Categories
AGENDA NASIONAL

FELCRA agih keuntungan interim RM50.54 juta kepada 67,000 peserta

KUALA LUMPUR, 10 DIS: FELCRA Bhd akan mengagihkan keuntungan interim 2/2019 berjumlah RM50.54 juta kepada 67,000 pesertanya di seluruh negara bermula 15 Disember ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata bagi agihan keuntungan interim 2/2019, FELCRA memperuntukkan 70 peratus daripada jumlah keuntungan hasil ladang bagi tempoh Januari hingga Ogos 2019 berjumlah RM72.20 juta, kepada peserta yang terlibat.

“Baki 30 peratus akan digunakan untuk menampung sebarang kos operasi ladang yang belum diambil kira, sekiranya ada.

“Keuntungan yang diagihkan ini adalah hasil daripada keuntungan bersih ladang-ladang milik peserta sebanyak 641 projek yang dimajukan oleh FELCRA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dari segi perbandingan dengan bayaran agihan interim yang sama bagi tahun 2018, Azmin berkata bayaran interim 2/2019 ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM25.27 juta atau 50 peratus.

“Penambahan ini disebabkan oleh keprihatinan kerajaan yang bersetuju menangguhkan bayaran balik hutang pembangunan ladang supaya dapat dipulangkan kepada peserta, sebagai tambahan bayaran sekali gus bagi meringankan beban kos sara hidup yang dihadapi peserta,” katanya.

Di samping itu, Azmin berkata FELCRA telah melaksanakan transformasi menyeluruh dalam operasi perladangan bagi memastikan purata produktiviti ladang sentiasa berada pada tahap optimum.

“Kesan daripada proses transformasi ini telah menghasilkan pengeluaran buah tandan segar yang berkualiti, yang seterusnya dapat meningkatkan kadar perahan minyak (OER) sawit daripada 18.17 peratus pada 2018 kepada 18.31 peratus pada 2019,” katanya.

Beliau juga berkata, pembangunan sektor pertanian merupakan antara tumpuan kerajaan menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk menjana pertumbuhan baharu dan mencipta nilai tambah kepada ekonomi negara.

“Usaha ini merangkumi pengurusan ladang yang lebih efisien dan efektif supaya produktiviti tanah dapat ditingkatkan bagi meningkatkan pendapatan dan menjamin keuntungan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Felcra-Jabatan Penjara beri bekas banduan peluang kerja

MELAKA, 11 NOV: Kolaborasi antara Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra Berhad) dan Jabatan Penjara Malaysia, menerusi program Latihan Pintar Korporat (CSI) telah memberi peluang kepada bekas banduan mendapatkan pekerjaan dan kembali ke pangkuan masyarakat.

Felcra Berhad menerusi kenyataan memberitahu, sehingga kini lebih 900 banduan telah menerima latihan dalam sektor perladangan di 38 ladang miliknya di seluruh negara, sejak program CSI itu dilaksanakan bermula November 2016.

Katanya, program itu melibatkan Orang Di Parol (ODP) dan Orang Di Selia (ODS) sebagai pekerja selain turut menawarkan peluang pekerjaan, kepada banduan selepas tamat tempoh latihan ditetapkan.

“Menerusi CSI ini, ia dijangka dapat menampung kekurangan sebanyak 4,000 tenaga kerja, kerana kami sememangnya amat memerlukan pekerja tempatan selain mempunyai sekitar 250,000 hektar ladang kelapa sawit dan getah seluruh Malaysia.

“Ini juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan pekerja asing, iaitu kira-kira 85 peratus pekerja ladang adalah mereka yang berasal daripada negara luar,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Felcra Berhad dan Jabatan Penjara Malaysia telah Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) CSI itu dalam sebuah program di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Ayer Keroh, di sini.

Felcra Berhad diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Mohd Nazrul Izam Mansor manakala Jabatan Penjara Malaysia diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Omar dan turut disaksikan Ketua Setiausaha KDN, Tan Sri Alwi Ibrahim dan Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Nageeb Wahab.

Menerusi program latihan itu mereka akan mengikuti latihan bagi tempoh tiga hingga 12 bulan selain turut diberi imbuhan elaun bulanan mengikut kadar gaji minimum di Malaysia.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

FELCRA perlu rasionalisasi atasi kejatuhan harga minyak sawit

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: FELCRA Bhd disaran melakukan rasionalisasi yang progresif untuk mengatasi krisis kejatuhan harga minyak sawit mentah dan mencari potensi baharu berdasarkan prinsip memaksimumkan ekonomi bidangan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, FELCRA perlu segera melakukan anjakan paradigma melalui penjanaan model baharu perniagaan yang berteraskan perladangan pintar.

