Categories
AGENDA NASIONAL

Felda ada potensi kembali jadi syarikat perladangan terulung dunia

KUALA LUMPUR, 7 JULAI: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan tersenarai menjadi antara syarikat global paling berjaya seperti dalam Fortune Global 500 pada masa hadapan.

Beliau berkata, dengan kelebihan simpanan tanah seluas 832,000 hektar atau lebih 2 juta ekar, Felda mempunyai keupayaan dan potensi besar untuk kembali menjadi syarikat perladangan terulung dunia.

“Saya sedar ini bukanlah sesuatu yang mudah, namun dengan strategi serampang tiga mata (Restart, Revitalise dan Reform) dan dengan komitmen pihak pengurusan baharu serta sokongan kerajaan, ia tidak mustahil untuk dicapai,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam ucapannya yang dirakam terlebih dahulu sempena Pelancaran Hari Peneroka Felda 2021 secara maya hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pelan pulih aliran tunai, hutang Felda dibangkit Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 14 DIS: Pelan perancangan kerajaan bagi memulihkan kembali aliran tunai dan hutang korporat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), merupakan antara isu yang akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, perkara itu terkandung semasa sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang akan diajukan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) kepada Perdana Menteri.

Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) pula akan meminta perdana menteri menyatakan sama ada kerajaan akan menerbitkan laporan akhir Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) kepada ahli parlimen dan secara awam.

Khoo turut bertanyakan tindakan kerajaan untuk mereformasikan dan menambah baik sistem dan proses pilihan raya di Malaysia, termasuk garis masa.

Dalam sesi soal jawab lisan itu juga, Sabri Azit (PAS-Jerai) meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan statistik penderaan kanak-kanak yang berlaku sehingga akhir tahun ini dan langkah diambil bagi mengelakkan berlakunya isu tersebut.

Sementara itu, sesi perbahasan dan penggulungan bagi Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat Jawatankuasa diteruskan dengan tiga lagi kementerian dijangka menggulung perbahasan, hari ini.

Kementerian berkenaan ialah Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

Minggu terakhir sidang Dewan Rakyat ini juga menyaksikan beberapa ahli parlimen kerajaan dan pembangkang dikenakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) selepas menjadi kontak rapat individu positif Covid-19.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun mengesahkan perkara itu kepada Bernama semalam, namun tidak dapat memperincikan jumlah ahli parlimen yang terlibat.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kekangan kewangan FELDA jejaskan dana khas pelajar cemerlang

KUALA LUMPUR, 28 NOV: Dana Khas Pelajar Cemerlang ke Universiti Luar Negara FELDA tidak dapat diteruskan ekoran kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan ketika ini.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata aliran tunai FELDA berada dalam keadaan tidak stabil ketika kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) mengambil alih tampuk pemerintahan negara daripada Barisan Nasional pada 8 Mei 2018.

“Berbilion tunai FELDA dalam akaun tetapi pada waktu itu hanya ada RM35 juta sahaja. Itu pun belum ditolak liabiliti semasa yang mungkin bernilai negatif akhirnya,” katanya ketika sesi soal jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mohd Radzi berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) berhubung status dana berkenaan yang ditamatkan.

Beliau berkata langkah itu berdasarkan situasi kewangan FELDA, selain memberi tumpuan kepada usaha memulihkan kegemilangan badan itu seperti awal penubuhannya.

“Jadi pada waktu itu kita (kerajaan) buat keputusan supaya dana ini tidak diteruskan atas sebab kekangan kewangan,” katanya.

Dana yang diwujudkan pada 2006 itu menyediakan biasiswa antara RM500,000 hingga RM800,000 setiap seorang penuntut dalam kalangan anak peneroka Felda sepanjang tempoh empat tahun pengajian di luar negara.

Menjawab soalan asal Natrah Ismail (PAKATAN-Sekijang) berhubung langkah yang diambil kerajaan untuk terus membantu warga FELDA mengurangkan beban hidup mereka, Mohd Radzi berkata beberapa inisiatif sudah dilaksanakan.

“Peruntukan sebanyak RM250 juta untuk Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) bagi menyiapkan sebanyak 4,794 unit rumah yang tahap kemajuannya mencapai 70 peratus dan ke atas.

“Setakat ini, 1,698 unit sudah disiapkan sepenuhnya dan baki selebihnya akan disiapkan secara berperingkat selewat-lewatnya pada akhir tahun depan,” katanya.

Mohd Radzi berkata penyiapan projek terbengkalai itu akan memberikan manfaat langsung kepada generasi baharu FELDA.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Saksi: Isa tak minta kelulusan beli hotel daripada Lembaga Felda

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Samad tidak meminta kelulusan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak bernilai RM160 juta dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Felda.

Bekas Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhada, 62, mengesahkan perkara itu kerana beliau yang merupakan bekas ALP Felda juga hadir pada mesyuarat tersebut.

