Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Mida lulus 1,725 projek nilai RM64.8 bilion separuh pertama 2020

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Malaysia mencatatkan pelaburan bernilai RM64.8 bilion dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama untuk enam bulan pertama 2020 walaupun berdepan pelbagai cabaran ekonomi dunia.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) berkata pelaburan ini melibatkan 1,725 projek dan akan mewujudkan 37,110 peluang pekerjaan.

”Daripada jumlah pelaburan diluluskan, pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang sebanyak 69.8 peratus atau RM45.3 bilion, sementara pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak RM19.5 bilion,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ia berkata penyumbang terbesar FDI untuk sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama dalam tempoh tersebut ialah Singapura (RM4.9 bilion), Switzerland (RM2.8 bilion), China (RM2.2 bilion), Amerika Syarikat (RM2.2 bilion) dan Thailand (RM1.8 bilion).

MIDA berkata untuk projek diluluskan mengikut negeri, lima negeri utama iaitu Sabah, Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Johor menyumbang RM47.1 bilion (72.6 peratus) kepada jumlah pelaburan diluluskan untuk Januari hingga Jun 2020.

Sektor perkilangan menarik sebahagian besar pelaburan diluluskan untuk separuh pertama 2020 dengan menyumbang lebih separuh (55.1 peratus) atau RM35.7 bilion, diikuti sektor perkhidmatan dengan pelaburan 44.2 peratus atau RM28.6 bilion, dan sektor utama dengan pelaburan diluluskan berjumlah 0.7 peratus atau RM0.5 bilion, menurutnya.

“Kerajaan, melalui Mida menerajui usaha untuk menarik pelaburan lestari, daripada sumber domestik dan asing, yang akan memperkuatkan lagi ekosistem perniagaan di Malaysia,” menurut Mida.

Selain itu ia berkata dari Januari hingga Jun 2020, sebanyak 1,316 projek dalam sektor perkhidmatan diluluskan dengan pelaburan bernilai RM28.6 bilion.

Pada Januari hingga Jun 2020, sektor utama menarik pelaburan bernilai RM471.0 juta.

Sektor ini merangkumi tiga subsektor utama iaitu perlombongan, pertanian serta perladangan dan komoditi.

Mida berkata sehingga Julai 2020, sejumlah 732 projek dengan cadangan pelaburan RM35.9 bilion sedang dalam perancangan untuk sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

726 projek pelaburan RM36.7 bilion dirancang – Mida

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengumumkan sebanyak 726 projek dengan cadangan pelaburan sejumlah RM36.7 bilion dalam perancangan untuk sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama sehingga Jun 2020.

Walaupun jumlahnya menggalakkan, ia mengingatkan bahawa 2020 akan menjadi tahun yang mencabar kepada semua negara, termasuk Malaysia, katanya dalam kenyataan untuk mengumumkan data pelaburan suku pertama pada tahun ini.

Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan bernilai RM37.4 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama pada suku pertama tahun ini, iaitu RM26.3 bilion atau 70.4 peratus merupakan pelaburan langsung domestik (DDI) manakala baki adalah sumber asing.

Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) mengunjurkan aliran FDI global akan merosot sehingga 40 peratus pada 2020, daripada nilai pada 2019 sebanyak US$1.54 trilion (RM6.6 trilion).

Tahun lepas, Malaysia menarik pelaburan diluluskan sebanyak RM207.9 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama, naik 1.7 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Sektor perkhidmatan menerajui jumlah pelaburan diluluskan pada 2019 sebanyak RM118.1 bilion, diikuti sektor pembuatan (RM82.7 bilion) dan sektor utama (RM7.0 bilion).

Agensi pelaburan itu memberi jaminan bahawa usaha penggalakan pelaburan akan diteruskan berikutan 20 pejabatnya di luar negara dan 12 pejabat serantaunya akan terus menarik pelaburan yang berkualiti dari kawasan liputan mereka walaupun ekonomi merosot berikutan COVID-19.

Mida, yang merupakan agensi utama kerajaan untuk mempromosikan sektor pembuatan dan perkhidmatan, mempunyai pejabat di luar negara meliputi Asia, Eropah, Amerika Syarikat dan Australia.