“Purata harga minyak sawit mentah pada 2018 sebanyak RM2,237 per metrik tan, iaitu merosot 20 peratus berbanding purata harga pada 2017 yang bernilai RM2,800 per metrik tan,” katanya dalam ucaptama pada Majlis Silaturrahmi Bersama Warga FELCRA, hari ini.

Beliau turut menegaskan bayaran agihan keuntungan interim pertama tahun 2019 berjumlah RM27.59 juta kepada 46,922 peserta tidak boleh dijadikan alasan untuk FELCRA dan para peserta berada dalam keadaan selesa.

“Sebaliknya, kita perlu merangka strategi baharu yang lebih proaktif untuk mendepani cabaran semasa khususnya kejatuhan harga komoditi,” katanya.

FELCRA turut disaran untuk mula menggarap teknologi baharu seperti Kecerdasan Buatan, Robotik, automasi, dron dan Analisis Data Raya untuk meningkatkan produktiviti.

Katanya langkah itu akan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing dan menangani impak daripada perubahan iklim dan cuaca melampau.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Felcra umum dividen RM27.59 juta kepada 46,922 peserta

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Felcra Bhd akan mengagihkan dividen keuntungan berjumlah RM27.59 juta kepada 46,922 peserta Felcra di seluruh negara.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bagi agihan keuntungan Interim 1/2019, Felcra memperuntukkan 70 peratus daripada jumlah keuntungan hasil ladang bagi tempoh Januari hingga April 2019 untuk diagihkan kepada peserta yang terlibat.

“Baki 30 peratus akan diagih bersekali dengan bayaran agihan keuntungan akhir pada April 2020 nanti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Felcra akan memastikan bayaran agihan keuntungan Interim 1/2019 kepada peserta dapat dilaksanakan mengikut jadual dan masa yang ditetapkan.

“Felcra bertanggungjawab untuk menguruskan 220,086 hektar bagi 112,454 peserta yang merangkumi kira-kira 1,774 projek di seluruh negara.

“Oleh itu, jumlah keuntungan yang diagihkan ini diperolehi daripada keuntungan bersih ladang-ladang milik peserta yang diurus dan dimajukan oleh Felcra melibatkan 509 buah projek,” katanya.

Azmin juga berkata, pengurusan Felcra telah melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya bagi memastikan purata produktiviti ladang sentiasa berada pada tahap optimum.

“Usaha ini adalah untuk mengimbangi pendapatan yang terjejas akibat penurunan harga komoditi pasaran sedunia,” katanya. – BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan lulus RM34 juta sambung bina rumah kedua generasi Felcra

PASIR SALAK, 22 JUL: Kerajaan meluluskan peruntukan berjumlah RM34 juta bagi meneruskan pembinaan rumah generasi kedua Felcra di seluruh negara, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, terdapat 675 unit rumah generasi kedua Felcra di lima lokasi seluruh negara antaranya di Pekan serta Bera Pahang, serta Sukau di Kinabatangan, Sabah tertangguh pembinaannya dan memerlukan RM73 juta untuk diteruskan.

“Perkara ini telah diangkat, dibincang (di Kabinet) dan untuk peringkat awal kerajaan setuju meluluskan RM34 juta bagi meneruskan projek ini.

“Ini termasuk 140 unit di Pekan, Pahang…walaupun di Pekan, saya luluskan juga, 123 unit di Sukau serta (tanpa menyatakan unit) di Bera, Pahang,” kata Azmin semasa berucap pada majlis Silaturrahmi Bersama warga Felcra Seberang Perak di sini, hari ini.

(Kawasan Parlimen Pekan diwakili bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak).

Selain itu, Mohamed Azmin memberi jaminan untuk membawa isu tunggakan pembayaran kepada Koperasi Peserta Felcra berjumlah RM21 juta kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta Kementerian Kewangan sambil berharap ia dapat diselesaikan segera.

Selain itu, Mohamed Azmin meminta agar pihak pengurusan Felcra memberi keutamaan kepada Koperasi Peserta Felcra sekiranya terdapat projek seperti membangunkan kawasan perladangan agar dapat menjana pendapatan koperasi.

“Ini selari dengan shares prosperity (kemakmuran saham). Jika beri keutamaan kepada mereka maka mereka akan ada pengalaman dan kebolehan serta boleh membayar dividen kepada peserta,” katanya.