“Tan Sri Isa merupakan Pengerusi Felda dan beliau juga mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda. Beliau (Isa Samad) terlibat dalam membuat keputusan dalam mesyuarat tersebut,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz pada hari ketiga perbicaraan kes pecah amanah dan rasuah RM3 juta Mohd Isa di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Afzainizam: Adakah Pengerusi Felda (Isa) boleh tentukan sama ada kertas kerja (cadangan) boleh dibentangkan dalam mesyuarat (ALP Felda) atau tidak?

Hanapi: Boleh

Afzainizam: Adakah kamu akan bantah sekiranya Pengerusi Felda (Isa) tidak membenarkan kertas kerja dibentangkan di mesyuarat?

Hanapi: Bergantung kepada kertas kerja, kalau saya rasa perlu, saya akan bagi pandangan dan akhirnya Pengerusi Felda yang akan buat keputusan, saya akan akur.

Saksi pendakwaan kelima itu juga bersetuju dengan Afzainizam bahawa mandat pelaburan RM100 juta yang diputuskan oleh Felda tidak pernah ditarik balik atau dimansuhkan.

Semasa pemeriksaan semula oleh Afzainizam, saksi itu mengesahkan bahawa kelulusan pembelian hotel berkenaan oleh anak syarikat Felda iaitu Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) bernilai RM160 juta hanya dibuat secara tersirat dan tiada keputusan secara bertulis di peringkat ALP Felda.

“Kertas kerja mengenai pembelian hotel itu mesti dibentangkan di dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda,” katanya apabila disoal Afzainizam berhubung pembelian hotel berkenaan yang melebihi mandat pelaburan RM100 juta.

Terdahulu, semasa disoal balas peguam Datuk Sallehudin Saidin, mewakili Mohd Isa, saksi itu bersetuju bahawa Prosedur Operasi Standard (SOP) di FICSB hanya diwujudkan selepas isu pembelian hotel berkenaan timbul.

Sallehudin: Jadi sebelum ini Ahli Lembaga Pengarah FICSB membuat keputusan mengikut cara tersendiri?

Hanapi: Ya.

Semalam, semasa membacakan penyataan saksi, Hanapi mengesahkan salinan Minit Mesyuarat Lembaga Pengarah Felda Bilangan 328 bertarikh 23 Jun 2015 dan Bilangan 329 pada 4 Ogos 2015.

“Minit ini dicatat oleh Setiausaha Lembaga Felda, Erwan Aman dan tandantangani oleh Tan Sri Isa. Saya cam tandatangan Tan Sri Isa pada muka surat akhir minit ini.

“Dalam mesyuarat itu membincangkan tentang bayaran pendahuluan berjumlah RM100 juta kepada FICSB bagi membiayai projek hotel berkenaan serta cadangan kaedah bayaran kembali pendahuluan ini,” katanya.

Mohd Isa, 70, menghadapi satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM3 juta yang didakwa dilakukan di Menara Felda, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 11 Dis 2015.

Perbicaraan di hadapan Mohd Nazlan bersambung petang ini.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan akan laksana sesi libat urus dengan peneroka FELDA

KUALA LUMPUR, 8 JUL: Sesi libat urus akan diadakan bersama peneroka FELDA bagi memberi penerangan berhubung cadangan mencantumkan tanah-tanah peneroka menjadi ladang besar, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, sesi berkenaan akan dijalankan melalui Jawatankuasa Perundingan Peneroka (JKPP).

“Kami perlu giat berusaha untuk bercakap kepada mereka (peneroka). Kami hendak yakinkan mereka ia adalah cara untuk maju ke hadapan.

“Kalau kita nak guna kaedah sedia ada, kita lihat mereka tidak dapat tingkatkan pendapatan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan merancang tanah-tanah peneroka FELDA dicantum menjadi ladang besar yang mampu memberi hasil lumayan menerusi pengurusan efisien dengan cara yang lebih profesional.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata usaha meyakinkan peneroka FELDA untuk mewujudkan ladang besar itu pada peringkat awal mungkin menghadapi kesukaran terutamanya dalam kalangan generasi pertama yang sudah berusia lebih 60 tahun.

Menjelas lanjut, Mohamed Azmin berkata, langkah mencantumkan tanah-tanah peneroka itu akan membantu generasi awal FELDA, yang hampir 70 peratus peneroka telah berumur 60 tahun ke atas.

“Mereka tidak mempunyai kapasiti untuk terus kerja di ladang. Sekarang kami mahu menawarkan kepada mereka teknologi baharu, tapi kena cantumkan. Kami tidak memperoleh tanah itu. Kami perlu dapatkan persetujuan daripada peneroka sebab itu tanah mereka.

“Sekiranya kami dapat 1,000 atau 2,000 ekar (400 atau 800 hektar) bagi projek rintis dan ia berjaya, peneroka lain boleh bersama kami untuk menjayakan inisiatif ini,” katanya. – BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

FELDA: Cantum jadi ladang, jana hasil lumayan – PM

ROMPIN, 7 JUL: Kerajaan merancang tanah-tanah peneroka FELDA dicantum menjadi ladang besar yang mampu memberi hasil lumayan menerusi pengurusan efisien dengan cara yang lebih profesional, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata pengurusan sedemikian diamalkan estet ladang besar milik orang asing sejak zaman pentadbiran British, yang membolehkan pemilik ladang masih memperoleh keuntungan walaupun marginnya kecil ekoran kejatuhan harga komoditi dan tanaman yang diusahakan, selain tidak perlu bergantung kepada subsidi kerajaan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, usaha meyakinkan peneroka FELDA untuk mewujudkan ladang besar itu pada peringkat awal mungkin menghadapi kesukaran terutamanya dalam kalangan generasi pertama yang sudah berusia lebih 60 tahun.

