Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Buka semula pelancongan domestik beri sinar baharu buat penggiat

SUBANG JAYA, 5 OKT: Pembukaan semula sektor pelancongan domestik secara berperingkat dalam fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) memberi sinar baharu buat penggiat industri di Selangor.

EXCO Pelancongan Hee Loy Sian berkata pandemik Covid-19 sejak lebih setahun lalu memberi kesan ketara terhadap industri pelancongan negara amnya dan Selangor khasnya.

“Tidak dapat dinafikan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam beberapa fasa yang kemudiannya diikuti dengan PPN telah menjejaskan operasi dan pendapatan penggiat industri pelancongan negeri.

“Ini terbukti bila penggiat industri menghadapi pembatalan tempahan bilik, penganjuran acara, pakej pelancongan dan perkhidmatan lain. Justeru, peralihan ke fasa tiga PPN mampu memberi nafas baharu kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pemantauan pelaksanaan tatacara operasi piawai (SOP) dan pelancaran Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 di Sunway Lagoon di sini hari ini.

Selangor  ke fasa tiga PPN berkuat kuasa 1 Oktober yang memberi kelonggaran kepada rakyat lengkap vaksin untuk melakukan aktiviti pelancongan dalam negeri melibatkan penginapan di hotel dan inap desa.

Sementara itu, Loy Sian turut menyenaraikan beberapa aktiviti dibenarkan melibatkan premis pelancongan di Selangor antaranya:

1. Hotel dan inap desa
2. Zoo, taman tema, selam, akuarium, taman negara
3. Premis hasil seni budaya dan warisan, muzium perpustakaan, galeri
4. Pusat hiburan keluarga

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Riadah lebih lama hilangkan tekanan, bantu peniaga tambah rezeki

SHAH ALAM, 2 OKT: Kelonggaran beberapa aktiviti termasuk riadah sehingga tengah malam susulan peralihan Selangor ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) melegakan ramai pihak.

Seorang peniaga di Dataran Shah Alam gembira dapat menjana semula pendapatan dengan menjual permainan kanak-kanak selepas terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bila dibenarkan berniaga sehingga 10 malam pun saya bersyukur. Saya kena cari duit untuk tanggung enam anak berusia tiga hingga 13 tahun.

“Sekarang kerajaan benarkan sampai 12 tengah malam, lebih ramai orang datang ke sini terutama hari minggu dan saya boleh berniaga lebih lama,” kata Azura Zubair, 33, ketika ditemui malam tadi.

Azura Zubair,33, berniaga sehingga tengah malam setelah kerajaan mengumumkan Lembah Klang beralih ke Fasa 3 ketika tinjauan Selangorkini di Dataran Shah Alam pada 1 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengunjung Alam Shah Los berpendapat kebenaran aktiviti lebih lama pada waktu malam membolehkan dia membawa anaknya Muhd Nazrin Shah, 12, yang juga pesakit Autisme untuk beriadah.

Kakitangan swasta berusia 51 tahun itu berkata anaknya memerlukan aktiviti sebagai terapi bagi mengelak rasa bosan setelah beberapa bulan terkurung di rumah.

“Ketika PKP ketat saya terpaksa mengajaknya berlari ulang alik dari ruang tamu ke dapur supaya dia tidak bosan. Hari ini bila bawa tengok pancuran air berirama di Laman Budaya memang dia seronok.

“Saya bersyukur sangat dan harap kes akan terus menurun supaya banyak lagi kelonggaran diberikan,” katanya.

Sementara itu, Saiful Muzamir Azmi, 33, mengingatkan orang ramai supaya terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) tambahan selepas kerajaan memberi pelbagai kelonggaran.

“Kita kena sedia hidup dengan Covid-19. Jadi perlu sentiasa pakai pelitup muka, bawa cecair pembasmi ke mana sahaja. Pilih kawasan terbuka dan elak kesesakan,” katanya.

Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa semalam dengan beberapa kelonggaran tambahan untuk individu lengkap dos vaksin.

Kebenaran baharu termasuk majlis rasmi kerajaan dan swasta, pembukaan semula sektor latihan kemahiran dan kehadiran penonton ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Peniaga pantau ketat SOP, hanya lengkap vaksin boleh makan di kedai

SHAH ALAM, 2 OKT: Peniaga di bandar raya ini tetap mengehadkan kebenaran makan di kedai kepada pelanggan lengkap vaksin meski Selangor beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) semalam.

Ini kerana beberapa pemilik restoran dan gerai kurang jelas tatacara operasi piawai (SOP) fasa itu yang dikatakan membenarkan individu belum lengkap suntikan makan dalam premis.

Kekeliruan itu turut diakui Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang kemudian mengekalkan peraturan makan di kedai hanya untuk individu lengkap dua dos bagi semua fasa PPN.

Pemilik Restoran Hatinie di Seksyen 10 Amir Sharifudin Mohd berkata pihaknya tetap memeriksa sijil digital vaksin walaupun difahamkan ada kelonggaran kepada mereka yang belum lengkap vaksin.

Pemilik Restoran Hatinie, Amir Sharifudin Mohd (kanan) melihat sijil digital vaksinasi pelanggan yang lengkap dua dos sebelum dibenarkan memasuki restoran miliknya di Seksyen 10, Shah Alam pada 1 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Ada rakan peniaga di Negeri Sembilan memberitahu ketika dalam fasa tiga mereka diminta hanya membenarkan pelanggan lengkap vaksin makan di kedai.

“Kami hanya benarkan penerima lengkap dua dos vaksin sahaja, kami bimbang kalau tidak saring pihak berkuasa ambil tindakan pula,” katanya ketika ditemui.

