Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Keadaan di Klang terkawal, hati-hati lalui jalan dilimpahi air pasang

SHAH ALAM, 6 NOV: Fenomena air pasang besar dengan ketinggian maksimum 5.6 meter awal pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan pesisir pantai di Klang dilimpahi air.

Ketua Zon Bomba Klang Hussin Ab Rahman berkata pemantauan dilakukan di beberapa kawasan termasuk Jeti Tok Muda; Pengkalan Sayang DSayang, Jalan Othman Baru; Jalan Pengkalan Nelayan, Rantau Panjang; Jeti Pulau Ketam dan Jalan Pandamaran Jaya.

“Sejak 6.30 pagi tadi keadaan di semua tempat yang dipantau terkawal, seperti di Pandamaran Jaya air pasang naik paling maksimum 5.6 meter, air melepasi jalan namun keadaan masih terkawal, rumah penduduk berdekatan masih selamat diduduki.

“Setakat hari ini tiada lagi laporan penduduk terkesan teruk akibat fenomena ini, cuma ada laman rumah di Kapar dan Rantau Panjang digenangi air, tapi itu keadaan biasa setiap kali air pasang,” katanya.

Pada masa sama beliau mengingatkan pengguna jalan raya berhati-hati ketika melalui kawasan yang dinaiki air selain memperlahankan kenderaan.

“Penduduk yang tinggal berhampiran pantai, diminta sentiasa berhati-hati dan peka dengan keadaan semasa.

“Sentiasa pantau anak-anak, keluarga serta patuh arahan pihak berkuasa supaya berpindah sekiranya berlaku kenaikan air yang mendadak,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Air pasang besar: Kuala Langat terkawal, tidak jejas gerai dan kiosk

SHAH ALAM, 5 NOV: Semua gerai dan kiosk Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) tidak terjejas biarpun berlaku fenomena air pasang besar.

Ketua skuad Pantas MPKL berkata keadaan di sepanjang pesisir pantai di Kuala Langat masih terkawal selain pemantauan terus dijalankan.

“Lokasi pemantauan ialah di Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Taman Harmoni, Pantai Batu Laut, Jeti Tanjung Sepat dan Pantai Chunang.

“Paras air laut tertinggi direkodkan ialah 5.6 meter pada jam 6.02 pagi tadi. Namun air kembali surut pada jam 8 pagi,” kata Mazlan Abdul Manap kepada SelangorKini.

Beliau berkata, terdapat beberapa pelancong yang cuba memasuki kawasan pantai tetapi mereka berpatah balik setelah melihat larangan pada kain rentang.

Pada 30 Oktober, MPKL menyaran orang ramai khususnya penduduk di daerah itu tidak memasuki kawasan peranginan pantai sepanjang fenomena air pasang besar dan peralihan monsun timur laut yang bermula pada awal November ini.

Air pasang besar dijangka berlaku bermula 3 hingga 7 November ini, susulan itu MPKL menutup kawasan peranginan pantai dan kemudahan awam seperti medan selera dan kiosk di Pantai Kelanang, Pantai Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Air pasang besar: Situasi di Kuala Langat terkawal

KUALA LANGAT, 4 OKT: Fenomena air pasang besar di sepanjang pesisir pantai di Kuala Langat terkawal tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Ketua skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) berkata paras air laut tertinggi direkodkan pada jam 5.21 pagi tadi dengan ketinggian 5.5 meter.

“Pemantauan bermula jam 4 pagi sehingga 9.30 pagi dan dalam tempoh itu keadaan terkawal. Kita jangka air akan mula naik menjelang lewat petang sehingga 8 malam.

“Kita tidak nafikan terdapat pengunjung yang degil dan ada yang memutuskan pita keselamatan namun ia kes terpecil dan mereka pun pulang apabila diarahkan,” kata Mazlan Abdul Manap ketika dihubungi.