“Mereka sudah menjadi peneroka sejak awal dan untuk menukar mindset mereka susah. Tapi mereka adalah pemilik tanah dan kalau kita boleh mendapat kawasan yang lebih luas untuk diuruskan oleh mereka yang profesional, kita yakin boleh mengeluarkan lebih banyak hasil.

“Pendapatan boleh dibahagikan mengikut luas kawasan tanah yang disumbangkan. Mereka (peneroka) boleh bekerja dengan pengurusan ladang atau mendapat keuntungan hasil mengikut tanah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan 2019 di FELDA Selancar 3 di sini, hari ini.

ROMPIN, 7 Julai — MESRA … Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melambai kepada peneroka Felda ketika hadir pada sambutan Hari Peneroka Felda 2019 di Felda Selancar Tiga, hari ini.
Turut hadir Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar dan Ketua Peneroka FELDA, Sulong Jamil Mohamed Shariff.

Dr Mahathir berpandangan rancangan itu sepatutnya sudah lama dilaksanakan dan untuk tujuan itu, FELDA akan melaksanakannya di mana-mana kawasan tanah rancangan yang mempunyai keluasan sekurang-kurangnya 404 hektar.

Pengurusan FELDA juga, kata Perdana Menteri tidak boleh hanya bergantung kepada hanya tanaman kelapa sawit atau getah seperti diamalkan sekarang supaya pendapatan golongan peneroka tidak terjejas jika berlaku kejatuhan harga komoditi berkenaan

“Kawasan yang dicantumkan besar kemungkinan menjadi 1,000 atau 2,000 ekar (bersamaan 404 atau 808 hektar) dan daripada jumlah itu, mungkin kita boleh ambil 80 hektar untuk tanam tanaman lain… seperti kita lihat di Pahang, tanahnya subur, tembikai serta nenas boleh ditanam di sini.

“Kita hendak elak daripada terlalu bergantung kepada tanaman tunggal dengan menaman tanaman yang mempunyai permintaan lebih besar dalam dan luar negara selain membantu rantaian bekalan negara,” katanya.

Mengulas mengenai jenis tanaman yang sesuai untuk model baharu FELDA itu, Dr Mahathir berkata pengurusan FELDA akan berbincang dan mendapatkan nasihat daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berhubung perkara itu.

Sebagai contoh, beliau berpandangan Kedah dan Perlis sesuai untuk tanaman mangga yang boleh mendatangkan pendapatan lumayan kepada pengusahanya selain tanaman bunga yang mempunyai harga tinggi di pasaran.

Terdahulu, semasa berucap di hadapan ribuan peneroka FELDA, Dr Mahathir berkata pengurusan FELDA perlu disusun semula supaya agensi itu ditadbir oleh golongan profesional seperti diamalkan pengurusan ladang estet berskala besar bagi membolehkan FELDA memperoleh keuntungan yang tinggi.

“Kita lihat bagaimana ladang ini memberikan pendapatan yang baik apabila diuruskan dengan baik. Bagaimanapun kita dapati pada masa akhir ini berlaku perbuatan tidak menguntungkan FELDA sama sekali.

“Sekarang ini, kita menanggung hutang yang banyak kerana banyak urusan yang dibuat (sebelum ini) telah menyeleweng selain mereka juga melakukan perkara yang tidak diizinkan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, FELDA membuka tanah lebih 404,685 hektar, yang merupakan antara kawasan perladangan terbesar di dunia, namun ia masih tidak mampu untuk memberi pendapatan tinggi kepada peneroka berikutan pengurusannya yang berbeza dengan cara pengurusan estet besar.

Sehubungan itu, Dr Mahathir memberi jaminan bahawa kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk memberi pendapatan lebih baik kepada peneroka, menerusi rancangan kegunaan tanah lebih luas untuk memberi hasil lebih baik dengan tanaman yang pelbagai.

Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM637 juta bagi pelaksanaan tiga projek di Pahang iaitu Tangki Imbangan berkapasiti 106 juta liter sehari (JLH) di kawasan perindustrian Gebeng bernilai RM173 juta dan Loji Rawatan Air Semambu Fasa 3 berkapasiti 145 JLH (RM446 juta) kedua-duanya di Kuantan serta projek mengatasi masalah gangguan bekalan air bersih di Raub (RM18 juta).

