Categories
SELANGOR

97 keluarga mangsa banjir terima bantuan RM1,000

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 NOV: Seramai 97 keluarga mangsa banjir fenomena air laut pasang besar di Dun Sementa, menerima sumbangan sekurang-kurangnya RM1,000 setiap keluarga.

Sumbangan terbabit disampaikan Exco Kesihatan, Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Dr Daroyah Alwi dalam Majlis Penyerahan Sumbangan diadakan di Dewan Serbaguna Dato’ Ahmad Razali Batu 4, Kapar.

Selain wang tunai, mangsa dari Kampung Tok Muda dan Kampung Batu 4 turut menerima barang keperluan asas dan kipas angin.

photo-15Selain sumbangan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa itu beberapa agensi kerajaan, anak syarikat kerajaan negeri, syarikat korporat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) turut bermurah hati menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban mangsa.

Antaranya Pejabat Daerah Dan Tanah Klang, Lembaga Zakat Selangor (LZS), Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS), Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Pertubuhan IKRAM Selangor (Klang), SYABAS dan Aerofront City serta Yayasan Islam Darul Ehsan.

Terdahulu, fenomena pertama air pasang besar berlaku pada Oktober mencecah ketinggian 5.2 meter.

Manakala, pertengahan November lalu, ketinggian air meningkat sehingga paras 5.6 meter dan terus meningkat hingga 5.7 meter.

Kampung Tok Muda dan Kampung Batu 4, Kapar merupakan antara kawasan di Selangor yang dilanda banjir menyebabkan harta benda penduduk rosak teruk.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Elak aktiviti riadah di pantai

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 14 OKT: Orang ramai dinasihatkan mengelak dari melakukan sebarang aktiviti riadah di kawasan pantai barat Selangor ekoran fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku pada 16 hingga 19 Oktober ini.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, paras air laut di sekitar pantai Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam dijangka setinggi 5.6 hingga 5.7 meter.

“Saya menasihatkan supaya semua aktiviti pelancongan di tepi pantai dan laut yang dirancang sepanjang tempoh itu ditunda.

“Pelancong juga dinasihatkan untuk mengelakkan diri dari pergi ke kawasan pantai barat Selangor ketika fenomena air laut pasang besar ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

air-pasangKerajaan Negeri bersiap sedia menghadapi fenomena air laut pasang besar dengan memperuntukkan RM4.3 juta untuk memperbaiki benteng atau ban yang pecah.

Sehingga kini, 414 pusat pemindahan banjir seluruh negeri dibuka secara 24 jam bagi menempatkan mangsa fenomena air pasang besar di kawasan terlibat.

Anggaran mangsa yang bakal dipindahkan susulan fenomen kedua ini dijangka lebih besar berdasarkan faktor peningkatan paras laut.

Justeru penduduk berdekatan pantai dinasihat berpindah ke pusat pemindahan banjir lebih awal.

-nR-

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RM4.3 juta tambah baik ban hadapi air pasang besar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 7 OKT : RM4.3 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri sebagai inisiatif persiapan awal menghadapi fenomena air pasang besar, 15 Oktober ini.

Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Ahmad Afandi Mohammad berkata, peruntukan tersebut merangkumi kerja penambahan benteng di persisiran pantai negeri.

“Ban (benteng) yang pecah ketika fenomena air pasang besar berlaku September lalu telah kita perbaiki menerusi peruntukan dikeluarkan Kerajaan Negeri.

“Namun, kita tidak boleh mengambil risiko mudah atas faktor ketinggi air pasang yang mencecah sehingga 5.7 meter.

“Bagaimanapun, kami telah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kebarangkalian berlakunya fenomena itu nanti,” katanya.

unnamedBeliau bercakap pada sidang media di Bilik Mesyuarat MTES, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini petang ini.

Hadir sama, Sekretarian Pengurusan Bencana Negeri, Ahmad Fairuz Mohd Yusof dan Pegawai Jabatan Ketenteraman Awam IPK Selangor, ASP Roslee Daie.

Fenomena air laut pasang besar diramalkan berlaku 15 sehingga 19 Oktober ini di persisirian pantai negeri melibatkan daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Dalam perkembangan itu, Afandi berkata, semua agensi penguatkuasaan dan keselamatan negeri juga telah bersiap sedia menunggu arahan selanjutnya untuk sebarang tindakan.

Pada masa sama katanya, penduduk berisiko juga dinasihatkan bersiap sedia berpindah di pusat perpindahan seluruh daerah yang akan beroperasi 24 jam sepanjang tempoh fenomena berlaku.

“Melalui pejabat daerah kita menasihatkan supaya masyarakat yang duduk berdekatan kawasan persisiran pantai untuk berpindah lebih awal kerana dijangka air pasang besar akan berlaku seawal jam 6 pagi,” katanya.

-nR-