Categories
AGENDA NASIONAL

86 peratus daripada 8,500 bangunan ditetap miliki sijil perakuan bomba

MELAKA, 29 NOV: Kira-kira 86 peratus daripada 8,500 bangunan di seluruh negara, ditetapkan untuk mempunyai sijil perakuan bomba (FC) meliputi bangunan kerajaan, premis industri, komersial, pusat beli-belah, hotel penginapan dan bangunan pejabat.

Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata semua bangunan tersebut perlu diperiksa dan diuji tahap keselamatan bagi mendapatkan perakuan yang diperbaharui setiap tahun itu selari dengan kehendak Akta Bomba dan Penyelamat 1988.

“Bagi negeri-negeri seperti Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak iaitu di pusat-pusat bandar yang besar, ia mempunyai jumlah bangunan lebih banyak perlu diperiksa untuk mendapatkan perakuan FC itu.

“Bangunan tersebut seharusnya mempunyai risiko kebakaran yang melepasi tahap-tahap tertentu diklasifikasikan di bawah Akta 341 dan ia penting jika berlaku sebarang kecemasan di premis, ia boleh dicegah atau dikawal di peringkat awal selain tidak menyebabkan kerosakan atau kemudaratan yang teruk,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) peringkat negeri Melaka di Kota Laksamana hari ini.

Hamdan berkata sebahagian daripada bangunan terlibat masih dalam proses pemeriksaan disebabkan kekangan sebelum ini yang menghalang pemeriksaan dilakukan secara menyeluruh, ekoran sekatan pergerakan.

“Ada sesetengah pula minta ditunda pemeriksaan bagi menyelenggara dan membaiki bangunan agar dapat memenuhi syarat memiliki FC itu. Justeru, pihak bomba menasihatkan mereka yang belum mendapat sijil perakuan bomba ini agar tampil dan berbincang bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta 341,” katanya.

Pada majlis itu beliau turut menyampaikan skim takaful dan sumbangan berjumlah hampir RM194,000 kepada Noraida Che Nor iaitu balu Allahyarham Mohd Diya Che Jusoh, anggota bomba yang lemas selepas melakukan kerja-kerja menyelamat mangsa banjir di Sungai Putat, Batu Berendam Oktober lepas.

Sumbangan tersebut meliputi Skim Takaful Berkelompok, Koperasi Pekerja Bomba dan Penyelamat Malaysia Berhad, Kesatuan Pekerja Bomba dan Penyelamat Semenanjung Malaysia dan Ibu Pejabat JBPM.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

12 pasukan Liga-M lengkap proses penswastaan

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), mengesahkan sebanyak 12 pasukan Liga Malaysia (Liga-M) berjaya melengkapkan penswastaan kelab, yang turut merangkumi proses pemisahan daripada persatuan bola sepak (FA) ke kelab bola sepak (FC).

12 pasukan itu adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Sarawak United FC, Petaling Jaya City FC, Armed Forces FC, Negeri Sembilan, Kelantan United FC, Melaka, Terengganu FC, Kuching FA, Sabah, Kuala Lumpur dan Perak, menurut kenyataan FAM hari ini.

Selangor, Kelantan dan Felda United FC merupakan tiga pasukan yang sedang memasuki peringkat akhir proses itu, manakala Pahang, Pulau Pinang dan Kedah, masih dalam peringkat pertengahan proses.

Polis Diraja Malaysia (PDRM), Universiti Teknologi Mara (UiTM FC) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM FC) pula berada dalam peringkat awal proses penswastaan, yang akan tamat pada 30 Sept.

“Tahniah atas kesungguhan dan kerja keras yang ditunjukkan oleh pengurusan tertinggi serta para pegawai untuk berjaya menyerahkan semua dokumen diperlukan, dalam melengkapkan proses penswastaan ini,” kata Pengerusi Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM Mohd Firdaus Mohamed.

Mohd Firdaus berkata, surat peringatan terakhir telah pun dihantar kepada pasukan-pasukan yang masih belum melengkapkan proses penswastaan itu.

Beliau berkata, pasukan yang gagal berbuat demikian tidak akan diterima mengambil bahagian dalam saingan Liga Super dan Liga Premier, selain pertandingan di peringkat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) jika layak.

“Ingin ditekankan tarikh akhir yang ditetapkan iaitu 30 September 2020 tidak boleh dianjakkan lagi, dan ia perlu diberi perhatian serta tindakan segera, daripada pengurusan dan pegawai pasukan,” katanya.

-BERNAMA