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

FELDA bakal bangkit semula bawah PAKATAN – Azmin

ROMPIN, 7 JUL: FELDA akan bangkit semula dengan keyakinan peneroka kembali utuh di bawah pengurusan baharu kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi membela masa depan golongan peneroka, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, komitmen kerajaan untuk mengembalikan kegemilangan FELDA itu dilaksanakan menerusi Program Pembangunan Peneroka (PPP), yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

PPP yang merangkumi aktiviti berasaskan program tanaman dan selingan yang mampu memberikan hasil dalam tempoh singkat dan aliran tunai konsisten dilancarkan pada sambutan Hari Peneroka Peringkat Kebangsaan 2019 di FELDA Selancar 3 di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, FELDA di bawah kepimpinan pengasasnya Tun Abdul Razak Hussein, yang juga Perdana Menteri kedua Malaysia, berjaya membantu mengurangkan jurang ekonomi Melayu dan Bumiputera menerusi pembukaan tanah kerajaan, yang pada suatu ketika membolehkan negara menyumbang 25 peratus kepada pengeluaran kelapa sawit dunia.

“Malangnya sejak beberapa tahun lalu, kita menyaksikan kerakusan pimpinan atasan FELDA yang terdiri daripada orang politik yang terlalu banyak bermain politik sehingga peneroka menjadi mangsa dan dibebankan dengan masalah besar,” katanya semasa berucap di hadapan ribuan peneroka pada sambutan itu.

Mohamed Azmin berkata, belajar daripada kesilapan itu, PAKATAN berjanji untuk memastikan pengurusan agensi itu hanya ditadbir oleh mereka berintegriti dan berwibawa.

Katanya pelantikan Tan Sri Mohd Bakke Salleh sebagai Pengerusi FELDA, berkuatkuasa 1 Julai, dilihat berkemampuan untuk membawa agensi itu ke peringkat baharu dengan bantuan dan sokongan akar umbi peneroka.

Mohamed Azmin berkata, PPP bukan hanya untuk memastikan masa depan lebih mampan dan menjaga kebajikan peneroka, tetapi juga berperanan melihat industri perladangan kekal maju dan meningkatkan produktiviti menerusi penggunaan teknologi moden.

Selain itu, kerajaan juga amat maklum dengan permasalahan peneroka seperti bebanan hutang yang cukup tinggi dan masalah perumahan generasi kedua yang banyak terbengkalai.

Berhubung masalah perumahan terbengkalai, Mohamed Azmin berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM250 juta bagi menyiapkan projek perumahan berkenaan, khususnya yang tahap kemajuan pembinaannya sudah mencapai 70 peratus, pada tahun ini.

Katanya sebanyak 1,400 unit rumah generasi kedua sudah memperoleh sijil layak menduduki dan dijangka diserahkan kepada pemiliknya dalam masa terdekat.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan menampung RM2 bilion untuk menghapuskan hutang peneroka dan walaupun jumlah itu besar, kerajaan menyifatkan ‘tidak mengapa’ asalkan hutang dapat dikurangkan demi membolehkan peneroka hidup dengan lebih selesa.

Beliau berkata, kerajaan turut bersetuju supaya Anugerah Keceriaan Kampung Felda (AKKF) yang menawarkan hadiah wang tunai RM1 juta dipecahkan bermula tahun depan kepada johan, naib johan dan tempat ketiga berbanding hanya satu pemenang sebelum ini.

“Saya percaya program AKKF ini dapat memupuk rasa muhibah, perpaduan dan persaudaraan antara peneroka di setiap kampung supaya bersama-sama bergotong-royong dengan semangat ukhuwah yang baik,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
NASIONAL RENCANA

FELDA minta peneroka berubah jadi lebih berdaya maju

OLEH KURNIAWATI KAMARUDIN

ROMPIN, 6 JUL: Model perniagaan baharu FELDA bakal menjadi tumpuan utama pada sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan di Felda Selancar 3, Muadzaam Shah esok.

Bertemakan ‘Peneroka Mandiri Felda Lestari’, program itu adalah antara usaha FELDA untuk memberi kefahaman kepada para peneroka tentang hala tuju dan peluang yang boleh dilaksanakan melalui model baharu itu bagi meningkatkan pendapatan mereka secara konsisten.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijadual merasmikan sambutan itu, yang buat pertama kalinya dianjurkan di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan.

Model perniagaan baharu itu diperkenalkan dalam Kertas Putih FELDA yang dibentangkan di Parlimen oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 10 April lalu.

KUALA LUMPUR, 10 April — Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menunjukkan Kertas Putih Ke Arah Kelestarian Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) selepas membentangkannya di Parlimen hari ini.
Kertas Putih itu dibentangkan berikutan kecelaruan pengurusan dan hutang melampau agensi itu yang melebihi RM8 bilion.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bagi mencapai kelestarian FELDA, kerajaan menerusi Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan mahu membawa perubahan dengan melaksanakan 10 perancangan perniagaan Model Baharu FELDA termasuk program sewaan tanah jangka panjang, program pembangunan peneroka bagi mendapatkan hasil baharu, pengurusan ladang melalui pengukuhan koperasi FELDA serta penggunaan teknologi terkini dalam perladangan pintar.

