Categories
NASIONAL

Mat Sabu : Isu FGVH Melibatkan Kepentingan Orang Melayu

KUALA LUMPUR 15 JULAI : Warga Felda amat mengharapkan satu tindakan segera daripada Yang diPertuan Agong berhubung penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) ke Bursa Saham kerana tindakan itu didakwa mengancam aset dan harta milik Melayu, tegas Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Mohamad Sabu berkata Yang di-Pertuan Agong boleh campurtangan dalam isu berkenaan berdasarkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan demi “mempertahankan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera?.

“Kita harap Yang Dipertuan Agong dapat membuat sesuatu untuk menyelamatkan tanah peneroka dalam jangka masa panjang kerana kita amat bimbang aset peneroka tergadai.

“Sekarang hak rakyat mahu disenaraikan dalam senarai bursa saham. Ini satu penyenaraian yang berbahaya dan kepada peneroka,” tegas beliau yang juga dikenali Mat Sabu, di dalam ucapannya kepada peserta ?himpunan oren selamatkan Felda? di depan Istana Negera semalam.

“Oleh itu yang Yang Dipertuan Agong berhak melindungi hak Melayu dan Bumiputera yang digadai oleh pemimpin Melayu iaitu Umno sekarang ini.

“Peneroka akan merasakan kerugian selepas setahun ianya disenaraikan. Peneroka akan merasai kekuranga-kekurangan bantuan selepas setahun ia disenaraikan,” kata Mohammad.

Menurut Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin, suara warga Felda akan hanya didengari dengan kebangkitan suara anak Felda untuk menumbangkan Umno-BN di dalam Pilihanraya Umum ke-13.

“Kini kawasan Felda bukan kawasan selamat untuk Barisan Nasional, kerana kini warga Felda sudah bangkit,” kata Badrul Hisham.

Tambah Badrul, kini warga Felda sudah berubah dengan berani menyatakan bantahan terhadap penyenaraian FGVH seperti yang ditunjukkan pada himpunan itu.

Manakala, Ketua penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam ucapannya mendesak Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad meletak jawatan kerana rakyat “hilang kepercayaan” kepadanya.

Antara NGO yang terlibat dalam himpunan semalam adalah Teras Pengupayaan Melayu (Teras),  Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badan Bertindak Peneroka Felda Malaysia (Bangkit), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis).

Turut sama juga Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Seniman Paksi Rakyat (Paksi), Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Majlis Perunding Islam Malaysia (Mapim), Badan Bertindak Peserta Felcra Malaysia (Bapa) dan Sekretariat Kebajikan Bekas Tentera Malaysia (Kerabat).

Categories
NASIONAL

Suruhanjaya Sekuriti, Najib Razak Bakal Disaman ANAK

KUALA LUMPUR,14 JULAI : Persatuan Anak-Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), akan mengambil tindakan undang-undang terhadap agensi dan pemimpin Kerajaan Pusat berhubung penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGVH).

Setakat ini, usaha sedang dilakukan untuk mengemukan saman terhadap Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, kata Pengerusi Anak Mazlan Aliman.

“Peguam-peguam kita berada di peringkat akhir untuk menyaman kerana membenarkan penyenaraian Felda Global Ventures Berhad,” katanya.

Menurut beliau, saman RM 80 juta terhadap Najib adalah kerana pengerusi Umno-BN itu pernah mengutuk peneroka Felda yang menentang penyenaraian FGVH.

Di dalam satu ucapan beliau semasa mengumumkan dividen dari FGVH, Najib mengatakan ‘haram jadah’ apabila merujuk kepada penkritik FGVH.

“Selagi Barisan Nasional tidak membatalkan penyenaraian Felda Global Ventures Berhad,rakyat akan melawan habis-habisan,” kata Mazlan.

Beliau berkata demikian semasa Himpunan Oren Selamatkan Felda di Istana Negara di Jalan Duta hari ini.

Bahkan, kata Mazlan, pencarum KWSP, Lembaga Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera turut akan mengambil tindakan yang sama selepas simpanan mereka dakwanya, dilaburkan di FGVH.

Tambah Mazlan, beliau mengucapkan setinggi penghargaan terhadap pihak Yang Dipertuan Agong kerana sudi menerima memorandum daripada peserta himpunan itu.