Terdahulu, Yang Dipertua MPKL Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim memaklumkan masih ada pengunjung berdegil dengan sanggup memutuskan pita keselamatan dipasang di Pantai Morib dan Jeti Tanjung Sepat di sini.

Beliau berkata perbuatan memutuskan pita tersebut disedari Skuad Pantas MPKL yang melakukan pemantauan di kawasan berkenaan.

“Skuad ini bertindak memberi amaran lisan dan menyuraikan pengunjung di Pantai Morib dan Jeti Tanjung Sepat serta memasangnya semula selepas itu,” katanya.

Pada 30 Oktober, MPKL menyaran orang ramai khususnya penduduk di daerah itu tidak memasuki kawasan peranginan pantai sepanjang fenomena air pasang besar dan peralihan monsun timur laut yang bermula pada awal November ini.

Amirul Azizan berkata air pasang besar dijangka berlaku bermula 3 hingga 7 November ini dan pihaknya akan menggerakkan petugas bagi membuat pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan terlibat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Batal hasrat bersiar-siar di pantai susulan air pasang besar

KUALA LANGAT, 4 NOV: Hasrat seorang suami mahu membawa isteri bersiar-siar di Pantai Morib di sini terpaksa ditangguhkan selepas larangan aktiviti di kawasan pantai susulan fenomena air pasang besar.

N Gunasegar, 57, berkata dia hanya mengetahui larangan itu selepas terbaca kain rentang yang memaklumkan perkara berkenaan.

N Gunasegar. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kami sekeluarga tidak menyambut Deepavali tahun ini kerana kematian ibu saya jadi bawa isteri untuk berjalan-jalan di sini memandangkan ini kampungnya.

“Tidak sangka pula kawasan ini ditutup tetapi tidak mengapa kami boleh datang semula beberapa hari lagi,” katanya kepada SelangorKini.

Bagi Shazwan Mohd Zain, 35, pula berasa sedikit terkilan kerana datang dari Kelantan untuk bercuti di kawasan berkenaan.

“Saya rancang untuk berkelah bersama anak-anak dan isteri tetapi tak sangka pula ditutup… saya memang tak tahu kerana tidak mempunyai sebarang maklumat.

Shazwan Mohd Zain. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Namun bersyukur kerana pihak berkuasa memasang pita keselamatan untuk melarang orang ramai masuk sekurang-kurangnya dapat mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Sementara itu tinjauan SelangorKini selama dua jam bermula 2 petang di Pantai Morib mendapati kawasan pantai berkenaan lengang.

Walaupun terdapat pengunjung namun masing-masing berpatah balik selepas membaca larangan selain kawasan parkir ditutup dengan pita keselamatan.

Pada 30 Oktober, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menyaran orang ramai khususnya penduduk di daerah itu tidak memasuki kawasan peranginan pantai sepanjang fenomena air pasang besar dan peralihan monsun timur laut yang bermula pada awal November ini.

Yang Dipertuanya Dato’ Amirul Azizan Bin Abd Rahim berkata air pasang besar dijangka berlaku bermula 3 hingga 7 November ini dan pihaknya akan menggerakkan petugas bagi membuat pemantauan serta penguatkuasaan di kawasan terlibat.

Categories
ADN SELANGOR

Air pasang besar: Perlu terus waspada walau tiada kawasan terjejas

SHAH ALAM, 4 NOV: Tiada kawasan di Klang dan Sekinchan terjejas dalam fenomena air pasang besar yang menyaksikan air paras laut mencecah sehingga 5.25 meter (m) pagi tadi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri berkata menerusi tinjauan bersama wakil rakyat Pandamaran Leong Tuck Chee serta pegawai dari agensi kerajaan mendapati air laut hanya melimpah ke jalan raya.

“Keadaan terkawal dan tiada kejadian tidak diingini berlaku walaupun paras air naik setinggi 5.25m.