RANCAKKAN EKONOMI PENEROKA

Hari Peneroka Kebangsaan 2019 akan diadakan di FELDA Selancar, yang terletak bersempadan daerah Segamat, Johor, dan bakal dimeriahkan dengan kehadiran 10,000 peneroka.

Sambutan itu, yang diadakan sejak 2010, sememangnya dinanti-nantikan oleh 112,635 peneroka tanah rancangan serta masyarakat luar FELDA di seluruh negara bagi melihat perkembangan pembangunan dan inisiatif baharu yang dilaksanakan kerajaan.

Tahun lepas, sambutan itu tidak diadakan namun sambutan kali ini bakal menampilkan program-program pembangunan menyeluruh untuk dikongsikan dengan para peneroka serta orang ramai.

Sempena sambutan kali ini, FELDA juga akan memberi penghargaan kepada Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan yang akan menerima anugerah Ikon Anak FELDA.

Chef Wan, dari generasi kedua FELDA di tanah rancangan Sungai Koyan, Pahang, bakal mengadakan demonstrasi masakan daging arnab, yang merupakan satu daripada projek pembangunan peneroka FELDA.

Pengarah Besar FELDA, Datuk Dr Othman Omar berkata, kejayaan peneroka yang terlibat di dalam program pembangunan itu diharap dapat menyuntik semangat lebih ramai lagi peneroka untuk mengambil peluang daripada model perniagaan baharu yang diperkenalkan FELDA.

“Matlamat utama model perniagaan baharu ini adalah untuk membantu peneroka meraih pendapatan tambahan dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada kelapa sawit. Memandangkan harga kelapa sawit kini tidak menentu, para peneroka perlulah mencari inisiatif baharu untuk menjana pendapatan,” katanya semasa melawat tapak sambutan Hari Peneroka FELDA Kebangsaan di FELDA Selancar 3, baru-baru ini.

BERI ‘PANCING’ BUKAN ‘IKAN’

Beliau berkata, transformasi itu tidak akan berjaya sekiranya peneroka masih dengan sikap lama yang mengharapkan bantuan daripada kerajaan seperti bonus atau ‘duit raya’ sempena Aidilfitri.

“Pemberian duit raya bermakna FELDA memberi mereka ‘ikan’ bukannya ‘pancing’,” kata Othman, yang menerajui agensi itu bermula 1 Oktober tahun lepas.

‘Pancing’ sepatutnya menjadi kaedah bagi peneroka untuk berusaha meningkatkan ekonomi yang mampu memberi pulangan pendapatan jangka panjang, katanya.

Justeru katanya, model perniagaan baharu itu akan memberi tumpuan kepada membantu khususnya kira-kira 17,000 peneroka Felda berpendapatan rendah dan masih dibebani hutang yang tinggi.

“Kumpulan itu bergantung sepenuhnya kepada hasil kelapa sawit tetapi menanggung hutang yang tinggi, mempunyai anak ramai dan pendapatan tidak cukup untuk menampung kehidupan mereka,” katanya.

Mengakui bukan mudah untuk mengubah pemikiran kumpulan yang sudah terbiasa mengharapkan bantuan kerajaan, namun, Othman optimis kaedah baharu itu dapat menyuntik semangat peneroka untuk menjadi lebih berdaya maju terutamanya setelah melihat ramai peneroka yang berjaya selepas melakukan transformasi.

Bagi mengatasi kelemahan pembangunan peneroka termasuk berkaitan dengan kepakaran dan pengalaman, FELDA akan menjalinkan kerjasama aktif dengan agensi lain seperti Jabatan Pertanian, Institut Kemajuan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi mewujudkan ekosistem lebih lengkap untuk memastikan kejayaan peneroka.

“Menerusi model baharu ini, FELDA sediakan pelbagai kaedah untuk membantu peneroka menguruskan kebun masing-masing. Ini termasuklah menyewakan kebun (bagi peneroka yang tidak berkemampuan menguruskan kebun) atau meningkatkan pendapatan melalui modul-modul yang FELDA bangunkan.

“Kita mahu ajar mereka cara menggunakan ‘pancing’ bagi mendapat ‘ikan’,” jelasnya.

ALTERNATIF UNTUK PENEROKA

Menerusi model perniagaan baharu itu, ketidakmampuan kira-kira 70 peratus peneroka yang berumur 56 tahun dan ke atas boleh diatasi apabila mereka diberi pilihan menyewakan tanah masing-masing dalam tempoh panjang iaitu antara 20 hingga 30 tahun kepada FELDA.

Melalui cara itu, mereka tidak lagi perlu meminjam daripada FELDA sebaliknya FELDA akan membayar sewa kepada mereka pada setiap bulan.

“Apabila kebun disewakan, mereka mempunyai masa untuk menjalankan beberapa inisiatif lain yang dibangunkan dengan bantuan FELDA seperti menternak arnab, menanam halia Bentong atau herba misai kucing di kawasan rumah mereka,” katanya.

Hasil ternakan dan tanaman itu kemudian boleh dijual kepada Koperasi FELDA untuk dipasarkan.