Beliau menarik perhatian apabila mencadangkan pengurusan Felcra supaya tidak menggunakan keseluruhan kawasan tanah yang ada untuk menanam getah dalam projek tanaman semula.

Sebaliknya, beliau berkata sebahagian kawasan perlu diusahakan dengan tanaman kontan yang mampu memberikan pulangan cepat seperti nanas yang bukan sahaja terjamin, malah mempunyai permintaan tinggi. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Zizie Izette didakawa bersubahat dengan Bung Moktar

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Isteri kepada Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Datin Seri Zizie Izette A. Samad, 41, yang memakai baju serba hitam, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Saya minta bicara,” kata pelakon itu yang pernah membintangi drama bersiri ‘Hero Seorang Cinderella’ dalam nada yang tenang sambil menggelengkan kepala.

Bagi pertuduhan pertama, Zizie Izette didakwa bersubahat dengan Moktar Radin, 60, yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA Berhad, dengan memperoleh suapan wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, 38 tahun.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi suaminya mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk FELCRA Berhad membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad, di mana kesalahan itu dilakukan hasil daripada persubahatan tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5.00 petang, pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, wanita itu didakwa bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan serupa.

Zizie Izette juga dituduh bersubahat dengan Bung Moktar dengan memperoleh suapan wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama tertuduh bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.18 tengah hari, pada 19 Jun 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1) (c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Umar Saifuddin Jaafar menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam, Datuk K.Kumaraendran, yang mewakili pelakon itu tidak membantah jumlah jaminan berkenaan.

Sementara itu, Umar Saifuddin memaklumkan kepada mahkamah bahawa suami kepada tertuduh telah didakwa pagi ini di Mahkamah Sesyen berasingan.

“Oleh itu, pihak pendakwaan memohon supaya kes dihadapi tertuduh dipindahkan ke mahkamah sama (Mahkamah Sesyen 8) dengan kes suaminya agar dapat dibicarakan bersama,” katanya yang turut memaklumkan tiada sebarang bantahan daripada pihak peguam.

Kumarendran kemudian mengesahkan perkara itu.

Mahkamah kemudian membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen 8 dan menetapkan 10 Jun untuk sebutan semula kes.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bung Moktar didakwa peroleh suapan RM2.8 juta pelaburan FELCRA

KUALA LUMPUR, 3 MEI: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin, hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini atas tiga pertuduhan memperoleh suapan berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk Felcra Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bung Moktar, 60, atau nama sebenarnya Moktar Radin yang memakai sut berwarna hitam dan kelihatan tenang, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rozina Ayob.

“Minta dibicarakan Yang Arif,” kata Bung Moktar selepas Rozina bertanya sama ada dia mengaku bersalah ataupun tidak atas pertuduhan berkenaan.

Bagi pertuduhan pertama, Bung Moktar, yang ketika itu merupakan Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai RM2.2 juta daripada ejen pelaburan Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, 38, melalui isteri tertuduh iaitu Datin Seri Zizie Izette A. Samad, 41.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II untuk Felcra membuat pelaburan sebanyak RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, No. 262-265, Jalan Bandar 12, Taman Melawati di sini, antara 12.30 tengah hari dan 5 petang, pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung Moktar didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM262,500 daripada individu sama, Madhi melalui akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan serupa.

Bung Moktar juga dituduh secara rasuah memperoleh untuk dirinya suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual, Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund (PITSEQ) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie Izette bagi tujuan yang sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari, pada 19 Jun 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Umar Saifuddin Jaafar menawarkan jaminan RM100,000 dan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Datuk K. Kumaraendran tidak membantah jumlah jaminan berkenaan.

Rozina membenarkan Bung Moktar diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

“Perjalanan ke luar negara juga tidak dibenarkan,” kata hakim itu yang kemudiannya menetapkan 10 Jun untuk sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen.

Sementara itu, Umar Saifuddin turut memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan membuat permohonan secara formal supaya kes Bung Moktar akan dibicarakan bersama dengan kes isterinya, Zizie Izette.

“Isteri Bung Moktar juga dituduh hari ini di Mahkamah Sesyen berasingan. Pihak pendakwaan akan mengemukakan permohonan supaya kes itu dibicarakan bersama,” katanya.

Penjamin yang merupakan rakan karib kepada Bung Moktar akan membayar wang jaminan itu.

Prosiding yang bermula pada 8.50 pagi turut dihadiri bekas Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Felcra yakin selesai isu pinjaman sara hidup dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR, 2 APR: Felcra yakin isu penangguhan pinjaman bantuan sara hidup peserta dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, penangguhan sementara pinjaman sara hidup yang bermula Ogos tahun lepas, dilakukan berikutan kedudukan kewangan semasa Felcra yang lemah ekoran kejatuhan harga komoditi dan cabaran legasi yang diwarisi daripada pengurusan terdahulu.