Pengurus Restoran Hakim di Seksyen 7 Roslan Hakimsa berkata majoriti pelanggannya memahami prosedur pemeriksaan vaksin sebelum dibenarkan makan di kedai bagi mengawal penularan Covid-19.

“Walaupun sudah ada kelonggaran dalam fasa tiga namun kami tetap ambil langkah berjaga-jaga sehingga kes benar-benar dapat dikawal,” jelasnya.

Bagi peniaga makanan di medan selera Seksyen 2 Roslinda Rasid, beliau masih mengekalkan SOP lama yang mengehadkan hanya penerima vaksin lengkap boleh makan di kedai sebagai langkah keselamatan.

“Selagi semua atau hampir semua penduduk tidak lengkap vaksin maksudnya keadaan belum selamat dan boleh menyebabkan penularan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor masuk fasa tiga mulai 1 Oktober, lebih banyak kelonggaran

SHAH ALAM, 29 SEPT: Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya beralih ke fasa tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa Jumaat ini, maklum perdana menteri.

Peralihan fasa dibuat setelah mengambil kira penilaian risiko semasa oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Peralihan turut melibatkan Melaka dari fasa dua ke tiga manakala Kedah beralih ke fasa dua, juga berkuat kuasa pada 1 Oktober.

“Ia bermakna tiada lagi negeri berada dalam fasa satu di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh keluarga Malaysia, khususnya kerajaan negeri yang bertungkus-lumus menguruskan situasi pandemik di negeri masing-masing, demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan.”

Berikut pecahan negeri mengikut fasa:

  • Fasa dua: Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Johor dan Sabah
  • Fasa tiga: Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Melaka, Pahang Perlis, Terengganu dan Sarawak
  • Fasa empat: Negeri Sembilan dan Labuan

Kelonggaran baharu yang diputuskan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik termasuk:

1. Majlis rasmi kerajaan dan swasta termasuk perasmian dan bengkel dibenarkan (fasa dua dan tiga)

  • kapasiti 50 peratus ruang premis (fasa dua dan tiga)
  • kapasiti 100 peratus (fasa empat)
  • individu belum divaksin perlu menjalani saringan dengan disaksikan penganjur atau pengesahan pengamal perubatan

2. Sektor latihan kemahiran dan pusat latihan industri termasuk kolej vokasional serta TVET dibuka semula di semua fasa berkuat kuasa 15 Oktober 2021

3. Kehadiran penonton/penyokong dibenarkan ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi bagi negeri fasa dua hingga empat

  • perlu lengkap suntikan vaksin
  • memakai pelitup muka sepanjang perlawanan
  • tiada aktiviti makan minum sepanjang di stadium
  • Kanak-kanak tidak dibenarkan masuk
Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Saringan percuma di Dewan Beringin Taman Sri Gombak Ahad ini

SHAH ALAM, 18 JUN: Penduduk DUN Sungai Tua, Gombak  Setia, Taman Templer digalak menjalani saringan Covid-19 secara percuma anjuran Kerajaan Negeri pada Ahad .

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi poster memaklumkan ujian berkenaan diadakan di Dewan Beringin Taman Sri Gombak bermula jam 9 pagi hingga 8 malam.

Orang ramai boleh mendaftar melalui aplikasi SELangkah, tekan butang Sihat dan pilih Pendaftaran Saringan atau layari https://screening.selangkah.my/login.

“Daftar di aplikasi SELangkah, Waze lokasi saringan: https://waze.com/ul/hw2866jz0k,” kata Amirudin di Facebook.

Saringan Komuniti fasa tiga bermula esok dengan memfokus pada kawasan yang merekodkan kes Covid-19 tinggi berdasarkan keputusan saringan fasa dua.

Program sama diteruskan di DUN Kajang  pada 26 Jun, Hulu Klang serta Bukit Antarabangsa (27 Jun).

Individu disyaki positif pada fasa ini akan dibekalkan kit penilaian di rumah sepanjang menjalani tempoh kuarantin.

Categories
AGENDA NASIONAL

Saringan percuma fasa tiga kesan kilang rekod kes wabak tinggi

SHAH ALAM, 17 JUN: Saringan percuma fasa tiga akan menggunakan sistem pencegahan penularan di kawasan titik panas (POIS) bagi mengesan lebih banyak kes Covid-19 dalam kalangan pekerja industri.

Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) berkata sistem itu dapat mengenal pasti kilang yang mempunyai kadar perebakan tinggi sekali gus mengekang penularan kepada masyarakat.

“Saringan Komuniti kali ini akan lebih tertumpu kepada sektor industri selain kawasan yang mencatatkan kes positif tinggi.

“Saya menyeru warga Selangor mengambil peluang ini untuk memastikan diri sendiri dan ahli keluarga terlindung daripada jangkitan wabak,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi Facebook semalam.

Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Negeri diteruskan mulai Sabtu ini ke kawasan mencatat lebih lima peratus jangkitan pada fasa kedua yang berjalan sepanjang 8 Mei hingga 10 Jun lalu.

Lokasi pertama dilaksanakan di Dewan Komuniti MBPJ, Kampung Lindungan menyasarkan penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Taman Medan.

Program sama turut dijalankan untuk DUN Sungai Tua, Gombak Setia, Taman Templer, Kajang, Hulu Klang dan Bukit Antarabangsa.

Individu disyaki positif pada fasa ini akan dibekalkan kit penilaian di rumah sepanjang menjalani tempoh kuarantin.

Orang ramai boleh mendaftar melalui aplikasi SELangkah, tekan butang Sihat dan pilih Pendaftaran Saringan atau layari https://screening.selangkah.my/login.