“Kita terus memantau keadaan dan orang ramai dinasihati terus berhati-hati semasa fenomena ini yang diramal sehingga Ahad,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Nasihat supaya orang ramai terus berwaspada turut dinyatakan wakil rakyat Sekinchan Ng Suee Lim yang memaklumkan banjir boleh berlaku sekiranya fenomena air pasang sehingga Ahad ini bertembung dengan angin kencang dan hujan berlarutan.

“Setakat ini tiada kawasan di Sekinchan terjejas seperti berlaku dalam fenomena berkaitan sebelum ini.

“Namun saya nasihat penduduk di kawasan berisiko supaya terus berjaga-jaga dan dengar nasihat pihak berkuasa,” jelasnya.

Jabatan Meteorologi meramalkan fenomena air pasang besar melanda Selangor selama empat hari mulai hari ini di Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Selain Selangor, fenomena itu dijangka melanda Kedah, Perak dan Johor dalam tempoh sama dan memburuk jika disertai angin kencang, ombak besar serta hujan lebat secara serentak.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Fenomena air pasang besar: 11 kawasan berisiko banjir di Klang

KLANG, 2 NOV: Sebelas kawasan sekitar daerah ini berisiko dilanda banjir susulan fenomena air pasang besar dan monsun timur laut dijangka bermula 4 hingga 7 November.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JBPD) Klang memaklumkan kawasan terbabit di Kampung Tok Muda; Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Pandamaran dan Taman Selat Damai, Pelabuhan Klang.

Kampung Sungai Serdang; Ban Sementa, Ban Sungai Keramat; Kampung Perepat; Pelabuhan Utara; Telok Gong dan Pulau Ketam.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang (JPBD) Mohd Shahrizal Mohd Salleh bercakap kepada media selepas meninjau pintu air Pandamaran 12, Klang pada 2 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Menurut Mohd Shahrizal Mohd Salleh penduduk di kawasan terbabit diminta berhati-hati dan bersedia untuk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.

“JBPD Klang turut mengaktifkan pasukan tinjauan di lokasi berisiko diketuai pasukan bomba sepanjang tempoh fenomena air pasang besar,” katanya selepas melawat pintu air Pandamaran 12 di sini, hari ini.

Mohd Shahrizal berkata mengikut ramalan pada 4 November fenomena berkenaan dijangka berlaku jam 5.21 pagi manakala 6.02 pagi pada keesokannya, 6.40 pagi pada 6 November dan 7.18 pagi pada 7 November.

“Paras air dijangka boleh mencecah sehingga 5.6 meter sepanjang tempoh itu,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Waspada air pasang besar, elak aktiviti di Pantai Bagan Lalang

SHAH ALAM, 31 OKT: Orang ramai dinasihat untuk tidak melakukan sebarang aktiviti riadah atau rekreasi di Pantai Bagan Lalang, Sepang susulan fenomena air pasang besar yang diramal Rabu ini.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) berkata fenomena berkenaan menyebabkan paras air meningkat antara 5.2 hingga 5.6 meter yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang ramai.

Menurut Zulnaidy Zulkifli sekitar kawasan Sungai Sepang, Jeti Bagan Lalang dan Jeti Sirip Biru antara lokasi dijangka bakal berlaku limpahan.

“Kita nasihat orang ramai supaya tidak mendekati kawasan pantai bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

“MPSepang sudah mengerakkan skuad pantas untuk memantau kawasan berisiko terbabit,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali memaklumkan fenonema air pasang besar dijangka melanda Kedah, Perak, Selangor dan Johor selama empat hari mulai 4 November depan.

Beliau dilaporkan berkata fenomena tersebut akan menjadi lebih buruk jika disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat secara serentak.

Kawasan terbabit di Selangor adalah Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Categories
AGENDA NASIONAL

Air pasang besar: Skuad Pantas MPKL pantau kawasan pantai

SHAH ALAM, 31 OKT: Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) akan digerakkan bagi mengawal dan memantau kawasan pesisir pantai sepanjang fenomena air pasang besar bermula 3 November ini.