“Memandangkan Felcra kini berhadapan dengan keadaan kewangan yang sangat serius, maka Felcra sentiasa berusaha keras untuk mendapatkan pinjaman daripada kerajaan dan atau institusi-institusi kewangan bagi membiayai pinjaman sara hidup,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang bertanyakan mengapa bantuan sara hidup peserta Felcra, yang majoritinya (95 peratus) berusia 65 tahun dan ke atas, dipotong dan tidak dibantu.

Mohd Radzi menjelaskan bahawa penangguhan sementara ini hanyalah bagi pinjaman yang menggunakan dana dalaman Felcra, manakala bayaran sara hidup lain yang menggunakan tabungan peserta seperti Bantuan Tanam Semula Risda, dibayar terus kepada peserta.

Beliau yakin enam arah tuju strategik Felcra (melabur semula, merekayasa semula, mencergaskan semula, membangunkan semula, mengkaji semula dan menstruktur semula yang diusahakan ahli lembaga pengarah dan pengurusan baharu, dapat mengembalikan Felcra kepada tujuan asal penubuhannya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PAKATAN-Jerlun) mengenai sama ada projek pembangunan Jalan Semarak menjadi penyebab kepada masalah kewangan Felcra, Mohd Radzi berkata pelaburan dalam projek berkenaan telah menyebabkan syarikat itu menyimpang daripada matlamat asal penubuhannya.

“Itu antara menjadi salah satu punca kekangan kewangan Felcra kerana ia (dana) perlu dialihkan kepada projek tersebut,” katanya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiada masalah ditengking, kakitangan bela COO Felcra

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 6 MAC: Kakitangan Felcra Berhad (Felcra) mempertahankan tindakan Ketua Pegawai Operasinya (COO), berkenaan satu klip video yang tular di laman sosial, semalam yang memaparkan beliau menengking seorang wanita.

Kejadian itu berlaku dalam sesi latihan di sebuah ladang, sempena Siri Kembara di Felcra Berhad Projek Kampung Serambi, Pekan, Pahang, pada 2 Mac lalu.

Melalui klip video berdurasi 1 minit 21 saat, wanita yang ditengking itu memberi penjelasan bahawa tengkingan adalah perkara biasa bagi pekerja ladang.

“Sebenarnya semasa lawatan, dia jumpa buah muda lebih daripada buah yang masak. Itu menjadi salah satu isu dalam keadaan sekarang, apabila buah muda lebih banyak daripada masak, itu merupakan kerugian.

“Itu sahaja sebenarnya. Bagi orang ladang, cara pengajaran itulah yang sepatutnya, bagi orang luar yang tidak faham akan cakap macam-macam kerana mereka tiada di situ.

“Bagi kami, sebagai perempuan yang bekerja ladang, tidak mempunyai masalah pun kena tengking,” katanya.

Pada masa sama, melalui Facebook rasmi Felcra, terdapat penjelasan daripada tiga kakitangan Felcra menjelaskan bahawa mereka tidak terasa hati dengan tindakan COO itu.

“Kami amat bangga apabila COO turun padang untuk bersama dengan kakitangan Felcra memberi ilmu dan jauh sekali untuk terasa hati kerana beliau mendidik kami untuk lebih berjaya, pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, dalam video sama, salah seorang kakitangan mengakui ia adalah pembelajaran biasa dalam ladang.

“Memang nampak agak tegas tetapi itu hanya untuk mendidik pekerja supaya lebih efisien bekerja dalam ladang,” katanya.

Pada masa sama, salah seorang wakil penguatkuasaan Felcra mengucapkan terima kasih kepada COO kerana sudi turun padang.

“Bagi saya video itu tidak sepatutnya tular kerana banyak lagi sisi kebaikan COO kami buat tidak diuar-uarkan. Bagaimanapun, saya ucapkan terima kasih atas tunjuk ajar beliau kepada kami semua,” katanya.

Pengakuan itu sekali gus mampu menepis kenyataan salah seorang pengguna Twitter @ladydarshankaur yang mengutuk keras tindakan COO terbabit.