Othman berkata Koperasi FELDA akan digerakkan secara aktif terutamanya dalam membangunkan projek berskala besar melalui tanah-tanah yang disewa daripada peneroka.

“Hasil keuntungan akan turut dikongsi bersama peneroka melalui pemberian dividen sebagai ahli koperasi.

“Setakat ini, tiga kawasan dibangunkan menerusi koperasi…mungkin modal yang akan digunakan agak tinggi dengan Felda atau kerajaan akan membantu menyuntik modal,” katanya.

TANAMAN KONTAN

Beberapa alternatif lain turut dicadangkan seperti menanam tanaman kontan dalam skala besar dengan menggunakan kaedah pertanian pintar bagi meningkatkan hasil dan mengurangkan kos penanaman.

Othman berkata generasi kedua dan ketiga FELDA boleh merebut peluang untuk mempelajari kaedah pertanian pintar itu yang menggunakan teknologi baharu dalam Industri 4.0.

Menurutnya hasil tanaman kontan bagi setiap hektar mampu menjana pulangan lebih tinggi berbanding kelapa sawit malah ada yang mencecah sehingga 10 kali ganda sekiranya menggunakan kaedah pertanian moden.

Tanaman kontan campuran atau ‘intercrop’ boleh dilakukan semasa tanaman semula kelapa sawit menggunakan ruang tanah antara pokok ketika ia masih rendah.

“Umpamanya pisang dan nanas yang boleh menghasilkan pendapatan antara RM500 hingga RM2,000 sebulan. Dalam tempoh setahun atau dua tahun pertama sementara menanti hasil daripada kelapa sawit, peneroka boleh memperoleh hasil daripada tanaman kontan itu,” katanya.

Bagi ladang yang mempunyai kelapa sawit matang, peneroka tidak boleh mengusahakan tanaman ‘intercrop’ tetapi mereka boleh melaksanakan model integrasi seperti ternakan lembu, kambing dan kerbau.

Othman berkata ramai peneroka FELDA yang berjaya dalam melaksanakan projek ternakan mereka.

“ FELDA Selancar juga melahirkan usahawan ternakan lembu dan kerbau. Kejayaan mereka boleh kita jadikan modul bagi membantu meramaikan peneroka yang mengusahakan ternakan,” katanya.

Beliau berharap model perniagaan baharu FELDA itu dapat merubah pemikiran peneroka untuk menjadi usahawan berjaya sekali gus memulihkan kewangan agensi itu serta mengembalikan kegemilangannya.

-BERNAMA

Categories
RENCANA

Inisiatif baharu FELDA pacu pembangunan sosioekonomi peneroka

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Pembangunan masyarakat peneroka tidak pernah terlepas daripada menjadi keutamaan kerajaan, malah pelbagai peluang baharu sentiasa diteroka untuk memacu pertubuhan yang mampan bagi golongan itu.

Justeru, untuk mempertingkatkan taraf sosioekonomi bagi kira-kira 112,635 peneroka di seluruh negara, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan melancarkan Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang digariskan dalam Kertas Putih “Ke Arah Kelestarian Felda” yang dibentangkan pada April lalu.

Bercakap dalam temu bual khas bersama Bernama sempena sambutan Hari Peneroka Kebangsaan 2019, Pengarah Besar Felda Datuk Dr Othman Omar berkata inisiatif itu membuktikan kerajaan sentiasa peka dengan keperluan peneroka selain sebagai langkah mengembalikan reputasi dan prestasi Felda.

Katanya, program yang merangkumi aktiviti perniagaan berasaskan tanaman gantian dan ternakan itu menyasarkan kumpulan peneroka dan peneroka generasi baharu.

“Menerusi program ini, tuaian dapat dihasilkan dalam tempoh singkat dan berpotensi untuk menjana aliran tunai dengan cepat dan konsisten. Ia memberikan pendapatan sampingan dalam keadaan pasaran harga minyak sawit yang tidak menentu.

“Ketika ini, jika peneroka terlampau bergantung dengan hasil sawit mereka akan susah. Inisiatif ini dapat menambah pendapatan sampingan mereka sekurang-kurangnya dalam RM300 hingga RM400 sebulan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. Temu bual itu turut disertai Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang.

Sambutan hari istimewa peneroka bagi tahun ini mengangkat tema ‘Peneroka Mandiri, Felda Lestari’, dijadualkan berlangsung di Felda Selancar 3, Rompin Pahang dan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Berdasarkan kertas putih itu, kerajaan mengumumkan beberapa bantuan kepada Felda yang berjumlah RM6.23 bilion dengan 70 peratus daripada jumlah peruntukan itu diberikan dalam bentuk geran, pinjaman dan jaminan kerajaan secara berperingkat mengikut keperluan peneroka.

Antara inti pati bantuan itu, termasuk RM2 bilion bagi menghapuskan faedah pinjaman peneroka dalam jangka masa tujuh tahun, RM1 bilion untuk PPP bagi meningkatkan hasil ladang dan pendapatan peneroka, RM2.5 bilion dalam bentuk jaminan kerajaan untuk penstrukturan semula pinjaman dan RM480 juta diberikan untuk membayar pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil.

