sukan yang tidak bersentuhan dan sukan di kawasan terbuka yang tidak melebihi sepuluh orang adalah dibenarkan.

Sementara itu, KBS menerusi kenyataan menjelaskan bahawa aktiviti seperti berjalan, ‘jogging’, berbasikal, senamrobik kendiri dan lain-lain yang dilakukan di kawasan terbuka antara yang dibenarkan kepada orang ramai di kawasan berkaitan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pasukan bola sepak Selangor kini dikenali Selangor FC

SHAH ALAM, 2 OKT: Pasukan bola sepak Selangor kini dikenali sebagai Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) selepas proses penswastaan kelab itu diluluskan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) secara rasmi, Selasa lepas.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Dr Johan Kamal Hamidon bagaimanapun, berkata pasukan berkenaan masih mengekalkan logo keramat mereka yang berbentuk perisai, dengan lambang jata Selangor pada bahagian atas.

Beliau berkata kelainan pada logo Selangor FC berbanding logo asal hanyalah pada perkataan persatuan yang digantikan dengan kelab.

“Keputusan untuk terus menggunakan reka bentuk logo sedia ada bagi Selangor FC adalah kerana logo itu cukup bermakna dan simbolik, selain telah lama sebati dengan pasukan Gergasi Merah.

“Ia juga merupakan lambang keberanian dan kedaulatan yang ada pada pasukan Selangor dan dilihat tidak mudah untuk ditukarkan begitu sahaja. FAS juga akan mengekalkan logo sedia ada,” katanya dalam kenyataan menerusi portal rasmi FAS hari ini.

Johan berkata Selangor akan terus beroperasi dan bertanding sebagai FAS sehingga akhir musim ini memandangkan peraturan dan undang-undang liga tidak membenarkan perpindahan atau pertukaran entiti ketika perlawanan bola sepak sedang berlangsung.

“Segala urusan komunikasi, penjenamaan dan pengurusan di bawah Selangor FC hanya akan bermula secara rasmi pada 1 Disember ini selari dengan permulaan musim bola sepak yang baharu,” katanya.

Mengulas mengenai penswastaan pasukan itu pula, Johan berkata perbezaan peranan yang lebih jelas akan dapat dilihat antara FAS dan Selangor FC.

“FAS akan memberi lebih tumpuan kepada pembangunan akar umbi Selangor manakala Selangor FC pula akan berusaha membangunkan pasukan bola sepak elit dan pengkomersialan bola sepak Selangor di peringkat profesional.

“FAS dan Selangor FC akan terus bekerjasama meskipun kedua-dua entiti mempunyai fokus tugas yang berbeza. Matlamat utama adalah untuk saling membantu bagi meningkatkan industri bola negeri Selangor,” katanya.

Beliau berkata Selangor FC di bawah kendalian syarikat Red Giants FC Sdn Bhd dimiliki oleh beberapa pemegang saham antaranya Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku pemegang saham utama, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Menteri Besar Incorporated (MBI) dan FAS.

“Walau bagaimanapun, struktur pegangan saham ini bukanlah muktamad dan kekal kerana Red Giants FC Sdn Bhd sentiasa terbuka untuk menerima pelabur yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada pemegang saham syarikat itu,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

FAM tidak terlibat bantu FAS dapatkan khidmat Sumareh

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak pernah memberi lampu hijau kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk memulakan rundingan bagi mendapatkan pemain naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh dari Pahang.

Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam bagaimanapun, mengesahkan Setiausaha Agung FAS Dr Johan Kamal Hamidon ada menghubunginya bagi mendapatkan kepastian berhubung status pemain kelahiran Gambia itu yang mengambil keputusan meninggalkan Pahang selepas dikatakan tidak menerima gaji daripada Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP).

“Benar Dr Johan ada menghubungi saya tetapi beliau sekadar bertanyakan status Sumareh dengan Pahang.

“Saya memberi keterangan kepadanya berdasarkan status kes, yang mengikut pemahaman ketika itu, Sumareh sudah membatalkan kontraknya secara sebelah pihak dengan Pahang FA menggunakan klausa tertentu terkandung dalam kontraknya,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Mengulas lanjut, Stuart menegaskan FAM tidak mempunyai kuasa untuk melibatkan diri dalam rundingan dengan Sumareh yang masih mempunyai kontrak dengan PBNP.

Semalam, media tempatan melaporkan bahawa Dr Johan mendakwa FAS telah diberi ‘lampu hijau’ oleh FAM untuk memulakan rundingan bersama Sumareh.

Dr Johan mendedahkan FAS tidak melanggar peraturan apabila cuba mendapatkan khidmat pemain kelahiran Gambia itu.

Baru-baru ini, pemilik kelab Johor Darul Ta’zim, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan kontrak perjanjian yang ditawarkan oleh FAS kepada Sumareh untuk menyertai skuad Gergasi Merah bagi musim depan dengan gaji lumayan.

Sumareh sah melengkapkan perpindahan mengejut ke kelab Liga Thailand, Police Tero FC pada 7 Sept lepas, setelah dilaporkan tidak menjalani sesi latihan bersama skuad Tok Gajah selama sebulan, sejak awal Ogos.

Pemain berkenaan yang mempunyai baki kontrak bersama Pahang sehingga 2022, dilaporkan turut tidak menghadiri beberapa aksi Liga Super melibatkan Pahang sebaik saingan Liga Malaysia bersambung pada 26 Ogos.

-BERNAMA