“Akhlak seorang pemimpin yang baru empat bulan dilantik menjadi Chief Operating Officer/Executive Officer Felcra Berhad. Inilah kualiti pemimpin lantikan Kerajaan Pakatan Harapan. Nilaikan sendiri,” tulisnya di Twitter.

https://twitter.com/i/status/1102952212886478848

Categories
NASIONAL

Jual Menara Felcra selamat aliran tunai

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Penjualan Menara Felcra bukan bertujuan meraih simpati, sebaliknya untuk menyelamatkan aliran tunai syarikat yang kini terbeban dengan masalah kewangan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, strategi itu dijangka mampu memberi keuntungan kepada Felcra kerana nilai hartanah kawasan terbabit berjumlah RM115 juta.

“Ini adalah strategi kerajaan untuk selamatkan Felda, Felcra dan beberapa agensi lain. Kita tidak jual semua aset Felcra, namun menara di Jalan Semarak sahaja dijual kerana mengalami kelewatan.

“Projek ini tetap diteruskan walaupun mengalami kelewatan selama 96 hari sehingga 30 September lalu, namun usaha sedang diteruskan pengurusan Felcra yang baru demi menyelamatkan aliran tunai,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said dan Ahli Parlimen Kuala Krau Pendang, Awang Hashim berkenaan rasional serta kesan jangka panjang penjualan Menara Felcra yang sudah 50 peratus siap pembinaannya.

Pada masa sama, katanya, penjualan menara terbabit tidak akan menjejaskan 96,137 pesertanya daripada seluruh negeri, termasuk Sabah dan Sarawak.

Terdahulu, Mohamed Azmin berkata, projek Menara Felra di Jalan Semarak itu adalah projek hartanah bercampur milik Felcra Berhad seluas 4.02 ekar.

Katanya, projek itu terdiri daripada 35 tingkat menara pejabat, blok pangsapuri servis 43 tingkat dengan 480 unit dan enam tingkat pusat perdagangan (termasuk dua tingkat pusat konvensyen) dengan anggaran nilai kasar pembangunan sekurang-kurangnya RM1.1 billion.

Terdahulu, sebuah media melaporkan Felcra mengumumkan mahu menjual menaranya, di Jalan Semarak yang sedang dalam pembinaan bagi mengelak implikasi terhadap kewangan syarikat itu.

Categories
NASIONAL

FELDA sambut baik hadiah hari raya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 6 JUN: Persatuan Anak Peneroka Felda (ANAK), menyambut baik inisiatif Kerajaan Pakatan Harapan Putrajaya memberikan bantuan insentif kewangan kepada 112,635 warga peneroka felda.

Presidennya, Mazlan Aliman menyifatkan ia sebagai langkah terbaik Kerajaan dalam membantu meringankan beban golongan itu, ketika perayaan Aidilfitri semakin hampir.

“Air mata ini bercucuran apabila dimaklumkan, mesyuarat kabinet sebentar tadi mengumumkan pemberian duit raya kepada seluruh 112,635 orang peneroka Felda dengan peruntukan RM50 juta.

“Pengumuman (Perdana Menteri), Tun Dr Mahathir ini, membuktikan keprihatinan Kerajaan PH meskipun menghadapi kekangan kewangan.

“Jumlah RM450 setiap peneroka adalah ‘hadiah’ hari raya untuk seluruh peneroka Felda.

“Ia pasti melegakan para peneroka,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta disalurkan bagi tujuan pemberian insentif Syawal kepada peneroka seluruh negara.

Portal Malaysia Dateline melaporkan, setiap peneroka bakal menerima bantuan kewangan sebanyak RM450.00 bagi setiap keluarga.

Untuk rekod, ini merupakan pengumuman bantuan kali pertama dibuat Kerajaan baru selepas pentadbiran Putrajaya bertukar tampuk kepimpinan.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Bantuan insentif raya untuk peneroka Felda dan Felcra

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 6 JUN: Kerajaan memperuntukkan RM50 juta sebagai bayaran insentif raya kepada peneroka Felda menjelang aidil fitri kali ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Felcra juga memperuntukkan RM44 juta bagi membiayai peruntukan bayaran insentif raya kepada peneroka tanah Felcra.

“Kerajaan memperuntukan untuk felda dan Felcra mengeluarkan peruntukkannya untuk sumbangan raya ini,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Putrajaya di sini, hari ini.

Selain itu, Mahathir turut menyentuh isu peruntukan RM500,000 yang akan disalurkan kepada kepada Anggota Parlimen dan RM200,000 lagi untuk Pusat Khidmat Anggota Parlimen akan disalur sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Manakala skim kawalan harga musim perayaan sempena Aidilfitri pula melibatkan 22 jenis barang kawalan.

Katanya, kerajaan juga akan menyentuh bayaran Bantuan Sara Hidup tidak lama lagi