KUALA LUMPUR, 4 Julai — Pengarah Besar Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Datuk Dr Othman Omar bercakap pada sesi temuramah bersama Bernama bersempena Sambutan Hari Peneroka Kebangsaan 2019 di Wisma Bernama semalam.
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Bagi mekanisme pelaksanaan PPP, Othman berkata perbincangan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta agensinya bersetuju membantu Felda menjalankan kajian melalui tanaman selingan seperti nanas dan pisang, di kawasan tanam semula.

Othman berkata Felda juga sedang berunding dengan agensi kerajaan lain, koperasi dan pemain utama sektor swasta termasuk pemimpin agrobisnes untuk menjadi rakan kongsi strategik program Felda menerusi perkongsian teknologi dan jenis tanaman kontan baharu. Rundingan ini mencerminkan kepercayaan dan keyakinan pasaran terhadap pelan transformasi Felda.

Sejajar usaha menjaga kepentingan dan reformasi hala tuju peneroka, beliau berkata Felda dalam proses mengkaji pindaan akta dan peraturan yang berkaitan selaras dengan model Felda baharu.

Menurut Othman, ia merangkumi Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 berkenaan penjualan tanah selepas proses hak milik dan isu perwarisan yang melibatkan pewartaan yang menetapkan sewaan jangka panjang hanya tertakluk kepada tempoh tiga tahun sahaja.

“Saya kira memang sudah tiba masanya kami longgarkan dan kaji syarat-syarat ini, kerana kes pewarisan hak milik tanah sukar diselesaikan, malah ada beberapa kawasan Felda, generasi peneroka sudah sampai ke generasi kelima,” katanya.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Megat Zaharuddin letak jawatan pengerusi FELDA

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), berkuat kuasa 30 Jun ini.

FELDA dalam kenyataan hari ini berkata, Megat Zaharuddin memaklumkan hasratnya melepaskan jawatan itu semalam (24 Jun).

“Perjalanan hidup kita mengandungi ‘perhentian’ dan ‘permulaan’. Saya memikir apakah lagi rancangan Allah pada diri saya,” kata Megat Zaharuddin dalam kenyataan itu.

FELDA berkata, pengerusi baharu bakal diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, kerana agensi itu bernaung di bawah kementerian berkenaan.

Megat Zaharuddin yang dilantik sebagai pengerusi agensi itu pada 26 Julai tahun lalu berusaha keras memahami rapat isu FELDA, terutama berkaitan warga peneroka di sepanjang tempoh berkenaan.

“Di bawah pentadbiran beliau, beberapa inisiatif pelan transformasi diperkenal dan diketengahkan untuk meneraju FELDA semula ke tahap kelestarian dan kegemilangan.

“Beliau juga menyusun atur dan memperkenalkan misi, visi serta nilai teras baharu FELDA supaya organisasi itu mampu menjadi pemacu pembangunan penempatan negara yang progresif,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Felda nafi dakwaan peneroka berisiko hilang hak atas tanah

KUALA LUMPUR, 19 MEI: Felda hari ini menafikan laporan sebuah akhbar tempatan yang antara lain mendakwa peneroka tanah rancangan berkenaan berisiko kehilangan hak ke atas tanah mereka, sambil menyifatkan dapatan disuarakan dalam artikel berkenaan sebagai tidak tepat.

Ketua Unit Pewarisan, Jabatan Pengurusan Tanah Felda, Mohd Yassin Mohd Yusof berkata, kajian yang hanya membabitkan 130 responden di Felda Bukit Tangga, Kedah itu tidak menggambarkan situasi sebenar.

Ini memandangkan jumlah peneroka di seluruh negara adalah seramai 112,635 orang, manakala jumlah keseluruhan warga Felda termasuk generasi baharu dalam lingkungan 2.5 juta, katanya.

“Sehubungan itu, kajian ini tidak boleh dijadikan bahan rujukan untuk memperkenalkan apa-apa dasar baharu yang akan merugikan semua pihak dalam institusi ini,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Khamis lalu, akhbar berbahasa Melayu itu yang memetik kajian Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pengurusan Hartanah Universiti Teknologi MARA Shah Alam, Prof Madya Dr Rohayu Abdul Majid mendakwa wujud sekatan perundangan yang menghalang sebarang pindah milik tanah terbabit kepada generasi kedua.

Ini, menurut Rohayu seperti dilapor akhbar berkenaan, berlaku kerana tanah rancangan tersebut tertakluk kepada Akta Penempatan Berkelompok 1967, sekali gus menyebabkan statusnya berbeza dengan tanah biasa di bawah Kanun Tanah Negara.

Mohd Yassin menjelaskan Felda bersama-sama peneroka dan pejabat tanah negeri sentiasa bekerjasama sejak awal sepertimana termaktub dalam Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 dalam menangani isu pewarisan dan pemilikan tanah secara holistik.