“Kita ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Istana, Polis dan Unit Amal yang terlibat secara langsung dalam pehimpunan bersejarah ini,” katanya sejurus keluar daripada menyerahkan memorandum itu.

Turut serta di dalam himpunan itu pemimpin Pas termasuk Timbalan Presiden Mohamad Sabu, Naib Presiden Salahuddin Ayob dan Ketua Penerangan Tuan Ibrahim Tuan Man.

 

 

Categories
NASIONAL

PKR: Najib, Isa Samad Berbohong Isu Pajak Tanah Felda

PETALING JAYA, 6 JUN : PKR mendakwa Kerajaan Pusat telah berbohong kepada peneroka FELDA apabila menyatakan tanah-tanah yang melibatkan mereka tidak dipajakkan dalam proses penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH).

Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata prospektus penyenaraian FGV dengan jelas menunjukkan bahawa pegangan peneroka dan kakitangan Felda di dalam syarikat tersebut hanyalah 5.5 peratus sedangkan sejumlah besar saham diperuntukkan kepada syarikat asing dan individu bukan Bumiputera.

“Sehingga kini, PKR tidak mendapat apa-apa jawapan daripada (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak ataupun (Pengerusi FELDA) Tan Sri Isa Samad.

“PKR mendedahkan hari ini senarai setiap Tanah Rizab Melayu yang telah dipajakkan selama 99 tahun kepada FGVH. Bermakna hakmilik dan hasil ekonomi dari tanah-tanah ini dipindahkan kepada sebuah syarikat yang berstatus Bumiputera yang dipersoalkan,” jelas Rafizi dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Tambah Rafizi,kumpulan tanah-tanah yang telah dipajakkan ke pasaran saham meliputi tanah sedia ada dengan keluasan 343,484.46 hektar tanah Felda Plantation Sdn Bhb.

Ia juga meliputi tanah sedia ada tambahan di mana tanah-tanah yang yang tidak bergeran dan juga tanah yang akan datang di mana akan diperolehi oleh Felda di masa hadapan.

“Pendedahan perjanjian ini mengesahkan dakwaan PKR selama ini bahawa semua tanah-tanah yang tidak bergeran di dalam penempatan Felda di seluruh negara telahpun dipajakkan ke sebuah syarikat yang dimiliki secara majoriti oleh pelabur swasta,sedangkan tanah-tanah ini menjadi nadi aktiviti ekonomi warga Felda,”

“Apakah jaminan Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Isa Samad bahawa tanah-tanah ini tidak dijual satu masa kelak, atau kegunaanya diubah dan tidak lagi mengutamakan kebajikan warga Felda,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Kerajaan Patut Beri Tanah Felda Sabah Kepada Penduduk

SHAH ALAM, 9 APRIL : PKR mendesak supaya tanah sebanyak 306,000 ekar di bawah FELDA Sabah diberikan sepenuhnya kepada penduduk negeri itu seperti di bawah perjanjian Felda 1979.

PKR Cabang Kota Kinabalu menuntut agar tanah yang bernilai enam billion itu tidak diambil di dalam usaha penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) di Bursa Saham, Kuala Lumpur.

Pengerusinya Christina Liew berkata lebih kurang 10 peratus daripada 306,000 ekar tanah tersebut telah dibangunkan.

Selain itu, pentadbiran Felda Sabah juga mencurigakan kerana fakta tentang tanah yang telah dibangunkan dan berapa ramai penduduk yang terpilih di dalam skim itu tidak didedahkan sehingga kini, katanya.

“Sepatutnya ia memberikan hasil kepada penduduk Sabah sebagai usaha membasmi kemiskinan tegar di sini,” katanya di dalam satu kenyataan media.

Christina berkata, jika tanah itu dibahagikan mengikut formula 10 ekar satu keluarga, 30,600 keluarga miskin akan mendapat faedah daripadanya.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yassin mengumumkan hanya tanah negeri dibawah Felda akan dipajakan untuk penyenaraian FGVH.

Penyenaraian FGVH telah mengundang kemarahan sebilangan besar peneroka dan waris mereka yang risau FGVH akan mengalami kerugian di dalam usaha tersebut.