Memandangkan program promosi tidak dapat dijalankan secara fizikal berikutan Covid-19, Mida memulakan beberapa pendekatan untuk berbincang dengan pelabur yang berpotensi sejak Mac 2020.

“Ini termasuk perbincangan dengan pelabur sedia ada dan baharu dengan kerjasama pengupaya ekosistem pelaburan kami seperti institusi kewangan dan dewan perniagaan,” katanya kepada Bernama melalui e-mel awal bulan ini.

MIDA juga terus mengadakan pertemuan perniagaan dalam talian dengan pelabur sedia ada dan baharu untuk memudahkan projek pelaburan mereka di Malaysia, selaras dengan dasar kerajaan untuk menarik pelaburan dengan nilai tambah tinggi ke negara ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

MIDA: Pelaburan dilulus naik 1.7 peratus kepada RM208 bilion pada 2019

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Malaysia menarik sejumlah RM207.9 bilion bagi pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama pada 2019, peningkatan 1.7 peratus berbanding 2018.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang sebahagian besar daripada jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu 60.4 peratus atau RM125.5 bilion.

Pelaburan langsung asing (FDI) hanya mencapai 39.6 peratus iaitu peningkatan 2.9 peratus kepada RM82.4 bilion, kata MIDA dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya sektor perkhidmatan menerajui jumlah pelaburan diluluskan dengan peningkatan 11.3 peratus berbanding 2018. Sebanyak 4,087 projek diluluskan dengan nilai pelaburan berjumlah RM118.1 bilion tahun lepas.

Ini diikuti sektor perkilangan yang mencatat pelaburan diluluskan sebanyak RM82.7 bilion dan RM7 bilion bagi sektor utama.

Tiga negara menyumbang 66.3 peratus kepada jumlah FDI yang diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama iaitu Amerika Syarikat (RM26.8 bilion), China (RM15.7 bilion) dan Jepun (RM12.1 bilion).

Empat negara menyumbang lebih 60 peratus kepada jumlah pelaburan diluluskan pada 2019 iaitu Selangor (RM47.8 bilion), Pulau Pinang (RM33.7 bilion), Johor (RM24.4 bilion) dan Kuala Lumpur (RM21.6 bilion).

MIDA berkata lima penyumbang pelaburan diluluskan dalam sektor perkhidmatan adalah hartanah (RM40.9 bilion), utiliti (RM32.6 bilion), pertubuhan global (RM11.8 bilion), perdagangan pengedaran (RM11.7 bilion) dan perkhidmatan sokongan (RM5.7 bilion).

Dalam sektor perkilangan, jumlah projek yang diluluskan menokok 37 peratus kepada 988 projek berbanding 721 projek pada 2018.

FDI menyumbang 65.2 peratus (RM53.9 bilion) daripada jumlah keseluruhan pelaburan ydiluluskan dalam sektor itu, manakala selebihnya pelaburan domestik 34.8 peratus (RM28.8 bilion).

Menurut agensi itu, industri berprestasi tinggi pada 2019 terdiri daripada industri elektrik dan elektronik (RM25.7 bilion), kertas, percetakan dan penerbitan (RM10.8 bilion), teknologi pengangkutan (RM8.0 bilion), produk mineral bukan logam (RM6.9 bilion), serta bahan kimia dan produk kimia (RM4.8 bilion).

“Adalah diperhatikan pelaburan dalam tiga subsektor pemangkin iaitu elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan serta kimia dan dua bidang pertumbuhan tinggi iaitu industri aeroangkasa dan alat perubatan, mencatat peningkatan 90.2 peratus kepada RM40.9 bilion pada tahun lepas berbanding RM21.5 bilion pada 2018,” kata MIDA.

China (RM15.3 bilion) dan AS (RM14.2 bilion) merupakan dua negara pelabur terbesar dalam sektor perkilangan di Malaysia dan menyumbang 54.7 peratus daripada jumlah pelaburan asing yang diluluskan dalam sektor ini, katanya.