Ketuanya Mazlan Abdul Manap berkata pengawasan akan dijalankan 14 anggota skuad bersama dengan penguat kuasa MPKL bermula seawal jam 4 pagi.

“Pemantauan sama seperti awal bulan ini di mana kita akan memastikan kawasan peranginan pantai dan kemudahan awam ditutup bagi memastikan tidak dikunjungi orang ramai.

“Pemasangan kain rentang penutupan kawasan berkenaan akan dilakukan dalam tempoh terdekat,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Semalam, MPKL menyaran orang ramai khususnya penduduk di daerah itu tidak memasuki kawasan peranginan pantai sepanjang fenomena air pasang besar dan peralihan monsun timur laut yang bermula pada awal November ini.

Yang Dipertuanya Dato’ Amirul Azizan Bin Abd Rahim berkata air pasang besar dijangka berlaku bermula 3 hingga 7 November ini dan pihaknya akan menggerakkan petugas bagi membuat pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan terlibat.

“Antara kawasan dijangka akan berlaku limpahan air seperti Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Taman Harmoni Morib, Istana Bahagia Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat.

“Justeru, MPKL akan menutup kawasan peranginan pantai dan kemudahan awam seperti medan selera dan kiosk di Pantai Kelanang, Pantai Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat,” katanya dalam kenyataan.

 

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Air pasang besar, MPKL gesa orang ramai jauhi kawasan pantai

SHAH ALAM, 30 OKT: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menyaran orang ramai khususnya penduduk di daerah itu tidak memasuki kawasan peranginan pantai sepanjang fenomena air pasang besar dan peralihan monsun timur laut yang bermula pada awal November ini.

Yang Dipertuanya Dato’ Amirul Azizan Bin Abd Rahim berkata air pasang besar dijangka berlaku bermula pada 3 hingga 7 November ini dan pihaknya akan menggerakkan petugas bagi membuat pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan terlibat.

“Antara kawasan dijangka akan berlaku limpahan air seperti Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Taman Harmoni Morib, Istana Bahagia Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat.

“Justeru, MPKL akan menutup kawasan peranginan pantai dan kemudahan awam seperti medan selera dan kiosk di Pantai Kelanang, Pantai Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Amirul Azizan menasihatkan sekiranya berlaku hujan lebat dan angin kencang secara serentak bersama air pasang besar, risiko berlakunya kejadian banjir akan menjadi lebih buruk.

Beliau berkata orang awam yang tinggal di pesisir pantai disaran menyimpan semua dokumen penting di tempat selamat serta mudah diambil sekiranya berlaku keadaan tersebut.

“Orang ramai khususnya penduduk di daerah ini diminta tidak mendekati atau memasuki serta menjalankan sebarang aktiviti air, riadah dan rekreasi pada tarikh ditetapkan memandangkan kesemua kawasan peranginan pantai terlibat akan ditutup sepenuhnya,” katanya.

Categories
AGENDA PBT SELANGOR

Amaran air pasang besar, orang ramai diminta jauhi kawasan pantai 8-10 Oktober

BANTING, 7 OKT: Penduduk di kawasan pesisir pantai di daerah ini disaran agar berwaspada sepanjang fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku esok hingga 10 Oktober ini.

Antara kawasan yang terbabit ialah Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Taman Harmoni Morib, Istana Bahagia Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata MPKL akan menggerakkan anggotanya untuk membuat pemantauan di kawasan tersebut yang telah dikenal pasti mengalami limpahan air laut.

Amirul Azizan berkata, berdasarkan jadual air pasang surut, daerah ini dijangka mengalami paras air tertinggi pada 8 hingga 9 Oktober ini dengan ketinggian 5.6 meter sekitar pukul 6.30 pagi hingga 7.40 pagi.

Tambahnya, keadaan pada Ahad pula menunjukkan trend penurunan dengan mencatatkan paras air tertinggi hanya pada 5.4 meter pada jam 8.13 pagi.