Tegasnya, pihak pengkaji sepatutnya merujuk kepada pihak pengurusan ibu pejabat Felda bagi memahami isi kandungan akta tersebut terlebih dahulu sebelum membuat kesimpulan dalam kajiannya yang boleh mengundang polemik dalam kalangan warga Felda berhubung isu pewarisan tanah.

Katanya ,Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 menyatakan tanah peneroka boleh dipindah milik, dijadikan gadaian dan sewaan, tetapi hanya nama dua orang boleh didaftarkan dalam sesuatu hak milik tersebut supaya tanah tidak dibelah bahagi secara fizikal seterusnya merugikan dari segi ekonomi.

Bagaimanapun, beliau berkata, akta berkenaan menyatakan bahawa tanah peneroka tidak boleh dipecah sempadan, dipajak dan sub-pajak sebahagian atau keseluruhannya.

Menjelaskan mengenai halangan jual beli tanah, Mohd Yassin berkata, Felda tidak membenarkan urusan berkenaan kerana wujud syarat tertentu, dan pemiliknya mesti dipastikan bahawa mereka seorang warganegara, berusia 18 tahun ke atas, tidak memiliki tanah pertanian melebihi 0.80 hektar (dua ekar) dan tanah rumah satu lot.

Katanya, tanah peneroka juga boleh diambil balik kerajaan antara lain bagi pembangunan bandar baharu, lebuh raya dan projek Laluan Rel Pantai Timur di bawah Akta Pengambilan Balik Tanah 1960 dengan bayaran pampasan akan dibuat kepada penama didaftar sebagai pentadbir tanah atau setiap waris yang berhak. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Radzi: Akta sedia ada FELDA dikaji semula

PUTRAJAYA, 14 MEI: Akta sedia ada berkaitan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan dinilai semula bagi melihat keperluan untuk penambahbaikan atau dipinda bagi mewujudkan tadbir urus lebih baik di masa depan, kata Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata usaha itu juga dapat meningkatkan keupayaan aspek semak dan imbang dalam sistem pengurusan bagi mengelak sebarang penyelewengan tadbir urus agensi itu pada masa akan datang.

Radzi yang ditemui selepas memberi taklimat isu FELDA di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di sini hari ini, berkata masalah yang melanda FELDA ketika ini berpunca daripada pengurusan bekas ahli lembaga pengarahnya yang disifatkan beliau sebagai ‘teruk’.

“Ini (berlaku) apabila sistem FELDA itu tidak dihormati dan dirosakkan…walaupun sistem itu wujud namun semuanya telah dilanggar,” katanya.

Beliau berkata, susulan kegagalan tadbir urus dan tidak dikawal, hutang FELDA melonjak sebanyak 1,100 peratus daripada RM1.2 bilion pada 2007 kepada RM14.4 bilion pada 2017 berbanding kenaikan nilai aset hanya 107 peratus iaitu RM12.1 bilion pada 2007 kepada RM25 bilion pada 2017.

Merujuk hasil penemuan audit forensik ke atas lapan pelaburan Felda termasuk pembelian (saham syarikat Indonesia) Eagle High Plantations TPK pada kadar lebih tinggi berbanding harga pasaran, Radzi berkata ini membuktikan bahawa barisan pengurusan sebelum ini telah melangkaui proses sedia ada bagi membuat keputusan mereka.

“Secara jelas kita lihat bagaimana mereka langgar (sistem yang ditetapkan), kadang-kadang perkara itu dibawa ke lembaga pengarah, adakalanya dibuat sebegitu atau seperti ini. Dia ada kaedah dia (tersendiri) dan akan cari jalan,” katanya.

Mengulas selanjutnya, Radzi berkata penemuan audit forensik ke atas lapan pelaburan itu juga merupakan sebahagian daripada kes di FELDA.

“Ada kes yang sudah selesai, ada yang sudah diambil tindakan oleh pihak berkuasa dan ada yang masih dalam proses penelitian. Lapan kes ini merupakan sebahagian kes sahaja dan ada banyak lagi kes,” katanya.

Sewaktu membentangkan Kertas Putih FELDA di Parlimen pada 10 April lepas, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut melahirkan keyakinannya bahawa Felda akan pulih dalam tempoh lima tahun akan datang.

Sementara itu, pada sesi soal jawab taklimat berkenaan, Pengarah Besar FELDA Datuk Dr Othman Omar yang ditanya mengenai status bekas anggota lembaga agensi itu, berkata tindakan berkaitan telah diambil termasuk mereka terbabit tidak lagi memegang jawatan kritikal dalam FELDA pada masa ini.

“Seramai 15 bekas ahli lembaga itu sama ada berhenti, cuti tanpa gaji dan ada yang dipindahkan ke anak syarikat Felda dengan memegang jawatan bukan kritikal,” katanya.

Malah, Othman berkata, pihaknya juga sedang berbincang dengan peguam untuk memastikan serta meneliti sama ada mereka adalah ‘mangsa’ atau ‘pelaku’ dalam setiap keputusan pengurusan sebelum ini.

“Kita akan pastikan mereka akan turut berhak untuk membuktikan telah mengambil tindakan yang sepatutnya,” katanya.

-BERNAMA