MIDA berkata Selangor (RM17 bilion) merupakan penerima pelaburan terbesar dalam sektor perkilangan untuk tahun 2019, diikuti Pulau Pinang (RM16.9 bilion), Kedah (RM11.5 bilion) dan Johor (RM11.5 bilion).

Sektor utama mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM7 bilion pada 2019, berbanding RM10.9 bilion pada 2018, dengan subsektor perlombongan menerajui sebahagian besar pelaburan di sektor utama (94.3 peratus) daripada jumlah pelaburan.

Baki pelaburan di sektor utama terdiri daripada subsektor perladangan dan komoditi, dan subsektor pertanian, yang masing-masing mencatatkan pelaburan sebanyak RM291.4 juta dan RM135.1 juta.

-BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Azmin: FDI China masih dialu-alukan

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Malaysia mengalu-alukan pelaburan langsung asing (FDI) dari mana-mana negara, termasuk China, kerana ia memberi manfaat kepada negara melalui modal, teknologi, penciptaan nilai, pekerjaan dan pemindahan kemahiran, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata kerajaan akan terus terbuka untuk menerima sebarang FDI termasuk dari China, namun ia perlu mematuhi dan menghormati dasar yang telah ditetapkan dan mesti mewujudkan nilai serta peluang kepada penduduk tempatan.

“Kami mahu memastikan pelabur-pelabur asing akan menggunakan Malaysia sebagai destinasi akhir mereka untuk melaburkan modal dan pelaburan, dan ini pastinya akan mendorong pertumbuhan ekonomi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Laporan Bersama ‘Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan Asia Tenggara’ oleh CIMB ASEAN Research Institute dan Pusat Hal Ehwal Antarabangsa, Diplomasi dan Strategi (IDEAS) LSE serta Siri Perbincangan Panel Meja Bulat ASEAN di sini, hari ini.

Azmin berkata Malaysia akan mendapat banyak keuntungan daripada BRI yang akan membantu merapatkan jurang infrastruktur dan kesalinghubungan antara Malaysia dan negara-negara ASEAN.

“Saya bersetuju dengan tanggapan dalam laporan bahawa BRI tidak seharusnya menjadi satu kemenangan untuk satu negara, tetapi sebaliknya berjaya untuk semua, sama seperti bagaimana Presiden Xi (Jinping) telah memanggil projek BRI sebagai ‘jalan untuk perdamaian’,” katanya.

Beliau berkata sehingga Ogos 2018, import dari China ke Malaysia mencecah RM116.9 bilion, antara yang tertinggi di kalangan negara-negara perdagangan, manakala eksport ke China berjumlah RM89.3 bilion, juga yang tertinggi di kalangan negara-negara lain.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

MB: FDI China ke Selangor meningkat

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 7 NOV: Pelaburan Langsung Asing (FDI) dari China ke Selangor dijangka terus meningkat pada masa akan datang, kata Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, lawatan kerja ke China bakal dilakukan pada tahun hadapan untuk membawa lebih banyak FDI masuk ke negeri ini.

MB FDI China“Saya nyatakan kepada duta fokus kita sekarang membawa FDI daripada segi industri intensif modal berteknologi tinggi.

“Saya percaya mereka mampu menyediakannya seterusnya menguatkan kerjasama antara Selangor dan China,” katanya kepada media.

Ketika ini, China merupakan negara luar kedua menyumbang FDI terbesar ke Selangor selepas Singapura.

Terdahulu, Mohamed Azmin merasmikan Persidangan Usahawan Malaysia-China (MECC) kali ke-lima di Dewan Jubli Perak, SUK di sini, hari ini.

Majlis itu merupakan anjuran Dewan Perniagaan Malaysia-China dengan Kerajaan Negeri dan Bank Of China (Malaysia) Berhad.

Hadir sama adalah Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China, Datuk Bong Hon Liong, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Of China (Malaysia) Berhad, Dr. Yuan Bin dan Pengerusi MECC kelima, Tan Yew Sing.

Lebih 1,000 peserta mengambil bahagian dalam persidangan yang bertemakan ‘Memajukan Laluan Sutera Maritim Moden, Membina ASEAN Yang Harmoni’ (Advancing Modern Maritime Silk Road, Building Harmoniuos ASEAN) itu.