Kata Amirul Azizan, ekoran fenomena itu, MPKL menutup kawasan peranginan pantai dan kemudahan-kemudahan awam seperti medan selera dan kiosk di Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Taman Harmoni Morib, Istana Bahagia Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat.

“Orang ramai khususnya penduduk di daerah ini diingatkan agar tidak memasuki serta tidak menjalankan sebarang aktiviti air, riadah dan rekreasi di kawasan terlibat pada tarikh tersebut,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Air pasang besar di lima daerah terkawal, tiada kawasan terjejas

SHAH ALAM, 16 NOV: Fenomena air laut pasang besar yang melanda pesisir pantai Selangor hari ini adalah terkawal dan tiada limpahan besar sehingga mengakibatkan banjir.

Pegawai operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBNS) berkata paras air laut paling tinggi direkodkan 5.6 meter (m) pada 6.25 pagi di Pelabuhan Klang namun tiada penempatan terjejas.

“Selain itu pemantauan benteng pesisir pantai di daerah Klang, Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam mendapati struktur penahan air masih kukuh serta selamat.

“Namun kita menasihatkan penduduk di kawasan berisiko mematuhi arahan pihak berkuasa keselamatan dari semasa ke semasa,” kata Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir kepada SelangorKini hari ini.

UPBNS mengarahkan persediaan menghadapi bencana tahap tinggi dilaksanakan di lima daerah tersebut pada semalam dan hari ini.

Fenomena air laut pasang besar di persisiran pantai Selangor dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.8 m dijangka berlaku berlaku antara jam 5 pagi hingga 6 petang.

Categories
AGENSI SELANGOR

Fenomena air pasang besar kali ketiga diramal Ahad ini

SHAH ALAM, 13 NOV: Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBNS) bersiap sedia menghadapi fenomena air pasang besar kali ketiga dijangka antara 15 hingga 16 November ini.

UPBNS dalam kenyataan berkata Kerajaan Negeri sudah mengarahkan persediaan menghadapi bencana tahap tinggi dilaksanakan di lima daerah meliputi Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

“Fenomena air laut pasang besar di persisiran pantai Selangor dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.8 meter dijangka berlaku berlaku antara jam 5 pagi hingga 6 petang.

“Sekiranya hujan lebat dan keadaan angin kencang berlaku risiko berlakunya banjir akan meningkat. Justeru penduduk di kawasan berisiko dinasihat mematuhi arahan pihak berkuasa keselamatan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan.

Berikut senarai pusat pemindahan dan nombor perhubungan bilik gerakan daerah:

1. Sepang (03-8706 4613)
Maahad Integrasi Tahfiz Selangor

2. Kuala Langat (03-3182 2565)
Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang
Dewan Orang Ramai Sri Kundang, Kampung Kundang

3. Klang (03-3371 6700)
Dewan Serbaguna Kampung Sungai Serdang
SRA Kampung Batu 4 Jalan Kapar
Dewan Kompleks Sukan Pandamaran
Dewan Serbaguna MPK Pelabuhan Klang

4. Kuala Selangor (03-2289 7632 / 03-2289 6225 (APM)
Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang
Dewan SRJK(C) Pasir Penambang
SMK Seri Tanjong
SK Pasangan
Sekolah Kebangsaan Asam Jawa
Balai raya JKKK Kampung Pasir Tuntong
Dewan Orang Ramai Jeram
Balai JKKK Kampung Sugai Sembilang
Dewan Orang Ramai Sungai Buloh
Sekolah Kebangsaan Tambak Jawa

5. Sabak Bernam (03-3224 7058 / 03-3224 1749 (APM)
Dewan Sri Sekinchan
Dewan Sri Bernam
Dewan Parit Baru
Dewan Sri Nakhoda, Bagan Nakhoda Omar
6. Unit Pengurusan Bencana Negeri (03-5544 7324 / 03-5521 2440)