EZY

Categories
SELANGOR

Selangor catat FDI lebih RM11 bilion hingga Jun

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 5 NOV: Kerajaan Negeri meluluskan 359 projek perkilangan dengan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) RM11.261 bilion, sehingga Jun lalu.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS serta Perdagangan dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Kim, berkata Selangor mencatatkan bilangan kelulusan projek tertinggi berbanding negeri lain iaitu 130 projek, sejak Januari hingga Jun lalu.

teng chang khim a“Namun, Selangor menduduki tempat keempat dalam nilai pelaburan iaitu RM4.22 bilion selepas Johor, Melaka dan Pulau Pinang,” katanya dalam jawapan lisan kepada Sulaiman Razak (BN-Permatang) dan Khaim Abdul Aziz (PAS-Lembah Jaya).

Chang Khim (DAP-Sungai Pinang) berkata, Kerajaan Negeri hanya menyediakan agensi khusus seperti Invest Selangor untuk membantu pelabur tanpa menawarkan sebarang insentif atau galakan berbentuk kewangan kepada pelabur asing juga tempatan.

Katanya, Selangor mempunyai tiga asas kukuh untuk menarik masuk pelaburan walaupun terkesan dengan persepsi masalah ketiadaan air.

“Kita mempunyai tiga lapangan terbang, pelabuhan kedua terbesar di Asia Tenggara selepas Singapura dengan kos yang jauh lebih murah dan kestabilan politik,” katanya menjawab soalan tambahan Gan Pei Nei (KEADILAN-Rawang).

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor Dahului Semua Negeri Dalam Nilai Pelaburan

SHAH ALAM 19 NOV : Selangor mencatatkan prestasi pelaburan tertinggi di Malaysia dengan nilai RM 6.08 bilion bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Jumlah tersebut melibatkan pelaburan domestik sebanyak RM 4.59 bilion dan pelaburan asing (FDI) sebanyak RM 1.49 bilion.

Pelaburan tersebut telah menawarkan 13,197 peluang pekerjaan baru kepada rakyat Selangor yang merangkumi jenis pekerja mahir, separa dan kurang mahir serta golongan profesional.

Jumlah tersebut diberikan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata jumlah pelaburan dianggarkan meningkat sebanyak RM 7.7 juta setakat September lalu.

Katanya, sepanjang tempoh Januari hingga Julai 2012, sebanyak 142 projek pelaburan berjaya masuk ke Selangor.

Abdul Khalid menambah sepanjang tahun 2008 hingga 2011, Selangor menduduki kedudukan pertama dan kedua bersama-sama Pulau Pinang daripada segi jumlah pelaburan masuk ke dalam negeri dengan nilai purata sekitar RM 38 bilion sepanjang empat tahun.

Nilai pelaburan masuk ke negeri Selangor adalah sebanyak RM11.87 bilion (2008), RM6.76 bilion (2009), RM10.64 bilion (2010), dan RM8.74 bilion (2011).

Manakala nilai pelaburan domestik (DDI) sepanjang tempoh 2008 hingga 2011 adalah sebanyak RM2.87 bilion (2008), RM2.75 bilion (2009), RM5.49 bilion (2010) dan RM4.5 bilion (2011).

Bagi pelaburan asing (FDI) pula, sepanjang tahun 2008 hingga 2011 mencatatkan angka pelaburan sebanyak RM9.0 bilion (2008), RM4.01 bilion (2009), RM5.15 bilion (2010), dan RM4.24 bilion (2011).

“Jumlah projek yang telah dan berjaya dilaksanakan di negeri Selangor sepanjang tempoh 4 tahun tersebut adalah sebanyak 302 projek (2008), 278 Projek (2009), 325 projek (2010) dan 263 projek (2011).

“Peluang pekerjaan yang berjaya disediakan hasil pelaburan masuk ke negeri Selangor sepanjang tempoh tersebut adalah sebanyak 30,890 orang (2008), 22,753 orang (2009), 27,865 orang (2010) dan 20,750 orang (2011),” katanya dalam ucapan pembentangan belanjawan 2013 di DUN, hari ini.